Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Giat laksana program, permudah penduduk terima dos penggalak

SHAH ALAM, 12 JAN: Pemberian dos penggalak Covid-19 perlu giat dilaksanakan sama seperti penganjuran program suntikan dos pertama dan kedua, kata Dr Mohammad Farhan Rusli.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) berkata kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu proaktif memastikan rakyat mudah untuk mengambil suntikan itu.

“Buat macam dos pertama. Pergi setiap kawasan untuk bagi penduduk terima dos penggalak ini. Dulu (dos pertama) orang tua tak nak pergi PPV (pusat pemberian vaksin) sebab tak ada pengangkutan tapi kita sediakan.

“Jadi kali ini jangan ambil langkah ke belakang. Keluarkan dana untuk mudahkan penduduk kerana jika mereka tak ambil, ia beri kesan pada ekonomi nanti,” katanya.

Dr Mohammad Farhan Rusli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau bercakap pada program Bual Bicara: Perlukan ‘Booster’ Keempat? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor semalam.

Dr Mohammad Farhan berkata bagi memudahkan dan memastikan semua penduduk menerima dos penggalak, kerjasama erat perlu ada antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Libatkan Kerajaan Negeri sebab mereka lebih faham dan tahu kemahuan serta keperluan penduduk kawasan mereka.

“Kerajaan Negeri juga ada tenaga kerja dari pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat, Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis yang memudahkan segala urusan. Ini perlu,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STFO: Kes sporadik ancam golongan berisiko tinggi

SHAH ALAM, 22 JUN: Peningkatan kes sporadik Covid-19 boleh membahayakan individu dalam golongan berisiko tinggi,” kata pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO).

Justeru, Dr Mohammad Farhan Rusli berkata individu kes sporadik perlu diasingkan segera bagi mencegah penularan wabak dan keselamatan orang sekeliling.

Individu berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas, pesakit dengan penyakit kronik, mereka yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil.

“Apabila golongan berisiko tinggi berada bersama individu daripada kes sporadik, secara tidak langsung mereka terdedah dengan bahaya sehingga ada sebahagiannya perlu dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Golongan yang tidak menerima vaksin juga antara yang berisiko jika berada bersama individu kes sporadik. Penting untuk mengasingkan individu kes sporadik demi keselamatan orang lain,” katanya.

Selain itu, Mohammad Farhan berkata saringan Covid-19 perlu dipertingkat dan menyeluruh bagi membantu mengesan kes sporadik.

“Ujian saringan perlu dilakukan secara besar-besaran supaya kes sporadik dapat diasingkan dan penyebarannya dapat dihentikan agar sesuatu komuniti selamat,” katanya.

Semalam, Selangor merekodkan kes sporadik Covid-19 tertinggi dengan catatan 151,727 kes. Daerah yang mencatat kes tinggi ialah Petaling 3,905 diikuti Hulu Langat (2,783) dan Klang (2,482).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Dahulukan suntik penduduk Lembah Klang, kurang separuh kes harian

SHAH ALAM, 13 JUN: Mendahulukan suntikan vaksin bagi penduduk Lembah Klang mampu mengurangkan 50 peratus kes harian Covid-19, kata pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO).

Dr Muhammad Farhan Rusli berkata penduduk Selangor dan Kuala Lumpur wajar menerima vaksinasi awal memandangkan lebih separuh kes harian direkodkan dari kawasan berkenaan.

“Tujuan vaksin untuk turunkan kadar jangkitan kepada individu sekali gus mengurangkan jumlah pesakit teruk atau dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Dr Mohammad Farhan Rusli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jadi tumpuan harus diberi di kawasan penularan dan memandangkan kes tinggi di Lembah Klang, keutamaan kepada penduduk di sini berbanding negeri lain,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, Dr Farhan berkata Lembah Klang juga pusat ekonomi negara maka kesihatan pekerja perlu ditekankan bagi memastikan sektor berjalan lancar.

“Selangor penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, jadi pekerja di sektor ekonomi perlu divaksin awal supaya mampu mengekang penularan wabak,” katanya.

Sebelum ini, pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar saran kerajaan mengubah strategi pemberian vaksin Covid-19 dengan menumpukan kawasan mencatat kes tinggi serta populasi ramai seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika itu strategi ketika ini terlalu pasif, menyebabkan pemberian vaksin tidak menghalang jangkitan daripada terus merebak.