Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah rendah ada lebih 600 murid laksana kaedah penggiliran

SHAH ALAM, 5 MAC: Sekolah rendah yang mempunyai bilangan murid lebih 600 akan melaksanakan kelas secara bersemuka dan penggiliran, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata murid yang hadir tanpa penggiliran melibatkan prasekolah, tahun 1, 2, 6 serta murid bawah program rancangan makanan tambahan (RMT).

Beliau menjelaskan sesi tanpa penggiliran turut melibatkan murid berkeperluan khas di sekolah kebangsaan pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi.

“Manakala untuk murid tahun 3, 4 dan 5 pula mereka perlu hadir ke sekolah secara penggiliran mengikut jadual ditetapkan pihak sekolah.

“Bagi sekolah rendah yang jumlah muridnya di bawah 600 orang, semua murid rendah harian dan swasta perlu hadir tanpa penggiliran,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Kementerian Pendidikan Malaysia menetapkan sesi persekolahan 2022/2023 bermula 21 Mac 2022 sehingga 11 dan 12 Mac 2023.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kelas secara bersemuka pelajar sekolah menengah mulai 4 April

SHAH ALAM, 5 MAC: Sesi persekolahan untuk 2022/2023 tetap dibuka mengikut tarikh ditetapkan pada 21 Mac ini, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata sesi persekolahan pelajar menengah dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terlebih dahulu selama dua minggu bermula tarikh buka sekolah.

Beliau menjelaskan pelajar sekolah menengah hanya dibenarkan hadir ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka mulai 4 April tanpa penggiliran.

“Keputusan ini tertakluk kepada semua murid berkeperluan khas di sekolah menengah pendidikan khas (SMKPK) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI).

“Ia turut membabitkan pelajar tingkatan 1, 2, 3, 4, 5, prauniversiti,  International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Beliau berkata untuk sekolah berasrama penuh pula, pelajar yang dibenarkan pulang kes asrama pada 4 April adalah pelajar tingkatan 2, 3, 4, 5, prauniversiti, IBDP serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara

“Pelajar tingkatan 1 yang berjaya masuk ke sekolah berasrama perlu memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian sehingga tarikh kemasukan ke asrama diumumkan,” katanya,

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah diberi pilihan buat PdPR jika kes Covid-19 tinggi

KULAI, 23 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pilihan kepada sekolah rendah dan menengah untuk menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya penularan kes Covid-19 pada tahap tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamad Alamin berkata kementerian kini memfokuskan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Memang kita sudah beri pilihan kepada sekolah rendah dan menengah, tingkatan satu hingga empat tidak perlu ke sekolah.

“Yang lain, mereka boleh buat PdPR dan sekolah rendah juga boleh memohon untuk mengadakan PdPR jika ada risiko penularan Covid-19. Kita sentiasa fleksibel dan menilai risiko dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra 2 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengoperasian sekolah dan tindakan KPM susulan peningkatan kes Covid-19.

Mohamad berkata KPM telah menyediakan panduan tatacara operasi piawai (SOP) kepada sekolah-sekolah untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku jangkitan penularan Covid-19.

“Garis panduan telah kita sediakan. Kementerian Kesihatan (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah akan sentiasa bantu KPM dan sekiranya ada kes Covid-19 di sekolah, kita akan lapor dan mereka akan buat penilaian risiko.

“Kalau berlaku kes di asrama, KKM akan menilai sama ada perlu diteruskan atau tutup…Kalau sampai tahap (kes tinggi) kita akan tutup, jika belum kita ambil langkah meminimumkan risiko supaya tidak menular dengan lebih teruk. Keputusan yang kita ambil adalah berdasarkan kepada keselamatan murid dan guru di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata KPM akan membuat keputusan berkenaan pelaksanaan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dalam masa terdekat

Katanya kementerian masih meneliti dan berbincang perkara berkenaan sebelum membuat keputusan rasmi.

“Sama ada tangguh atau batal, kita masih dalam penilaian dan perbincangan. Kita akan selidik dan teliti pandangan yang diterima dan kita akan rumuskan. Saya percaya Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.

Hari ini, media melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa KPM untuk menangguhkan atau membatalkan pelaksanaan PT3 atas faktor keciciran dilalui pelajar tingkatan tiga.

Presiden NUTP Aminuddin Awang dilaporkan berkata penangguhan itu penting kerana pelajar tingkatan tiga telah keciciran pelajaran apabila hanya belajar selama beberapa bulan pada 2020 dan 2021 susulan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakar: Tangani segera murid tercicir akibat pandemik, elak lebih parah

Oleh Nur Adila Abdul Wahab & Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Ba-si-kal. Perkataan tiga suku kata yang umumnya sudah boleh dibaca dengan lancar oleh kebanyakan murid Tahun Dua.

Namun bagi Qawien Fuadi Shahrul Hazli, lapan tahun, dia memerlukan masa hampir 10 minit untuk mengeja dan menyebut perkataan itu – tidak ubah seperti kanak-kanak pendidikan prasekolah.

“Dia faham apa yang kita bacakan kepadanya, tetapi apabila disuruh baca semula, dia terpaksa mengeja satu demi satu sebelum dapat membaca perkataan tersebut. Bayangkan jika dia perlu membaca teks yang panjang,” keluh si ibu, Farah Alina P Ramli, 36, kepada Bernama, ketika dihubungi baru-baru ini.

Penjawat awam tersebut percaya masalah anaknya itu berpunca daripada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dan telahannya turut dipersetujui oleh pakar pendidikan yang yakin masalah sama dialami oleh ratusan ribu murid lain, sepanjang lebih 200 hari bersekolah dalam talian untuk keseluruhan sesi 2020 dan 2021.

Sesi persekolahan di negara ini melibatkan 198 hari persekolahan secara bersemuka dalam setahun, namun penularan pandemik Covid-19 memaksa kerajaan menutup sekolah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan dan melaksanakan PdPR, yang menurut pakar mempunyai cabaran tersendiri, baik kepada pelajar, guru mahupun ibu bapa.

Cabaran PdPR

Bercerita lanjut tentang anak keduanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (Felda) Serting, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, ibu tiga anak itu mengakui cabaran PdPR bukan sahaja dihadapi oleh anaknya tetapi juga dirinya sendiri.

PdPR katanya menuntut komitmen yang tinggi daripada ibu bapa, dan bagi dirinya dan suami, perkara itu agak sukar dilakukan kerana perlu memenuhi tanggungjawab sebagai pekerja selain menguruskan anak-anak yang lain.

Tiga adik beradik dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) Siti Nur Alisha Dania, 12, Muhammad Afif Darwish, 7, dan Muhammad Alif Daniel, 9, mengikuti pembelajaran dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian ketika tinjauan pada 20 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Bayangkan, untuk kami mengajar Qawiem sahaja ambil masa, belum lagi diambil kira masa untuk abangnya yang berusia 10 tahun,” kata Farah Alina yang mengakui turut berdepan masalah dalam menyediakan peranti dan akses internet untuk pembelajaran kedua-dua anaknya itu.

Justeru katanya, pembukaan sekolah penggal 3 2021/2022 yang bermula minggu ini memberi sedikit kelegaan buatnya kerana murid Tahun Dua sudah dibenarkan hadir ke sekolah sepenuh masa, bukan lagi secara bergilir.

“Saya tidak mahu masalah pembelajaran Qawiem ini berlarutan kerana kami tidak mampu menghantarnya ke kelas tuisyen sekiranya dia masih tidak boleh membaca,” ujarnya.

Keciciran pembelajaran

Masalah yang dihadapi oleh murid seperti Qawiem Fuadi ini tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya menurut pakar pendidikan yang dihubungi Bernama, isu berkenaan perlukan penyelesaian segera dan menyeluruh.

Ini kerana kata mereka kelompok murid yang memulakan pendidikan rasmi Tahun Satu pada 2020, iaitu ketika pandemik mula menular di negara ini, merupakan golongan paling berisiko mengalami kehilangan pembelajaran atau learning loss, sementelah mereka akan memasuki Tahun Tiga pada Mac nanti.

“Kegagalan murid menguasai dengan baik tiga kemahiran asas – membaca, menulis dan mengira (3M) akan memberi kesan kepada pembelajaran mereka di peringkat tinggi dan seterusnya ketinggalan sekiranya tiada langkah intervensi diambil,” kata Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor.

Menurut pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, kesan daripada masalah berkenaan akan dapat dilihat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, khususnya dari segi kualiti modal insan pada masa tersebut.

“UNESCO menganggarkan 50 peratus murid langsung tidak hadir ke sekolah sepanjang pandemik. Walaupun tiada data yang jelas tentang situasi di Malaysia, saya jangkakan keadaan hampir sama berlaku di sini,” katanya.

Menurut beliau, situasi itu membimbangkan kerana kajian di luar negara mendapati penutupan sekolah selama lapan minggu sudah boleh menyebabkan kehilangan pembelajaran.

“Sekiranya murid tersebut hadir secara PdPR, peratus murid yang benar-benar dapat menghayati PdPR juga agak membimbangkan.

“Justeru, apakah strategi Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menggantikan ilmu pengetahuan yang sepatutnya diraih oleh murid selama dua tahun (sepanjang pelaksanaan PdPR) itu?,” katanya.

Beliau juga menegaskan strategi KPM tidak boleh berbentuk one-off atau hanya selama dua hingga tiga bulan, sebaliknya, perlu dilaksanakan secara berterusan merangkumi program mitigasi dan intervensi dengan matlamat jangka pendek dan jangka panjang, termasuk mewujudkan kembali kelas peralihan jika perlu.

Muhammad Nur Izzat Ismail (tengah) bersama adiknya Putri Nur Alya Batrisyia (kiri) menggunakan tablet sumbangan pendakwah terkenal Ebit Lew untuk mengulang kaji pelajaran sambil diperhatikan ibunya di Flat DBKL Hang Tuah pada 23 Januari 2021. Foto BERNAMA

Polemik 3M

Mengulas lanjut, beliau berkata isu kelemahan penguasaan 3M dalam kalangan pelajar sudah menjadi polemik sebelum pelaksanaan PdPR dan tidak menolak masalah tersebut bertambah parah sekarang berdasarkan temu bual tidak formal beliau dengan warga pendidik.

“Saya khuatir KPM terlepas pandang kerana kesan learning loss bukan dapat dilihat sekarang berikutan kita tiada sistem peperiksaan umum untuk mengetahui kesan keseluruhan di seluruh negara disebabkan pemansuhan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3), dan akan hanya diketahui semasa pelajar menduduki SPM atau ketika di alam pekerjaan,” ujarnya.

Setakat ini, hanya Johor mempunyai data tentang masalah itu dengan media melaporkan kira-kira 20 peratus daripada 131,281 murid Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tiga) di negeri berkenaan mengalami kesukaran menguasai 3M.

Pakar juga melihat langkah KPM melanjutkan sesi persekolahan, misalnya untuk murid Tahun Dua dilanjutkan hingga Februari 2022 sebelum naik ke Tahun Tiga pada Mac, masih belum mencukupi bagi membantu murid dalam soal penguasaan 3M.

Isu kesesakan dalam bilik darjah dengan sesetengah sekolah terpaksa meletakkan lebih 40 murid di dalam sebuah kelas memburukkan lagi permasalahan 3M ini kerana guru sukar memberi perhatian yang mencukupi terhadap setiap murid, kata Dr Anuar Ahmad, pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM.

Bilangan murid yang terlalu ramai di dalam sesebuah bilik darjah itu tidak seiring dengan saranan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), dan dipersetujui ramai pakar, bahawa jumlah yang sesuai ialah 20 hingga 25 murid.

“Langkah intervensi KPM dalam menangani isu keciciran pembelajaran ini juga perlu memastikan bilangan murid kelas intervensi membaca, menulis dan mengira tidak terlalu sesak kerana ini akan menggugat keberkesanan pengajaran.

“Isu kelas terlalu ramai murid sudah lama dan kritikal. KPM perlu buat sesuatu untuk menyelesaikannya, apatah lagi jumlah murid tidak dapat membaca diunjur bertambah akibat daripada gangguan pembelajaran semasa pandemik,” kata Anuar.

Kajian membuktikan murid yang tidak menguasai dengan baik kemahiran 3M di Tahap Satu sekolah rendah akan berhadapan kemerosotan prestasi akademik di Tahap Dua (Tahun Empat hingga Enam) dan seterusnya akan keciciran apabila di peringkat sekolah menengah.

Jurang pembelajaran

Isu keciciran pembelajaran ini turut diperakui oleh KPM yang mengaku penutupan sekolah yang agak lama itu menimbulkan isu learning loss dan learning gap dalam kalangan murid, melibatkan umumnya kumpulan B40.

Bagi menangani permasalahan tersebut, KPM melaksanakan pelbagai langkah, antaranya Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (PerkasaKU) yang bermula 1 September 2021 hingga 28 Februari 2022, meliputi murid Tahun Satu hingga pelajar Tingkatan Lima.

Bagaimanapun Anuar melihat pelaksanaan program bagi memulihkan tahap penguasaan pembelajaran murid itu sebagai kurang jelas dari segi matlamat selain tidak komprehensif mahupun bersungguh-sungguh kerana dilaksanakan hanya hingga akhir bulan depan.

Murid Sekolah Kebangsaan Meru Klang memulakan sesi pembelajaran pada hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga bagi negeri Kumpulan B ketika tinjauan pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA

“Kita memerlukan sebuah program yang lebih menyeluruh dan jelas matlamat yang ingin dicapai bagi menyelesaikan isu keciciran pendidikan akibat Covid-19. Ini penting, kerana jika keciciran pembelajaran berterusan dalam jangka masa yang lama, maka akan berlaku keciciran pendidikan disebabkan hilang motivasi kerana sekolah ditutup lama selain masalah kemiskinan B40,” katanya.

Keciciran pembelajaran merujuk murid masih lagi bersekolah tetapi berada dalam keadaan sukar menguasai pembelajaran manakala keciciran pendidikan merujuk murid langsung tidak dapat meneruskan persekolahan dalam satu jangka masa panjang sehingga meningkatkan kadar buta huruf atau terus berhenti sekolah.

KPM sebelum ini melaporkan seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021.

Pelaksanaan PdPR diakui memberikan kesan besar kepada B40 yang berdepan kesukaran menyediakan peranti dan akses Internet untuk anak mereka, sekali gus menyebabkan berlaku keciciran pembelajaran, dan kini pelajar daripada golongan itu berisiko keciciran pendidikan.

Ketika penularan pandemik memuncak di negara ini, ada golongan B40 terpaksa membuat pilihan yang sukar – antara menyediakan makanan untuk keluarga atau pendidikan anak.

“Anak-anak B40 adalah antara golongan paling terkesan dalam penularan pandemik kerana berdepan risiko keciciran pendidikan, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh dunia. Kajian Bank Dunia pada 29 Oktober 2021 menunjukkan lebih 70 peratus kanak-kanak yang berhadapan risiko berhenti sekolah ketika pandemik berlaku di negara yang rakyatnya berpendapatan rendah dan sederhana.

“Atas sebab itulah kita amat memerlukan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara bagi mengenal pasti kumpulan keluarga miskin yang perlu diberikan bantuan untuk mengelak situasi keciciran pembelajaran dan pendidikan menjadi barah,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Taman Templer agih lebih 70 peranti, mudahkan PdPR pelajar

SELAYANG, 14 NOV: Lebih 70 peranti diberi kepada pelajar sekitar DUN Taman Templer bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang penularan Covid-19.

Ahli Dewan Negeri Mohd Sany Hamzan berkata insiatif diutamakan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) serta tiada kemudahan berkenaan.

“PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) menyebabkan pelajar tidak dapat belajar bersemuka. Ada keluarga yang tiada peranti untuk belajar dalam talian.

“Jadi kita agihkan kepada yang benar-benar layak sahaja. Setakat ini pemberian melibatkan hampir 40 telefon bimbit, tablet antara 20 hingga 25 unit dan komputer riba sebanyak 10,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah hari ini.

Mohd Sany berkata semua penerima dikenal pasti oleh ketua kampung dan pihaknya meneliti segala latar belakang bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

 

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Mohd Sany Hamzan menyantuni seorang remaja yang menerima suntikan pelalian dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah, Selayang pada 14 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sumbangan tablet mudahkan lima beradik yatim piatu ikuti PdPR

SHAH ALAM, 3 NOV: Sumbangan tablet kepada lima beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 akan dimanfaat untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bapa saudara mereka, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 36, berkata, empat anak saudaranya berkongsi komputer riba kepunyaan arwah bapa mereka untuk belajar dalam talian.

“Mereka mempunyai telefon bimbit sendiri tetapi sudah lama dan sering kehabisan bateri.

“Dengan adanya sumbangan tablet dan kad sim percuma, mereka tidak perlu lagi berkongsi dan kos membeli data juga berkurangan,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kerana sudi memberi sumbangan tersebut.

Semalam, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor melawat Muhammad Hadhrami, 11; Husna Humaira, sembilan; Muhammad Harraz, lapan; Muhammad Hawwas, enam dan Hannan Humaira, tiga, yang kehilangan bapa Mohd Nasir Tahal, 46, pada 11 Ogos.

Manakala, ibu mereka Ida Haryanie Abdul Razak, 38, menghembus nafas terakhir pada 8 Oktober lalu selepas 64 hari ditidurkan di Hospital Putrajaya.

Mereka kini dijaga datuk dan nenek Abdul Hamid Basirun, 67 dan Kintan Sulaiman, 63.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penerima kad SIM percuma manfaat untuk pembelajaran anak

BANTING, 27 OKT: Kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma dilengkapi data internet sumbangan Kerajaan Negeri digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Peniaga dalam talian Nora Tulhayati Abd Rahman,36, berkata sejak PdPR beliau memperuntuk lebih RM100 untuk membeli data internet untuk kemudahan dua anaknya berusia 13 dan 11 tahun.

Nora Tulhayati Abd Rahman

“Sebelum ini saya hanya belanja RM30 sebulan termasuk kegunaan perniagaan dalam talian tetapi sejak PdPR duit belanja bulanan bertambah sedikit.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi memberi kad SIM percuma yang lengkap dengan data internet. Inisiatif ini menjimatkan kos belanja bulanan kerana tidak perlu lagi tambah nilai dan beli data setiap minggu,” katanya kepada SelangorKini.

Suri rumah Ng Chai Hsia,30, pula berkata sumbangan Kerajaan Negeri membantu anaknya untuk belajar kerana data internet digunakan agak perlahan.

“Buat masa ini pakej data diambil perlahan dan cukup untuk kegunaan harian sahaja. Kadang-kala ketika sesi pembelajaran anak berusia tujuh tahun sangkut kerana internet perlahan,” katanya.

Nazir Masjid Al-Ihsan Sungai Lang Ahmad Saidi, 63, berkata beliau akan menggunakan kad SIM itu untuk menghebahkan maklumat berkaitan masjid, penduduk sakit atau ceramah.

Lang Ahmad Saidi

“Ketika pandemik banyak aktiviti masjid dihentikan seketika dan mesyuarat juga diadakan dalam talian.

“Dengan adanya data internet percuma, saya kini tidak risau lagi jika kehabisan data kerana banyak digunakan sepanjang Covid-19,”katanya.

Sumbangan itu diserahkan wakil rakyat Banting Lau Weng San di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Banting di sini semalam.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Internet percuma beri semangat belajar, saran lebih banyak kuota dibuka

SHAH ALAM, 29 SEPT : Ibu bapa perlu memantau anak menggunakan data internet percuma diberi Kerajaan Negeri sebaiknya, kata Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor Mohd Azuan Mohd Nawawi

Mohd Azuan Mohd Nawawi berkata tindakan itu penting bagi mengelak kemudahan tersebut disalah guna perkara tidak bermanfaat.

“Internet percuma beri semangat kepada pelajar untuk belajar yang mungkin sebelum ini berdepan masalah mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Namun, ibu bapa juga berperanan memantau penggunaan internet, pastikan anak-anak tidak gunakan untuk perkara tidak berfaedah,” katanya ditemui selepas sesi penyerahan SIM percuma Data Internet Selangor di Kediaman Dato’ Menteri Besar di sini.

Sesi serahan 7,000 kad SIM disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor Rozlina Abd Ghani turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri memberi internet percuma selama 12 bulan.

Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor Rozlina Abd Ghani

“Setakat ini, seramai 431 pelajar di Hulu Selangor terima manfaat ini. Kita harap lebih banyak permohonan dibuka kerana masih ramai yang mahukan faedah tersebut,” katanya.

Pada 4 Ogos, Amirudin memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Beliau berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kembali ke sekolah: Guru perlu prihatin psikologi kanak-kanak

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 3 Okt ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan guru, dengan masing-masing bebas mengeluarkan pandangan.

Namun, dalam berpolemik itu jangan sampai isu psikologi kanak-kanak yang bakal kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan sekolah selepas sekian lama, dikesampingkan.

Umum menganggap golongan itu teruja dapat kembali belajar di dalam kelas fizikal, berinteraksi dengan guru dan rakan secara bersemuka, namun tidak boleh disangkal pasti ada antara mereka yang berasa resah dan bimbang apabila memikirkan perlu ke sekolah semula.

Antara faktor yang menyebabkan keadaan sedemikian ialah takut dengan ancaman Covid-19 serta kekok dan malu untuk bertemu semula rakan sekelas dan guru. Tidak kurang juga ada yang berasa bimbang gagal menjawab pertanyaan guru kerana tidak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara konsisten selain tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

Wujud persekitaran santai

Menurut Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001, golongan itu ditakrifkan sebagai individu berusia bawah 18 tahun.

Pakar psikologi kanak-kanak yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Noor Aishah Rosli berkata pihak sekolah wajar mengambil pendekatan lebih santai pada peringkat awal sekolah dibuka semula dengan guru-guru tidak terus mengajar.

Sebaliknya, pelajar diajak beriadah dan bersukan atau bermain terlebih dahulu asalkan aktiviti berkenaan dilakukan dalam lingkungan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Katanya keadaan yang tidak terlalu terikat dengan sesi pengajaran normal dalam tempoh seminggu dua sesi persekolahan itu penting bagi membangkitkan semangat dan rasa seronok, selain mengurangkan rasa janggal serta stres yang mungkin wujud dalam kalangan kanak-kanak kerana sudah lama tidak ke sekolah.

“Kita nak kembalikan ‘mood’ di samping merangsang semula kemahiran sosial dan komunikasi mereka bersama rakan-rakan dan guru-guru. Kita mahu murid-murid, khususnya di tahun satu dan dua, mempunyai persepsi positif dan seronok untuk terus belajar di sekolah,” katanya kepada Bernama.

Dr Noor Aishah turut menasihati guru agar tidak terus bertanyakan tentang kerja sekolah, kehadiran di kelas PdPR dan sebagainya yang boleh menjejaskan keterujaan murid dapat kembali ke sekolah.

“Untuk awal-awal ini cubalah elakkan. Bukan semua murid dapat mengikuti PdPR sepenuhnya dan menyiapkan semua kerja sekolah. Jika mereka ditekan dengan soalan-soalan begitu, tidak mustahil timbul rasa takut dan tidak seronok untuk ke sekolah, malah mungkin ada yang akan menangis jika ke sekolah,” katanya, menambah perkara itu dibimbangi akan membawa kepada permasalahan yang lebih besar, sekali gus mengganggu proses pembelajaran.

Ulang kaji ringkas

Pelajar yang tidak mengikuti PdPR secara konsisten sedikit-sebanyak akan ketinggalan beberapa perkara dalam pelajaran.

Isu tercicir atau ketinggalan ini boleh berlaku bukan sahaja disebabkan oleh kekangan kemudahan seperti ketiadaan internet, komputer riba dan sebagainya, tetapi juga kerana perbezaan suasana belajar di dalam kelas dan di rumah sehingga pelajar sukar memberi tumpuan kepada pembelajaran.

Dr Noor Aishah berpendapat perkara paling penting dalam persekolahan ketika era pandemik ialah kefahaman pelajar, bukan lagi peperiksaan dan menghabiskan silibus semata-mata.

“Kaedah pembelajaran secara maya tidak sama dan bukan 100 peratus berkesan kepada semua pelajar. Kadang-kadang apa yang berlaku di rumah boleh menyebabkan pelajar hilang fokus untuk belajar, keadaan sekeliling yang kurang selesa, contohnya, bukan semua orang ada meja belajar dan bilik sendiri.

“Bagi mendepani perkara ini (isu tercicir), guru-guru mungkin boleh menjalankan sesi ulang kaji secara ringkas untuk setiap topik bagi semua pelajar, agar mereka mengetahui dan mengingati kembali perkara yang diajar sebelum ini,” katanya, menambah kaedah video, gambar dan peta minda lebih mudah diingati oleh pelajar.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 20 Sept lepas, menyatakan tahap keberkesanan PdPR dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah sederhana.

Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian, dengan tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh Mac hingga Julai tahun lepas, menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar.

Sebanyak 51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah, dan daripada jumlah itu, 48.9 peratus menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, 55 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan manakala 53.4 peratus tertekan kerana kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran.

KPM turut menyebut 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

Kuasai 3M, Covid-19 bukan punca

Mengulas tentang pilihan yang diberikan kepada ibu bapa dan penjaga untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana bimbang dengan ancaman Covid-19, Dr Noor Aishah berkata mereka bertanggungjawab memastikan anak-anak mampu menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira).

“Wajar untuk ibu bapa risau anak-anak terdedah kepada Covid-19. Tetapi pada masa sama, kita juga perlu sedar kepentingan anak-anak menguasai 3M. Jangan pula nanti bila hantar semula anak ke sekolah dan anak masih tidak boleh menguasai 3M, ibu bapa meletakkan kesalahan pada guru, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Ada kanak-kanak yang berumur tujuh dan lapan tahun sebenarnya boleh membaca, tetapi tidak dilatih. Ada pula kanak-kanak yang diajar dan dilatih tetapi masih tidak boleh membaca. Ini mungkin melibatkan masalah psikologi seperti disleksia, IQ rendah dan lain-lain masalah pembelajaran, jadi ibu bapa perlu bertindak segera, contohnya berjumpa pakar bagi mengatasi perkara ini,” katanya.

Beliau yang berpandangan Covid-19 bukan punca utama yang menyebabkan kanak-kanak kurang bersosial dan berinteraksi dengan ada antara mereka yang terganggu emosi, berkata hakikatnya dalam dunia psikologi, ramai anak-anak remaja yang mengalami masalah sosial emosi.

“Tanpa Covid-19 pun ada kanak-kanak yang jenis pendiam, ada rasa takut, bimbang dan tidak yakin untuk bergaul. Jangan terkejut jika saya katakan banyak kes remaja yang saya kendalikan… mereka ini lebih gemar mengikuti kelas secara dalam talian berbanding bersemuka kerana mempunyai karakter pendiam, pemalu dan rasa lebih yakin dan selesa belajar secara maya,” jelasnya.

Sesi kaunseling, perbincangan pakar

Berkongsi pandangan, pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaaan Malaysia Prof Madya Dr Hasnah Toran berkata KPM perlu menyediakan pakej latihan berserta maklumat kepada guru untuk mengenal pasti sekiranya pelajar berhadapan masalah sosioemosi seperti bergaul dan berinteraksi dengan kawan-kawan dan guru.

Ujarnya sesi kaunseling boleh dijalankan ke atas pelajar terlibat bagi membantu mereka mengurangkan rasa resah, kurang selesa, bimbang dan sebagainya.

Tambah beliau lagi, lebih banyak perbincangan melibatkan pakar-pakar berkaitan perlu dijalankan bagi memastikan kesediaan kanak-kanak untuk kembali meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka, manakala guru-guru dan ibu bapa pula harus mempunyai strategi masing-masing agar setiap proses berjalan lancar.

“Ibu bapa dan guru-guru perlu lihat tahap kesediaan anak-anak, jangan terus memaksa apatah lagi marah-marah. Ini mungkin akan mengambil masa bagi sesetengah mereka.

“Soal emosi dan psikologi ini isu dalaman, tak nampak. Kaedah menangani emosi anak-anak di peringkat sekolah rendah dan menengah juga berbeza pendekatannya,” katanya, menambah tugas guru mungkin akan jadi lebih mencabar dalam mentaksir tahap pencapaian semasa pelajar.

MBK perlu bersemuka

Sementara itu, bagi guru prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Dato’ Penghulu Luak Jempol, Negeri Sembilan, Nurhayati Zainudin, pengoperasian sekolah secara bersemuka melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan PPKI, membantu MBK menjalani sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) secara lebih berkesan berbanding secara dalam talian.

“MBK ada pelbagai kategori, dan setiap daripadanya memerlukan kemahiran dan kaedah pembelajaran yang berbeza di samping banyak melibatkan kemahiran interaksi sosial dan memerlukan ‘personal touch’ di antara guru dan murid.

“Harus diakui agak sukar sebenarnya belajar secara dalam talian, lebih-lebih lagi ia memerlukan kerjasama ibu bapa untuk bersama MBK sewaktu sesi kelas dijalankan.

“Belajar secara bersemuka membantu guru dan pembantu pengurusan murid mengendalikan emosi murid, di samping guru boleh menggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran mengikut tahap keupayaan setiap mereka,” katanya, menambah guru juga boleh memantau perkembangan murid, terutama dalam aspek pengurusan diri dan seterusnya akademik.

Selain pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara mulai 3 Okt ini, penetapan kapasiti hanya 50 peratus di dalam kelas adalah demi memastikan pelajar dapat terus rapat dengan sekolah serta hadir di sekolah dalam keadaan yang selamat.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Kembali ke sekolah, antara kelegaan guru dan dilema ibu bapa

Oleh Fatin Najmi Mohammad Shah

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka membabitkan kelompok pelajar tertentu di negeri-negeri fasa dua dan ke atas bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober ini, dijangka dapat meleraikan beberapa isu pendidikan yang membelenggu guru, pelajar dan ibu bapa sejak Covid-19 menular di negara ini pada awal tahun lepas.

Selain menangani isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang penuh dengan pelbagai ragam dan kisah, pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka dilihat dapat membantu mengurangkan kelesuan dan kehilangan motivasi pelajar yang kini pada tahap membimbangkan.

Meskipun terdapat kekhuatiran dalam kalangan ibu bapa berikutan kes jangkitan yang masih lagi tinggi selain vaksinasi ke atas pelajar belum menyeluruh, perlu ada langkah permulaan ke arah pemulihan bagi memastikan sistem pendidikan terus berjalan lancar.

Beberapa guru yang dihubungi meluahkan kelegaan dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) itu berikutan pelbagai masalah dihadapi mereka semasa melaksanakan PdPR.

Lega sekolah bersemuka dibuka

Nur Sabrina Mansor, 30, meluahkan keterujaan untuk kembali berada di hadapan kelas fizikal dan mengajar secara bersemuka yang baginya adalah kaedah pengajaran terbaik.

Guru pemulihan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(2) Shah Alam, Selangor itu berkata kepuasan mengajar baginya adalah apabila dapat memantau dan memberikan bimbingan kepada pelajar secara bersemuka.

“Lega apabila pengumuman pembukaan sekolah secara berperingkat ini dibuat. Walaupun ada kebimbangan terutama dengan bilangan kes yang masih lagi tinggi, pengumuman itu memberi ruang untuk membuat persiapan rapi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Selangor kini berada di bawah Fasa Dua PPN dan pengoperasian sekolah secara bersemuka hanya untuk sekolah rendah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, sementara sekolah menengah pula melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan itu pada akhir Oktober ini.

Pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Matang Kuching beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air pada 8 September 2021. Foto BERNAMA

Turut meluahkan perasaan sama Nor Amirah Abdul Hamid, 31, yang mengakui tidak sabar untuk kembali ke sekolah bertemu dengan pelajarnya secara bersemuka, namun buat masa ini terpaksa akur apabila hanya murid berkeperluan khas dan prasekolah sahaja dibenarkan hadir pada 3 dan 4 Oktober ini untuk sekolah di bawah Fasa Tiga PPN.

Guru subjek Sejarah di Sekolah Kebangsaan Dr Sulaiman, Tampin, Negeri Sembilan itu mengakui cabaran besar yang dihadapinya ketika sesi PdPR ialah memastikan kehadiran murid.

Di sebalik kesukaran itu, PdPR juga mempunyai sisi positif apabila semakin ramai guru menguasai kemahiran teknologi maklumat.

“Saya kini lebih mahir membuat slaid yang interaktif bagi menarik perhatian pelajar berbanding semasa awal pelaksanaan PdPR dahulu.

“Selain itu, kami (guru) dapat mengetahui apakah kekangan yang dihadapi seseorang pelajar apabila kami kerap berkomunikasi secara terus dengan ibu bapa, dan perkara ini menjadikan kami lebih bertimbang rasa serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu pelajar,” katanya.

Bantu kembalikan motivasi pelajar

Bagi ibu bapa pula, mereka berharap pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka mengikut fasa itu akan dapat mengembalikan motivasi anak-anak yang sudah lesu mengikuti pembelajaran secara PdPR.

Sekalipun begitu, hakikat penularan Covid-19 masih tinggi di negara ini meletakkan ibu bapa dalam dilema seperti yang dikongsikan oleh Ahmad Qhuffry Hazlan, 36.

Katanya beliau belum dapat memutuskan sama ada akan membenarkan dua anaknya – Ahmad Qhaliff Imran Ahmad Qhuffry, 12, dan Ahmad Qhayyum Zaquan Ahmad Qhuffry, 9, – ke sekolah atau sebaliknya.

Beliau yang menetap di negeri fasa empat iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, tetap berasa bimbang walaupun kes jangkitan di wilayah itu sudah terkawal.

“Murid sekolah rendah iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 dibenarkan hadir secara penggiliran bermula 17 hingga 31 Oktober nanti, namun kegusaran saya ialah kemampuan guru-guru untuk mengawal murid sekolah rendah ini mematuhi SOP.

“Pada masa sama, saya juga risau jika anak-anak terlalu lama mengikuti PdPR kerana penumpuan mereka terganggu selain kemudahan Internet di Labuan kurang memuaskan, sekali gus menyukarkan mereka belajar dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Nor Hasimah Hassan, 58, menyambut positif langkah pembukaan sekolah kerana yakin anaknya, Nur Aliyyah Mohd Raszali, 19, pelajar tingkatan enam di Putrajaya yang sudah lengkap vaksinasi mampu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan pihak sekolah.

Utamakan kelas peperiksaan

Di sebalik ketetapan KPM berhubung pembukaan semula persekolahan bersemuka, masih ada pakar pendidikan berpendapat langkah itu sepatutnya cuma membabitkan pelajar yang akan berdepan dengan peperiksaan seperti STPM dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berpendapat kesesakan di sekolah boleh dikawal sekiranya hanya pelajar peringkat menengah atas dibenarkan hadir sehinggalah pandemik dapat dikawal dengan lebih baik atau sehingga 90 peratus rakyat Malaysia yang layak telah lengkap vaksinasi.

“Pelajar peringkat menengah rendah masih boleh meneruskan PdPR seperti biasa,” katanya kepada Bernama.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan itu pada 22 Februari 2021. Foto BERNAMA

Sementara itu, kebenaran kehadiran untuk sekolah rendah pula lebih wajar bagi murid Tahun 2 sahaja manakala murid-murid Tahun 1 perlu meneruskan PdPR.

Kaedah itu dijangka lebih baik berbanding kehadiran secara penggiliran kerana tidak semua sekolah mempunyai infrastruktur dan prasarana yang lengkap dan berfungsi.

“Kekeliruan dan kesukaran juga dijangka berlaku kepada ibu bapa dalam hal penjagaan anak-anak apabila kaedah penggiliran persekolahan dijalankan.

“Perkara ini menyukarkan terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah kerana perlu memantau anak mana yang akan ke sekolah dan yang mana duduk di rumah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan KPM lebih luwes dalam hal persekolahan bersemuka itu dengan mengambil kira pandangan dan budi bicara pengetua dan guru besar yang lebih memahami situasi ketersediaan guru, sumber dan infrastruktur teknologi maklumat di sekolah masing-masing.

Jangan risikokan pelajar

Sependapat dengan Azlin Norhaini, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, UKM Dr Anuar Ahmad meluahkan kebimbangan dengan risiko yang akan dihadapi pelajar terutamanya mereka yang belum divaksinasi.

Mengambil contoh kes di Texas, Amerika Syarikat bulan lepas, Anuar berkata sekolah di sana terpaksa ditutup kembali selepas beberapa minggu dibuka apabila berlakunya penularan Covid-19 secara besar-besaran di sekolah.

“Selain itu, sistem penggiliran dijangka memberi bebanan kepada guru apabila mereka terpaksa mengajar dua kali.

“Saya cadangkan sistem penggiliran ini dijalankan mengikut tingkatan, yang mana lebih mudah untuk guru-guru mengajar dan pemantauan pematuhan SOP juga mudah untuk dijalankan,” katanya.

Anuar berkata keupayaan guru untuk mengajar secara PdPR juga sudah meningkat jika dibandingkan semasa awal pelaksanaannya dahulu.

“Kejayaan PdPR ini dapat dilihat berdasarkan keputusan cemerlang SPM 2020 dan Laporan Tahunan 2020 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya.

Mengulas mengenai isu itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan tidak menafikan pelan perancangan pembukaan sekolah yang diumumkan tersebut adalah komprehensif, rapi dan tuntas, namun ada beberapa isu yang perlukan kepastian.

“Beberapa perkara harus diambil kira seperti berapakah peratusan vaksinasi yang menjamin sesebuah sekolah itu selamat? Jika hanya 30 peratus warga sekolah yang divaksinasi, adakah ia selamat?” katanya.

Beliau berkata dasar pemberian vaksin kepada pelajar yang berumur 12 hingga 15 tahun juga harus dimuktamadkan kerajaan bagi melancarkan proses PdP secara bersemuka itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keberkesanan kaedah PdPR pada tahap sederhana – KPM

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.

“Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar. Bagi RPT pula 46.2 peratus guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1 peratus guru di luar bandar.

“51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah… daripada kumpulan itu 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia hari ini.

Jawapan oleh KPT itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh Pandemik Covid-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.

Menurut kementerian itu 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

Pada suku pertama tahun ini, KPM turut menjalankan Tinjauan Pelaksanaan PdPR melibatkan 500 sekolah melalui pemerhatian terhadap PdPR yang dilaksanakan dalam talian atau gabungan dalam dan luar talian.

Sebanyak 1,053 pemerhatian terhdap Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru melalui kehadiran Nazir Sekolah dalam kelas PdPR mendapati 97.4 peratus berjaya membimbing murid memahami isi, konsep dan fakta yang diajar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa boleh pilih untuk tidak hantar anak ke sekolah

PUTRAJAYA, 12 SEPT: Ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbangkan ancaman Covid-19 apabila sesi persekolahan bersemuka dibuka semula secara berperingkat bermula 3 Okt ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin dan tiada surat amaran akan dikeluarkan kepada pelajar.

“Namun ibu bapa diminta untuk menulis surat bagi memaklumkan ketidakhadiran anak mereka ke sekolah,” katanya pada sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Hari ini Radzi mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Okt ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri dan turut akan memperkenalkan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pemakaian pakaian seragam sekolah adalah tidak diwajibkan dan murid dibenarkan untuk memakai pakaian yang bersesuaian, kemas dan sopan sekiranya pakaian seragam sekolah sudah tidak sesuai untuk dipakai.

“Kita tidak mahu beri tekanan kepada ibu bapa menyediakan pakaian baharu…matlamat kita hanya mahu anak-anak ke sekolah sahaja,” katanya.

– BERNAMA