Categories
EXCO SELANGOR

Pavilion Selangor dinaik taraf, persiapan MAHA 2022

SHAH ALAM, 12 FEB: Pavilion Selangor di Serdang akan dinaik taraf sebagai persiapan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 yang dijadual pada November.

EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim menjangka penambahbaikan di kawasan uzur dibuat dalam tempoh terdekat selepas tertangguh hampir dua tahun akibat penularan Covid-19.

“Kita sudah ada peruntukan bagi tujuan itu tetapi terpaksa ditangguhkan susulan pandemik. Tahun ini kita yakin MAHA boleh dianjurkan, maka persiapan awal perlu dibuat,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau menambah konsep dan reka bentuk pembangunan tersebut sudah dibincangkan dan sedang menunggu pelaksanaannya bagi memastikan kawasan tersebut lebih teratur dan menarik.

Sebelum ini, MAHA 2020 ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan ketika itu bagi menjamin keselamatan, kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat.

Categories
SELANGOR

Pavilion Selangor tawar pelbagai produk halal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 APR: Pavilion Selangor menawarkan pelbagai produk halal kepada pengunjung Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019, bermula dari 3 hingga 6 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, terdapat 40 pempamer yang terdiri daripada industri makanan, perhotelan, pembangunan hartanah dan juga pengangkutan.

“Menariknya kali ini, Selangor di antara negeri yang membawa pempamer teramai berbanding negeri lain.

“Oleh itu, saya yakin pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat berguna khususnya mengenai industri halal dari Selangor,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Hasan Azhari berkata, ia adalah penganjuran kali kedua yang disertai Invest Selangor ketika penganjuran MIHAS.

“Selangor berbangga kerana kita juga adalah di antara negeri yang mempunyai paling banyak syarikat mempunyai sijil halal.

“Malah mereka juga di antara penyumbang besar kepada ekonomi negeri, oleh itu saya mengalu-alukan orang ramai untuk berkunjung ke Pavilion Selangor,” katanya.

Antara pempamer yang menyertai Pavilion Selangor kali ini ialah, Bangi Hotel Resort; Central Spectrum (M) Sdn Bhd; Cookies Most Wanted; Northport; Samza Food; HP Artisan Sdn Bhd dan Palm Fiber Sdn Bhd.

Orang ramai boleh maklumat lanjut mengenai Pavilion Selangor melalui facebook dan instagram: Selangorpavilion.