Categories
AGENDA NASIONAL

Pengadil rebah, meninggal dunia ketika adili perlawanan bola sepak

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Seorang lelaki tempatan meninggal dunia ketika mengadili perlawanan bola sepak di Taman Berjaya, Kajang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung lelaki berumur 50-an itu, yang tidak sedarkan diri pada 4.17 petang.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang merupakan pengadil perlawanan, rebah di tengah padang ketika perlawanan telah berlangsung dalam tempoh 19 minit.

“Pihak ambulans yang tiba terus menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa dan telah mengesahkan kematiannya. Mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tingkat rondaan, elak kes pecah masuk premis

SERDANG, 26 JAN: Polis akan mengawal ketat dan melakukan rondaan berkala di premis perniagaan sekitar lokasi tanah mendap di Jalan LP 1A/2, Seri Kembangan di sini semalam bagi mengelakkan kejadian jenayah.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata kawalan itu adalah sebagai langkah memastikan tiada berlaku sebarang kejadian ‘pecah kedai’ dan kecurian, sepanjang premis-premis terbabit ditutup susulan bencana itu.

Beliau berkata selain polis, agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Rela, turut membantu menjaga keselamatan kawasan berkenaan.

“Kejadian mendapan tanah di lokasi berkenaan diklasifikasikan sebagai bencana, maka polis telah menetapkan beberapa agensi penguatkuasa untuk membantu memastikan kawasan itu selamat dan terjamin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kerja membaik pulih kawasan mendapan tanah itu, Anbalagan berkata pihak berkuasa tempatan sedang mencari solusi jangka masa panjang membaik pulih kawasan itu, memandangkan pemasangan cerucuk besi yang dilakukan di tebing longkang berhampiran adalah sementara.

Dalam kejadian pada pukul 6.38 petang semalam, tanah runtuh berhampiran longkang besar di Jalan LP 1A/2, telah menyebabkan lima buah kenderaan rosak teruk.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Veteran tentera, polis dilantik renjer, kekang aktiviti buru hidupan liar

KUALA LUMPUR, 22 JAN:- Seramai 800 individu termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli hari ini dilantik sebagai Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju berkata mereka yang menerima watikah pelantikan itu terdiri daripada 224 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VET), 439 Orang Asli (OA), 112 orang awam, 15  Veteran Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan 10 pesara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Adalah diharapkan dengan pelantikan Renjer Hidupan Liar di bawah Program BP3 ini dapat mengurangkan kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram di kawasan habitat hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BP3 adalah program membenteras jenayah melibatkan hidupan liar di bawah Perhilitan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang bermula secara rasmi pada 29 Jun 2020.

Ia melibatkan kawasan operasi di Banjaran Titiwangsa, Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Pulau Pinang, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin dan Rizab Hidupan Liar (RHL) Krau serta Sungkai.

Ali berkata kepakaran VET dan OA telah meningkatkan keberkesanan pengesanan kes-kes di kawasan panas dengan pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram termasuk operasi pembasmian jerat.

Katanya, penglibatan VET dan OA juga dapat memupuk rasa kebertanggungjawaban untuk melindungi khazanah negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka.

Ali memaklumkan program BP3 itu turut melibatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), PDRM, agensi-agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO)

Beliau berkata antara NGO terlibat termasuk Malaysian Conservation Alliance for Tiger (MYCAT) yang terdiri daripada Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), Tabung Hidupan Liar Malaysia (WWF), Persatuan Pencinta Alam, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia dan Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia.

Ali berkata program berkenaan merupakan kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan pada 3 Sept 2019 dan strategi terbaharu dalam meningkatkan rondaan penguatkuasaan bagi menangani isu pencerobohan dan pemburuan serta pembalakan haram.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan dua pegawai SPRM, disyaki terlibat kes rompak

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menahan dua lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang disyaki terlibat kes rompakan berkumpulan di sebuah kediaman di Jalan Ampang, di sini, melibatkan kerugian bernilai RM700,000, pada Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pegawai SPRM berkenaan yang masing-masing berusia 37 dan 39 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kedua-dua pegawai SPRM itu direman mulai hari ini sehingga Ahad ini, dan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“PDRM dalam masa sama, menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 12 Dis, SPRM mengeluarkan kenyataan mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara pada 10 Dis lalu.

Tahanan reman pegawai agensi penguat kuasa yang disyaki terlibat dengan kes itu dilanjutkan sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

287,500 saman trafik dibayar, jumlah kutipan RM13.6 juta

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM13.67 juta daripada 287,500 saman yang dilunaskan orang ramai hingga semalam menerusi tawaran diskaun saman trafik sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kaunter diskaun yang dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merekodkan kutipan RM431,330 daripada 8,943 saman dan portal MyBayar mencatatkan RM3.4 juta daripada 74,312 saman dijelaskan orang ramai.

“Kami terpaksa menutup kaunter PDRM di KLCC pada 4.30 petang tadi dan orang ramai jangan risau kerana mereka boleh terus membayar saman di Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen yang mempunyai kaunter trafik serta melalui portal MyBayar yang dibuka 24 jam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kaunter PDRM yang dibuka sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC hari ini.

PDRM menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 80 peratus bermula 9 hingga 12 Dis ini dengan tawaran pengurangan saman itu tidak melibatkan kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan-kesalahan utama dilakukan, kesalahan kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos.

— BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Empat ditahan seludup dadah bernilai RM8.1 juta di KLIA

SEPANG, 1 NOV: Dua kakitangan sebuah syarikat penerbangan kargo yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara empat lelaki yang ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar dadah seberat 200 kilogram (kg) ke New Zealand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata keempat-empat lelaki tempatan berusia lingkungan 34 hingga 59 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di KLIA dan sekitar Lembah Klang pada 22 Okt hingga 26 Okt.

Beliau berkata tangkapan dijalankan selepas pihak keselamatan Malaysia Airport Berhad mencurigai kandungan lima kotak yang dibawa lelaki yang dialamatkan ke Auckland, New Zealand.

“Polis kemudiannya memeriksa kotak berkenaan yang diisytiharkan sebagai barangan elektronik dan menemukan 180 bungkusan dadah jenis syabu seberat 200 kg dianggarkan bernilai RM8.1 juta.

Dua kakitangan sebuah syarikat penerbangan kargo yang ditahan berperanan sebagai pemudah cara untuk sindiket terbabit mengeksport dadah itu ke luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di sini hari ini.

Razarudin berkata siasatan awal polis mendapati sindiket terbabit melakukan empat penghantaran dadah keluar negara melalui modus operandi yang sama sejak April lepas.

“Polis kini mengumpul maklumat mengenai ketua dan saki-baki ahli sindiket ini dan kami percaya akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Razarudin saringan air kencing mendapati seorang lelaki yang ditahan itu positif dadah jenis ganja dan kesemua mereka direman sehingga 5 Nov. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset milik mereka yang ditahan itu suspek yang dianggar bernilai RM234,955 antaranya sebuah Ford Ranger, wang tunai RM3,560 dan jam tangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tutup sekatan jalan di sempadan negeri mulai tengah malam ini

SHAH ALAM, 10 OKT: Polis akan menutup semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri seluruh negara, bermula tengah malam ini, kata Ketua polis negara.

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata penutupan itu susulan pengumuman kerajaan membenarkan rentas negeri bermula esok.

Bagaimanapun, sekatan jalan raya di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Op Benteng serta cegah jenayah dan keselamatan dikekalkan.

“Meskipun tiada sekatan jalan raya di sempadan negeri, PDRM akan tetap menggerakkan pasukan tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan masyarakat sentiasa mematuhi SOP.

“Pemeriksaan ini akan dijalankan pihak berkuasa secara rawak di lokasi tumpuan umum, berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini perdana menteri mengumumkan kebenaran pergerakan rentas negeri kepada individu lengkap vaksin bermula esok.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran polis.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis cari sekumpulan lelaki terlibat kes gaduh

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Polis sedang mengesan kesemua individu terlibat dalam video tular memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata dalam satu kejadian dipercayai berlaku di kawasan perumahan di Flat Sri Timah, Balakong.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata seorang pegawai polis telah melihat video tular berdurasi satu minit 32 saat tersebut di media sosial dan membuat laporan berhubung perkara itu pada 9 pagi semalam.

“Dalam video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki menggunakan senjata dipercayai besi atau senjata tajam sedang bergaduh. Motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek sedang dikesan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 269 Kanun Keseksaan.

Mohd Zaid turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Norhafiza Borhan di talian 03-8911 4222.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat dakwaan suami, isteri dikasari ketika ditahan

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Satu kertas siasatan enkuiri polis telah dibuka berhubung laporan seorang pemilik Facebook bernama Gan Gong yang mendakwa isterinya dicederakan dan dikasari oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ketika ditahan, bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan D Saralathan berkata pihaknya turut mengesan hantaran berkenaan yang mengandungi gambar serta laporan polis berhubung dakwaan itu.

“Kertas siasatan ini dibuka susulan laporan dibuat oleh pengadu bagi tujuan menyiasat tindakan polis berkenaan sama ada mengikut peraturan dan undang-undang atau sebaliknya. Siasatan yang terperinci dan telus akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya semakan pada 25 Julai lepas kira-kira pukul 4.40 petang mendapati pasukan itu telah menyerbu sebuah rumah di Setapak.

“Semasa serbuan lelaki berusia 41 tahun dan isterinya 31 tahun telah membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menjerit bagi mendapatkan perhatian penduduk sekitar,” katanya.

“Mereka juga tidak memberikan kerjasama dan telah menghalang polis daripada menjalankan tugas sehingga telah berlaku pergelutan antara polis dengan pasangan itu,” katanya.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke pejabat narkotik IPD Wangsa Maju untuk ujian saringan air kencing dan didapati suspek lelaki positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, manakala suspek wanita adalah negatif.

Kedua-dua suspek turut ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Saralathan berkata selepas dibebaskan dengan jaminan polis pada 31 Julai pukul 2.32 petang, pasangan itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu.

Categories
AGENDA JENAYAH

Ketua balai polis berhibur di balai digantung kerja

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Seorang ketua balai polis yang ditahan selepas dipercayai berhibur di sebuah balai polis di daerah Kajang pada Selasa lepas, digantung kerja mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata tindakan itu dilaksana selepas hasil ujian air kencing pegawai polis berpangkat Sub Insp itu, didapati positif ganja dan direman dua hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, baki tujuh individu terdiri daripada tiga anggota polis dan empat orang awam turut terlibat dalam serbuan itu dibebaskan dengan jaminan.

“JIPS dalam pada itu masih menjalankan siasatan lanjut berhubung salah laku dan tatatertib anggota terlibat manakala yang lain diserahkan kepada bahagian-bahagian berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam serbuan pada 6 petang itu, selain ketua balai, turut ditahan dua anggota polis berpangkap Koperal dan seorang Koperal Sokongan bersama empat wanita, ketika mereka sedang berhibur di dalam bilik khas di balai polis berkenaan.

Semasa serbuan, polis turut merampas antaranya beberapa botol air disyaki air ketum, botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, mikrofon dan televisyen.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis siasat dakwaan tambah slot janji temu vaksin

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujud penambahan slot janji temu vaksinasi Covid-19 yang tersenarai di dalam aplikasi MySejahtera sehingga tidak setara dengan jumlah vaksin yang diperuntukkan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din mengesahkan perkara terbabit dan laporan berkaitan isu itu telah dibuat oleh seorang petugas di PPV di ibu negara.

Beliau berkata berdasarkan laporan polis yang diterima, pengadu mendakwa berlaku lebihan penerima vaksin yang tersenarai di dalam aplikasi MySejahtera berbanding jumlah vaksin yang diperuntukkan di PPV berkenaan.

“Siasatan masih di peringkat awal dan polis bertindak mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi berkaitan.

“Polis menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan isu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada kerajaan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya.

Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha mensabotaj program yang sedang dilaksanakan dan tindakan tegas sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati ingkar, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Diskaun saman trafik 50 peratus mulai esok