Categories
SELANGOR

Rancak aktiviti lasak di Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 19 OKT: Penyertaan belia dalam aktiviti lasak di Paya Jaras akan dipertingkatkan menerusi penganjuran pelbagai acara menarik.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, usaha itu bagi memperkenalkan Paya Jaras sebagai salah satu lokasi sukan lasak dalam kalangan penggemar sukan terbabit.

“Pada masa ini, kita sudah mulakan dengan beberapa acara larian di Paya Jaras sebelum aktiviti lain yang lebih mencabar.

“Selepas ini, kita akan anjurkan pula aktiviti lebih mencabar seperti mendaki gunung dan meredah hutan dengan kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, aktiviti itu dijalankan dengan kerjasama pelbagai organisasi yang dinaungi belia dan beliawanis, di Paya Jaras seperti kumpulan 47000 Sungai Buloh.

Katanya, antara lokasi menarik yang boleh dijadikan tapak aktiviti lasak di Paya Jaras ialah Bukit Lagong (mendaki), Merbau Sempak (paint ball), kawasan perkampungan kusta lama (pacuan empat roda, motocross, mountain bike), Saujana Utama (berbasikal), Kampung Bahagia (menembak) dan Sungai Plong (berkhemah).

“Selain itu, kita juga merancang untuk menganjurkan Ekspedisi Paya Jaras ke Puncak Kinabalu dengan kerjasama kumpulan 47000 Sungai Buloh,” katanya.

Categories
SELANGOR

‘Made in Paya Jaras’ berniaga secara percuma

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 28 MEI: Pengusaha produk kecil-kecilan dipelawa menyertai Karnival Jualan Kuih, Biskut & Baju Raya ‘Made In Paya Jaras’ yang bakal berlangsung, pada 31 Mei hingga 14 Jun ini.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Khairuddin Othman berkata, penyertaan program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Paya Jaras itu adalah percuma, dengan penyediaan kelengkapan asas seperti bekalan elektrik, meja dan khemah.

“Karnival pertama kali diadakan ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan rakyat setempat bagi menyambut Aidilfitri dengan membantu mempromosi barangan hasil tangan orang Paya Jaras.

“Kami sediakan 40 tapak dan setakat ini sambutan sangat baik tetapi perlulah melalui pengeluar produk itu sendiri sahaja, bukan orang tengah atau pemborong,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, tawaran berniaga secara percuma itu dibuka khusus untuk warga Paya Jaras sama ada ibu tunggal, perseorangan atau keluarga yang mengusahakan produk sendiri secara kecil-kecilan.

Mohd Khairuddin berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan produk terbabit diusahakan sendiri.

“Masih terdapat beberapa tapak kosong yang boleh ditempah. Jika ada yang berminat boleh hubungi talian 018-2714791,” katanya.

Categories
SELANGOR

Khairuddin kekal di Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 MEI: Mohd Khairuddin Othman mengekalkan kerusi yang dimenanginya, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, pada 2013 dengan majoriti lebih besar.

Beliau menang dengan majoriti 12,072 undi menewaskan pencabarnya, Datuk Zein Isma Ismail daripada Barisan Nasional (BN) dan Hanafi Zulkapli daripada PAS.

Mohd Khairuddin memperolehi 20,376 undi, berbanding Zein 8,304 undi dan Hanafi 6,042 undi.

Keputusan itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya Sungai Buloh, Roslinah Mat Jani sebaik penjumlahan undi di Dewan Sekolah Menengah Seksyen 8 Kota Damansara, di sini, selesai.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Mohd Khairuddin menang atas tiket PAS dengan majoriti 5,522 undi.

Categories
SELANGOR

Suara rakyat tak sampai jika pilih ‘kaki kipas’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 8 MEI: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras diingatkan supaya tidak memilih calon ‘kaki kipas’, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Calonnya, Mohd Khairuddin Othman berkata, pemimpin yang mengamalkan kaedah itu tidak akan memperjuangkan suara rakyat, sebaliknya lebih berminat menjaga kepentingan masing-masing.

“Kalaulah kaki kipas, suara rakyat tak akan sampai ke atas tetapi saya berucap dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) sehingga Dato’ Menteri Besar kata saya ini kadang-kadang bunyinya macam pembangkang, kadang-kadang macam kerajaan.

“Walaupun kita dalam kerajaan tetapi kita sedia perjuangkan suara rakyat Paya Jaras,” katanya pada program ceramah kelompok di Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, malam tadi.

Katanya, antara pembangunan yang berjaya diperolehi untuk masyarakat Paya Jaras adalah Stadium Mini Paya Jaras, laluan alternatif menghubungkan Kampung Seri Indah ke tol projek Lebuhraya Utara Selatan, pasar bertingkat, pembesaran Sungai Chemubong, Kampung Bahagia Bukit Lagong dan jalan alternatif Bandar Baru Sungai Buloh.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Paya Jaras bagi penggal 2013 hingga 2018, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM150 juta untuk pembangunan lebih 20 infrastruktur di kawasan memerlukan.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin turut mengingatkan pengundi di Paya Jaras supaya tidak tersilap memilih calon yang hanya turun padang lima tahun sekali untuk meraih undi.

Categories
SELANGOR

Khairuddin sarapan bersama pesakit kusta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 5 MEI: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman memperhebatkan kempen hari ke lapan bagi mempertahankan kerusi disandangnya sejak 2013.

Aktiviti kempen beliau hari ini dimulakan dengan program bersarapan pagi bersama pesakit kusta di Pusat Kawalan Kusta Sungai Buloh.

Dalam program itu, Mohd Khairuddin menyantuni hampir 100 pesakit kusta dan bekas pesakit kusta yang terdapat di situ.

Selain itu, Mohd Khairuddin juga dijadualkan memenuhi 13 lagi program sepanjang hari ini.

Antaranya, pertandingan futsal di padang Masjid Saujana Utama, Bazar Peduli Rakyat di Padang Surau Kasaniah, Paya Jaras Dalam, menziarahi mangsa ribut di Paya Jaras Hilir, menghadiri Kejohanan Liga ADN Paya Jaras, Perlawanan Persahabatan Sepak Takraw, Program Santai Bersama Belia India di Dewan Meranti, Ceramah Umum di Bilik Gerakan Sungai Pelong dan Kampung Melayu Subang serta pelbagai program lain.

Mohd Khairuddin turut meneruskan tradisinya sejak 2010 dengan memenuhi tidak kurang lima undangan ke majlis perkahwinan dan kenduri sempena menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

Terdahulu, kehadiran Mohd Khairuddin di program-program kempennya mendapat sambutan penduduk setempat ekoran sikap beliau yang mesra rakyat.

Selain mudah didekati, Mohd Khairuddin juga terkenal dengan sikap mengambil berat terhadap masalah dihadapi penduduk di situ.

Categories
SELANGOR

‘Paya Jaras Happening’ bantu tingkatkan ekonomi setempat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 5 MEI: Aktiviti ekonomi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras terus dipertingkatkan bagi meningkatkan lagi ekonomi masyarakat tempatan khususnya golongan belia di sini.

Calon Ahli Dewan Negeri (ADN) kerusi Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, antaranya dengan menjadikan Paya Jaras sebagai kawasan yang meriah atau ‘Paya Jaras Happening’ dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

“Antaranya dengan membuka bazar Uptown Sungai Buloh yang sudah enam bulan beroperasi dan memberi peluang kepada peniaga kecil berniaga di sini.

“Saya harap bazar ini bertambah maju apabila masalah pusingan ‘U’ dapat diselesaikan nanti,” katanya kepada SelangorKini selepas menghadiri program Santai Karaoke YBK 2018 Uptown Sungai Buloh di sini, malam tadi.

Jelasnya, pengurusan bazar Uptown Sungai Buloh ini diserahkan kepada Pertubuhan Komuniti 47000 Sungai Buloh yang mengendalikan grup 47000 Sungai Buloh ekoran sikap berdedikasi kumpulan anak muda ini menguruskan pelbagai aktiviti perniagaan untuk komuniti niaga di sini.

Katanya, selain bazar Uptown Sungai Buloh, kumpulan ini juga aktif menganjurkan pelbagai karnival dalam skala yang agak besar.

Kata Mohd Khairuddin, selain bazar, beliau juga merancang mewujudkan medan selera, pasar bertingkat berkonsepkan Pasar Siti Khadijah di Kelantan, menambah tapak niaga untuk peniaga kecil dan lain-lain.

“Pada masa ini Sungai Buloh juga dikenali sebagai Hub Floris Sungai Buloh ekoran terdapat banyak perniagaan tanaman hiasan wujud di sini,” katanya lagi.

Selain aktiviti perniagaan, Mohd Khairuddin turut menumpukan kepada aktiviti sukan yang boleh mendorong belia luar Sungai Buloh datang ke sini dan memberi kesan kepada kerancakkan aktiviti ekonomi di sini.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Persaingan 4 penjuru di Sungai Buloh & Kota Damansara, 3 penjuru Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 28 APR: Perebutan kerusi Parlimen Sungai Buloh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara dijangka sengit apabila berlaku pertembungan empat penjuru di kawasan pilihan raya terbabit.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) yang diwakili KEADILAN, R Sivarasa yang mempertahankan kerusi Sungai Buloh (sebelum ini Subang) akan ditentang calon PAS, Nuridah Mohd Salleh, A. Prakash Rao (BN) dan Zainurizzam Moharan (PSM).

Perkara itu diumumkan Pengurus Bahagian Pilihan Raya P.107 Sungai Buloh, Roslinah Md Jani pada jam 11.50 pagi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 8, Kota Damansara di sini, hari ini.

Bagi kerusi N.39 DUN Kota Damansara pula menyaksikan pertembungan antara penyandang daripada BN, Datuk Halimaton Saadiah Bohan dicabar Shatiri Mansor (KEADILAN), Siti Rohaya Ahad (PAS) dan A.Sivarajan (PSM).

Sementara itu, bagi kerusi DUN N.38 Paya Jaras pula menyaksikan penyandang kerusi, Mohd Khairuddin Othman dicabar Mohd Hanapi Zulkapli (PAS) dan Datuk Zain Isma Ismail.

Pengundian awal akan diadakan pada 5 Mei dan hari mengundi 9 Mei.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Abah dan umi iringi Mohd Khairuddin ke pusat pencalonan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 28 APR: Tiada apa lebih membanggakan seorang bapa melainkan melihat anaknya menabur bakti kepada rakyat dan memberikan sumbangan kepada negeri serta negara.

Peguam Syarie dan Sivil, Othman Mohd Noor, 70, bapa kepada calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau yakin Mohd Khairuddin telah memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat Paya Jaras.

“Saya nampak hubungan Khairuddin dengan rakyat sangat bagus, dia rajin turun padang.

“Selain dengan rakyat, dia juga mengutamakan hubungan dengan pemimpin tempatan seperti Datuk Penghulu, Ketua Kampung, Imam dan lain-lain,” katanya kepada media di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya P.107 Subang.

Ketika mengulas langkah Mohd Khairuddin berhijrah ke KEADILAN, beliau berkata perkara itu sudah dijangka sejak awal lagi.

Jelasnya, beliau sentiada memberi kebebasan kepada Mohd Khairuddin dan anak-anaknya yang lain memilih jalan politik masing-masing.

Othman dan isterinya, Faridah Mohd, 65 hadir pada hari penamaan calon bagi memberi sokongan kepada anak kedua daripada sembilan adik beradik itu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tak mustahil Sungai Buloh jadi hub floris no 1 Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 16 FEB: Hub Floris Sungai Buloh bukan sahaja menjadi tumpuan penggemar tanaman hiasan di Selangor, malah mampu menjadi daya penarik pelancong seluruh negara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, perkara itu boleh berlaku sekiranya Kerajaan Negeri dan agensi bertanggungjawab lain memberikan promosi kepada hub terbabit.

“Saya lihat antara bantuan diberikan adalah promosi. Apabila Exco mengisytiharkan kawasan ini adalah hub bunga sudah tentu orang ramai akan datang.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan dan Jabatan Pertanian. Saya harap Sungai Buloh bukan sahaja hub bunga di Selangor tetapi hub bunga nombor satu di Malaysia,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, selain promosi usaha Kerajaan Negeri meningkatkan infrastruktur seperti kemudahan laluan masuk, tempat pakir dan lain-lain di pusat perniagaan tanaman hiasan sekitar Sungai Buloh juga wajar dipuji.

Katanya, usaha itu membuktikan walaupun Selangor merupakan sebuah negeri perindustrian namun Kerajaan Negeri tetap memandang berat industri kecil lain seperti industri floris.

Sementara itu, Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, satu mercu tanda akan didirikan sebagai simbolik terhadap perisytiharan Sungai Buloh sebagai Hub Floris Selangor.

Categories
SELANGOR

Jom Shopping Deepavali dapat sambutan warga Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 17 OKT: Program Jom Shopping sempena perayaan Deepavali bagi kawasan Paya Jaras sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai lebih 400 kaum India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, ia menunjukkan momentum meningkatnya kesedaran masyarakat kaum India di DUN itu terhadap program Kerajaan Negeri khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Sejak dilancarkan, program ini memang mendapat sambutan sangat tinggi, namun selepas PRU-13 sambutan semakin bertambah dan ini menunjukkan bertambahnya keyakinan orang ramai terhadap program kebajikan yang dijalankan Kerajaan Negeri.

20161016_095013“Selain semakin diterima masyarakat, ini juga menunjukkan orang ramai semakin yakin dengan usaha Kerajaan Negeri yang ada hari ini untuk membantu rakyat,” katanya kepada SelangorKini pada Program Jom Shopping DUN Paya Jaras di kawasan letak kenderaan berhampiran pasaraya Econsave, di sini, pada 16 Oktober lalu.

Katanya, keyakinan yang diperolehi Kerajaan Negeri bukannya datang bergolek tetapi melalui usaha berterusan dengan pelbagai penambahbaikan.

Katanya, sambutan menggalakkan itu juga sejajar dengan peningkatan sokongan pengundi India pada PRU-13 berbanding PRU-12, pada 2008.

Katanya, langkah Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meneruskan program itu juga menunjukkan keprihatinan membantu golongan yang memerlukan untuk menyambut perayaan Deepavali bakal menjelang tidak lama lagi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DUN Paya Jaras tumpu baik pulih kemudahan futsal & bola

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 MEI: Tambahan peruntukan baik pulih dan naik taraf kemudahan sukan difokuskan kepada kemudahan futsal dan bola sepak di kawasan DUN Paya Jaras.

Adunnya, Khairudin Othman berkata, usaha baik pulih itu penting bagi memberikan mutu infrastruktur terbaik rakyat.

YB Amir rasmi PLUS futsal DUN MERU (ASRI)“Kita juga mahu menarik minat anak muda bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Sekurang-kurangnya mereka ada aktiviti setempat berfaedah daripada terjebak ke dalam aktiviti tidak sihat,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau diminta mengulas peruntukan tambahan yang diumumkan baru-baru ini sebanyak RM20,000 setiap DUN berbanding RM14,000 sebelum ini.

Pihak DUN juga bebas menentukan perbelanjaan naik taraf kemudahan tanpa perlu mendapatkan kelulusan di peringkat Exco.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dengan keperluan dan kemudahan sukan di peringkat DUN,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

9 keluarga berisiko dihentam kenderaan ‘terbang’ dapat penempatan baru

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PAYA JARAS, 14 MAC: Sembilan keluarga yang mendiami kawasan berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Kampung Seri Indah B, di sini, akan diberi penempatan baru.

Penempatan baru diberi kepada penduduk terlibat disebabkan kawasan kediaman berhampiran lebuh raya itu tidak selamat lagi untuk didukuki.

20150313_170718Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, proses kelulusan penempatan baru yang juga terletak di kampung sama dijangka dapat diselesaikan, pada April ini.

“Rabu lalu (11 Mac), tayar Land Rover tentera terbang dan sebelum ini sebuah lori dengan muatan konkrit juga jatuh atas rumah orang, di sini.

“Kita bernasib baik sebab tiada kemalangan jiwa dalam dua kejadian berkenaan. Sebab itu, saya minta Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Menteri Besar supaya menyegerakan isu penempatan semula semua penduduk di lereng lebuh raya ini.

20150313_170020“Kita dah periksa tempatnya, permohonan dah masuk dan surat sokongan juga dah dikeluarkan. Kini, cuma tunggu borang 5A sahaja iaitu kelulusan geran,” kata Mohd Khairuddin ketika ditemui Selangor Kini. di Kampung Seri Indah B, di sini, semalam.

Mohd Khairuddin berkata, penduduk terlibat akan diberikan tapak kediaman yang terletak di kampung sama.

“Semuanya ada 15 rumah tetapi paling penting sekali untuk sembilan rumah dahulu,” katanya.

-NFN-