Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih banyak pusat sehenti warga emas dibuka di seluruh negara

SHAH ALAM, 22 FEB: Lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) akan dibuka di seluruh negara bagi menggalakkan penuaan aktif dalam kalangan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata pusat sehenti di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan aktiviti dan program percuma kepada kumpulan sasar.

“Kewujudan pusat ini diharap dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga emas dan OKU.

“Selain itu, kita turut melantik pertubuhan bukan kerajaan untuk melatih golongan tersebut membuat kerja yang boleh menambah pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PAWE Petaling Jaya di Taman Medan di sini, hari ini.

Maria Chin Abdullah (tengah) melawat kemudahan Pusat Aktiviti Warga Emas di Petaling Jaya selepas merasmikannya di Taman Medan Jaya pada 22 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pusat aktiviti pertama di kawasan itu yang bakal beroperasi Mac ini menyediakan pelbagai kemudahan antaranya peralatan senaman dan set karaoke.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian OKU dan Warga Emas JKM Selangor Aidah Md Tan berkata PAWE turut memberi peluang kepada golongan sasar mendapat maklumat berkaitan skim ditawarkan pihaknya.

“Melalui usaha ini, mereka tidak perlu lagi bersusah payah ke JKM kerana semua maklumat boleh didapati di PAWE,” katanya.

PAWE ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi status negara tua menjelang 2035 yang menjurus kepada aspek keagamaan, rekreasi, terapi dan pemulihan, pemeriksaan kesihatan dan latihan bersesuaian.

Sehingga hujung tahun lalu, sebanyak 88 PAWE ditubuhkan di seluruh negara yang memanfaatkan lebih 30,000 warga emas berdaftar.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM5 juta untuk 47 PAWE seluruh negara

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 11 JUN: Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kepada 47 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Katanya, ia turut membabitkan lapan PAWE yang baru ditubuhkan di Selangor.

“Kesemua persatuan ini akan menerima bantuan dana RM33,330 setiap tahun bagi membantu kos operasi mereka berjalan lancar.

“Target kita supaya satu parlimen akan wujud satu PAWE bagi membolehkan warga emas ini mendapat manfaat sebaiknya,” katanya dalam sidang media ketika pelancaran PAWE Subang Jaya di Kelab Warga Emas USJ6, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Mohammad Hanafi Maulud.

Pada masa sama, Hannah turut menggesa kesemua PAWE di seluruh negara tidak hanya memfokuskan satu kaum sahaja ketika menganjurkan sebarang aktiviti.

“Jangan Melayu duduk dalam kelompok kaum Melayu sahaja, India bersama kaum sendiri begitu juga kaum Cina, kami mahu melihat adanya integrasi kaum dalam kesemua PAWE.

“Pada masa sama, ahli PAWE juga perlu bekerjasama dengan persatuan mahupun badan bukan kerajaan yang berada di sekeliling mereka, seperti masjid dan rumah ibadat lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Satu lagi PAWE ditubuh berdaya warga emas

OLEH SHEEDA FAHIL

SEPANG, 29 OGOS: Satu lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ditubuh, di daerah Sepang bertujuan memberi ruang dan peluang kepada warga emas untuk terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti tanpa mengira faktor usia.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, penubuhan pusat itu sudah diluluskan dan akan mula beroperasi, pada Oktober ini.

“PAWE juga bertujuan menjadikan warga emas sentiasa aktif membabitkan diri mereka dengan pelbagai aktiviti kerana jika hanya duduk sahaja, kemungkinan tahap kesihatan akan merosot.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua warga emas di daerah Sepang untuk aktif dan berdaftar sebagai ahli PAWE supaya dapat menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian PAWE Pelangi Impian Sepang, di Dewan Orang Ramai, Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek, di sini, semalam.

Katanya, program yang dilaksanakan di PAWE bertepatan dengan matlamat Dasar Warga Emas, iaitu mendaya upayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap serta berkesan untuk membantu mereka hidup sejahtera.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri turut berhasrat memperluaskan PAWE pada setiap komuniti dalam Selangor supaya semua warga emas sentiasa aktif.

“Sudah lapan PAWE diwujudkan di setiap daerah, di negeri ini dan kita sememangnya berhasrat meluaskan lagi pusat aktiviti ini, terutama di kawasan bandar.

“Bagaimanapun, kita kini sedang dalam proses bertemu dengan warga emas untuk mendengar sendiri apa yang mereka mahu kerajaan bantu supaya golongan itu tidak terasing,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ketirisan dana PAWE, apa garis panduan Putrajaya?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 2 OGOS: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail mempersoal kepincangan membabitkan pengurusan kewangan program Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PAWE) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 1.

Beliau berkata, wujud kelonggaran berhubung garis panduan sedia ada di peringkat Putrajaya apabila dana kewangan program terbabit tidak disalurkan mengikut ketetapan piawaian.

Katanya, bantuan geran RM95,200 disalahgunakan dengan memberi pinjaman kepada penyelia dan badan bukan kerajaan yang menguruskan pusat berkenaan.

“Bagaimana perbelanjaan sebegitu besar nilainya tidak mengikut garis panduan ditetapkan dan begitu mudah diluluskan?

“Malah terdapat lebihan belanja RM46,733 dengan perbelanjaan itu tidak mempunyai permohonan,” katanya dalam kenyataan.

RodziahBeliau berkata demikian mengulas pendedahan LKAN berhubung skim bantuan geran program kebajikan berkenaan yang disalahgunakan bagi tujuan peribadi dan aktiviti persatuan.

Rodziah berkata, peruntukan itu wajar disalurkan secara tepat tanpa wujud salah laku atau ketirisan.

“Selepas teguran audit dilakukan, saya berharap perkara seumpama ini tidak akan berlaku lagi dan segala kelemahan diperbaiki segera supaya lebih cekap, akauntabel dan telus dalam melaksanakan urus tadbir serta memikul amanah rakyat.

“Walaupun nilai atau jumlah ditegur pihak audit tidak mencecah jutaan ringgit, namun ketirisan yang berlaku tidak boleh dikompromi langsung,” katanya.

PAWE adalah kemudahan bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) membabitkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan agensi lain.