Categories
EXCO SELANGOR

Belanjawan 2021: EXCO mahu perkasa belia melalui PeBT

SHAH ALAM, 11 OKT: Pemerkasaan belia menerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) antara fokus utama portfolio pembangunan generasi muda dalam Belanjawan Selangor 2021.

EXCOnya Mohd Khairuddin Othman berkata pendekatan itu diambil dengan mewujudkan Dasar Belia 2020, bersesuaian dengan perkembangan semasa.

“Penekanan dasar yang akan diwujudkan membabitkan aspek digital seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya mengulas tumpuan belanjawan yang akan dibentang hujung bulan ini.

PeBT yang ditubuhkan pada 2009, selaras hasrat Kerajaan Selangor menggerakkan program pembangunan generasi muda secara menyeluruh di seluruh negeri.

Bagi aspek sukan, beliau berkata tumpuan diberikan kepada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Johor tahun hadapan dengan sasaran kekal 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa.

Sukma Johor 2020 yang ditangguhkan susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April manakala Para Sukma diawalkan ke 8 hingga 13 Mac.

Categories
SELANGOR

PeBT baharu perlu laksana tanggungjawab sepenuh jiwa

OLEH NORHAYATI UMOR

RAWANG, 8 DIS: Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang bakal dilantik diharapkan mampu memberikan sepenuh ‘jiwa’ dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Pengerusi Induk PeBT MPS 2016-2018 Muadzam Mohd Shariff berkata, PeBT merupakan platform terbaik untuk menarik golongan muda sekali gus, melahirkan belia yang berwibawa dan bermatlamat.

“Saya juga berkeyakinan PeBT pada tahun hadapan mampu meneruskan kecemerlangan PeBT sesi 2016 – 2018.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai – pegawai belia di peringkat PBT dan Negeri, lantikan Pengerusi PeBT pada kali ini percalonan yang luar biasa.

“Ini bermakna Penggerak Belia Tempatan (PeBT) adalah platform bagi menerajui kepimpinan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi PeBT dan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga MPS, di Setia Eco Templer Park, di sini.

Pada masa sama, Muadzam berkata, PeBT MPS bagi tempoh itu berjaya menunjukkan tahap kecemerlangan yang cukup tinggi selama PeBT dilaksanakan.

Justeru, katanya Malam Apresiasi itu adalah satu tanda penghormatan kepada seluruh Pengerusi PeBT bagi sesi 2016 – 2018.

“Kami melaksanakan amanah dan tanggungjawab selama dua tahun yang memainkan peranan menggerakkan belia di peringkat akar umbi.

“Kami bergerak satu pasukan yang mantap dengan berprinsipkan muafakat dan berkerjasama.

“Kami juga berjaya melaksanakan pelbagai program yang boleh dikatakan mampu di angkat ke peringkat negeri sebagai modul untuk menggerakan belia di setiap daerah,” katanya.

Beliau turut menyambut baik gugusan rakyat bahagia negeri sejahtera yang diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Negeri 2019.

“Generasi Muda pasti dapat diperkakasan meneruskan pelan-pelan tindakan yang akan dipantau oleh Jawatankuasa Pemberdayaan Generasi Muda pada tahun hadapan. Anak muda adalah harapan bangsa dan negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

PeBT MPS cemerlang dan berwibawa

OLEH NORHAYATI UMOR

RAWANG, 8 DIS: Kecemerlangan dan kewibawaan ditunjukkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sejak 2016 disifatkan berjaya mencapai objektif penubuhannya.

Yang DiPertua MPS, Suliman Abd Rahman berkata, penggerak itu juga bertindak sebagai jentera pelaksana Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

Katanya, PeBT di kawasannya bukan sahaja berjaya melahirkan kepimpinan belia berwibawa tetapi menjadi ejen perubahan kepada golongan belia.

“Syabas dan tahniah kepada PeBT kerana berjaya memupuk kepimpinan golongan muda menerusi pelbagai program termasuk sukan, komuniti, bengkel kepimpinan dan bantuan kemasyarakatan serta sebagainya.

“Saya sendiri menyokong langkah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang optimis mengenai penubuhan PeBT seluruh negara dan mampu memberi kesan positif kepada gerakan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi PeBT dan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga MPS, di Setia Eco Templer Park, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Turut hadir Pengerusi Induk PeBT MPS, Muadzam Mohd Shariff dan mantan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Keluarga MPS, Norazlin Samsudin.

Pada masa sama, Suliman berkata, peranan kedua-dua jawatankuasa berkenaan signifikan dalam memastikan dasar pembangunan belia dan sukan serta pemberdayaan wanita di Selangor dapat dilaksanakan.

“Jawatankuasa ini memainkan peranan dengan cemerlang sebagai medium menyampaikan maklumat dan bantuan daripada Kerajaan Negeri serta membantu melaksanakan program wanita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kecemerlangan yang ditunjukkan oleh PeBT tempoh itu diteladani oleh kepimpinan baru yang bakal dilantik.

Categories
PBT SELANGOR

PeBT pemangkin pembangunan negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

RAWANG, 8 DIS: Golongan belia terutamanya Penggerak Belia Tempatan (PeBT) disaran untuk terus aktif dalam gerak kerja sekali gus, menjadi pemangkin pembangunan, di negeri itu.

Timbalan Speaker Dewan Negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, dengan peruntukan sebanyak RM4.96 juta bagi tujuan pemerkasaan generasi muda dan PeBT, Kerajaan Negeri yakin usaha itu dapat mencapai objektifnya.

“Dalam usaha untuk memartabatkan PeBT yang merupakan agen penggerak ke arah pembangunan Negeri, Blueprint Pembangunan Generasi Muda 2018- 2022 akan diwujudkan yang akan dijadikan sebagai asas gerak kerja PeBT.

“Ia sebagai satu panduan dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Majlis Apresiasi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Dan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Keluarga Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di sini.

Mohd Khairuddin berkata, teras keusahawanan dan peluang pekerjaan juga akan menjadi dasar Kerajaan Negeri dalam menyediakan pelbagai insentif kepada belia.

Katanya, rangsangan aktiviti keusahawanan itu antara lain memberi bantuan perniagaan atau tapak perniagaan.

“Kita juga akan memberi fokus kepada aktiviti kesukanan melalui Program Pesta Sukan Generasi Muda Selangor (GEN-S) yang akan diperluaskan lagi,”’ katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh berkenaan pemberdayaan wanita yang merupakan tunjang kepada pembinaan keluarga dan masyarakat yang berdaya saing.

Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa menjadi peneraju dalam merencana kebijakan yang memberdaya dan memartabatkan golongan wanita.

“Sebanyak RM3 juta turut diperuntukkan tahun hadapan bagi Program Pemberdayaan Wanita melalui Pusat Wanita Berdaya di 56 DUN seluruh Selangor.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksana program khusus buat golongan wanita tidak mengira umur mahupun bangsa,” katanya.

Categories
SELANGOR

Gagal aktif program belia, 100 PeBT ditamatkan perkhidmatan

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 7 APR: Sekurang-kurangnya 100 Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Selangor ditamatkan perkhidmatan apabila gagal mengaktifkan program pembangunan berkenaan belia.

Exco Belia, Amirudin Shari (PKR-Batu Caves) berkata, Kerajaan Negeri memerlukan kepimpinan berwibawa untuk menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Selangor.

DNS-2015-small“Ketika ini, kita sedang proses untuk mengganti 100 daripada 288 PeBT atas kegagalan mereka megaktifkan program.

“Selain laporan yang diterima, mereka juga didapati gagal menghadiri mesyuarat dan program yang dianjurkan termasuk tidak mengambil elaun ditetapkan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Dr Abdul Rani Osman (PAS-Meru) di Dewan Negeri Selangor, pagi ini.

Selangor menubuhkan PeBT pada pertengahan 2009 bertujuan merancang dan menggerakkan program pembangunan berkenaan modal insan dalam kalangan belia di negeri itu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

200 Sertai Kayuhan BES Jelajah Selangor Kuala Langat

kayuh basikal yunus morib 01

KUALA LANGAT 9 FEB : Lebih 200 peserta hari ini menyertai Kayuhan Basikal Belia Ehsan Selangor (BES) Jelajah Selangor dari Pantai Morib ke Telok Panglima Garang.

Program anjuran Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri tersebut merupakan kesinambungan kepada Program Jelajah Futsal yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini oleh Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

kayuh basikal yunus morib 03Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, selain membawa kelainan kepada warga belia pada siri tahun ini, program berbasikal itu juga diharap dapat menarik penyertaan yang lebih menyeluruh.

“Ia juga merupakan usaha untuk membolehkan rakyat khususnya golongan belia untuk mengenali Selangor dengan lebih dekat.

“Program dijalankan secara santai agar peserta dapat menikmati keindahan pemandangan negeri ini di samping mempromosikan cara hidup yang sihat,” kata Dr Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang.

Program anjuran bersama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) pada pagi ini juga merupakan Siri Kedua Kayuhan BES selepas Siri Pertama diadakan di Kuala Selangor, minggu lepas.

kayuh basikal yunus morib 02Pagi ini, peserta berkayuh sejauh 40 km dari Pantai Morib dan hingga ke Tapak Pasar Malam, Taman Datok Hormat, Telok Panglima Garang.

Sementara itu, salah seorang peserta, Masran Hassan 48, memuji program tersebut yang sangat bermanfaat dalam membentuk sahsiah diri yang baik untuk golongan belia.

“Saya harap para belia dapat mengambil peluang ini kerana aktiviti sebegini mampu meningkatkan semangat persepakatan antara mereka.

“Ini juga dapat mengelak para belia daripada menyertai aktiviti kurang sihat yang merugikan mereka,” kata peserta yang aktif menyertai kelab berbasikal ini.

Turut hadir dalam program pagi tadi ialah Penyelaras DUN Morib, Hasnul Baharuddin.

Minggu hadapan, program Kayuhan BES Jelajah Selangor Siri Ketiga akan dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Categories
SELANGOR

JKP Zon 20, PeBT 18, Menang Anugerah Terbaik MPSJ

MB JKP MPSJ 01

SERDANG 21 DIS: Atas kegigihan mereka dalam mengadakan program kebersihan kommuniti sepanjang tahun, Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 20 memenangi anugerah Anugerah JKP Terbaik Keseluruhan bagi Subang Jaya,

JKP MPSJ 01Pengerusi JKP Zon 20 Sufari Tinnin, 40, berkata beliau tidak menjangka untuk mendapat anugerah tersebut daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Katanya, pada tahun ini JKP Zon 20 telah menganjurkan pelbagai program seperti gotong royong pembasmian tikus di kawasan Seri Serdang, kempen keselamatan dan cegah demam denggi serta bengkel menjahit khusus kepada wanita.

“Saya tidak pernah menyangka untuk diberi pengiktirafan atas usaha yang dilakukan.

Termasuk mengadakan program-program untuk penduduk dan membawa permasalahan penduduk kepada pihak atasan,” katanya yang memenangi wang tunai RM 1,000 dan sijil penghargaan.

JKP Zon 20 turut mendapat johan bagi kategori program kemasyarakatan terbaik, tempat ketiga bagi pengurusan kewangan terbaik dan kepimpinan JKP terbaik.

Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan malam tadi.

Mereka diiringi Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi serta Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi.

Sementara itu, Anugerah PeBT Terbaik 2012 dimenangi oleh PeBT Zon 18 yang juda mendapat RM,1000 serta sijil penghargaan.

Mereka turut mendapat johan bagi Anugerah Kepimpinan PeBT Terbaik serta tempat kedua bagi Anugerah Program Sukan Terbaik.

PBET MPSJ 01Pengerusinya Mohd Fitri Jamaludin, 29, berkata, sokongan daripada segenap masyarakat termasuk belia diperlukan dalam menggerakkan program PeBT.

Abdul Khalid di dalam ucapan perasmiannya berkata, kecemerlangan yang disumbangkan oleh setiap JKP dan PeBT diharap dapat diteruskan dalam usaha menyalurkan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada masyarakat.

“Kejayaan kerajaan tempatan ini adalah kejayaan bersama kerana mempunyai suatu kumpulan yang bekerjasama dengan baik dalam memelihara kesejahteraan semua masyarakat di sesebuah kawasan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Saguhati Bagi Pengadu Kepada Talian Khidmat Pelanggan

MB Batik Merah Speech 01

SERDANG 21 DIS: Kerajaan Selangor akan memberikan saguhati kepada individu-individu yang melaporkan tiga permasalahan utama kepada pusat talian khidmat pelanggan yang bakal dilancarkan mulai tahun hadapan.

Pusat talian khidmat pelanggan yang bakal dilancarkan pada 15 Januari 2013 itu akan mengumpul aduan tentang tentang masalah kutipan sampah, bekalan air terawat dan keadaan jalanraya di kawasan mereka.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, insentif akan diberikan kepada setiap pengadu sebagai usaha Kerajaan Negeri menghargai setiap aduan sebagai maklumbalas bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, setiap permasalahan akan direkodkan dan dari masa ke semasa individu terbabit akan dihubungi untuk mengetahui jika ada permasalahan baru di kawasan mereka untuk diadukan pada masa akan datang.

“Ini adalah cara masyarakat di setiap komuniti untuk melibatkan diri bersama-sama Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku,” katanya.

Abdul Khalid ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Hotel Palace of The Golden Horses, Sri Kembangan malam tadi.

Dalam pada itu, pusat khidmat pelanggan ini akan membantu semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini dalam menangani masalah berkenaan.

“Kita ada pasukan khas yang akan menjalankan pusat talian khidmat pelanggan ini dan bukannya dilakukan oleh kerajaan tempatan.

“Bila perkara ini mula dijalankan, dan permasalahan mula diajukan kepada kita, kita akan minta bantuan daripada pihak PBT yang terlibat untuk membantu menyelesaikan masalah seperti sampah dan jalan rosak,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

RM180,000 Bina Dataran Anak Muda Di Pandan

PANDAN,4 OKT : Sebanyak RM 180,000 diperuntukkan melalui Geran Selangorku untuk membina Dataran Anak Muda di kawasan padang perumahan Pandan Jaya 3 di sini.

Dengan siapnya projek itu pada awal Disember ini, ia akan memberikan kemudahan kepada generasi muda beriadah dan melakukan aktiviti kesukanan.

Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad berkata, gelanggang futsal, badminton dan takraw dan beberapa kemudahan akan dibangunkan dan dinaiktaraf.

“Kita sebenarnya memohon peruntukkan yang lebih tinggi untuk pembinaan ini namun setakat ini hanya ini yang diluluskan,” ujar Iskandar semasa turun padang melihat kerja-kerja dilakukan.

Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Zon 24, Mohd Zamazan Jamaluddin berkata, Dataran Anak Muda yang dibangunkan ini terletak di lokasi strategik kerana terdapat ramai remaja dan belia yang mengarapkan kemudahan riadah.

“Di sini terdapat 80 unit blok rumah yang mana ada pangasapuri kos rendah dan sederhana dan ianya akan menjadi satu tempat kepada anak muda di kawasan ini untuk beriadah,” katanya.

Ujarnya,apabila projek ini siap satu majlis kenduri kesyukuran akan diadakan bagi meraikan kejayaan pembinaan dataran anak muda itu.

“Dengan siapnya nanti ia akan mengelakkan remaja dan belia daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Khalwat, Zina Telah Turun Selepas Selangor Adakan Kempen anti-zina

 

SHAH ALAM, 30 OGOS : Sejak tiga tahun lalu, statistik penangkapan pasangan yang melakukan zina, khalwat dan kelakuan tidak sopan telah menurun kata Pengarah Kempen Anti Zina Siri Ketujuh, Mohd Fauzan Madzlan.

Antara sebabnya adalah peningkatan kesedaran umum sejak kempen anti-zina kerajaan Selangor dilancarkan dan peningkatan di dalam usaha penguatkuasaan undang-undang dari agensi kerajaan.

“Kita juga bersama-sama dengan pihak Polis, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam penguatkuasaan undang-undang dalam operasi bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Kempen Anti-Zina Siri Ketujuh di sini hari ini di Lobi Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Insan, Dr Halimah Ali. Ia dihadiri kira-kira 100 orang daripada wakil agensi kerajaan, NGO, masjid dan surau serta ketua kampung.

Mohd Fauzan berkata, beberapa program kesedaran dirancang di seluruh negeri termasuk memasang banner kesedaran di kawasan taman rekreasi yang dikunjungi ramai.

Risalah akan diedarkan di kawasan umum sebagai usaha mendekati masyarakat dengan memberi penjelasan bahaya perbuatan zina dan aktiviti tidak bermoral.

Dr Halimah pula menyarankan pemimpin di peringkat akar umbi khususnya ketua kampung, AJK Masjid dan Surau dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) agar menyumbangkan idea dan tenaga bagi menjayakan program ini.

“Kempen ini adalah usaha untuk mendidik masyarakat khususnya remaja dan belia.

?Pelancaran untuk memberikan kesedaran ke generasi muda agar tidak menjadi mangsa dalam aktiviti tidak bermoral,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

MB : Belia Perlu Berilmu, Berakhlak Dan Berprinsip Untuk Majukan Negeri

SHAH ALAM 12 OGOS : Selain memiliki semangat dan kekuatan fizikal, golongan belia perlu memiliki ilmu, berakhlak serta berprinsip supaya boleh memberi sumbangan bermakna kepada kemajuan negeri dan negara.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dengan ciri sedemikian selain kekuatan agama akan mampu melahirkan belia yang boleh bersosial dengan baik dengan emosi yang terkawal.

“Melalui semua ciri ini dapat melahirkan belia yang berilmu, berakhlak serta berprinsip yang dapat memberikan manfaat kepada negeri Selangor misalnya emosi yang terkawal dapat bersosial dengan baik serta yang penting akhlak yang mulia sentiasa berpaksikan pada kekuatan agama.

“Sikap yang terpuji ini tentulah lebih diutamakan apabila saudara saudari berhasrat untuk menjadi pemimpin yang adil, berketrampilan dan berintegriti,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Belia Antarabangsa 2012 Peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini semalam.

Turut hadir, Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Majlis dengan tema “Anak Muda Pemacu Pembangunan Negeri Selangor” berjaya menghimpunkan hampir 50,000 orang bermula dari pagi hingga malam dengan acara kemuncak ialah sesi soal jawab agama dikendalikan Penceramah Sejuta Umat, Ustaz Azhar Idrus dan disertai selebriti popular seperti Faizal Tahir, Abby Abadi dan Man Raja Lawak.

Menteri Besar berkata, Selangor ketika ini mempunyai jumlah penduduk seramai kira-kira 5.4 juta orang iaitu jumlah penduduk paling ramai berbanding negeri-negeri lain di Malaysia dengan 45 peratus atau lebih dua juta orang adalah dari golongan belia berusia dari 15 ke 39 tahun.

Beliau berkata, maka dengan itu tenaga dan khidmat dari golongan muda tersebut amat penting bagi kemajuan negeri itu.

“Diharapkan pertemuan seumpama ini dapat mengeratkan hubungan sesama kita dalam masa yang sama dapat bertukar pendapat dan idea terutama dalam usaha untuk membuat jasa dan khidmat yang berguna kepada diri, keluarga, agama, bangsa, negeri dan negara keseluruhannya. Kita maklum golongan belia adalah amat penting sebagai penggerak dalam pelaksanaan pembangunan di sesebuah negara.

“Di Malaysia khususnya Selangor mempunyai golongan belia yang sentiasa ingin maju dan bekerja keras yang mana sangat diperlukan bagi membangunkan peradaban masyarakat dan negara. Dalam hubungan ini sememangnya tidak dapat dinafikan secara psikologinya manusia mencapai puncak kekuatan semangat dan kekuatan fizikal pada usia muda atau pada usia belia,” katanya.

Bagi memanfaatkan sumbangan belia di Selangor, katanya, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sebagai penggerak aktiviti belia di setiap daerah melalui semua Pihak Berkuasa Tempatan (PeBTv) di mana ketika ini semuanya berjumlah 280 PeBT di seluruh Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tengok Bola Bersama PeBT Dapat Sambutan

SHAH ALAM, 2 JULAI : Program tonton bolasepak final Euro 2012 anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Restoran Hakim, Seksyen 7 di sini pagi tadi mendapat sambutan hebat dengan hampir 1,000 orang menghadirinya.

Ia adalah di luar dugaan kerana pihak penganjur menjangkakan hanya sekitar 500 orang akan hadir dalam program tersebut.

Pengerusinya, Muriza Azrul menjelaskan berikutan sambutan hebat itu, pihaknya menambah tiket cabutan nombor bertuah sehingga lebih 900 keping bagi memberi peluang mereka yang hadir terlibat dengan aktiviti dijalankan ketika program itu berlangsung.

“Kita mengadakan aktiviti sampingan antaranya cabutan nombor bertuah, kuiz dan sepakan penalti supaya program ini menjadi lebih meriah. Ini kerana majoriti yang hadir adalah golongan belia di bawah 40 tahun.

“Program tonton bolasepak final Euro 2012 ini mendapat sambutan hebat kerana ia adalah perlawanan akhir menampilkan dua pasukan terkuat, Sepanyol dan Itali. Kita berpuashati dengan sambutan diterima dan kita merancang mengadakan lebih banyak lagi program seperti ini contohnya Liga Super Malaysia dan Liga EPL 2012/13 yang akan bermula nanti,” katanya kepada TVSelangor.

Program tonton bolasepak final Euro 2012 itu juga dijalankan dengan kerjasama Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Muriza berkata, tonton bolasepak final Euro 2012 itu adalah yang ke 10 di mana program sebelumnya tetap mendapat sambutan dengan kehadiran antara 200 hingga 500 orang.

Seorang penonton, Mohd Hafiz Mohd Zain, 23 dari Seksyen 18 berkata dia tidak melepaskan peluang menyaksikan acara final Euro itu kerana dilangsungkan empat tahun sekali.

“Saya datang untuk menonton bersama kawan-kawan. Ia bertambah meriah bila acara seperti ini diadakan dengan semua penonton dapat berkumpul di satu tempat yang strategik. Saya puji usaha PeBT ini dan saya akan menyokong bila acara lain diadakan selepas ini,” katanya.

Begitu juga Azidah Zamli, 23, dari seksyen sama yang merasakan suasana pada pagi itu amat meriah bila ramai yang hadir dalam program berkenaan.

“Hebat rasanya dapat hadir kali ini. Kalau menonton di rumah tentu tak semeriah ini. Lokasi yang dipilih juga saya rasa amat sesuai dengan program ini dan PeBT diharapkan akan lebih aktif dengan acara lain demi kemajuan belia di Selangor,” katanya.