Categories
AGENDA NASIONAL

Gempa bumi kali kedua landa Sumatera, tiada ancaman tsunami

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter melanda utara Sumatera pada 12.02 tengah hari tadi, susulan gempa bumi kuat di wilayah sama pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Berdasarkan penilaian, gegaran dirasai di Lembah Klang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia memaklumkan gempa susulan daripada gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter pada 9.39 pagi tadi dijangka tidak akan memberikan ancaman tsunami terhadap Malaysia.

MetMalaysia bagaimanapun menasihati orang ramai untuk mencari tempat perlindungan dan keluar dari bangunan apabila merasai gegaran.

“Selain itu perlulah sentiasa peka dengan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat gempa atau tsunami terkini melalui laman sesawang MetMalaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia serta menerusi talian 1-300-22-1638.

— BERNAMA