Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penggerak Belia Selangor lancar kempen perangi buli

SHAH ALAM, 13 DIS: Penggerak Belia Selangor (PeBS) akan mengerakkan kempen perangi buli di sekolah pada tahun depan untuk membantu mencegah kes berkenaan daripada menjadi barah.

Presiden Akmal Halim berkata kempen dalam kalangan pelajar dan belia itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, polis dan agensi lain.

“Kempen ini akan memberi kaunseling awal kepada pelajar dan golongan belia supaya tidak terjebak dengan permasalahan itu.

“Belia adalah pemangkin dasar pembangunan negara, jika isu ini tidak diperangi dengan lebih tersusun mungkin menjadi permasalahan lain ketika mereka berada di luar,” katanya di sini, hari ini.

Isu buli di sekolah kembali hangat diperkatakan berikutan kejadian membabitkan pelajar lelaki tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Kejadian pada 9 Disember lalu itu tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.

Susulan itu, polis menahan 10 pelajar berusia 13 tahun termasuk seorang yang berusia 15 tahun.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB serah watikah pelantikan kepada hampir 300 ahli, EXCO pergerakan belia

SHAH ALAM, 25 OKT: Dato’ Menteri Besar menyampaikan watikah pelantikan kepada 280 ahli Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan 10 EXCO Jawatankuasa Induknya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PeBS adalah penjenamaan dan penyusunan semula daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang dilaksana sejak 2009.

“Penyerahan watikah ini merupakan tanda kepercayaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada pemimpin muda di Selangor dalam bersama menentukan hala tuju negeri ini.

“Saya berharap pemimpin PeBS dapat terlibat secara aktif dalam menjayakan program dan dasar yang dianjurkan Kerajaan Negeri seterusnya bersama menentukan corak masa depan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Kepada Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Amirudin menambah PeBS kini perlu memfokuskan kepada 10 teras berbanding enam teras sebelum ini iaitu meliputi pendidikan dan latihan; kemasyarakatan, jaringan dan kesukarelawan; kebudayaan dan kesenian serta belia dan kecergasan.

Selain itu, teras seterusnya adalah kepimpinan dan organisasi; kesejahteraan dan kesihatan; pengantarabangsaan; usahawan dan pekerjaan; teknologi maklumat dan komunikasi serta agama dan spiritual.

“Saya percaya dengan teras ini ia akan membawa kejayaan kepada setiap ahli PeBS…namun, apa yang penting adalah perbuatan, tindakan dan keputusan yang akan membawa makna pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, sebagai belia kita harus berani dan sentiasa berfikiran meluas, jika tidak kita hanya akan duduk setempat dan tidak kemana-mana…Saya harap ahli PeBS sentiasa berani dan semangat menjalankan tugas mengikut teras disediakan,” katanya.

Mereka yang menerima watikah pelantikan itu akan digerakkan ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membina hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Selangor dan belia di lapangan.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor tubuh sukarelawan untuk individu umur 36 tahun ke atas

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri bakal melancarkan platform sukarelawan untuk individu berusia 36 tahun ke atas yang dinamakan ‘Sukarelawan Selangor’ atau SERVE pada 16 September depan.

EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata platform itu adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

“Kelayakan SERVE bermula usia selepas 35 tahun ke atas atau dengan makna lain tiada had umur penyertaan untuk mereka turut serta dalam program kemasyarakatan dan sukarelawan.

“Kita menyasarkan seramai 2,800 ahli atau 50 ahli di setiap 56 DUN pada tahun ini manakala pada tahun hadapan sasaran 5,600 ahli atau 100 orang di setiap 56 DUN,” katanya.

Mohd Khairuddin menjawab soalan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berhubung peranan dan fungsi PeBS pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Mohd Khairuddin, PeBS melalui EXCO Kemasyarakatan, Jaringan dan Kesukarelawanan akan menggerakkan SERVE daripada segi penyeliaan dan pemantauan di setiap kawasan DUN.

“PeBS akan memainkan peranan dengan menggalakkan penyertaan akar umbi ke dalam SERVE.  Fungsi jentera ini di peringkat komuniti adalah memfokuskan situasi seperti bencana alam dan kecemasan,” katanya.

Pada Januari lalu, Penggerak Belia Tempatan (PeBT) telah dijenamakan semula kepada PeBS yang memainkan peranan sebagai ejen penggerak agenda pembangunan belia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerajaan Negeri menubuhkan PeBT pada 2009 adalah bertujuan untuk melahirkan kepimpinan generasi muda yang berwibawa serta dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Selangor.

Categories
EXCO SELANGOR

Enakmen Majlis Belia Selangor dibawa dalam sidang dewan negeri

SHAH ALAM, 15 OGOS: Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor (PeBS) antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan pada akhir bulan ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata enakmen baharu itu sedang dirangka bagi memastikan semua persatuan belia negeri ini ditadbir bawah satu pergerakan.

“Langkah tersebut antara lain membolehkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memfokuskan sepenuhnya terhadap aspek pembangunan sukan di negeri ini.

“Saya akan beri penambahbaikan terhadap PeBS termasuk mewujudkan entiti mereka sendiri selain melihat masalah pekerjaan dalam kalangan belia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan cek cura program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) berjumlah RM343,080 di perkarangan Dewan MBSA Seri Pagi, Seksyen U19 di sini hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Dewan Negeri Paya Jaras berharap semua wakil rakyat dapat terlibat dalam memberi cadangan penambahbaikan terhadap Kerajaan Negeri sepanjang persidangan tersebut.

“Saya berharap mereka (wakil rakyat) bukan sahaja mencari kelemahan tetapi sama-sama membangunkan Kerajaan Negeri,” katanya.

DNS dijadual bersidang pada 23 Ogos hingga 6 September depan.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Penggerak belia Selangor diperkasa, iktiraf suara akar umbi

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Selangor melancarkan logo baharu Penggerak Belia Selangor (PeBS) seiring dengan penjenamaan semula pertubuhan itu.

PeBS sebelum ini dikenali sebagai Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan ditukar kepada nama baharu pada tahun lepas.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman secara maya, hari ini.

Beliau berkata pemerkasaan peranan PeBS penting sebagai pembawa mandat Kerajaan Negeri bagi merealisasikan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

“Setiap 56 DUN di Selangor akan mempunyai lima ahli PeBS terdiri seorang ketua, setiusaha, bendahari, ahli jawatankuasa (AJK) penerangan dan publisiti serta AJK penyelarasan.

“Kita yakin konsep ini akan merapatkan hubungan antara PeBS, Ahli Dewan Negeri (ADN) dan penduduk setempat,” katanya ketika berucap menerusi facebook Majlis Sukan Negara (MSN) Selangor hari ini.

Beliau berkata PeBS antara usaha mengiktiraf peranan serta suara belia yang mewakili hampir 50 peratus penduduk di negeri ini.

Logo baharu PeBS

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PeBS disaran anjur program dekati generasi muda, golongan bermasalah

SHAH ALAM, 10 JUN: Penggerak Belia Selangor (PeBS) disaran menganjurkan pelbagai program sebagai usaha mendekati seluruh masyarakat terutama generasi muda.

EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata ahli PeBS memegang tanggungjawab besar kerana dianggap sebagai wakil pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Jadi hubungan dengan masyarakat perlu libatkan pelbagai sudut. Program dijalankan harus menyeluruh serta tertumpu kepada semua termasuk golongan bermasalah.

“Semua peringkat sama ada B40 (berpendapatan rendah), M40 (kumpulan pertengahan) dan T20 (berpendapatan tinggi) perlu didekati. PeBS mempunyai hala tuju dan teras tersendiri,” katanya pada Program Doa Buat Selangor secara dalam talian malam tadi.

Program itu dianjurkan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor dengan kerjasama PeBS Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa dan Pertubuhan Legasi Selangor.

Mohd Khairuddin turut menyarankan ahli PeBS diberi peluang mengisi kekosongan jawatan pada mana-mana portfolio jawatan kuasa tetap Kerajaan Selangor.

“Ini membolehkan mereka memberi maklumat tepat kepada seluruh masyarakat,” katanya.