Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah diunjur catat dagangan kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Pasaran getah Malaysia diunjur terus menyaksikan dagangan kecil minggu depan berikutan sebahagian besar daripada peniaga masih belum memasuki pasaran susulan cuti panjang ketika ini.

Mantan Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata dagangan cenderung rendah berikutan kelemahan sentimen akibat perkembangan jangkitan kes Covid-19 yang terus melonjak di kebanyakan negara ketika ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran lebih lengang akibat minggu dagangan singkat serta musim cuti.

“Bagaimanapun, kita akan menyaksikan paras sokongan lebih kukuh bagi minggu-minggu akan datang dengan harga mungkin meningkat akibat faktor seperti cuaca dan kekurangan pengeluaran getah pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut Low, pasaran juga dijangka akan menyaksikan pembetulan teknikal susulan jangkaan peningkatan semula permintaan, terutamanya bagi susu getah pukal.

Bagi asas perbandingan mingguan, SMR 20 susut 25 sen kepada 584.50 sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 21 sen kepada 553.50 sekilogram.

Pada 5 petang Rabu lepas, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 adalah 588.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 556.50 sen sekilogram.

Pasaran ditutup pada 31 Dis, 2020 dan dan 1 Jan 2021 bersempena sambutan dan cuti umum Tahun Baharu 2021.

– BERNAMA

 

TAG:

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Nilai mampu urus tanggungan lain sebelum beli rumah

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Portal hartanah PropertyGuru Malaysia mengingatkan mereka yang berhasrat membeli kediaman agar berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan muktamad berikutan persekitaran pasaran hartanah yang sarat dengan pelbagai tawaran menarik ketika ini.

Pengurus Negara Sheldon Fernandez berkata mereka terbabit bukan setakat perlu mengambil kira kos pemilikan hartanah semata-mata tetapi sama ada benar-benar mampu menanggungnya selain mengurus perbelanjaan lain.

“Secara keseluruhannya, belian hartanah itu adalah untuk mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan yakin mengenai jaminan pendapatan di masa depan.

“Mereka yang berada dalam kedudukan sedemikian akan berdepan dengan pelbagai pilihan di pasaran hartanah semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tahun ini, transaksi membabitkan hartanah telah menyaksikan penyusutan yang ketara.

Menurut laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020 Bank Negara Malaysia (BNM), transaksi hartanah merosot sekurang-kurangnya 25 peratus dari segi jumlah dan nilai.

Fernandez berkata, pasaran hartanah bagaimanapun terus menunjukkan tanda-tanda berdaya tahan berikutan penurunan transaksi yang lebih rendah daripada jangkaan awal dengan sebahagiannya didorong oleh pelbagai langkah dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Ini termasuk kadar faedah yang terendah dalam sejarah, usaha promosi pemaju hartanah yang agresif, persaingan sengit dalam kalangan penjual hartanah serta insentif di bawah program Kempen Pemilikan Rumah.

Beliau berkata, Kajian Sentimen Pengguna oleh PropertyGuru Malaysia menunjukkan 57 peratus daripada responden menyuarakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri menjelang akhir 2021 manakala seorang daripada setiap enam responden pula merancang untuk menangguhkannya.

“Oleh kerana ramai rakyat Malaysia yang merancang untuk mempunyai rumah sendiri pada tahun depan, akan ada beberapa aliran utama yang membantu memudahkan lagi usaha tersebut.

“Ini termasuk insentif bagi mendorong persekitaran makroekonomi, langkah-langkah kerajaan dan pemaju hartanah serta digitalisasi dalam industri hartanah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS perlu bantuan kewangan, sokongan terus bertahan

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro memerlukan lebih banyak dasar sokongan untuk terus bertahan, demikian menurut RAM Ratings.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata berdasarkan kaji selidik terkini Keyakinan Perniagaan RAM, ekonomi terus mencatat prestasi lemah dengan prospek yang tidak menentu untuk tempoh tiga bulan akan datang.

“Keseluruhan Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI) bagi suku ketiga 2020 mencecah paras rendah 33.7. Ini jauh di bawah mata neutral iaitu 50 dan mencerminkan gangguan yang melanda perniagaan kecil di tengah-tengah pandemik Covid-19,” katanya.

Tambahnya, hampir 90 peratus daripada responden kajian menyifatkan keadaan ekonomi yang lemah sebagai cabaran paling signifikan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan usaha yang baik untuk membantu PKS dan perusahaan mikro semasa pandemik itu.

“Ini termasuk moratorium pinjaman dengan 86 peratus daripada responden kajian telah menerima tawaran ini. Daripada jumlah itu, hampir 90 peratus memerlukan tempoh lanjutan selepas tamat tempoh (moratorium) pada 30 September ini berikutan kekangan aliran tunai,” katanya.

Katanya, lebih separuh daripada syarikat yang menyertai kaji selidik itu menyatakan, tanpa tempoh lanjutan itu, mereka akan mengalami impak negatif sama ada mengecilkan perniagaan atau menutup operasi, atau gagal membayar pinjaman.

“Kebanyakan responden turut menyatakan subsidi upah (68 peratus), subsidi pinjaman (62 peratus) dan geran (66 peratus) sebagai bantuan untuk mereka terus bertahan,” katanya.

Agensi penarafan itu berkata pendekatan bersasar oleh kerajaan berdasarkan saiz dan sektor syarikat merupakan kaedah terbaik untuk membantu syarikat.

“Tinjauan BCI menunjukkan pelanjutan tempoh moratorium itu amat berguna kepada PKS berikutan mereka mungkin mempunyai komitmen pinjaman yang lebih tinggi; lebih 85 peratus daripada PKS yang lebih besar memerlukan tempoh lanjutan itu berbanding 69 peratus perusahaan mikro,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, impak tidak mengambil tempoh lanjutan itu dilihat lebih memberi kesan kepada perusahaan mikro.

“Kira-kira 20 peratus daripada perusahaan mikro berkata mereka perlu menutup operasi berbanding hanya lapan peratus PKS,” katanya.

Katanya, di sebalik kesuraman itu, kajian itu turut menunjukkan daya tahan PKS dan perusahaan mikro — walaupun prospek yang suram dan cabaran yang menakutkan, kebanyakan syarikat yang menyertai kaji selidik itu mahu mengekalkan perniagaan seperti sedia ada berbanding mengecilkan operasi dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Ia juga menunjukkan bahawa perniagaan berharap agar permintaan akan pulih dalam jangka sederhana.

“Bagaimanapun, pembuat dasar perlu terus bekerjasama dengan PKS dan perusahaan mikro kerana mereka perlu memahami keperluan khusus dan menyediakan bantuan kewangan bersasar kepada PKS dan perusahaan mikro — tulang belakang ekonomi Malaysia — untuk melindungi mereka daripada krisis pada masa ini,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran hartanah dijangka kembali aktif, waspada elak ditipu

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pasaran hartanah negara dijangka kembali aktif susulan Kempen Pemilikan Rumah yang diperkenalkan semula oleh kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pakar hartanah Dr Azizul Azli Ahmad berkata kempen itu bertujuan menggalakkan orang ramai membelanjakan simpanan mereka untuk membeli hartanah, khususnya golongan muda dan mereka yang ingin memiliki rumah pertama.

”Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembiayaan pasaran hartanah lembab seperti pinjaman perumahan di bank tidak berlaku, menyebabkan pemain industri seperti arkitek, ejen hartanah dan jurunilai tidak ada pendapatan.

“Bagaimanapun saya yakin, pasaran hartanah kembali baik selepas ini berikutan akan ada keyakinan pembeli sekali gus meningkatkan aliran jual beli dalam sektor itu,” katanya kepada Bernama.

Azizul Azli juga menjangkakan insentif tersebut akan membantu mengurangkan masalah lambakan hartanah tidak terjual di bandar-bandar besar seperti di Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika meneroka pasaran hartanah dan tidak terbawa-bawa dengan keghairahan untuk membeli kediaman bagi mengelakkan ditipu pemaju yang mungkin mengambil kesempatan daripada insentif ditawarkan kerajaan.

“Mungkin ada pemaju akan menaikkan harga terlalu tinggi, oleh itu sentiasa semak dan bandingkan harga rumah dengan nilai pasaran hartanah di kawasan tersebut dengan pihak bank atau ejen hartanah berdaftar sebelum membelinya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia Ishak Ismail berpendapat insentif Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah pula adalah  tawaran yang positif kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19.

“Ini kerana ada sebahagian kita yang terkesan dengan impak Covid-19 seperti hilang pekerjaan, jadi mereka terpaksa melupuskan hartanah, sekurang-kurangnya keuntungan itu diperoleh dan digunakan segera untuk menampung kos sara hidup mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Rusia boleh bertindak tangani harga rendah minyak dunia

MOSCOW, 11 MAC: Rusia boleh meningkatkan pengeluaran minyak antara 200,000-300,000 tong sehari (bpd) untuk jangka pendek dan sehingga 500,000 bpd pada masa depan bagi menangani kejatuhan berlarutan harga minyak.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Menteri Tenaga, Alexander Novak, berkata tumpuan utama Rusia ketika ini untuk bertindak balas pantas terhadap keadaan pasaran bagi menangani akibat kejatuhan harga.

“Tugas kami sekarang memberi respon pantas terhadap keadaan pasaran bagi mengurangkan kebanyakan kesan buruk selain terus melakukan pemantauan,” katanya.

Harga minyak terus menjunam selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan pengeluar utama lain termasuk Rusia, gagal mencari kata sepakat di Vienna bagi melanjutkan lagi tempoh pengurangan pengeluaran yang sepatutnya tamat pada hujung bulan ini.

Novak berkata, pada mesyuarat itu Rusia dan beberapa negara bukan anggota OPEC mencadangkan memperluaskan perjanjian sedia ada iaitu pengurangan pengeluaran sebanyak 1.7 juta bpd untuk sekurang-kurangnya satu perempat lagi dan memantau pasaran sebelum mengambil langkah lanjut.

Bagaimanapun, OPEC terutama Arab Saudi mencadangkan meningkatkan lagi jumlah pemotongan pengeluaran sehingga sebanyak 1.5 juta bpd lagi daripada jumlah sedia ada bermula 1 April hingga hujung 2020.

“Rusia tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana menyatakan, pilihan Rusia mampu menstabilkan dengan ketara keadaan harga tidak menentu di pasaran.

“Pintu tidak tertutup. Hakikat bahawa perjanjian pengurangan pengeluaran tidak dilanjutkan bermula 1 April tidak bermakna kita tidak lagi boleh terus bekerjasama dengan OPEC dan negara bukan anggota OPEC,” kata Novak.

Katanya, perjanjian yang dikenali sebagai OPEC+ yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, menunjukkan keberkesanannya, membolehkan Rusia menjana keuntungan tambahan sebanyak 10 trilion ruble (kira-kira US$140 bilion).

Beliau berkata, Rusia dan OPEC bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap pada Mei dan Jun bagi menilai keadaan pasaran.

-BERNAMA