Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pembaikan jambatan Dengkil-Banting dijangka siap 20 Januari

SEPANG, 28 DIS: Jambatan yang menghubungkan Dengkil ke Banting di sini yang runtuh akibat banjir baru-baru ini dijangka siap pada 20 Januari tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin kerja baik pulih dapat diselesaikan segera meskipun mengalami hakisan teruk sejak 17 Disember lalu.

“Kita jangka paling maksimum (pembaikan) siap pada 20 Januari 2022 kemudian dibuka semula kepada umum kira-kira dua atau tiga hari selepas menerima taraf selamat.

“Beberapa urusan pencegahan banjir, kerja tambak dan pemasangan ‘shift piling’ akan dibuat segera,” katanya pada sidang media selepas melawat pascabanjir di Sepang hari ini.

Kerja baik pulih jambatan yang menelan kos sehingga RM800,000 diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS).

Amirudin menambah pembaikan itu berkemungkinan melewatkan proses tebatan banjir Sungai Langat yang bermula sejak Julai lalu dan dijangka siap pada 20 Julai 2023.

“Ini sebahagian usaha berterusan Kerajaan Negeri melalui JPS untuk menangani masalah banjir di daerah Sepang dan kawasan sekitar,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jalan di Hulu Langat ditutup dua jam untuk bersihkan sampah banjir

SHAH ALAM, 28 DIS: Beberapa jalan sekitar daerah Hulu Langat akan ditutup selama dua jam setiap Isnin hingga Khamis bagi memudahkan urusan kerja-kerja pembersihan sampah pascabanjir di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penutupan itu, dari 8 hingga 10 pagi, bagi melancarkan proses kutipan sampah oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd susulan berlaku kesesakan jalan sehingga menghalang lori syarikat tersebut menjalankan tanggungjawabnya.

“Di peringkat awal, kita ingin melakukan penutupan itu selama dua hari sahaja namun setelah diputuskan kita akan melaksanakannya setiap hari kecuali Jumaat hingga Ahad,” katanya dalam sidang khas berhubung perkembangan banjir di sini semalam.

Beliau berkata kesesakan jalan di daerah itu adalah disebabkan oleh kehadiran sukarelawan yang ramai sehingga menyebabkan operasi kutipan sampah mengambil masa dan pihaknya terpaksa menambah jumlah hari bagi operasi pembersihan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media berkenaan situasi banjir dan bantuan Selangor Bangkit di bilik Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI

Katanya, setakat ini, sebanyak 13,699.55 tan sampah banjir telah dikutip yang melibatkan implikasi kewangan RM6.03 juta.

Amirudin berkata pihaknya juga sedang meneliti kemungkinan melaksanakan perkara sama di Padang Jawa dan Taman Sri Muda di daerah Klang namun bergantung kepada kesesuaian serta akan diumum awal sehari bagi memudahkan perancangan penduduk sekitar.

Mengulas isu pendaftaran sukarelawan, beliau berkata langkah itu bagi memudahkan penyelarasan dan keselamatan.

“Saya dimaklumkan ada dua sukarelawan telah meninggal dunia akibat lemas dalam membantu proses (pemindahan mangsa banjir).

“Kita tidak mahu mereka yang datang sebagai sukarelawan untuk menabur bakti akhirnya menjadi mangsa kepada bencana akibat kekurangan penyelarasan dan koordinasi,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri memerlukan lebih RM368 juta bagi melaksanakan projek pembaikan selepas banjir melanda Selangor.

Beliau berkata bagi kategori darurat seperti keperluan Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor dan Pejabat Tanah serta Jabatan Kerja Raya adalah lebih RM142 juta, kategori segera lebih RM177 juta dan kadar biasa lebih RM49 juta.

“Sebahagian kos akan ditanggung oleh kerajaan negeri dan sudah pasti senarai (itu) dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan pelarasan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pascabanjir: Mesin rawat jantung RM200,000 antara alatan berjaya dibaiki

SHAH ALAM, 28 DIS: Mesin rawatan jantung bernilai RM200,000 antara 200 barang elektrik milik mangsa banjir yang berjaya dibaiki secara percuma dalam program seliaan seorang aktivis masyarakat.

Pengasasnya Hisham Misripin berkata alatan dari sebuah klinik di Seksyen 13 itu dihidupkan semula pensyarah mekatronik dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Petaling Jaya.

“Saya diberitahu mesin itu bernilai RM200,000, itulah kerugian bakal dialami pemiliknya jika tidak dapat digunakan semula selepas ditenggelami banjir.

“Hampir 90 peratus daripada 200 barangan elektrik milik mangsa banjir dihantar berjaya dibaiki, sekurang-kurangnya mereka tidak rugi besar,” katanya dihubungi semalam.

Hisham berkata program tersebut akan diteruskan di Dewan Azalea, Sri Muda di sini selama lima hari mulai hari ini dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Kali ini kami mungkin ke rumah penduduk untuk bantu mereka yang sukar ke dewan dengan penyertaan dari kumpulan Facebook Tukang Apa Hari Ini,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat pemindahan dibuka meski banjir surut, mudahkan kebajikan mangsa

KUALA LANGAT, 26 DIS: Pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir kekal dibuka meskipun banjir surut, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penutupan PPS hanya boleh diisytiharkan selepas keputusan dibuat jawatankuasa bencana negeri.

“PPS tetap dibuka untuk keselesaan dan kebajikan mangsa, ini kerana masih ada kediaman yang belum dibersih dan mereka masih berulang-alik ke PPS,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau keadaan pascabanjir antaranya di Taman Langat Utama dan Masjid Ar Rahman serta Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang.

Amirudin berkata jumlah mangsa ditempatkan di PPS semakin berkurang kerana banyak kediaman yang sudah pulih dan dibersihkan.

“Pada Selasa lebih 30,000 mangsa dilaporkan dan setakat petang semalam sebanyak 15,000 individu. Kita jangka pagi ini jumlah itu semakin berkurang,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa kanak kanak ketika meninjau keadaan selepas banjir di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 26 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Tubuh pasukan petugas khas, sedia hadapi banjir gelombang kedua

HULU LANGAT, 26 DIS: Kerajaan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas pascabanjir dan untuk persediaan menghadapi banjir gelombang kedua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Kerja pelaksanaan pascabanjir ini memerlukan koordinasi yang sempurna, kerana saya tidak mahu proses termasuk bantuan lambat diberikan kepada mangsa terlibat.

“Kita juga perlu bersedia jika banjir gelombang kedua akan berlaku selepas ini, jadi saya setuju untuk tubuhkan pasukan petugas khas ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata pasukan petugas khas yang akan dianggotai oleh agensi terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, akan mengadakan mesyuarat pertamanya seawal esok.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata antara perkara yang akan dibincang dan diputuskan oleh pasukan petugas khas itu ialah koordinasi pelaksanaan proses pembersihan rumah dan kediaman, serta mekanisme pemberian wang bantuan ihsan banjir agar cepat sampai kepada penerima terjejas, yang menjadi keutamaan pada ketika ini.

“Saya juga menyeru kepada agensi dan jabatan berkaitan yang menguruskan bantuan tunai perlu mempermudahkan proses pemberian bantuan dan menghapuskan kerenah birokrasi, mereka dah susah, jangan susahkan mereka lagi,” katanya.

Katanya lagi, pasukan petugas khas tersebut juga akan mencari penyelesaian pengurusan sisa pepejal hasil dari kemusnahan akibat banjir.

Katanya setakat ini kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyediakan insinerator bergerak, yang akan melupuskan sisa pepejal secara ‘insitu’ tanpa asap dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Selain itu katanya, kerajaan juga sedang mengumpul data jumlah kerugian yang ditanggung akibat banjir besar yang melanda negeri Selangor Sabtu lalu.

“Kita masih lagi dalam proses pembersihan, kita tengah kaji lagi berapa jumlah. Data sedang dikumpul, memang ada kesan dari segi ekonomi, tetapi kita tak tahu sejauh mana dan kita akan tunggu laporan dari kementerian berkaitan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih kepada sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan keselamatan serta agensi yang masih bertungkus lumus membantu proses pascabanjir di seluruh negara.

“Tidak ketinggalan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir terlibat.

“Setakat ini keutamaan kita ialah mempercepatkan bantuan bersihkan rumah mereka supaya boleh pulang ke rumah masing-masing. Jika kita lakukan sama-sama, proses ini, penduduk boleh pulang ke rumah lebih cepat,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB arah tumpuan khusus bersihkan Kampung Bukit Lanchong

SUBANG JAYA, 24 DIS: Dato’ Menteri Besar mengarahkan pembersihan pascabanjir di Kampung Bukit Lanchong dekat sini diberi perhatian khusus oleh agensi berkaitan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kawasan dihuni kira-kira 1,670 penduduk itu antara yang teruk terjejas selain Hulu Langat dan Taman Sri Muda dalam insiden pada Sabtu.

“Kita kena perkemas sebaiknya kerana jalan di kawasan ini sempit selain dipenuhi lumpur dan sampah, jadi kenderaan lebih kecil diperlukan bagi memudahkan kutipan sampah serta pembersihan.

“Disebabkan keadaan agak parah, saya minta keprihatinan unit pengurusan bencana dan pihak berkuasa tempatan mempercepat pembersihan seperti dalam pelan Selangor Bangkit,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau aktiviti pembersihan di kampung terbabit hari ini turut memuji komitmen semua pihak yang berganding bahu membantu mangsa terjejas bencana.

“Sudah berhari-hari saya lihat banyak NGO (badan bukan kerajaan) dan parti politik bekerja, cuma saya minta untuk susun serta perkemas lagi,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Amy Search tidak ketinggalan bantu kerja pembersihan pascabanjir

SHAH ALAM, 24 DIS: Penyanyi Amy Search tidak ketinggalan membantu penduduk terjejas banjir teruk di Meru, Klang.

Amy yang berkongsi pengalaman itu di Facebook berkata beliau sudah biasa melakukan kerja membersih.

“Hari ini di Meru pulak. Kalau kat kampung kerja-kerja macam ini dah biasa,” kata penyanyi lagu Isabella itu.

Sementara itu, wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar meluang masa menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru dan mengedarkan bantuan barangan keperluan serta pakaian.

Bantuan lampin pakai buang bayi diedarkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Meru. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat N42 Meru Klang – YB Fakhrulrazi Mokhtar

 

Ahli Dewan Negeri Meru Mohd Fakhrulrazi Mokhtar mengedarkan sumbangan pakaian kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang pada 23 Disember 2021. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat N42 Meru Klang – YB Fakhrulrazi Mokhtar
Categories
PBT SELANGOR

MBSA jangka kutipan sampah pukal pascabanjir selesai dua minggu lagi

SHAH ALAM, 24 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan proses pembersihan sampah pukal di kawasan pascabanjir yang sedang dilaksanakan secara maksimum ketika ini, akan selesai dalam tempoh dua minggu.

Datuk Bandar MBSA Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata MBSA kini giat melaksanakan operasi pembersihan di seluruh kawasan Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini yang terjejas teruk susulan banjir sejak 18 Disember lepas.

Namun katanya, lorong dan jalan kecil serta jumlah kenderaan banyak diletakkan di tepi jalan di kawasan Padang Jawa dan Taman Sri Muda antara sebab yang menyukarkan proses pembersihan dan juga pergerakan lori sampah masuk ke kawasan tersebut.

“Justeru, kita minta penduduk untuk bersabar kerana MBSA kini ‘full force’ dalam operasi pembersihan sampah pukal pascabanjir ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma MBSA hari ini.

Zamani Ahmad berkata setakat ini, sebanyak 824 tan metrik sampah telah dikutip di sekitar Shah Alam dan menjangkakan jumlah tersebut akan terus meningkat, dan MBSA telah membuka satu kawasan transit sampah di Seksyen 21 susulan banjir yang melanda.

“Sebelum ini, sampah yang dikutip akan dihantar ke tempat pelupusan di Jeram Sanitary Landfill, Kuala Selangor yang mengambil masa kira-kira tiga jam bagi satu perjalanan tidak termasuk masa menunggu, jadi ekoran banjir dan sampah yang banyak, ia dikumpulkan dahulu di pusat transit berkenaan,” katanya.

Mengulas berhubung status kereta tersadai di sekitar Shah Alam, Zamani Ahmad berkata pihaknya akan mengalihkan kereta ke bahu jalan untuk memastikan kelancaran trafik dan memudahkan kerja-kerja pembersihan serta pergerakan jentera sampah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sukarelawan terkejut lihat banjir Selangor, lebih dahsyat dari Pulau Pinang

PUCHONG, 24 DIS: Pasukan sukarelawan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyifatkan banjir di Selangor baru-baru ini jauh lebih dahsyat berbanding Pulau Pinang pada 2017.

Ketua Jabatan Pengurusan Krisisnya Mohammad Aidil Samsuri yang tiba di Puchong kelmarin terkejut melihat kemusnahan harta benda dan alam sekitar di kawasan terbabit.

“Kereta dan rumah habis tenggelam manakala perabot musnah. Saya ingat banjir di Seberang Perai paling teruk, rupanya di sini empat kali ganda lebih teruk.

“Insya-Allah kita sama-sama pulihkan segera. Saya harap orang Selangor kuat hadapi dugaan. Kami bantu yang termampu,” katanya selepas membersihkan Kampung Tengah dekat sini hari ini.

Mohammad Aidil berkata seramai 50 anggota MBSP dihantar ke Selangor mulai Rabu hingga minggu hadapan bagi membantu negeri itu melakukan pembersihan pascabanjir.

Sukarelawan Majlis Bandaraya Seberang Perai bersama kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya membersihkan kawasan terjejas banjir di sekitar Kampung Tengah, Puchong pada 24 Disember 2021. Foto Facebook Majlis Bandaraya Seberang Perai

Pihaknya turut membawa 12 aset seperti jentera, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tong RORO (Roll On Roll Off) untuk memudahkan kerja Majlis Perbandaran Subang Jaya.

“Kami berpecah dua kumpulan. Satu lagi membantu Majlis Perbandaran Klang. Ini masa kami bantu semula sebab sebelum ini Selangor hantar pasukan tolong masyarakat Pulau Pinang,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pascabanjir: Kanak-kanak perlu sokongan emosi, psikologi

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini bukan sahaja boleh menyebabkan gangguan emosi dalam kalangan orang dewasa disebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan keluarga tersayang tetapi juga berpotensi menjejaskan emosi kanak-kanak.

Justeru, pakar psikologi kanak-kanak berpendapat sokongan psikologi dan emosi terhadap golongan ini amat diperlukan terutama ketika fasa pascabanjir bagi memastikan perkembangan psikologi, emosi dan mental mereka tidak terganggu dengan bencana itu.

Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata tumbesaran dan perkembangan asas mental serta emosi kanak-kanak ada hubung kait dengan faktor tempat tinggal yang selamat.

Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Keadaan seperti bencana alam mudah membuatkan mereka (kanak-kanak) risau kerana berada dalam satu keadaan tidak pasti. Sesuatu yang tidak pasti mudah menjadikan mereka bimbang dan ini melibatkan rasa tidak selamat dalam diri.

“Justeru, dalam keadaan ini, ibu bapa disarankan untuk sentiasa berbual dengan anak, maklumkan mereka dengan kata-kata peneguhan bahawa semuanya dalam kawalan ibu bapa dan anda (sebagai ibu bapa atau dewasa) akan sentiasa ada bersama untuk memastikan keselamatan mereka.

“Elakkan juga memberi pendedahan keterlaluan dengan input berita yang boleh membawa kebimbangan melampau dalam diri anak-anak,” kata Dr Putri Afzan yang juga pengasas sebuah tadika swasta kepada Bernama.

Menurut Dr Putri Afzan kesan jangka pendek dan panjang pascabanjir yang bertindih dengan fasa pascapandemik Covid-19 perlu diambil kira terhadap perkembangan psikologi kanak-kanak berkenaan.

Angota tentera mendukung seorang kanak-kanak perempuan ketika misi menyelamat mangsa banjir di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto Kementerian Pertahanan Malaysia

Katanya, kaedah penyampaian Social Stories (kisah sosial) dapat sedikit sebanyak membantu anak-anak yang terkesan secara terapuetik.

“Hakikatnya, kita masih belum lagi selesai dengan isu Covid-19, dan lockdown (PKP) berpanjangan telah pun memberi kesan regression pada anak-anak. Sama ada mereka terlibat secara langsung atau tidak, keadaan emosi dan psikologi mereka wajar dibimbangi.

“Kita yang dewasa perlu cakna tentang bagaimana penerimaan anak-anak ini tentang bencana yang berlaku. Berhati-hati dengan keperluan emosi mereka dan saya akan katakan, kaedah Social Stories akan membantu kanak-kanak yang terjejas,” katanya.

Social Stories atau kisah sosial adalah alat bantu visual yang dicipta oleh Carol Gray sekitar 1991 untuk membantu menjelaskan mengenai situasi, peristiwa atau kegiatan tertentu. Bagi individu yang mengalami spektrum autisme kisah sosial dapat membantu mereka memahami orang lain berperilaku atau merespons situasi tertentu.

Sementara itu, Kaunselor Psikologi, Ketua Unit Kaunseling Psikologi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Noor Suraya Muhamad berpendapat kondisi mental dan fizikal kanak-kanak boleh merosot sekiranya impak pascabanjir terhadap mereka tidak dibendung di peringkat awal.

Menurutnya, tahap kebimbangan dan trauma emosi mereka berpotensi membawa kepada perubahan tingkah laku yang lebih ketara seperti tantrum, insomnia, hilang selera makan dan penjarakan diri.

Pasukan penyelamat giat menyelamatkan mangsa terjejas banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kesepaduan sosial masyarakat dan keluarga sebelum bencana berlaku dan proses pemulihannya selepas itu, begitu juga komunikasi dan keberadaan keluarga yang sentiasa ada bersama ketika saat kritikal begini sememangnya menjadi teras untuk mengurangkan penderitaan rakyat dan dapat menggalakkan pemulihan lebih berkesan sesama mangsa terlibat.

“Ini juga adalah komponen Psychological First Aid (PFA), yang dipersetujui di peringkat antarabangsa sebagai set prinsip penting dalam memberikan penjagaan psikososial khususnya kepada kanak-kanak,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 37 kematian dan 10 laporan orang hilang direkodkan di kawasan banjir di seluruh negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sebanyak 68,341 mangsa banjir daripada 18,080 keluarga berada di 396 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tujuh negeri dengan Pahang paling teruk terjejas pada kali ini, selain Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB mahu tumpu pascabanjir, bincang isu siapa pengerusi MKN kemudian

SHAH ALAM, 23 DIS: Dato’ Menteri Besar mahu memberi tumpuan dalam menangani isu pascabanjir di negeri ini berbanding membincangkan soal siapa pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menjelaskan Kerajaan Negeri tidak terganggu dengan isu berkenaan tetapi beliau sedia membincangkan perkara itu selepas urusan membantu mangsa banjir selesai.

“Saya hendak selesaikan masalah ini (pascabanjir), selepas itu kita bincang siapa pengerusi. Tidak ada masalah bagi saya.

“Saya terima arahan malam pada 21 Disember dan malam tadi buat mesyuarat dan berharap koordinasinya akan terus berlaku,” katanya meninjau operasi pembersihan pasca banjir di Padang Jawa hari ini.

Pada 21 Disember, Amirudin menerima panggilan MKN selepas  Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat majlis berkenaan, yang meminta beliau mempengerusikan MKN Selangor.