Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Jari putus antara kes PBSM rawat mangsa banjir Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 21 DIS: Merawat mangsa banjir yang putus jari antara pengalaman yang dilalui paramedik Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini sejak Jumaat lalu.

Alvin Tan menjelaskan rawatan terhadap lelaki lingkungan 30-an itu yang dipercayai tersepit pintu ketika mahu menyelamatkan diri dalam kejadian banjir diberi dalam ambulans bergerak berdekatan taman itu.

Paramedik Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Alvin Tan. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Kami basuh luka, letak ubat dan balut jari lelaki berkenaan bagi kurangkan kesakitan,” katanya kepada Selangorkini semalam.

Beliau berkata kira-kira 100 mangsa dirawat dengan dibantu 14 sukarelawan, paramedik dan doktor manakala 11 orang dirujuk ke Hospital Shah Alam, kebanyakan warga emas yang ada sakit kronik.

“Kalau boleh mahu elak hantar mangsa ke hospital bagi mengurangkan beban petugas kesihatan di hospital yang kini sibuk mengurus pesakit Covid-19 kecuali benar-benar perlu,” katanya.

Kerajaan Negeri turut menggerakkan pasukan sukarelawan Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) bagi membantu proses menempatkan penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan itu mengagihkan bantuan awal serta proses pembersihan kediaman selepas air pasang mula surut.