Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia berjaya duduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Malaysia berjaya meraih 183 undi untuk mengisi satu daripada 18 kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran di laman Facebooknya malam ini berkongsi berita gembira itu.

“Kejayaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB merupakan pencapaian yang hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia,” katanya yang turut mengucapkan tahniah atas pencapaian itu.

Beliau berkata Malaysia sedia memainkan peranan aktif seperti menjadi pemudah cara bagi rundingan damai, pemboleh kerjasama dan pembina konsensus.

“Malaysia akan bekerjasama rapat dengan negara anggota PBB untuk memajukan agenda hak asasi manusia di peringkat global sebagaimana yang termaktub dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.

“Ketika semua negara merangka kerja-kerja asas bagi pemulihan yang mampan dan inklusif pasca #COVID19, hak asasi manusia perlu menjadi keutamaan dalam semua usaha kita. Dalam kesatuan, demi kemanusiaan,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB anggar 100 juta pekerja lagi jatuh miskin akibat Covid-19

SHAH ALAM, 3 JUN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangka lebih 100 juta pekerja lagi jatuh miskin kesan pandemik Covid-19.

Unjuran di seluruh dunia mengambil kira bilangan jam bekerja yang merosot teruk selain tiada akses kepada pekerjaan berkualiti, lapor Kosmo.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam laporannya turut menjangka sektor pekerjaan paling awal akan pulih pada 2023 atau mengambil masa lebih lama.

“Covid-19 bukan hanya krisis kesihatan awam tetapi ia juga krisis pengangguran dan kemanusiaan,” kata ketua ILO Guy Ryder menambah kira-kira 255 juta orang hilang kerja sepenuh masa tahun lalu.

Laporan sama juga menunjukkan pengangguran global dijangka berjumlah 205 juta orang tahun depan, mengatasi bilangan 187 juta pada 2019.

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB isytihar 27 Disember ‘Hari Kesiapsiagaan Wabak Antarabangsa’

WASHINGTON, 8 DIS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengisytiharkan 27 Disember sebagai ‘Hari Kesiapsiagaan Wabak Antarabangsa’ berikutan wabak maut itu kini meragut lebih sejuta nyawa sejak pertama kali dikesan hampir setahun lalu, lapor Agensi Anadolu.

Perhimpunan Agung mengisytiharkan hari itu bagi memperlihatkan peri pentingnya pencegahan, persediaan dan perkongsian dalam usaha memerangi wabak, kata PBB dalam satu kenyataan.

Pengisytiharannya dibuat beberapa hari selepas ratusan pemimpin dunia menyertai sesi khas mengenai Covid-19 yang diadakan secara maya.

Sesi yang berlangsung pada Khamis dan Jumaat itu menggesa tindakan segera untuk menjamin pengedaran vaksin Covid-19 yang adil dan saksama bagi memastikan semua pihak dapat menikmati kemudahan berkenaan.

Tambah kenyataan itu lagi Covid‑19 bukanlah wabak pertama mahupun yang terakhir.

“Wabak itu mengejutkan kita semua dan menjadi amaran untuk kita segera bertindak dan tingkatkan tahap kesiapsiagaan,” menurut kenyataan itu yang dibacakan Duta Vietnam ke PBB Dang Dinh Quy.

Di seluruh dunia, jumlah korban Covid-19 kini melebihi 1.5 juta sejak virus itu pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lalu.

Jumlah jangkitan pula melepasi 67.5 juta manakala lebih 43 juta lagi sudah pulih, menurut data Johns Hopkins University.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia ulangi komitmen terus bekerjasama dengan PBB

PUTRAJAYA, 24 OKT: Malaysia memperbaharui komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua negara anggota, berasaskan prinsip saling menghormati dan berdasarkan undang-undang antarabangsa seperti yang termaktub dalam Piagam PBB.

Dalam satu kenyataan bersempena ulang tahun PBB ke-75 tahun hari ini, Kementerian Luar (Wisma Putra) menyatakan sebagai ahli institutsi antarabangsa itu sejak 1957, Malaysia kekal komited kepada tiga tunggak PBB, iaitu keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia dan pembangunan.

“Malaysia juga nekad untuk terus berganding bahu dengan negara-negara anggota PBB yang lain dalam mendukung multilateralisme dan menggalakkan kerjasama sejagat di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Hari PBB merupakan sambutan tahunan bagi menandakan tarikh berkuat kuasanya Piagam PBB, yang membawa kepada penubuhan badan ini pada 1945.

Semasa Mesyuarat Tertinggi Perhimpunan Agung PBB bagi Meraikan Ulang Tahun ke-75 PBB pada bulan lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan komitmen Malaysia kepada PBB sebagai satu-satunya institusi antarabangsa yang dimiliki semua.

Wisma Putra menyatakan Mesyuarat Tertinggi tersebut menyaksikan penerimaan Deklarasi sempena Hari Peringatan Ulang Tahun ke-75 PBB oleh semua pemimpin negara anggota PBB, termasuk Malaysia.

“Deklarasi tersebut mengiktiraf keperluan multilateralisme dalam menangani cabaran global dan menyatakan kepentingan pelaksanaan Agenda Pembangunan Lestari 2030 (Agenda 2030).

“Malaysia memberikan keutamaan kepada Agenda 2030 yang diterapkan di dalam rancangan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan ini, Wisma Putra menyatakan buat kali keduanya, Malaysia akan menyertai Voluntary National Review (VNR) pada Forum Politik Tertinggi bagi Pembangunan Lestari 2021.

Dalam menyokong pengukuhan keamanan dan keselamatan antarabangsa, kenyataan itu menyatakan Malaysia telah menyerahkan instrumen ratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear pada 30 Sept 2020, sebagai bukti komitmen Malaysia terhadap penghapusan senjata nuklear.

“Selain itu, Malaysia telah menyertai 36 misi pengaman PBB sejak tahun 1960 yang melibatkan lebih dari 35,000 tentera pengaman sehingga kini,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambah Wisma Putra lagi, Malaysia juga berbangga menjadi tuan rumah kepada hab Asia Pasifik bagi Depot Respons Kemanusiaan PBB bagi Program Makanan Sedunia PBB, yang telah memudah cara usaha masyarakat antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan bencana kepada negara-negara yang memerlukan, pada ketika dunia terus menghadapi cabaran baru akibat pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB rancang sesi khas bincang Covid-19, adakan secepat mungkin

NEW YORK, 6 OKT: Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatau (PBB) pada Isnin berkata Perhimpunan Agung PBB (UNGA) “melangkah ke hadapan” dengan merancang untuk sesi khasnya mengenai Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.

“Perhimpunan Agung bergerak maju dengan merancang satu sesi khas mengenai Covid-19. Ini merupakan kali pertama Majlis mengadakan sesi khas mengenai pandemik,” kata Brenden Varma, jurucakap presiden UNGA, dalam taklimat harian media.

“Hari ini, presiden mengirimkan surat kepada negara anggota dari pada fasilitator rundingan antara kerajaan mengenai sesi khas itu. Fasilitator bersama adalah wakil tetap Azerbaijan dan wakil tetap Kanada,” kata jurucakap itu.

“Surat itu berisi draf resolusi mengenai perkara ini. Rundingan mengenainya akan diadakan Rabu ini. Presiden akan menghadirinya,” kata Varma.

Mengenai tarikh mesyuarat, ia tidak akan ditetapkan sehingga resolusi itu diterima. Tetapi seperti yang dikatakan presiden pada sidang akhbarnya bulan lalu, beliau ingin melihat pertemuan itu berlaku sebelum akhir tahun ini, menurut Varma.

Ditanya mengapa begitu lama untuk UNGA mengadakan sesi khas mengenai Covid-19, jurucakap itu menyatakan presiden UNGA, dalam sidang medianya bulan lalu, menjelaskan bahawa pertemuan itu harus diadakan secepat mungkin. Sebenarnya, presiden UNGA menyatakan ia seharusnya diadakan kerana perbincangan mengenai isu ini sangat penting untuk kesihatan dunia.

Varma berkata negara-negara anggota kelihatan akan “bersatu” sekitar tarikh 3-4 Disember. Beliau menambah bahawa presiden juga bersedia untuk perkara tersebut.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB: Sejuta korban Covid-19 ‘tahap paling menyakitkan’

NEW YORK, 29 SEPT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) Antonio Guterres menyifatkan jumlah kematian global akibat Covid-19 yang kini mencecah sejuta orang, satu “tahap amat menyakitkan” lapor agensi berita Sputnik.

Menurut Johns Hopkins University, jumlah kematian Covid-19 di seluruh dunia mencecah satu juta, dengan lebih 33 juta kes disahkan dan lebih 23 juta dalam pemulihan.

“Dunia kita sudah berada pada tahap paling buruk: kehilangan sejuta nyawa akibat pandemik Covid-19. Jumlah yang langsung tidak pernah terlintas di fikiran. Namun, kita tidak boleh lupakan setiap kehidupan individu. Mereka adalah ayah dan ibu, isteri dan suami, ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja. Rasa sakit itu berlipat kali ganda disebabkan penyakit yang tidak dapat dikawal ini, ” kata Guterres dalam satu kenyataan.

“Dan masih belum ada pengakhiran untuk penyebaran virus ini, kehilangan pekerjaan, gangguan pendidikan, pergolakan terhadap hidup kita. Kita mampu harungi cabaran ini. Tetapi kita mesti belajar daripada kesilapan.

“Kepimpinan yang bertanggungjawab penting. Ilmu penting. Kerjasama juga perlu – dan maklumat yang salah boleh membunuh, ” katanya.

Guterres menyeru agar sentiasa menjaga jarak fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Petugas amal perlu manfaat teknologi, berani depani cabaran global

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Tanggal 5 Sept ini menandakan tarikh sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa seperti yang diamanatkan perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tujuan utama sambutan ini adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan menyediakan platform berupa aktiviti berkaitan amal di seluruh dunia untuk setiap organisasi, badan amal, dermawan dan sukarelawan bagi menjalankan aktiviti mereka sendiri.

Amal, sama seperti konsep kesukarelaan dan kedermawanan, memberikan ikatan sosial yang nyata, di samping menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang inklusif dan lebih berdaya tahan.

Menurut laman web rasmi PBB, 5 Sept dipilih bagi memperingati ulang tahun kematian Ibu Teresa dari Calcutta, India yang pernah menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1979 bagi meraikan hasil kerja beliau memerangi kemiskinan dan kesusahan, yang juga dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan.

Tentunya, sambutan tahun ini perlu memberi fokus terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bagi kewujudan pelbagai aktiviti amal serta fungsinya mengurangkan kesan buruk akibat krisis kemanusiaan, menambah perkhidmatan awam dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan dan perlindungan kanak-kanak terutama dalam mendepani cabaran global yang wujud pasca pandemik Covid-19.

Cabaran baharu petugas amal

Tidak dinafikan, pandemik Covid-19 yang berlaku di hampir setiap pelosok dunia tentunya memberi impak terhadap kerja amal berikutan sempadan negara yang masih ditutup bagi mengekang penyebaran virus ini.

Penolong Setiausaha Yayasan Amal Malaysia (Amal) Hafizul Husni Alias mengambil contoh di Malaysia, jika sebelum ini prosedur untuk menyampaikan sumbangan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada para penerima tidaklah begitu sukar, namun kini akibat Covid-19, segalanya berubah dengan pengamalan norma baharu tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Contohnya, sebelum ini, apabila diadakan program agihan sumbangan, kita perlu menghimpunkan orang ramai untuk menerima sumbangan. Namun kini dengan SOP baharu, kita perlu mempercepatkan serta mematuhi SOP agihan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan menghadkan waktu penerimaan mengikut giliran,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat sementara Amal di Sungai Merab, baru-baru ini.

Menjelas lanjut, terdapat banyak hikmah tersembunyi dari asbab pandemik dan pengamalan norma baharu ini, antaranya ia membuka ruang baharu kepada setiap NGO khususnya untuk mengkaji kaedah terkini bagi mengutip dan menyampaikan sumbangan kepada penerima, di samping boleh memanfaatkan setiap teknologi yang wujud untuk dijadikan medium pemudah cara.

“Pada zaman Revolusi Perindustrian 4.0 ini, kita seharusnya mengguna pakai teknologi yang ada, contohnya internet dan Data Raya. Ada sebahagian NGO bangunkan sendiri Data Raya mereka dan ia boleh dikongsikan dengan NGO yang lain. Penggunaan telefon bimbit juga dapat memudahkan kita menghubungi mana-mana ketua kampung terbabit untuk dapatkan senarai nama penduduk yang layak menerima sumbangan.

“Di pihak Amal, kita turut bekerjasama dengan pihak pembangun aplikasi BOOST untuk kita kongsi iklan program kita, capaiannya lebih meluas dan orang ramai boleh turut menyalur sumbangan mereka dengan hanya klik pada ikon ‘donate charity’, begitulah mudahnya untuk kita buat kerja amal pada zaman teknologi ini,” katanya.

Lahirkan belia cinta amal

Mengikut data terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, golongan muda belia akan menjadi golongan majoriti negara ini dengan hampir menyamai 50-60 peratus penduduk negara menjelang 2030.

Hafizul Husni menjelaskan, adalah amat wajar pihak NGO melihat perkara ini sebagai satu potensi besar untuk merekrut mereka menjadi sebahagian petugas amal kerana mereka perlu dipersiapkan untuk menjadi generasi pelapis berwibawa pada masa hadapan.

“Jika kita lihat situasi sekarang, rata-ratanya golongan ini merasa muak dengan suasana politik negara yang tidak menentu, jadi ramai dalam kalangan mereka memilih untuk sertai NGO dan pertubuhan amal untuk mereka teruskan momentum berkhidmat kepada masyarakat.

“Amatlah penting untuk kita terus menyuburkan rasa peduli ummah dalam jiwa-jiwa belia kita, dengan itu sistem pendidikan khususnya di peringkat sekolah dan universiti perlu mainkan peranan proaktif dalam menumbuhkan idealisme cintakan kerja amal ini kepada para pelajar,” jelas beliau.

Satukan semangat

Sebenarnya, nilai sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa adalah amat sama dan signifikan dengan sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut 16 Sept ini.

Di manakah titik persamaannya? Hafizul Husni menjelaskan, Hari Kerja Amal Antarabangsa adalah hari untuk menyemarakkan aktiviti beramal tanpa mengira warna kulit atau bangsa, manakala Hari Malaysia pula adalah bagi meraikan rasa kebersamaan walaupun kita hidup dalam kepelbagaian agama dan kaum namun tetap rukun dan harmoni.

“Pada hakikatnya, kedua-dua sambutan ini mempunyai nilai dan semangat yang sama, lebih-lebih lagi Malaysia ini negara yang unik kerana citranya berbilang bangsa dan kaum, jadi dengan menyatukan semangat kedua-dua sambutan ini, dapatlah kita semarakkan lagi kesatuan dan toleransi di antara kita.

“Janganlah kita menyempitkan fikiran yang kita hanya perlu membantu bangsa kita sahaja, walhal nilai manusiawi itu menjangkaui batas bangsa dan agama. Sebenarnya pandemik Covid-19 ini membuka mata kita bahawa kita ini sebenarnya perlu hidup bersatu dan saling bantu-membantu,” katanya.

Aktiviti amal beri impak

Bagi diri penulis pula, sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa ini amat bermakna kerana penulis pernah terlibat sebagai delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menjayakan misi kemanusiaan ke Syria dan Lubnan pada April 2019.

Itulah pengalaman pertama kali penulis menjadi wakil wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi melaporkan aktiviti delegasi sepanjang berada di sana selama dua minggu.

Misi delegasi 13 orang itu adalah bagi menyerahkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada pelarian Syria di kem-kem pelarian sekitar Lubnan dan Syria.

Masih segar dalam ingatan, betapa riangnya kanak-kanak dan penghuni di kem pelarian Dataran Beyrouti di wilayah Beqaa, Lubnan ketika pihak delegasi tiba bagi menghulurkan sumbangan makanan asas dan barangan keperluan kepada hampir 35 keluarga di situ.

Ketika delegasi tiba di kem itu kira-kira 8 malam waktu tempatan, cuaca teramat sejuk iaitu sekitar empat darjah Celcius dan penulis sendiri melihat ramai kalangan mereka tidak mempunyai baju sejuk yang sesuai untuk bertahan dengan cuaca ekstrim itu.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah memasak hidangan sup panas dan menikmatinya secara beramai-ramai, di samping aktiviti meniup belon bersama kanak-kanak, dan suasana amat meriah walaupun dalam keadaan kem yang agak gelap kerana kekurangan lampu yang menerangi sekitar kem.

Titik tolak positif

Seketika hati penulis tiba-tiba terasa luluh dan hiba melihatkan nasib anak kecil yang menjadi mangsa pelarian akibat perang yang meletus di Syria sejak sembilan tahun yang lepas.

Dalam kembara yang sama, penulis sempat masuk ke Syria antaranya kota Al-Rashidin (terletak satu kilometer dari barat daya Aleppo), kota Hayyan dan Kafar Hamra bagi menyampaikan bantuan kepada hampir 100 keluarga dengan jumlah penerima kira-kira 700 pelarian dan menyaksikan sendiri betapa hancurnya negara itu akibat perang yang meletus.

Pengalaman sebegini membuka mata penulis betapa pentingnya kita menghargai jasa mereka yang sentiasa melakukan kerja amal kerana sanggup mengorbankan segala-galanya bagi membantu insan-insan yang amat memerlukan bantuan dan sokongan.

Pengalaman emas ini juga menjadi satu titik tolak positif buat diri penulis untuk terus membantu mereka yang kesusahan, kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang manusia iaitu sentiasa meringankan beban orang lain yang tersepit dengan masalah.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Perkukuh generasi muda peneraju masa depan

Oleh Muhammad Basir Roslan

Artikel ini sempena sambutan Hari Belia Antarabangsa 2020 yang disambut pada 12 Ogos setiap tahun.

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Sambutan Hari Belia Antarabangsa tahun ini sudah tentu perlu merungkai kegawatan yang melanda kehidupan golongan belia yang turut menanggung impak teruk akibat pandemik Covid-19 yang kian meruncing.

Sejak diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1999, pelbagai ujian getir yang perlu dipikul oleh generasi yang bakal menjadi barisan depan kepimpinan.

Tema tahun ini, “Penglibatan Pemuda untuk Tindakan Global” memberi fokus dan menyoroti penglibatan golongan belia dalam memperkaya institusi terpenting sesebuah negara.

Di Malaysia, Sambutan Hari Belia Negara (HBN) kebiasaannya disambut pada 15 Mei setiap tahun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Cabaran Golongan Belia Depani Cabaran

Dalam membicarakan perihal belia, pastinya persoalan menjurus kepada cabaran utama yang perlu mereka tempuhi serta langkah terbaik untuk terus memperkasakan golongan ini agar mampu menjadi modal insan yang berdaya saing.

Antara cabaran yang jelas ternyata dan hangat dibincangkan oleh pakar dan penganalisis tentunya melibatkan isu kadar pengangguran dengan melontarkan data statistik global yang menakutkan.

Penganalisis Penyelidik di EMIR Research Nur Sofea Hasmira Azahar berkongsi pandangan, di Malaysia, golongan belia antara yang paling teruk terjejas dalam untuk isu yang diperkatakan itu.

Ini kerana mereka biasanya kumpulan terakhir diupah majikan dan kelompok pertama diberhentikan kerana kekurangan pengalaman bekerja, jaringan sosial yang lemah serta ketidakpadanan kemahiran.

Menurut beliau, di Malaysia, belia yang berumur antara 15 hingga 24 tahun menyumbang seramai 2.8 juta tenaga buruh, iaitu 18 peratus tetapi kumpulan itu mewakili 58.2 peratus jumlah penganggur.

“Sebelum Covid-19, pengangguran belia kekal tinggi dengan 35.6 peratus dan mereka berpendidikan tinggi. Pada masa sama, tenaga buruh cenderung kepada golongan pendidikan rendah (70.4 peratus), “ katanya kepada Bernama.

Menurut Nur Sofea, ramai bakat muda dalam sektor tidak formal, pekerjaan sementara atau mengambil keputusan melanjutkan pelajaran. Akhirnya, belia diberikan gaji rendah, keselamatan sosial terhad dan ditempatkan dalam persekitaran kerja tidak berapa baik.

Biarpun kerajaan mengambil langkah tepat menangani isu pengangguran dengan memperuntukkan hampir RM9 bilion dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) selain pelbagai inisiatif lain turut digerakkan, namun memadaikah semua ini?

Justeru, pendekatan bersifat holistik perlu digemblengkan dalam usaha mempertingkat daya saing dan bakat golongan belia terutama dalam pasaran kerja, selain memperkasa modal insan ini ke tahap tertinggi yang boleh dibanggakan.

Ceburi Sektor Berteknologi Tinggi

Seiring perubahan zaman, cabaran dalam kerjaya juga berubah-ubah apabila segala urusan dilakukan secara atas talian dan ianya satu norma baharu ketika pandemik Covid-19 melanda.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri ketika menyuarakan pandangannya berkata, saat negara beralih ke era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), banyak kerjaya yang wujud sebelum ini hilang serta-merta, dan perubahan ini memerlukan tindakan segera.

“Golongan paling terkesan adalah pekerja di sektor perkilangan yang kebanyakannya belia. Ramai pekerja terpaksa mencari kerja lain atau menganggur kerana tugas mereka diambil alih mesin-mesin yang canggih.

“Namun di situ timbul kerjaya baru iaitu mengurus dan menyelenggara mesin-mesin ini. Di sinilah usaha semua pihak diperlukan bagi memastikan golongan belia yang rata-ratanya celik teknologi dijadikan nakhoda mengendali mesin-mesin ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam usaha memperkasa golongan belia menjadi peneraju sektor berteknologi tinggi, beliau mencadangkan kerajaan memperbanyak dan memperhebat kursus yang fokus kepada bidang ini di universiti awam, institusi kemahiran, politeknik, kolej komuniti dan sebagainya.

“Pihak kerajaan dan institusi pengajian tinggi boleh mengecilkan skop kursus kemahiran seperti memperkenalkan kursus penyelenggaraan mesin. Skop yang lebih kecil ini akan melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang tertentu. Pihak berkenaan juga boleh memperkenal dan memperluas kursus pengurusan teknologi,” jelasnya.

Pelbagaikan Kemahiran

Sering kali kita dengar keluh-kesah daripada golongan belia apabila pergi menghadiri temuduga pekerjaan, rata-rata mereka menyatakan sesetengah syarikat hanya mahukan kepakaran dan pengalaman yang spesifik dan ada pula yang mahukan kemahiran dalam bahasa tertentu.

Mengulas isu ini, Muhammad Amir Asyraf berkata, selain pihak syarikat dan korporat melonggarkan polisi penerimaan pekerja baharu terutamanya graduan universiti tempatan, graduan itu perlu turut mempertingkatkan skil kemahiran diri.

“Kita akui, antara masalah utama apabila seseorang graduan ingin memasuki dunia pekerjaan, inilah antara masalah dan cabaran yang perlu dihadapi.

“Namun janganlah kita terlalu bergantung harap agar pihak syarikat boleh longgarkan syarat terima kerja. Kita boleh pelbagaikan kemahiran dengan menyertai ekonomi sampingan ataupun berniaga atas talian,” ujarnya.

Ekonomi sampingan ialah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu yang dipacu teknologi digital.

Menurut beliau, amat penting bagi golongan belia mempelbagaikan kemahiran mereka terutama di era pendigitalan ini kerana ianya dapat menjamin survival diri individu itu sekiranya kemahirannya yang sedia ada tidak lagi diperlukan di peringkat industri.

Kepelbagaian kemahiran juga membolehkan seseorang itu untuk membantu dalam meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi dan ianya akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Dengan menambahbaik isu ini, diharapkan tidaklah berlaku lagi pembaziran bakat muda negara kerana mereka ini aset terpenting negara dan perlu dijaga sebaik-baiknya.

Memperbaiki Akhlak Belia

“Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat menggegarkan dunia”.

Bait-bait susunan retorik yang penuh puitis daripada mantan Presiden Indonesia, Soekarno ini seharusnya dijadikan satu manifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia dan generasi muda ke arah yang lebih baik.

Namun, dengan pelbagai cabaran wujud ketika negara mendepani zaman modenisasi, di samping kewujudan pelbagai platform media sosial, pastinya ia tugasan getir buat ibu bapa dan pendidik untuk menangani isu keruntuhan akhlak belia.

Timbalan Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia Ammar Hasbullah mengakui golongan belia mudah terjebak ke dalam lembah gejala sosial tidak bermoral.

Menurut beliau, budaya barat yang merosakkan juga tidak berhenti-henti meluru masuk sehingga merosakkan pemikiran dan pegangan hidup belia.

“Biarlah orang kata usaha memperelok akhlak belia ini perkara klise, namun itu tugas hakiki kita semua kerana ia masalah asas yang sentiasa perlu diperbaiki.

“Jika isu keruntuhan akhlak belia tidak kita tangani, maka dibimbangi ia akan melarat kepada kemudharatan yang lebih besar kepada negara. Usaha padu semua pihak diperlukan bagi memperbetulkan apa yang biasa, dan membiasakan perkara yang betul,” katanya.

Tarik Belia Sertai NGO, Persatuan

Menurut Ammar, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan belia perlu menggunakan sebijak-bijaknya media sosial untuk menarik golongan belia menyertai mereka, selain menawarkan pelbagai program pengukuhan akhlak dan bersifat kesukarelawanan.

“Belia sekarang tidak boleh lepas dari menggunakan media sosial. Sebaik sahaja bangun tidur itulah perkara pertama yang mereka guna, jadi ia ruang terbaik untuk tarik lebih ramai belia sertai persatuan yang mereka minat dan selesa.

“Saya sendiri melihat trend kesukarelawanan mendapat sambutan dalam kalangan mahasiswa khususnya. Ini petanda positif kerana dengan melibatkan diri, ia memberi banyak manfaat antaranya mengurangkan tekanan serta masalah mental kerana mereka banyak terlibat dengan aktiviti kemanusiaan dan berjumpa ramai orang, selain dapat berbakti kepada masyarakat,” kata Ammar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Amerika Syarikat sah tarik diri daripada WHO

NEW YORK, 8 JULAI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mengesahkan Amerika Syarikat (AS) sudah memaklumkan negara itu menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor agensi berita Xinhua.

Perkara itu dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Isnin.

“Sebagai jawapan kepada pertanyaan, saya mengatakan pada 6 Julai 2020, AS sudah memaklumkan kepada setiausaha agung, negara itu menarik diri daripada WHO berkuat kuasa pada 6 Julai 2021,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric.

“AS adalah anggota WHO sejak 21 Jun 1948. Penyertaan AS itu diterima Majlis Kesihatan Sedunia dengan syarat-syarat tertentu ditetapkan AS, yang akhirnya menarik diri. Syarat itu termasuk memberi notis setahun dan memenuhi sepenuhnya bayaran kewangan yang wajib,” kata jurucakap itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB: Pendekatan global kunci utama tangani Covid-19

NEW YORK, 26 JUN: Negara dunia digesa memperkukuh kerjasama pelbagai hala melalui pendekatan global bagi menangani pandemik Covid-19, kata setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Antonio Guterres berkata demikian pada malam ulang tahun ke-75 Piagam PBB lapor AFP.

Beliau menjelaskan dunia kini diancam pergolakan bergelut dengan Covid-19 dan perubahan iklim, ketidakadilan perkauman berleluasa serta ketidaksamaan kian meningkat dengan kesemuanya harus ditangani melalui semangat multilateralisme diperbaharui.

“Kita tidak boleh berpatah balik kepada cara seperti dulu dan sewenang-wenangnya mencipta semula sistem yang memburukkan lagi krisis itu. Kita mesti bersama-sama merenung dan membina semula dunia yang dikongsi ini.

“Kita memerlukan satu pendekatan multilateralisme berkesan yang mampu berfungsi sebagai instrumen pentadbiran global yang diperlukan,” katanya kepada pemberita.

Guterres berkata, PBB berjaya membuktikan kebolehannya bertindak balas terhadap Covid-19 dengan menghantar 250 juta peralatan perlindungan diri (PPE) kepada lebih 130 negara, selain menyokong pendidikan kanak-kanak dan keperluan keluarga serta penjaga.

Beliau berkata, rangkaian bekalan PBB turut memainkan peranan penting dalam pengedaran barangan perubatan ke seluruh dunia ketika penularan Covid-19.

Katanya, sokongan PBB terhadap pembangunan vaksin, selain usaha beliau sendiri pada Mac lalu ke arah gencatan senjata di pelbagai zon konflik bagi mengekang virus terbabit daripada merebak, menjadi nilai utama pendekatan multilateral institusi berusia 75 tahun itu.

Piagam PBB ditandatangani di San Francisco pada 26 Jun 1945 ketika berakhirnya Perang Dunia Kedua sebelum dikuatkuasakan empat bulan kemudian.

Guterres berkata, dalam kalangan penduduk di banyak negara, tindak balas terhadap pandemik itu ternyata mengikis keyakinan mereka terhadap pertubuhan dan institusi politik.

Beliau berkata, pandemik itu menyebabkan ketidaksamaan yang sistemik serta teruk, dan pemimpin dunia perlu memperakui nilai kerjasama global untuk menangani krisis.

“Ketika memperingati Hari Piagam dan melihat ke depan, kita harus memikirkan kembali cara dunia bekerjasama.

“Kita perlu membina semula dengan lebih baik bersama ekonomi dan masyarakat yang lebih lestari, inklusif serta saksama terhadap jantina,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL PENDIDIKAN

UIAM diisytihar Pusat Kepakaran Serantau oleh UNU

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diisytihar sebagai Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (RCE) oleh Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut UIAM dalam kenyataannya, sijil pengisytiharan itu diberikan UNU atas komitmen universiti itu dalam membina masa depan lestari melalui pendidikan iaitu salah satu agenda Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Pusat kepakaran serantau yang diberi nama RCE Greater Gombak itu adalah yang pertama seumpamanya yang berteraskan fungsi dalam pendidikan untuk pembangunan lestari.

Untuk rekod, kesemua pusat kepakaran serantau berteraskan geografi kecuali RCE Greater Gombak UIAM sahaja yang berlandaskan fungsi.

Di bawah RCE Greater Gombak ini, UIAM memainkan peranannya dalam menerajui aktiviti dan initiatif pendidikan lestari bersama masyarakat, industri serta sektor kerajaan, dan antara aktiviti yang telah dijalankan adalah pendidikan asnaf di Perlis, pelancongan lestari di Pagoh, Johor, kesihatan lestari di Kuantan, Pahang dan sekolah sejahtera di Terengganu.

UIAM kini menyertai 180 pusat kepakaran serantau di dunia yang memberikan fokus kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan.

Rektor UIAM, Professor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam kenyataan itu berkata peranan universiti itu lebih besar dan meluas serta sentiasa mendukung segala usaha dalam melestarikan pendidikan supaya masyarakat sekeliling tidak ketinggalan.

“Ini bermakna sekarang universiti ini mempunyai peranan global dalam menentukan pendidikan bagi membina masyarakat di sekeliling kita.

“Ini adalah satu rencana di bawah bangsa bangsa bersatu dimana sekarang ini pendidikan diberikan keutamaan dalam menentukan apakah bentuk masa hadapan yang kita akan ungkapkan bersama bukan sahaja bagi universiti tapi bagi masyarakat sekitarnya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Korban global lebih 90,000, PBB gesa dunia bersatu

BEIJING, 10 APRIL: Dunia kini umpama berada di medan peperangan untuk melawan Covid-19 yang semakin mengganas, virus maut itu sudah merebak ke lebih 200 negara dan wilayah, lapor agensi berita Xinhua.

Di WASHINGTON, ujian klinikal untuk menilai keselamatan dan keberkesanan hydroxychloroquine, ubat antimalaria sudah bermula, dalam usaha mencari penawar penyakit COVID-19, menurut Institut Kesihatan Negara (NIH) Amerika Syarikat pada Khamis.

Peserta pertama telah mendaftar untuk menyertai ujian klinikal itu di Vanderbilt University Medical Center, Tennessee.

Di BRUSSELS pula menyaksikan Menteri Kewangan Eurogroup pada Khamis bersetuju mengenai pakej kewangan bernilai setengah trilion euro untuk membendung wabak itu.

Di NEW YORK, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyeru semua negara anggota Majlis Keselamatan bersatu bagi mendepani pandemik COVID-19.

“Penglibatan Majlis Keselamatan penting untuk mengurangkan implikasi keamanan dan keselamatan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu taklimat secara maya.

“Sudah tentu perpaduan amat penting pada masa yang mencemaskan ini.”

Di GENEVA, kadar kematian akibat Covid-19 dianggarkan 10 kali lebih tinggi berbanding influenza, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Bercakap pada taklimat Misi Covid-19 dari Geneva pada Khamis, beliau berkata setakat ini, lebih 1.3 juta orang dijangkiti dan hampir 80,000 terkorban.

Ujarnya, pandemik ini adalah lebih teruk daripada krisis kesihatan, ia memerlukan seluruh kepemimpinan kerajaan dan masyarakat bersama-sama berganding bahu untuk memerangi wabak itu.

Di LONDON, Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Khamis dipindahkan ke wad selepas beberapa hari ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Menurut seorang jurucakap, perdana menteri itu akan terus dipantau dalam fasa awal pemulihan, selepas dijangkiti Covid-19.

Di NEW YORK, pada Khamis petang Johns Hopkins University menerusi data terkini mendedahkan angka korban Covid-19 melebihi 90,057 orang di seluruh dunia.

-BERNAMA