Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Ibu bapa boleh mohon kad Peduli Sihat khusus untuk anak OKU

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 21 MAC: Selain skim peduli sihat bernilai RM500 untuk keluarga berpedapatan di bawah RM3,000, ibu bapa yang mempunyai anak golongan orang kelainan upaya (OKU) juga boleh memohon kad Peduli Sihat bernilai RM200 khusus untuk anak terbabit.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita & Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, hal ini berikutan golongan terbabit memerlukan perbelanjaan rawatan perubatan yang besar berbanding golongan normal.

“Selain kad peduli sihat bernilai RM500 untuk satu keluarga berpendapatan bawah RM3,000, ibu bapa yang ada anak-anak istimewa ini boleh dapatkan kad peduli sihat bernilai RM200 khas untuk anak istimewa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penyampaian sumbangan Kerajaan Negeri kepada dua pusat pendidikan khas di Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus di Red Carpet Avenue, Encorp Strand Mall di sini, hari ini.

Jelasnya, ini membuktikan Kerajaan Negeri berusaha sedaya upaya memastikan tiada golongan yang tercicir daripada berkongsi hasil kekayaan Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM125 juta untuk membiayai program Peduli Sihat yang dilancarkan sejak tahun ini.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Jagalah makanan suami dan anak-anak

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 MAC: Wanita di Selangor diingatkan untuk sentiasa memastikan ahli keluarga memperoleh makanan berzat dan berkhasiat serta meninggalkan makanan yang memudaratkan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, penjagaan makanan penting bagi memastikan keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Katanya, keluarga sihat sejahtera mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri dan negara.

HWSB 3“Kita perlu jaga makan suami, anak, keluarga kita jangan disogok dengan makanan tidak berkhasiat.

“Orang kata kalau gemuk tanda isteri sayang rajin masak tetapi kita perlu berjaga-jaga kerana ia juga boleh mengundang penyakit tidak diingini.

“Saya berharap wanita dapat main peranan anda untuk kawal pemakanan keluarga kerana kesihatan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Karnival Sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Daerah Sabak Bernam, di sini, semalam.

Pada masa sama, Daroyah menyeru masyarakat untuk mendaftar program Peduli Sihat yang disediakan Kerajaan Negeri dengan peruntukan melebihi RM100 juta.

peduli-sihat“Kita adalah pertama di Malaysia, jadi jangan sia-siakan peluang ini kerana tempat lain memang tiada kad seperti yang ditawarkan di Selangor.

“Keluarga berpendapatan rendah berpeluang menerima peruntukan tahunan RM500 sementara yang bujang dapat peruntukan RM200,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Selangor negeri pertama beri kad kesihatan kepada rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 5 MAC: Ketika Kerajaan Persekutuan memotong peruntukan kesihatan untuk rakyat tatkala kos sara hidup semakin meningkat, sebaliknya Kerajaan Selangor pula memperuntukkan RM125 juta dan sekaligus muncul negeri pertama memperkenalkan kad kesihatan melalui Skim Peduli Sihat.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, selain Skim Peduli Sihat, Kerajaan Negeri sebelum itu turut memperkenalkan pelbagai program kebajikan menyeluruh yang sebelumnya tidak terlintas di fikiran pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Kita juga ada program lain seperti program untuk mahasiswa, program hadiah anak masuk universiti dan juga program untuk perniagaan di mana kita belanjakan kira-kira RM100 juta untuk program peningkatan masyarakat,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika merasmikan Majlis Malam Kebudayaan Masyarakat India 2017 di Perkarangan Tempat Letak Kereta Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves di sini, malam tadi.

Jelasnya, rizab Kerajaan Negeri yang banyak dan status sebagai negeri maju tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya kebajikan rakyat diabaikan.

Katanya, selain membantu rakyat dengan pelbagai inisiatif, Kerajaan Negeri turut membuktikan keupayaannya membangunkan negeri itu dalam pelbagai aspek khususnya pembangunan ekonomi.

Katanya lagi, ini dapat dilihat apabila ekonomi negeri Selangor terus berkembang dan mendapat kepercayaan pelabur luar seperti mana syarikat gergasi antarabangsa UMW Toyota yang membuat pelaburan luar Jepun terbesar di Selangor.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Klinik 1 Malaysia tiada doktor, hanya beri panadol

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 28 FEB: Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri merupakan usaha merealisasikan hasrat rakyat yang kurang berkemampuan menikmati rawatan secara percuma di pusat perubatan swasta supaya punca penyakit kronik dapat dikenalpasti lebih awal.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri menerima maklumbalas pelbagai pihak terutama di kawasan luar bandar yang berhadapan kesukaran mendapatkan rawatan kesihatan kerana tiada hospital berhampiran dengan kediaman.

Namun dengan mendaftar di bawah Skim Peduli Sihat, rakyat berpeluang menikmati rawatan kesihatan asas di klinik atau hopital swasta lebih cepat tanpa perlu bergantung kepada Klinik 1 Malaysia.

“Tak payah pergi Klinik 1 Malaysia sebab faktanya (Klinik 1 Malaysia) tiada doktor. Dia bagi panadol sahaja. Sakit jantung panadol, angin ahmar panadol, semput panadol, lelah panadol dan akhirnya kita mati kerana panadol.

“Tapi kalau anda ada kad Peduli Sihat, tidak perlu tunggu sampai sakit kronik, terus pergi klinik swasta berhampiran,” katanya.

Katanya, Skim Peduli Sihat merupakan antara inisiatif Peduli Rakyat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM125 juta di dalam Belanjawan 2017.

Kumpulan Selgate mensasarkan pendaftaran Skim Peduli Sihat 50,000 orang pada suku tahun pertama 2017 namun sudah lebih 40,000 ahli berjaya didaftarkan dalam tempoh sebulan sejak dilancarkan 24 Januari lalu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Baru sebulan sudah 40,000 daftar Skim Peduli Sihat

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 28 FEB: Skim Peduli Sihat berjaya mendaftarkan hampir 40,000 orang ahli selepas  sebulan dilancarkan sejak 24 Januari lalu.

Prestasi menggalakkan ini menyaksikan pencapaian hampir 80 peratus pendaftaran bagi tiga bulan pertama disebalik sasaran 50,000 ahli berdaftar bagi suku tahun pertama 2017.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sokongan yang ditonjolkan rakyat terhadap skim ini membuktikan selama ini mereka menantikan satu skim kesihatan berkualiti.

“Fakta ini membuktikan bahawa rakyat telah sekian lama menanti untuk mendapatkan rawatan berkualiti seperti ini.

“Dalam tempoh sama lebih 100 ahli aktif Peduli Sihat telah mengunjungi doktor setiap hari dan mendapatkan rawatan kesihatan asas percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Menyemarak Inisiatif Peludi Rakyat, Skim Peduli Sihat dan Peduli Siswa bagi Daerah Hulu Langat di Stadium Kajang.

Kerajaan Selangor mensasarkan pendaftaran satu juta rakyat bagi skim pelindungan kesihatan asas dengan peruntukkan RM125 juta bagi tahun 2017.

Jumlah itu dianggarkan daripada 250,000 keluarga dalam kumpulan B40 yang terdiri daripada empat orang ahli keluarga dengan pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,500 sebulan.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin menegaskan nasib pelajar di Selangor terus dibela menerusi inisiatif Peduli Siswa.

“Saya ingin menegaskan bahawa inisiatif Peduli Rakyat adalah teras utama pembangunan Negeri Selangor.

“Pembangunan berkualiti adalah teras peduli rakyat. Pembangunan tidak peduli rakyat adalah pembangunan yang tempang.

“Kita perlu menggembleng tenaga dan sumber untuk sama-sama Membangun Bangsa Memakmur Negeri,” katanya.

Peduli Siswa merupakan satu pinjaman boleh ubah tanpa faedah yang diperkenalkan Kerajaan Negeri kepada anak Selangor yang mengikuti kursus di peringkat diploma dan ijazah sarjana dengan peruntukkan RM10 juta.

Tawaran diberikan kepada pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Selangor.

Keutamaan diberikan kepada pelajar yang mendapat pembiayaan separa daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain daripada penuntut universiti awam, penuntut swasta juga berpeluang untuk memohon.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Peduli rakyat kekal teratas, Skim Peduli Sihat pembelaan berterusan

OLEH HAFIZAN TAIB

KEPEDULIAN Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi Skim Peduli Rakyat demi memastikan golongan sasaran mendapat pembelaan seterusnya peningkatan tahap kesihatan warga Selangor secara keseluruhan.

Belanjawan 2017 bertemakan ‘Membangun Bangsa, Memakmur Negeri’ dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada Oktober tahun lalu jelas menggambarkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat daripada kumpulan berpendapatan rendah menikmati kemudahan kesihatan percuma.

Pelaksanaan Skim Peduli Sihat dengan peruntukan RM125 juta setahun diwujudkan bertujuan memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan percuma untuk 250,000 keluarga atau sejuta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Ia adalah kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) iaitu kelompok paling tertekan berikutan kenaikan kos sara hidup.

Sesuai dengan cadangan WHO

Penyediaan skim itu juga bersesuaian dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung perbelanjaan kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peduli SihatNamun, WHO melaporkan kadar perbelanjaan kesihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus daripada KDNK berbanding negara lain seperti Cuba (11.1 peratus), Brazil (8.3 peratus), Vietnam (7.1 peratus) dan Thailand (6.4 peratus), pada 2014.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap tahap kesihatan rakyat yang boleh menjejaskan produktiviti.

“Walaupun Kerajaan Negeri tidak mempunyai sumber pendapatan sebesar Putrajaya, namun kita memiliki rasa kepedulian yang raksasa,” kata Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2017 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pada 31 Otober 2016.

 

Skim Peduli Sihat hanya di Selangor

Skim Peduli Sihat dilancarkan Kerajaan Negeri secara rasmi oleh Mohamed Azmin pada 24 Januari lalu dan tidak terdapat di negeri lain kecuali Selangor.

Dengan kemudahan perkhidmatan percuma secara meluas, skim diperkenalkan bermatlamat supaya warga Selangor sentiasa dalam keadaan sihat dan produktif serta sebagai galakan supaya rakyat sentiasa ambil peduli dengan kesihatan masing-masing.

Skim Peduli Sihat diuruskan Selgate Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator itu akan membiayai rawatan kesihatan asas (primary care) setiap keluarga yang layak sehingga RM500 setahun.

Peduli SihatMereka yang dilahirkan atau menetap lebih 10 tahun di Selangor layak mendapatkan rawatan di 1,000 klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.

Setiap peserta akan menerima kad kesihatan Peduli Sihat yang membolehkan pemegang akaun utama serta tanggungan, isteri juga anak di bawah 21 tahun menerima rawatan doktor (general practicioner) di klinik berdaftar menurut had gunaan dan kelayakan ditetapkan.

Caj selaras yuran MMA

Klinik berdaftar dengan Skim Peduli Sihat akan mengenakan bayaran yuran konsultasi doktor yang tidak membebankan rakyat selaras dengan yuran ditetapkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Di bawah skim itu juga disediakan program Dialisis Rakyat dengan Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan dari RM1.7 juta setahun kepada RM5 juta, bermula tahun ini.

Ia berikutan kos rawatan dialisis amat membebankan pesakit kerana mereka tidak mampu bekerja menampung kos sara hidup keluarga.

National Renal Transplant Registry 2014 melaporkan terdapat 6,890 pesakit dialisis di Selangor dan kelazimannya setiap pesakit perlu menjalani rawatan 13 kali sebulan membabitkan kos hampir RM3,000 sebulan.

Sehingga 24 Oktober lalu, kira-kira 504 pesakit sudah menerima manfaat program ini dengan kos RM1.45 juta ditanggung Kerajaan Negeri.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan program Intervensi Awal (Early Intervention Programme) khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas dalam hasrat mewujudkan masyarakat penyayang dengan peruntukan RM3 juta.

Orang ramai boleh mendapatkan keterangan lanjut berkenaan Skim Peduli Sihat dengan melayari laman sesawang: www.pedulisihat.com atau menghubungi talian 03-20893911 serta memuat turun borang : borang_peduli_sihat_v1

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Skim Peduli Sihat bukan ‘ole-ole’ PRU

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan Skim Peduli Sihat yang dilancarkan hari ini merupakan satu ‘ole-ole’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, beliau sendiri tidak mengetahui bila tarikh PRU-14 bahkan program peduli rakyat ini sudah disusun mengikut keutamaan.

“Saya tidak tahu tarikh pilihan raya, macam mana ini menjadi ole-ole pilihan raya.

“Kalau saya boleh umumkan tarikh pilihan raya, tunggu. Penggal akan datang saya akan umumkan tarikh pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita di Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Skim Peduli Sihat.

Katanya, kritikan diberikan supaya Kerajaan Negeri membelanjakan peruntukan RM125 juta kepada program membasmi denggi adalah tidak tepat kerana RM5 juta sudah dikhususkan untuk program itu.

Dalam perkembangan lain beliau meminta semua parti luar Barisan Nasional (BN) berlapang dada dan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan individu demi menghadapi PRU-14.

Mohamed Azmin mengakui proses rundingan dalam politik agak rumit dan ia tidak mampu diselesaikan dalam satu pertemuan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar sejuta terima manfaat Skim Peduli Sihat

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 24 JAN: Kerajaan Selangor mensasarkan sejuta rakyat bakal mendapat manfaat daripada Skim Peduli Sihat yang memberikan perlindungan asas bagi menampung kos sara hidup semasa bagi 2017.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, jumlah itu dianggarkan daripada 250,000 keluarga yang termasuk dalam kumpulan B40 dan terdiri daripada empat orang ahli keluarga.

“Skim ini adalah skim perlindungan asas diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi meringankan kos sara hidup untuk kumpulan B40, golongan berpendapatan RM1,500 hingga RM3,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Skim Peduli Sihat di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak.

Menurutnya, Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM125 juta untuk Skim Peduli Sihat seperti yang diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2017.

Dibahagikan kepada dua kategori iaitu keluarga dan individu, syarat yang dikenakan juga mudah untuk rakyat menikmati skim ini.

“Kategori Keluarga, mereka layak menerima RM500 diperuntukkan dalam satu kad Peduli Sihat dengan syarat rakyat Selangor atau bermustautin di negeri ini selama 10 tahun dan berpendapatan dibawah RM3,000.

“Untuk individu mereka yang berumur 21 tahun ke atas layak menerima pembiayaan RM200 setahun.

“Syaratnya mestilah rakyat Selangor atau bermustautin selama 10 tahun, berpendapatan RM1,500,” katanya.

Selain itu, 1,000 klinik swasta bersama dalam program ini sebagai panel Skim Peduli Sihat.

Untuk peringkat awal, Kerajaan Negeri mensasarkan pendaftaran seramai 20,000 penyertaan daripada setiap DUN di Selangor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Jangan lepaskan peluang sertai Peduli Sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 16 JAN: Masyarakat di Selangor diseru supaya tidak melepaskan peluang menyertai skim Peduli Sihat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2017.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri memperuntukan RM125 juta bagi membantu rakyat negeri itu meringankan tanggungan masing-masing untuk mendapatkan rawatan ketika memerlukan.

“Rakyat perlu mengambil manfaat daripada usaha Kerajaan Negeri ini di mana setiap keluarga diperuntukan sebanyak RM500 untuk mendapat rawatan di klinik dalam Selangor,” katanya pada Program Exco Turun Padang di Dewan Pangsapuri Kuang Raya di sini, semalam.

AMIRJelasnya, Kerajaan Negeri berusaha sedaya mungkin bagi memastikan rakyat di negeri itu memperolehi manfaat daripada kekayaan dimiliki negeri itu termasuk golongan mendiami kediaman bertingkat.

“Exco Perumahan sendiri melakukan pelbagai perkara untuk memastikan taraf kehidupan di pangsapuri lebih baik,” katanya lagi.

Sementara itu dalam program turun padang yang berlangsung sepanjang hari itu turut dihadiri Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita & Keluarga, Dr Daroyah Alwi; Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin.

Dalam program itu, masyarakat setempat berpeluang mengemukakan pelbagai masalah yang dihadapi di kawasan kediaman masing-masing.

-nR-

Categories
SELANGOR

1,000 klinik swasta seluruh Selangor, bakal tawar Skim Peduli Sihat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 DIS: Klinik-klinik swasta di seluruh negeri disaran menyertai program ‘Skim Peduli Sihat’ yang bakal dilancarkan Kerajaan Negeri, bermula Januari depan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, penyertaan tersebut boleh dibuat menerusi pendaftaran bersama Selgate Corporation.

“Dianggarkan sebanyak 1,000 klinik swasta seluruh negeri akan menjadi panel klinik bagi pelaksanaan Skim Peduli Sihat ini.

“Inisiatif ini bagi memudahkan rakyat mendapatkan akses rawatan yang lebih murah dan berdekatan dengan tempat tinggal mereka,” katanya.

Maklumat mengenai pendaftaran tersebut boleh dibuat menerusi atas talian di www.pedulisihat.com, atau mendafat di pusat khidmat seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam pembentangan Belanjawan Negeri berkata, skim berkenaan diperkenalkan ekoran permintaan mendesak daripada masyarakat awam.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM125 juta bantu rakyat Selangor nikmati Skim Peduli Sihat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 DIS: Kerajaan Negeri memperuntukan RM125 juta bagi tujuan perbelanjaan Skim Peduli Sihat bagi meringankan beban masyarakat Selangor dari segi kos rawatan kesihatan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, skim berkenaan bakal memberi manfaat jangka panjang kepada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah dan individu bujang berpendapatan RM1,500.

“Kita anggarkan satu juta rakyat di Selangor bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan skim ini yang akan dimulakan Januari depan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, pelaksanaan skim berkenaan meliputi tawaran pemberian kad kesihatan berjumlah RM500 setahun bagi inidividu berkeluarga dengan pendapatan RM3,000 ke bawah dan RM1,500 untuk individu bujang.

Katanya, skim tersebut memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri membantu masyarakat memerlukan untuk mendapatkan akses rawatan yang lebih mudah dan berkesan.

peduli-sihat“Pelaksanaan sistem kad kesihatan ini lebih memudahkan tanpa perlu terikat terlalu lama untuk mendapatkan rawatan di klinik seluruh negeri,” katanya.

Terdahulu, skim berkenaan juga bakal memberi manfaat kepada rakyat yang lahir di Selangor atau menetap di negeri itu lebih 10 tahun layak menyertai skim ini.

Skim tersebut diuruskan oleh pentadbir jagaan kesihatan pihak ketiga Selgate Corporation, yang akan membiayai rawatan kesihatan asas sebanyak RM500 setahun untuk setiap keluarga yang layak.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor laksana Skim Peduli Sihat hujung tahun ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Negeri 2017, akan dilancarkan hujung tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia ekoran permintaan mendesak dari ramai pihak yang mahukan skim itu dilancarkan segera kerana memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, pihaknya akan memilih beberapa daerah untuk melaksanakan projek perintis.

“Saya sudah memaklumkan kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, supaya ia dilancarkan segera. Kita mahu perkara ini bukan sahaja cantik di atas kertas tetapi juga disegerakan. Jadi, skim ini kita akan lancarkan sebelum hujung tahun ini.

mb-dun“Semua persiapan membabitkan syarat kelayakan, operasi prosuder standard, risalah dan keperluan lain dimaklumkan kepada Pejabat Daerah dan Ketua Kampung.

“Saya sendiri akan turun mendaftarkan rakyat. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri cukup baik dan tidak boleh dilengahkan lagi,” katanya di Sidang Dewan Negeri.

Pada masa yang sama, Mohamed Azmin berkata skim terbabit berbeza dengan Klinik 1 Malaysia seperti yang didakwa pembangkang.

Katanya, skim itu yang membabitkan 1,000 klinik swasta supaya rawatan asas yang menyeluruh dapat diberikan kepada rakyat.

“Klinik 1 Malaysia cuma ada 17 buah di negeri Selangor. Bagaimana rakyat di Hulu Selangor mendapatkan rawatan jika hanya ada sebuah sahaja di kawasan itu? Malah, Klinik 1 Malaysia juga tidak mempunyai doktor tetapi hanya Pembantu Perubatan dan dua jururawat.

“Pesakit terpaksa menunggu lebih empat hingga lima jam di hospital awam untuk mendapatkan rawatan, oleh itu kita mahu daftarkan 1,000 panel klinik swasta. Ini membezakan skim kita dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mahu mengadakan pameran dan setiap klinik panel perlu menyertainya bagi membolehkan rakyat maklum rawatan boleh didapati.

skim-sihatPada 31 Oktober lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan skim kesihatan percuma untuk kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam belanjawannya bagi tahun 2017.

Digelar ‘Skim Peduli Sihat’ atau skim perlindungan perubatan dan kesihatan itu bertujuan menangani kos sara hidup yang dihadapi kumpulan berkenaan.

Sebanyak RM125 juta setahun diperuntukan untuk 250,000 keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM 3,000 ke bawah.

Skim itu akan diuruskan oleh pentadbir jagaan kesihatan pihak ketiga Selgate Corporation, yang akan membiayai rawatan kesihatan asas sebanyak RM500 setahun untuk setiap keluarga yang layak.

-nR-