Categories
AGENDA NASIONAL

Pelaksanaan pengajaran, pembelajaran tertakluk kepada keputusan universiti

PUTRAJAYA, 10 FEB: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institut pengajian tinggi (IPT) secara hibrid atau secara dalam talian adalah dibenarkan, tertakluk kepada keputusan pihak universiti itu sendiri, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam kenyataan hari ini berkata IPT juga perlu mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PdP yang ketat.

Ia susulan pengumuman kerajaan semalam yang membenarkan kemasukan pelajar IPT di bawah KPT ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.

“Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran yang sesuai, selain memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran dan kehidupan dalam kampus,” kata KPT.

KPT turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan pelajar menjadi keutamaannya dalam proses kemasukan dan keberadaan pelajar di kampus, serta akan memastikan kemasukan pelajar ke kampus berjalan lancar.

“Pelajar yang pulang ke kampus diminta terus mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri, manakala aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Antara SOP ditetapkan KPT dan KKM adalah pelajar dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus, namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

Untuk maklumat lanjut, pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-88706777/6949/6623/6628, melayari laman web IPT atau menghubungi pegawai penyelaras IPT masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis rancang gabung kaedah belajar fizikal, dalam talian mulai sesi Mei

SHAH ALAM, 4 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) merancang memperluas sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan bersemuka mulai sesi baharu Mei depan.

Rektor Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata berdasarkan tinjauan, majoriti pelajar memilih untuk belajar di kampus tetapi terikat dengan arahan kerajaan yang bimbang jika berlaku pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP).

“Saya percaya pelaksanaan PdP ini akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP dengan mengutamakan aspek keselamatan serta kebajikan pelajar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau menambah ketetapan tersebut bergantung pada keputusan Kementerian Pengajian Tinggi yang ketika ini hanya membenarkan beberapa kategori pelajar institusi pengajian tinggi ke kampus secara fizikal.

“Kita juga sentiasa bersiap sedia untuk meneruskan kaedah PdP dalam talian menggunakan portal sistem pengurusan pembelajaran Kuis (KLMS),” katanya.

Ab Halim menjelaskan seramai 300 pelajar berkeperluan khas dibenarkan kembali ke kampus sejak minggu lalu untuk meneruskan pengajian sesi November 2020 yang berbaki kurang sebulan.

Katanya, pelajar terbabit terdiri daripada pelbagai peringkat program yang berdepan masalah capaian internet untuk mengikuti pembelajaran secara maya di rumah termasuk peperiksaan akhir hujung bulan ini.

“Kesemua mereka masuk secara berperingkat dan diarah menjalani kuarantin berasingan di asrama,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan enam kategori pelajar IPT dibenarkan ke kampus secara bersemuka seawal 1 Mac bagi mengikuti PdP fizikal serta dalam talian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belajar dalam talian kaedah selamat elak jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian adalah ‘jalan selamat’ bagi mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada masa ini, sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata proses penurunan ilmu tetap berlaku dan pentaksiran tetap dapat dilaksanakan melalui pembelajaran dalam talian.

“Walaupun tidak sebaik pembelajaran bersemuka, ini sahaja jalan selamat yang kita ada untuk mengelakkan penularan.

“Ilmu tidak semestinya boleh diperoleh di lapangan sahaja kerana ilmu boleh diterjemahkan dalam komunikasi dua hala secara dalam talian sebagai perkongsian proaktif dan dalam masa sama keselamatan diri terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Shatar, yang juga pengerusi Majlis Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia, berkata ia juga boleh dipakai dalam konteks penyelidikan kerana jadual dan kaedah penyelidikan akan menjadi lebih fleksibel.

Beliau berharap semua mahasiswa IPTA dapat bersabar mengharungi cabaran Covid-19 dan tenaga akademia (pensyarah) pula perlu bertolak-ansur serta memahami masalah capaian internet mahasiswa di luar kawasan bandar atau pedalaman.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Pelajar di Kota Setar laksana sesi belajar dalam talian

SUNGAI BESAR, 13 SEPT: Pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah Kota Setar, Kedah akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuatkuasakan di kawasan itu sejak Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata semua pentadbir sekolah dan guru diarahkan untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian sehingga sekolah kembali dibuka seperti biasa.

“Pihak sekolah diminta membantu pelajar yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian.

“Bagi menangani perkara ini, guru boleh menghantar lembaran kerja ke rumah pelajar, atau ibu bapa pelajar boleh mengambilnya di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bomba Komuniti Zon Selangor Utara, di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai arahan kerajaan supaya semua taska, sekolah swasta dan kerajaan termasuk lain-lain institusi pengajian rendah, menengah dan prauniversiti ditutup sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran bagi membendung penularan Covid-19.

Muslimin berkata sehingga kini siaran TV Pendidikan masih dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan malah sebanyak 800 slot baki siaran ‘home based learning’ atau pembelajaran di rumah belum disiarkan.

Sementara itu, beliau berkata kementerian menyelesaikan kira-kira 60 peratus masalah guru ‘duka lara’ sejak 2016 untuk dipindahkan ke sekolah yang berdekatan dengan keluarga.

Beliau berkata kementerian telah menetapkan beberapa kriteria untuk memastikan proses yang adil terhadap semua pihak yang memohon untuk berpindah.

“Bagi guru bujang, dia harus berkhidmat (sekurang-kurangnya) 90 bulan (di sesebuah sekolah), baru boleh mohon (untuk pindah). Guru ‘duka lara’ yang berkahwin, perlu 60 bulan. Merit berkaitan laporan doktor dan sebagainya juga akan diberi keutamaan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini Kelantan merupakan negeri yang mencatatkan permohonan tertinggi dengan kira-kira 5,000 permohonan berbanding kira-kira 100 permohonan untuk pindah keluar dari negeri itu manakala Johor antara negeri mencatatkan permohonan terendah.

“Jadi kita syorkan kalau nak balik ke Semenanjung (guru dari Sabah dan Sarawak), kita boleh beri peluang untuk “transit” seketika di Johor (sebelum mohon pindah ke negeri pilihan),” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pendidikan puas hati pembelajaran maya sepanjang PKP

GENTING HIGHLANDS, 10 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) berpuas hati dengan tahap pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya yang dijalankan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaja berkata berdasarkan kajian yang dijalankan KPM, hanya 36 peratus sahaja pelajar tidak mempunyai peranti serta akses Internet.

“KPM sedia maklum mengenai permasalahan tersebut, untuk mengatasinya KPM mahu menyemarakkan TV Pendidikan agar tahap pendidikan di negara ini mencapai tahap yang terbaik.

“Pelajar dan guru disarankan untuk meneruskan pembelajaran secara maya selain bersemuka, kita gabungkan kedua-duanya sekali. Pembelajaran cara maya ini bukan sahaja membantu melahirkan lebih ramai guru yang kreatif, malah melahirkan pelajar yang mampu berfikiran kritis, sekali gus memberikan impak yang besar serta memberikan keupayaan kepada anak-anak menguasai dunia pendigitalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis perasmian penutupan Kolokium Kepimpinan Pendidikan Majlis Guru Besar Selangor di Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands, di sini hari ini.

Kolokium yang bertemakan ‘Mendepani Pendidikan Dalam Era Normal Baharu’ yang berlangsung selama tiga hari sejak Selasa itu menyentuh tentang peranan guru dalam memperkasakan keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu yang dapat dapat memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

-BERNAMA

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Penggunaan e-pembelajaran murid capai 76 peratus

SHAH ALAM, 11 APRIL: Penggunaan platform e-pembelajaran bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai tahap lebih 76 peratus, kata timbalan pengarah sektor pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Datin Nor Faridah A Bakar berkata selain itu capaian guru kepada murid menerusi penggunaan medium lain seperti WhatsApp, Telegram dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi proses PdP pada kadar 85 peratus.

“Setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membuat kaji selidik sejauh mana guru boleh mencapai anak murid mereka, jadi melalui data diperoleh kita anggarkan capaian proses PdP ini sepanjang PKP.

“Kita yakin kadar ini boleh ditingkatkan lagi sepanjang sambungan PKP bagi memastikan tiada murid yang ketinggalan dalam proses PdP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Faridah berkata pihaknya juga mengambil maklum kesukaran dihadapi guru untuk mencapai murid yang mungkin tidak mempunyai akses internet atau telefon bimbit yang tidak mampu memuat turun aplikasi.

“Jadi kita minta sekolah dan guru ambil inisiatif gunakan rekod alamat murid untuk pos modul kerja sekolah yang perlu dibuat.

“Selain itu guru juga boleh berkomunikasi dengan ketua kampung, ketua komuniti dan persatuan penduduk taman perumahan, kita kena libatkan komuniti dalam usaha memberi PdP kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya waktu siaran Program TV Pendidikan dapat dipanjangkan supaya memberi manfaat kepada lebih ramai murid sepanjang PKP.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas minta Kementerian Pendidikan melaksanakan pembelajaran dari rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.