Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Penganut Hindu patuh SOP rai Thaipusam di Batu Caves

SHAH ALAM, 18 JAN: Penganut Hindu kekal berdisiplin dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika meraikan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak hari ini.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata anggota polis, penguat kuasa dan sukarelawan ditempatkan di lokasi sejak awal pagi bagi memastikan tiada pelanggaran SOP dalam kalangan pengunjung.

“Keseluruhannya, masyarakat Hindu terima baik SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Mereka memakai pelitup muka, menyukat suhu badan selain mengawal penjarakan fizikal bagi mengelak dijangkiti Covid-19 atau dikenakan tindakan.

“Walaupun sambutan agak lengang tetapi paling penting mereka berpeluang menunaikan nazar,” katanya selepas meninjau upacara keagamaan itu bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Ganabatirau berkata pihaknya juga tidak mengesan mana-mana peniaga kecil menjalankan perniagaan di kawasan dalam atau luar kuil terbabit.

“Kerajaan memang tidak benarkan sebarang jenis perniagaan atau program yang boleh menarik perhatian bagi mengelak tumpuan masyarakat. Jadi, hari ini saya tidak nampak gerai jualan di dalam atau luar kuil,” kata Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau (dua, kiri) bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique (kanan) dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan (kiri) di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak sempena sambutan Thaipusam pada 18 Januari 2022. Foto Facebook V Ganabatirau

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan 4,000 bakul makanan akan diedarkan bagi meringankan beban masyarakat Hindu membabitkan perbelanjaan hampir RM200,000.

Menurutnya, agihan melalui Ketua Komuniti India dibuat mulai minggu depan dengan menumpukan kawasan terjejas banjir pada akhir tahun lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB pesan walau lengkap dos, amal SOP biasa macam belum dapat vaksin

SHAH ALAM, 9 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengingatkan individu yang lengkap vaksinasi agar terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) seolah-olah belum menerima suntikan pelalian.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat diingatkan agar kekal menjaga penjarakan, menggunakan cecair pembasmi kuman, elak mengunjungi tempat sesak dan jangan sesekali leka.

“Jika anda belum menerima vaksin sila segera hadir ke pusat vaksin tetapi jika sudah saya mohon agar anda terus bersikap seperti seorang yang belum menerima vaksin dengan kekal mematuhi SOP.

“Meskipun vaksin terbukti dapat mengelakkan kesan kritikal akibat Covid-19 namun ia tetap bergantung dengan imuniti kelompok.

“Ditambah dengan kehadiran varian baharu Delta, Delta Plus dan Lambda yang sedang mencatat gelombang jangkitan serius. Justeru, amat penting untuk kita berhati-hati di saat kritikal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video kemas kini usaha Kerajaan Selangor menggempur Covid-19 yang dikongsi di Facebooknya hari ini.