Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian IARC: Tiada perhubungan Akrilonitril dengan kanser

JOHOR BAHRU, 4 OGOS: Kajian oleh International Agency For Research On Cancer (IARC) terhadap kes-kes kanser sejak 1970 hingga kini mendapati tiada “satu pun perhubungan” yang boleh mengaitkan gas akrilonitril menyebabkan kanser.

Ini sekali gus menolak kebimbangan orang ramai bahawa gas akrilonitril yang dikesan semasa kes pencemaran Pasir Gudang baru-baru ini boleh mengundang kanser.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din berkata, risiko sama ada terdapat kanser atau kesan jangka panjang kepada kesihatan adalah sangat berkait rapat dengan tahap pendedahan gas tersebut .

Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Jabatan Alam Sekitar bahawa tahap pendedahan yang dialami oleh mangsa-mangsa pencemaran baru-baru adalah bersifat tidak tinggi dan “kadang-kadang” sahaja.

“Pendedahan itu sangat sedikit, risiko mendapat kesan jangka panjang amat rendah kepada kesihatan,” katanya dalam Sesi Townhall Isu-isu Semasa Pasir Gudang yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Beliau berkata, satu lagi gas iaitu akrolein yang turut dikesan dalam insiden itu pula dikategorikan sebagai “unclassified” untuk kanser.

Shaharom berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang bapa yang membangkitkan soal kebimbangan penduduk Pasir Gudang mengenai risiko kanser akibat pendedahan terhadap gas itu baru-baru ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang di Pasir Gudang diarah pasang alat kawalan pelepasan bahan cemar

JOHOR BAHRU, 4 OGOS: Semua kilang di Pasir Gudang diarahkan memasang peralatan kawalan pelepasan bahan cemar atau buangan berteknologi tinggi dan automatik di cerobong kilang masing-masing bagi membolehkan pemantauan data pelepasan bahan buangan kilang dilakukan selama 24 jam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, teknologi terkini yang digunakan itu harus boleh dihubung atau disalurkan terus kepada JAS supaya pihaknya dapat memantau secara dalam talian.

“Tetapi pada masa sama, kami akan turun ke lapangan untuk sahkan data pelepasan. Maknanya pihak kilang juga perlu menyimpan rekod untuk pengesahan, “ katanya pada sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Program itu dihadiri wakil sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pasir Gudang.

Wan Abdul Latiff berkata, semua usaha itu perlu dilakukan kerana terdapat kemungkinan pihak kilang memanipulasi data-data pelepasan bahan buangan mereka sekiranya tiada kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan secara berterusan.

Terdahulu, beliau turut memberitahu pihaknya bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sedang dalam usaha untuk mendapatkan peralatan yang canggih bagi mendepani insiden pencemaran udara di Pasir Gudang.

Ini termasuk kemungkinan meletakkan sekurang-kurangnya 30 stesen pemantauan kualiti udara persekitaran automatik di kawasan berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 3,000 pelajar Pasir Gudang terima sokongan psikologi

KULAI, 27 JUL: Lebih 3,000 pelajar sekolah di Pasir Gudang yang terjejas akibat insiden sesak nafas dan muntah-muntah susulan kes pencemaran udara di kawasan itu bulan lepas, menerima sokongan psikologi dan trauma setakat ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata pelajar berkenaan melibatkan 50 sekolah di sekitar Pasir Gudang termasuk sekolah yang awal terjejas iaitu Sekolah Agama Taman Mawar.

“Ia membabitkan sekolah rendah dan menengah dan mereka akan menerima sokongan psikologi ini daripada pakar unit psikologi lima hospital termasuk Hospital Sultan Ismail, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Permai di Johor Bahru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Jom Kenal Ubat, di sini hari ini.

Selahuddeen berkata, antara kaedah rawatan yang diberikan kepada kesemua pelajar berkenaan adalah aktiviti interaktif dan kaedah mengatasi trauma.

Beliau berkata,sokongan psikologi tersebut merupakan usaha berterusan pihaknya semenjak insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Mac lalu.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan pencemaran Pasir Gudang bukan sengaja dilewatkan

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Hasil laporan analisa pencemaran udara di Pasir Gudang bukan ‘sengaja’ dilewatkan, jelas Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Tegasnya, kajian mengenai perkara itu masih berjalan sehingga kini bagi mendapat keputusan dan hasil laporan yang lebih menyeluruh dan terperinci.

“Kita tidak dapat mengetahui punca pencemaran di Pasir Gudang sehingga sekarang, bukan seperti pencemaran Sungai Kim Kim yang kita tahu punca.

“Antara langkah dijalankan ialah kajian berkaitan ‘loading analysis’ (analisis beban) dan ‘carrying capacity’ (kapasiti tampungan) untuk menentukan kapasiti bawaan udara di Pasir Gudang bagi mengurangkan risiko pencemaran udara,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambalan Senator Datuk Ong Chong Swen yang ingin tahu mengapa kerajaan masih memerlukan masa sehingga enam minggu dari tarikh lantikan jawatankuasa teknikal dan saintifik kajian analisis beban dan kapasiti tampungan dilantik 15 Julai lepas untuk mengeluarkan laporan awal.

Pada 20 Jun, 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang didapati mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas selepas terdedah dengan pencemaran udara di kawasan berkenaan.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Mengulas lanjut, Isnaraissah berkata, hasil kajian bersepadu itu juga kemudian akan dijadikan panduan bagi menghadapi insiden sama sekiranya berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata setakat semalam, MESTECC telah melaksanakan 6,300 set cerapan udara yang dilakukan setiap hari dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk membendung masalah pencemaran.

“Sementara, sehingga 12 Julai, sebanyak 255 premis industri diperiksa dengan 136 kompaun dikeluarkan, 11 premis diberi penahanan operasi manakala tiga syor tindakan mahkamah dilakukan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tutup semua kilang haram di Pasir Gudang – Bee Yin

 

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Kerajaan akan memastikan semua kilang yang didapati beroperasi secara haram di Pasir Gudang, Johor ditutup, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, ini antara langkah bagi mengawal kualiti udara di kawasan berkenaan yang kini sekali lagi berdepan isu pencemaran selepas insiden Sungai Kim Kim pada Mac lepas.

“Hari ini saya ada satu mesyuarat dengan Menteri Besar Johor, kita akan membuat sesuatu yang mana kita nak sasar kilang-kilang haram. Dalam masa sebulan ini kita akan adakan operasi bersepadu supaya kita tutup semua kilang-kilang haram di Pasir Gudang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya juga nak minta anggota-anggota Dewan Rakyat dan rakyat di Pasir Gudang supaya lapor kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kalau ada maklumat tentang kilang-kilang haram, kita akan pergi dan tutup,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkaitan kedua-dua insiden di kawasan berkenaan.

Bee Yin menegaskan apa yang diperlukan dalam menyelesaikan masalah kualiti udara di Pasir Gudang ialah anjakan paradigma dan mencari pendekatan berbeza berbanding sebelum ini.

Menteri itu seterusnya berkata beberapa pendekatan lain turut digariskan termasuk mewujudkan sebuah pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Pasir Gudang dan membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan ‘carrying capacity’.

Bee Yin berkata, kerajaan juga akan mewujudkan stesen pengawasan gas pencemar toksik automatik secepat mungkin dan mewajibkan beberapa tindakan pematuhan baharu kepada premis industri di Pasir Gudang termasuk memasang alat pemantauan secara berterusan.

“Kementerian juga akan adakan program sekolah angkat oleh industri terutama bagi sekolah berisiko tinggi yang mana lokasi mereka dekat dengan kilang, dan industri-industri ini akan bekalkan kemudahan seperti gas detector dan air purifier ke sekolah angkat masing-masing,” katanya.

Bee Yin menegaskan kerajaan mengambil berat isu pencemaran udara serta telah meningkatkan dengan begitu ketara tahap pemantauan dan penguatkuasaan di Pasir Gudang selepas insiden di Sungai Kim Kim.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sesak nafas: Hanya 10 pelajar dirujuk ke HSI semalam

JOHOR BAHRU, 1 JUL: Hanya 10 pelajar sahaja yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) berikutan gangguan kesihatan melibatkan simptom muntah-muntah dan sesak nafas di 27 sekolah di Pasir Gudang, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, meskipun 273 orang terjejas termasuk tiga guru, namun selepas direhatkan hanya seramai 101 dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai untuk mendapatkan rawatan saringan.

“Sepuluh orang pelajar berusia antara 10 hingga 12 tahun daripada jumlah mereka yang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas, dirujuk ke HSI untuk pemeriksaan lanjut.

“Hanya tiga sahaja kemudiannya dirawat di wad,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Setakat 9.30 pagi ini, tiada mangsa baharu dilaporkan, kata Mohd Khuzzan.

Beliau berkata, semua pegawai daripada agensi terlibat kini memantau kualiti udara di 85 sekolah yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ untuk mengetahui punca kejadian terbaharu itu.

“Jadi hari ini kita nak lihat bacaan sehingga pukul 1 tengah hari ini. Kita nak lihat bacaan sebenar di kawasan Pasir Gudang di semua sekolah, yang kita lihat majoriti yang terlibat adalah murid-murid sekolah,” kata nya.

Pembacaan kualiti udara yang diambil dalam masa yang sama dan serentak akan ditumpukan di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah, katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Khuzzan berkata pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam penyingkiran bahan-bahan sisa industri di lokasi yang berhampiran dengan taman perumahan dan sekolah.

“Pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan membuat pemeriksaan inventori di 250 premis kilang yang mengendalikan bahan-bahan kimia yang ada di Pasir Gudang untuk memastikan mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” kata beliau.

Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan turut membentuk 18 pasukan First Aid yang akan memberikan pendidikan awal menjaga kebersihan diri di sekolah-sekolah.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gangguan kesihatan di Pasir Gudang kembali

Categories
NASIONAL

Tiada sesi ganti bagi sekolah di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 30 JUN: Tiada sesi persekolahan ganti bagi kesemua 111 sekolah kebangsaan dan menengah yang ditutup di Pasir Gudang sejak Selasa lepas (25 Jun) akibat gangguan kesihatan sesak nafas dan muntah-muntah dalam kalangan pelajar.

Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berkata bagaimanapun, beliau akan memastikan pihak sekolah melakukan penjajaran sekiranya berlaku defisit pembelajaran semasa tempoh penutupan sekolah tersebut.

“Kita akan memastikan bahawa sekiranya berlaku defisit pembelajaran semasa cuti tempoh hari, penjajaran akan dibuat pihak sekolah melalui aktiviti pembelajaran yang tertentu. Itu (penjajaran) kita akan serahkan kepada pihak sekolah.

“Penjajaran itu termasuklah kelas tambahan, tetapi semasa tempoh penutupan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) telah menyediakan pelbagai bahan pembelajaran alternatif menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram, email, VLE dan Eduweb Tv,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang Empat, di sini hari ini.

Azman berkata, secara keseluruhannya, sekolah beroperasi seperti biasa hari ini dan kehadiran para pelajar berada pada tahap yang baik.

“Setakat ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan pelajar juga nampaknya tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, Jabatan Kesihatan negeri juga akan memberikan taklimat keselamatan dan pencegahan kepada 18 sekolah hari ini termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SMK Taman Nusa Damai, SK Pasir Gudang Empat dan SK Kopok.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan atas usaha dan inisiatif untuk membantu.

“Ini merupakan support sistem yang diberi kepada pihak sekolah sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

JAS Johor keluar perintah tahan operasi tiga kilang di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 27 Jun : Tiga perintah tahan operasi dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor serta merta kepada tiga kilang kimia di Pasir Gudang hari ini kerana didapati berpotensi menyebabkan pencemaran udara.

Mengesahkan perkara itu, Pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata ketiga kilang itu didapati turut melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Tiga kilang ini melibatkan pengendalian kimia dan bahan toksik dan perintah tahan operasi dikeluarkan serta merta hari ini.

“ Perintah dikeluarkan kerana kilang ini berpotensi menyebabkan pencemaran udara dan perintah tahan operasi adalah sehingga mereka mengikut undang-undang,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar dalam satu sidang media berkata JAS telah mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan terhadap 38 kilang kimia bagi kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Selain, tiga perintah tahan operasi, sebanyak 27 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual dan 10 kompaun bagi efluen perindustrian telah dikeluarkan, kata beliau.

“Kita adakan operasi ini selama dua minggu semenjak hari pertama insiden pencemaran (20 Jun) berlaku.

Operasi ini juga dilakukan secara komprehensif kerana kita dalam proses untuk menyingkirkan mana-mana kilang yang berpotensi menyebabkan pencemaran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata hanya terdapat tiga mangsa wanita dan satu lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menerima rawatan dan kesemua mereka dalam keadaan stabil.

“Selain itu, JAS juga telah lakukan pemantauan kualiti udara secara berkala bagi mengesan kehadiran pencemaran gas di kawasan Pasir Gudang dan bacaan tahap kualiti udara adalah baik.

Polis juga masih meneruskan sekatan jalan raya 24 jam di lokasi yang telah dikenal pasti sebagai akses utama keluar dan masuk ke kawasan Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut melakukan pemantauan tahap kualiti udara dalam radius pengesanan telah dibuat sehingga 13 kilometer.

“Kerajaan negeri sememangnya komited dalam memastikan insiden pencemaran ini dapat ditangani sebaik mungkin dengan memastikan penguatkuasaan melalui agensi-agensi berkaitan dipertingkatkan,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Johor proaktif tangani insiden pencemaran Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 25 JUN: Kerajaan Johor sentiasa proaktif dalam menangani insiden pencemaran di Pasir Gudang sejak Khamis lepas, sekali gus membidas dakwaan sesetengah pihak kononnya agensi-agensi kerajaan lambat bertindak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, setiap agensi-agensi kerajaan sejak hari pertama kejadian telah bertungkus lumus dalam menangani insiden pencemaran terbaharu itu.

“Sejak hari pertama lagi, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia dan Pejabat Daerah, antara agensi-agensi yang menjalankan tugas untuk menangani isu ini dengan segera.

“Tidak ada satu pun agensi kerajaan yang tidak memainkan peranan. Semua memainkan peranan dengan baik sehingga ke hari ini. Saya menangkis dakwaan bahawa agensi kerajaan tidak menjalankan tugas,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai kerajaan negeri tidak bertindak segera dalam menangani isu pencemaran berkenaan.

Menurut Mohd Khuzzan, setakat 12 tengahari tadi, tiada kes terbaharu berikutan pencemaran di Pasir Gudang dilaporkan.

Katanya kebanyakan mangsa-mangsa yang dirawat sebelum ini adalah pelajar-pelajar sekolah, terutama mereka yang berada di tingkat tiga dan empat ketika kejadian.

Setakat semalam, seramai 75 dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, dengan empat dari mereka masih dirawat di wad biasa.

Mengenai status kesihatan empat mangsa berkenaan, Mohd Khuzzan berkata perkara itu akan dimaklumkan dalam satu sidang media petang nanti.

Sementara itu, Kerajaan Negeri akan melihat kepada keperluan mewujudkan zon penampan antara kawasan industri dan kawasan perumahan dalam usaha mencegah dari berlaku pencemaran berulang seperti di Pasir Gudang.

“Buat masa ini, fokus kita untuk memastikan operasi di bawah Jawatankuasa Bencana Daerah berjalan lancar dalam usaha menyelesaikan isu ini.

“Lepas ini, untuk wujudkan Jawatankuasa Pemantau Pasir Gudang untuk masa datang untuk lihat keperluan kawasan zon penampan antara kawasan industri dan perumahan,” kata beliau.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dengan bakal jemaah haji rombongan kerajaan negeri di sini.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Bau LPG dikesan di dua sekolah Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Pencemaran udara yang berlaku di dua sekolah Pasir Gudang, semalam, dikatakan berbau seperti Liquefied Petroleum Gas (LPG), kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon.

Beliau berkata bau itu dikesan pihak sekolah sejak tiga hari lalu dan kemudian memaklumkannya kepada pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Berikutan makluman itu, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dan Johor Bahru; Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan agensi lain digegaskan ke tempat kejadian untuk menjalankan kerja menyelamat dan kerja ‘detomination’ di tempat kejadian dengan kadar segera.

Bagaimanapun, selepas pemantauan kualiti awal udara dilaksanakan, didapati tiada bau tersebut dikesan di tempat kejadian, katanya dalam satu kenyataan.

“Menurut pemantauan kualiti awal udara oleh pihak JAS dan Pasukan HAZMAT, parameter bagi elemen seperti karbon monoksida, hidrogen sulfida dan Volatile Organic Compound (VOC) adalah sifar. Bacaan oksigen di tempat kejadian adalah 21.2 ppm dan ini bermaksud kualiti udara di tempat kejadian adalah normal dan terkawal,” katanya.

Tan berkata pihak JAS kemudiannya melakukan pemantauan kualiti udara di empat ‘point’ dengan frekuensi empat jam sekali.

“Pihak JAS, pasukan HAZMAT dan agensi lain akan meneruskan pemantauan udara di kawasan sekolah terlibat. Pada masa yang sama, pemantauan dalam radius dua kilometer dari sekolah turut dilakukan, selain mengaktifkan satu jawatankuasa saintifik bagi menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca pencemaran,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, seramai 13 murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun dan dua kakitangan dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan selepas mengalami simptom muntah-muntah serta sesak nafas akibat terdedah kepada pencemaran itu.

Ini adalah kejadian kedua melibatkan pencemaran udara di Pasir Gudang.

Pada 7 Mac lepas, hampir 6,000 penduduk di kawasan sama terjejas akibat pencemaran udara daripada pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim. Pencemaran tersebut turut mengakibatkan 111 buah sekolah ditutup sementara.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

111 sekolah di Pasir Gudang mula dibuka

PASIR GUDANG, 31 MAC: Hari pertama pembukaan 111 sekolah di Pasir Gudang yang sebelum ini ditutup ekoran pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, berjalan lancar.

Menurut laporan BH Online, masih ramai pelajar dilihat memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga.

Tinjauan itu dibuat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 yang terletak kira-kira lima kilometer dari Sungai Kim Kim.

Kebanyakan pelajar juga dilihat memakai penutup hidung dan mulut di dalam kelas ketika mengikuti pembelajaran.

Pelajar Tingkatan 4, Mohammad Muiz Zainuddin, 16, berkata ramai rakannya turut hadir ke sekolah hari ini walaupun masih bimbang.

“Kami hadir ke sekolah seperti biasa hari ini namun digalakkan memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan sebanyak 111 sekolah di sini berkuat kuasa serta-merta 13 Mac lalu akibat pencemaran sisa kimia berbahaya.