Categories
AGENDA JENAYAH

Pegawai bank disyaki terbabit tujuh kes pecah amanah ditahan

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Seorang pegawai bank antarabangsa ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan tujuh kes pecah amanah bernilai kira-kira RM4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di Cheras, di sini, pada 21 Sept lepas.

Beliau berkata lelaki itu yang berkhidmat sebagai pengurus perhubungan pelanggan disyaki melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang simpanan tetap milik mangsa bagi membeli tujuh jongkong emas untuk dirinya sendiri.

Kamarudin berkata setakat ini satu kes telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 27 Sept lepas manakala enam lagi sedang disiasat.

“Kita percaya ramai lagi mangsa mengalami kerugian akibat perbuatan suspek namun belum membuat laporan polis dan mereka yang terbabit dinasihatkan untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pegawai bank tunjuk isyarat lucah kepada polis ditahan

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Seorang pegawai bank ditahan gara-gara menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis ketika kenderaan dinaikinya diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Tropicana, Kota Damansara malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam penugasan SJR kira-kira pukul 11.30 malam, pihaknya menahan sebuah kenderaan e-panggilan yang dinaiki suspek berusia 39 tahun untuk pemeriksaan.

“Semasa menjalankan pemeriksaan, suspek menunjukkan isyarat lucah (jari tengah) dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang bertugas serta tidak memberikan kerjasama.

“Suspek juga bertindak agresif, dan ia memaksa polis melakukan tindakan kekerasan yang minima semasa melaksanakan tangkapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek ditahan reman tiga hari dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

‘Penahanan suspek tembak isteri tak mampu hilangkan kesedihan saya’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 10 NOV : Suami Allahyarham Norazita Abu Talib yang ditembak mati dalam kejadian rompakan di Ambank USJ Sentral 2, Subang Jaya, 23 Oktober lalu hari ini melahirkan rasa lega selepas suspek utama kes itu ditangkap polis di Johor Bharu awal pagi tadi.

kes-tembak-3Bagaimanapun, Irwan Kamaruddin, 37, berkata penangkapan suspek yang merupakan Pengawal Keselamatan itu tetap tidak dapat menghilangkan kesedihan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung beliau dan dua anaknya yang memerlukan belaian seorang ibu.

“Saya puas hati dengan tertangkapnya suspek dan berharap dia akan mendapat hukuman yang seberat-beratnya tetapi macam mana sekalipun masih tidak dapat hilangkan kesedihan kami sekeluarga.

“Saya percaya pihak pendakwa akan bersedia dengan bukti dan saksi bagi memastikan suspek tidak terlepas dari hukuman yang setimpal.

“Bagaimanapun kita sebagai seorang Islam, saya terima yang pergi tetap pergi tidak dapat dikembalikan lagi walaupun pembunuh itu menerima hukumannya nanti,” kata Irwan ketika dihubungi Selangor Kini hari ini.

Mengulas lanjut, Irwan melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak polis dan orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan tersebut.

Irwan juga berharap agar kejadian yang menimpa isteri beliau dijadikan pengajaran kepada semua pihak bertanggungjawab.

“Saya berharap agar syarikat pengawal keselamatan menyaring ketat pengambilan kakitangan baru dan pihak berkuasa juga kena ketatkan syarat, kalau tidak ia boleh berulang kepada orang lain.

“Saya tidak sanggup melihat perkara seperti ini berlaku kepada keluarga lain pula,” kata beliau lagi.

Dalam kejadian rompakan di Ambank Subang Jaya, 23 Oktober lalu, suspek seorang Pengawal Keselamatan menembak mati Norazita dengan menggunakan senjata api jenis ‘pump gun’ sebelum melarikan wang sebanyak RM450,000 dari peti besi bank berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa bersama tiga pekerja bank wanita diiringi pengawal keselamatan terbabit untuk mengeluarkan wang daripada bilik kebal.

Norazita meninggalkan suami dan dua orang anak masih bersekolah, Nurisa Nabilah Irwan,12 dan Muhammad Hazimi Irwan, 8.

-EZY