Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: PBT diminta tambah lokasi bazar Ramadan, elak sesak pengunjung

KLANG, 21 FEB:  Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengenal pasti lebih banyak lokasi bazar Ramadan serta tidak menumpukan satu kawasan sahaja bagi mengelak kesesakan pengunjung.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata langkah tersebut bagi memudahkan pemantauan serta memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Lokasi-lokasi tersebut perlu dikenal pasti supaya dapat menentukan jumlah sebenar lokasi strategik untuk bazar Ramadan untuk mengurangkan kepadatan pengunjung.

“Kita memerlukan bantuan daripada PBT kerana mereka mempunyai maklumat dan kesesuaian lokasi untuk bazar Ramadan. Mungkin ada penambahan berbanding tahun lalu iaitu 11,773 tapak.

“Perkara paling utama kita mahu membantu peniaga dan pada masa sama memastikan SOP dipatuhi. Setakat ini, kita tidak dapat tentukan jumlah kerana terdapat permohonan bazar yang masih dibuka” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Pada 13 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk bazar Ramadan pada tahun ini.

Bagaimanapun beliau berkata SOP bazar tersebut akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.

Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Garis panduan pusat jagaan ibu bersalin diperkenal, PBT diberi kuasa pantau aktiviti

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Negeri memutuskan pusat penjagaan ibu bersalin dan bayi dilesenkan di bawah kategori pusat penjagaan kesihatan serta dikawal pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata PBT bertanggungjawab memantau aktiviti di pusat jagaan tersebut melibatkan bilangan, statistik dan pematuhan kepada syarat teknikal sebelum lesen dikeluarkan.

“Melalui pelesenan ini, Kerajaan Negeri dapat memastikan aktiviti pusat jagaan perniagaan dijalankan dengan selamat dan kondusif.

“Antaranya, premis tersebut tidak boleh beroperasi di kawasan berisiko tinggi yang boleh menimbulkan kacau ganggu seperti pencemaran bunyi, udara dan air,” katanya menerusi kenyataan pada 14 Februari lepas.

Beliau berkata garis panduan tersebut juga digunakan PBT untuk tindakan pengawalan dan penguatkuasaan.

“Pusat penjagaan dan rawatan ibu selepas bersalin serta bayi semakin berkembang yang tidak hanya tertumpu di kawasan perniagaan malah bercambah ke kawasan kediaman kepadatan penduduk tinggi,” katanya.

“Perkhidmatan ini tidak terhad kepada penjagaan ibu dan bayi tetapi turut merangkumi penjagaan secara menyeluruh termasuk aktiviti pemulihan dari segi spiritual dan fizikal.

“Sebagai contoh adalah aktiviti Yoga, terapi selepas bersalin dan juga penyediaan makanan berkhasiat kepada ibu semasa pantang,” katanya.

Justeru beliau berkata pelesenan untuk memastikan aktiviti perniagaan tersebut dapat dikawal dan mematuhi garis panduan serta syarat demi kebaikan semua pihak.

“Dengan langkah ini perkhidmatan penjagaan, rawatan ibu selepas bersalin dan bayi dapat beroperasi dengan lebih selamat dan kondusif di Selangor,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Sempena sambutan Jubli Perak, MPKj tawar diskaun 25 peratus sewa dewan

SHAH ALAM, 7 FEB : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menawarkan diskaun sebanyak 25 peratus bagi sewaan dewan komuniti di sekitar kawasan pentadbirannya sepanjang Mei.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan tawaran dibuat sempena sambutan Jubli Perak serta terbuka kepada semua pihak yang mahu menyambut keraian.

Menurut MPKj, pemberian diskaun tertakluk kepada program seperti majlis perkahwinan, pertunangan, kesyukuran, aqiqah, makan malam, ‘hi tea’ dan hari jadi.

Sebarang pertanyaan boleh hadir ke kaunter pentadbiran am dan keurusetiaan di tingkat 1 Menara MPKj atau hubungi talian 03-87377899, sambungan 7037 atau emel kepada: [email protected].

Categories
PBT SELANGOR

Tiga PBT selesai bersihkan sampah pascabanjir sepenuhnya

SHAH ALAM, 4 JAN: Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) selesai menjalankan operasi pembersihan sisa pascabanjir sepenuhnya setakat semalam.

Menurut laporan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Facebook, PBT terbabit ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Manakala lima lagi PBT mencapai status 80 hingga 98 peratus dengan hampir 41,000 tan sampah pukal berjaya dikutip.

Kawasan PBT yang sebelum ini mengalami banjir yang teruk hampir lengkap operasi pembersihan seperti berikut:

– Majlis Perbandaran Kuala Selangor – 98 peratus

–  Majlis Perbandaran Kuala Langat – 95 peratus

– Majlis Perbandaran Klang – 85 peratus

– Majlis Bandaraya Subang Jaya – 82 peratus

– Majlis Bandaraya Shah Alam – 80 peratus

Pemilik premis pemborong makanan runcit, Lily Tan, 50, dibantu pekerjanya membersihkan kedainya ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebelum ini, syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember secara berperingkat.

KDEBWM turut mendapat bantuan sukarelawan dan PBT termasuk dari negeri lain bagi mempercepat urusan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 

 

 

 

Categories
PBT SELANGOR

Pihak berkuasa tempatan giat laksana kerja pembersihan pascabanjir

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerja pembersihan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini diteruskan selepas banjir di beberapa kawasan terjejas surut sepenuhnya hari ini.

Skuad Pantas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kekuatan anggota seramai sepuluh orang menjalankan kerja pembersihan di Kampung Kenangan, Puchong 22. Turut serta misi bantuan itu anggota sukarelawan MBPJ.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam menjalankan kerja pembersihan pasca banjir di Jalan Kampung Lombong.

Skuad Pantas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan kerja pembersihan pascabanjir di Kampung Tengah, Puchong 24 Disember 2021. Foto Facebook MBPJ
Skuad Pantas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan kerja pembersihan di Kampung Kenangan, Puchong pada 22 Disember 2021. Foto Facebook MBPJ
Categories
AGENDA NASIONAL

PBT bersihkan kediaman penduduk, buang sampah di jalan utama

SHAH ALAM, 22 DIS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bertungkus-lumus membantu penduduk setempat membersihkan kediaman yang terkesan akibat banjir pada Sabtu.

Kerja pembersihan bermula semalam antaranya melibatkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Kampung Batu 10 Cheras, Batu 23 Sungai Lui, Taman Sri Nanding dan Kampung Sungai Serai.

Kawasan lain termasuk Jalan 13 hingga 16 di Taman Sri Tanjung, beberapa jalan di Kampung Pasir serta Masjid Ar-Rahman Kampung Sungai Lui, dengan dibantu oleh sukarelawan.

Selain mengalihkan barang yang rosak dan musnah, PBT berkenaan turut membersihkan sampah di sepanjang jalan utama di Hulu Langat bagi mengelakkan gangguan lalu lintas.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membuat pembaikan sementara di kawasan tanah runtuh di Jalan Puri 1/3, Desa Aman Puri, Kepong; Taman AmanSiara dan Taman Sri Putera.

MPS juga meneruskan misi bantuan banjir dengan menghantar sukarelawan, lori tangki pembersihan, jentera pengaut dan kenderaan pacuan empat roda bagi membersihkan Kampung Lanchong, Subang Jaya.

Bantuan turut dihantar ke sekitar kawasan Seksyen 19 Shah Alam, yang turut disertai Timbalan Yang Dipertua MPS Cheremi Tarman dan sukarelawan.

Selain itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya bersama sukarelawan membantu Majlis Bandaraya Shah Alam membersihkan Jalan Pikolo 33/14, Seksyen 33, Taman Alam Indah hari ini.

Kakitangan MPKj membersihkan sampah banjir di sepanjang Jalan Hulu Langat

 

Kakitangan MPKj membersihkan kediaman di sekitar Taman Sri Nanding dan Kampung Seri Serai

 

Kakitangan MPS membersihkan kawasan banjir di Seksyen U19, Shah Alam

 

Sukarelawan dan kakitangan MBPJ membersihkan Jalan Pikolo 33/14, Seksyen 33, Taman Alam Indah
Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

PBT, sukarelawan ganding bahu bersih kawasan terjejas banjir

SHAH ALAM, 22 DIS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama badan bukan kerajaan (NGO) serta anggota sukarelawan membersihkan kawasan terjejas banjir di negeri ini.

Seramai 60 orang kakitangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas di kawasan daerah Hulu Langat.

“Semoga ada sinar pelangi di sebalik kesulitan ini,” kata MPKj menerusi Facebook.

Selain itu, sukarelawan dan pasukan PANTAS Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) giat melakukan kerja pembersihan di Jalan Pikolo 33/14, Seksyen 33, Taman Alam Indah yang terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sukarelawan dan PANTAS MBPJ kini berada di Jalan Pikolo 33/14, Seksyen 33, Taman Alam Indah. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
Kakitangan MPKj membantu penduduk membersihkan kesan banjir di sekitar Kampung Batu 10 Cheras dan Kampung Melaka Cheras. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kajang
Kakitangan MPKj membantu penduduk membersihkan kesan banjir di sekitar Kampung Batu 10 Cheras dan Kampung Melaka Cheras. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kajang
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MBSA, MPAJ kenal pasti lokasi pasang cas kenderaan elektrik

SHAH ALAM, 1 DIS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sedang mengenal pasti lokasi sesuai bagi pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV).

Merujuk kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han berkata pemilihan kawasan dibuat bersama pihak swasta industri itu.

“Buat masa ini kita terima beberapa cadangan, namun kita alu-alukan lebih banyak (cadangan) agar Selangor mampu menjadi perintis projek stesen EV di Malaysia,” kata beliau ketika ditemui di luar sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Sze Han memberitahu Kerajaan Negeri turut menyasar pemasangan 1,000 pengecas di parkir milik PBT tahun depan manakala 10,000 unit menjelang 2025.

Beliau berkata inisiatif itu perlu dibuat segera bagi memastikan Selangor terus mengorak langkah sekali gus membantu mengurangkan pencemaran karbon.

“Sekarang stesen EV semakin popular di luar negara. Bukan sahaja untuk kereta malah kenderaan lain seperti van, bas, trak dan lori sampah,” katanya.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada Jumaat lalu mengumumkan projek pemasangan stesen pengecas EV dengan nilai pelaburan RM10 juta di seluruh negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut bercadang memberi insentif kepada perniagaan dan industri yang
melabur dalam infrastruktur EV termasuk pengurangan fi lesen dan cukai taksiran.

Beliau berkata pengguna EV juga diberi keistimewaan parkir percuma bawah pentadbiran PBT menjelang tahun depan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT siap siaga hadapi banjir, tanah runtuh akibat peralihan monsun

SHAH ALAM, 24 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bersedia hadapi fasa peralihan monsun yang berisiko menyebabkan masalah banjir dan tanah runtuh, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata selain keperluan peralatan, majlis turut memastikan semua dewan masyarakat dalam keadaan baik dan boleh berfungsi untuk dijadikan pusat pemindahan sementara.

Ng Sze Han

“Skuad Pantas yang menjadi pasukan sokongan akan mengendalikan kes kecemasan dan bencana di setiap PBT juga bersiap siaga untuk digerakkan ke kawasan terjejas.

“Saya harap semua pihak dapat menggembleng tenaga bersama-sama berdepan fasa ini serta membantu mangsa banjir,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Kelmarin, hujan lebat lebih tiga jam di Lembah Klang menyebabkan kawasan sekitar Ampang, Hulu Langat dan Gombak dilanda banjir kilat sehingga mencecah ketinggian 1.5 meter.

Susulan itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan PBT, KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta perpindahan.

Manakala Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu mangsa membersihkan rumah dan persekitaran.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Lima PBT Selangor raih anugerah bandar mampan 2021

SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) semalam menjuarai program Penghargaan Bandar Mampan 2021 kategori majlis perbandaran anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurut Facebook PLANMalaysia, Majlis Perbandaran Selayang memenangi tempat ketiga dalam kategori sama manakala Petaling Jaya di tempat ketiga bagi majlis bandaraya.

Sementara tempat kedua kategori majlis daerah diraih Hulu Selangor dengan masing-masing diberikan trofi, sijil penghargaan serta wang tunai antara RM3,000 hingga RM8,000.

Dalam acara itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya meraih Penghargaan Khas Bandar Mampan 2021 susulan konsisten melakukan program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar (MURNInets).

Anugerah itu sekali gus melayakkan pihak berkuasa tempatan berkenaan menerima wang tunai berjumlah RM6,000, trofi dan sijil penghargaan.

MPKj bersama Perbadanan Putrajaya dan Majlis Daerah Pekan turut dipilih sebagai penerima penghargaan Pencapaian Terbaik Sustainable Development Goals (SDGs).

Majlis perhargaan yang berlangsung secara maya disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

Sultan perkenan Hulu Selangor dimasyhur majlis perbandaran

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dimasyhur sebagai Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bermula hari ini.

Pengisytiharan dibuat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenan perakuan status baharu itu.

Amirudin berkata naik taraf status tersebut membolehkan Hulu Selangor menerima pelaburan lebih banyak selain melonjakkan sektor pelancongan dan perkilangan setempat.

Beliau memaklumkan perubahan itu juga bakal memberi impak positif kepada penduduk setempat ke arah kawasan perbandaran mampan dan berdaya tahan.

“Hulu Selangor akan diuruskan sebagai sebuah perbandaran dengan sistem penyampaian yang setara selain standard dan kecekapannya perlu sesuai dengan taraf tersebut.

“Status baharu ini juga meningkatkan harapan dan jangkaan pelbagai pihak. Semua warga kerja harus menangani cabaran mendatang serta menggembleng usaha bagi memantapkan kualiti perkhidmatan buat rakyat,” katanya berucap sempena pengisytiharan itu secara langsung menerusi Facebook MDHS.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd berkata kejayaan hasil kerja keras bertahun-tahun harus menjadi kebanggaan seluruh rakyat kerana menjadi penanda aras terhadap pembangunan daerah terbabit.

“Seluruh penduduk pasti berkongsi detik keramat ini dengan penuh bangga dan terpahat dalam lipatan sejarah.

“Bagaimanapun, pasti ada cabaran bakal dihadapi. Justeru, marilah kita bersama memperbaharui komitmen untuk melaksanakan pembangunan berterusan,” katanya.

Dalam majlis sama, MPHS turut melancarkan logo baharu dan lagu bertajuk Hulu Selangor Terus Maju.

Categories
PBT SELANGOR

97 peratus kakitangan MBSJ lengkap vaksin

SHAH ALAM, 29 SEPT: Seramai 1,476 atau 97.62 peratus kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) lengkap menerima dos vaksin setakat ini.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata seramai 1,497 atau 99.01 peratus kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan pelalian.

“Walaupun menerima suntikan vaksin, masih diingatkan supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan dengan mengelak 3S (sesak, sempit dan sembang dekat),” katanya ketika mesyuarat penuh MBSJ Bil.10/2021 secara maya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 249 kes positif dilaporkan dalam kalangan kakitangan MBSJ sejak pandemik menular sehingga 26 September.

Noraini menjelaskan lima kes aktif dikesan setakat ini dengan seorang kakitangan dirawat di hospital manakala selebihnya menjalani kuarantin di rumah.

Keseluruhannya, sebanyak 70,237 kes positif Covid-19 direkodkan dalam kawasan pentadbiran MBSJ sehingga kini.