Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 50,000 terima manfaat pemeriksaan mammogram percuma

SHAH ALAM, 9 DIS: Seramai 53,364 individu menerima manfaat pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSEL) sejak 2010 sehingga kini, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata daripada jumlah itu bangsa Melayu paling ramai menerima manfaat iaitu 29,225 orang diikuti Cina sebanyak 17,616, India 6,360 dan lain-lain seramai 163.

“Mengikut kajian daripada Malaysia Medical Association (MMA), golongan paling berisiko mendapat kanser payudara di antara umur 50 tahun dan ke atas, manakala golongan berumur 35 hingga 50 tahun adalah mereka yang kurang berisiko.

“Selain itu kaedah pemeriksaan juga ditambah baik dengan menyediakan pemeriksaan biopsi yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor bernilai sehingga RM2,500 seorang,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Permatang, Rozana Zainal Abidin mengenai perkembangan program MammoSEL dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dr Siti Mariah berkata mereka yang ingin membuat pemeriksaan boleh memohon secara dalam talian menerusi laman sesawang https://skw.yawas.my.

“Bagi permohonan yang berjaya, pihak hospital yang merupakan panel program ini akan menghubungi peserta untuk menetapkan tarikh janji temu pemeriksaan di hospital yang dipilih.

“Buat masa ini sebanyak 12 buah hospital swasta beserta cawangan telah menjalinkan usahasama sebagai panel bagi program ini,” katanya