Categories
AGENDA NASIONAL

Selepas Umno tolak, peguam negara dakwa ‘tiada fakta jelas’ PM hilang sokongan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Setelah Umno menarik sokongan daripada kerajaan, peguam negara menyatakan “tiada fakta jelas” Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah hilang kepercayaan ahli parlimen.

“Buat masa ini kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata Tan Sri Idrus Harun.

Beliau mengulas pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi malam tadi yang menyebut parti itu “menarik balik dan menamatkan serta-merta” sokongan terhadap Muhyiddin.

“Justeru Umno mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad,” kata Zahid.

Dalam kenyataannya, Idrus juga berkata sokongan majoriti ditentukan oleh ahli-ahli parlimen sendiri seperti Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, bukannya kenyataan parti politik.

“Oleh itu, dari segi undang-undang, perdana menteri dan jemaah menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan,” kata peguam negara lagi.

Umno sentiasa menyatakan ingin menarik sokongan terhadap Muhyiddin tetapi menteri-menteri parti tersebut tidak pernah meletakkan jawatan atau menunjukkan sikap selari dengan Zahid.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peguam Negara perlu jelaskan keputusan lepas, bebas Musa Aman – PAKATAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PAKATAN) meminta penjelasan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, pagi tadi.

Majlis terbabit memaklumkan keputusan itu membingungkan dan mengecewakan memandangkan semua pertuduhan terhadap mantan Ketua Menteri Sabah itu membabitkan nilai lebih RM50 juta.

“Satu negara menyaksikan hakim Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan melepas dan membebaskan Musa Aman, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik kesemua 46 pertuduhan terhadap beliau.

“Ini bukan jumlah pertuduhan dan jumlah wang yang kecil. Pejabat Peguam Negara perlu segera memberi penjelasan penuh berkenaan keputusan ini kerana ia bakal mencerminkan wajah sebenar pentadbiran yang ada hari ini,” kata kenyataan itu.

Ia adalah kenyataan bersama Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiusaha Agung Parti Amanah Negara, Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Pagi tadi, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Musa daripada semua tuduhan berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Keputusan itu dibuat selepas pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Hakim juga membatalkan dua permohonan daripada pihak pembelaan iaitu untuk membatalkan tuduhan dan permohonan bagi mencabar keperlembagaan Seksyen 82(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Categories
AGENDA NASIONAL

Prosiding komital: Bapa Adib minta pendirian terkini Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Bapa anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mengemukakan representasi kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, bagi mendapatkan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung permohonan prosiding komital yang difailkannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Peguam Aidil Khalid, yang mewakili bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, berkata pihaknya menghantar surat representasi itu menerusi faks dan e-mel semalam.

Beliau berkata representasi itu adalah bagi mendapatkan pendirian terkini AGC susulan pertukaran Peguam Negara pada 6 Mac lepas, sama ada masih berdiri teguh di belakang tingkah laku Thomas selaku bekas Peguam Negara, khususnya berkenaan kenyataan media yang menjadi subjek perkara prosiding menghina mahkamah, ataupun AGC menjarakkan dirinya dengan tindakan Thomas tersebut.

Menurut Aidil, AGC diharap dapat memberikan jawapan supaya pihaknya dapat menasihati Mohd Kassim untuk tindakan seterusnya terhadap rayuan yang difailkan anak guamnya itu pada 11 Februari lepas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Januari lalu, yang membenarkan rayuan Thomas untuk mengetepikan prosiding komital itu.

Peguam itu juga berkata pengurusan kes rayuan itu yang ditetapkan hari ini di Mahkamah Rayuan telah dilapangkan berikutan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Sistem e-filing kehakiman menyenaraikan tarikh baharu pengurusan kes ialah pada 12 Ogos depan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Kassim memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas pada 16 Julai tahun lepas di Mahkamah Koroner Shah Alam, atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Mahkamah Koroner membenarkan permohonan itu dan Thomas kemudiannya menfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan Mahkamah Koroner telah terkhilaf ketika membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap Thomas.

Dalam permohonan itu, Mohd Kassim, 66, mendakwa Thomas telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan AGC pada 3 April tahun lepas, berhubung punca kematian anaknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Idrus Harun ganti Tommy Thomas, kuat kuasa hari ini

SHAH ALAM, 6 MAC: Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai peguam negara baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini, menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang melepaskan jawatan pada 28 Februari lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Tommy Thomas atas perkhidmatan beliau kepada negara selama memegang jawatan sebagai peguam negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan Tommy untuk memendekkan perkhidmatan selaras Fasal (5) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Tommy dilantik sebagai peguam negara pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua tahun dan sepatutnya berakhir Jun depan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Individu timbul, sebar pembohongan perlu disiasat – Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Mana-mana individu yang menimbulkan dan menyebarkan pembohongan dalam isu melibatkan jangkitan koronavirus 2019 di internet hendaklah disiasat dan sekiranya wujud kes dituduh di mahkamah, kata Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Membuat keputusan itu demi kepentingan negara, Thomas menegaskan bahawa tidak terdapat kebebasan mutlak dalam mana-mana masyarakat pada bila-bila masa dalam sejarah.

“Kebebasan untuk bercakap dan bersuara termaktub di bawah Perlembagaan serta jaminan hak di bawah undang-undang untuk tidak menapis internet seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak membenarkan seseorang untuk menyebarkan pembohongan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berasaskan latar belakangnya selaku Pendakwa Raya, Thomas berkata beliau memandang serius pembohongan yang berleluasa berhubung jangkitan itu yang menjadi perhatian rakyat Malaysia dan masyarakat global.

Jelasnya fenomena itu semakin menjadi-jadi akibat ketaksuban masyarakat mengaitkan sentimen perkauman dan agama ke dalam setiap isu kehidupan awam, yang boleh membahayakan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama erat dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menghalang penyebaran kenyataan palsu berkaitan koronavirus dan pertuduhan akan dibuat terhadap individu-individu terbabit dalam masa terdekat.

Thomas berkata individu-individu terbabit akan dituduh di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang menyentuh kenyataan berhubung khianat awam.

Katanya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ialah salah satu pilihan, bagaimanapun elemen-elemen yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan sebelum seseorang itu disabitkan mahkamah di bawah peruntukan tersebut tidak menepati kategori kesalahan yang telah dilakukan mutakhir ini.

“Jelas di sini bahawa Seksyen 233 wajar dipertimbangkan oleh pihak Parlimen bagi tujuan pindaan dalam masa terdekat,” katanya.

Thomas turut meminta agar pihak berkuasa kesihatan diberi ruang untuk menangani masalah itu dengan tenang dan teliti tanpa perlu berdepan dengan isu-isu luaran yang tidak berkenaan.

“Jabatan ini dengan kerjasama polis, SKMM dan agensi kerajaan yang lain, bertekad untuk menghalang penyebaran kenyataan-kenyataan palsu berkaitan koronavirus. Pembohongan berkenaan dengan asal usul, skala dan keseriusan wabak tersebut tidak dibenarkan kerana ia memudaratkan keselamatan awam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis hantar kertas siasatan 12 individu LTTE ke Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung penahanan 12 individu disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke pejabat Peguam Negara, Rabu lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah selesai melakukan siasatan dan kini sedang menunggu keputusan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Terpulang kepada Peguam Negara untuk memaklumkan sama ada bukti itu mencukupi atau tidak,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini.

Mengulas lanjut mengenai kebenaran melawat 12 suspek itu sempena perayaan Deepavali, Ayob Khan berkata, pihak keluarga individu terlibat diberikan hak untuk melawat tahanan pada hari ini.

“Seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sempena Deepavali pertemuan ini telah diaturkan. Keluarga juga dibenarkan membawa makanan untuk mereka.

“Tiada halangan untuk melawat dengan kebenaran melawat setiap keluarga selama dua jam, dan waktu lawatan diperuntukkan dari 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek berada dalam keadaan terkawal dengan kesihatan mereka sentiasa dipantau.

“Ada yang dilaporkan mengalami gastrik serta sakit perut namun perkara itu perkara biasa dan kami tetap memantau mereka. Tidak perlu risau kerana khidmat doktor ada disediakan di sini,” katanya.

Sebelum ini, 12 individu termasuk termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dikaitkan dengan LTTE.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Buat keputusan tepat untuk badan kehakiman dipandang tinggi

PUTRAJAYA, 17 MEI: Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata para hakim mesti sentiasa berusaha untuk membuat keputusan yang tepat tanpa gentar atau memihak, dan tanpa mengambil kira kepribadian pihak-pihak berkaitan atau tertuduh yang dihadapkan di hadapan mereka.

Beliau berkata ini adalah satu-satunya cara bagi Badan Kehakiman mengembalikan kemuliaan dan kredibiliti dipandang tinggi.

“Jika barisan hakim di Malaysia membuat keputusan yang betul dari semasa ke semasa, keyakinan orang ramai pada umumnya, akan kembali pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Pelantikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara di Istana kehakiman di sini hari ini.

Beliau berkata selama 30 tahun selepas Merdeka, badan kehakiman Malaysia mempunyai reputasi tinggi dengan hakim-hakim seperti Ketua Hakim Negara, Tun Muhamed Suffian Muhamed Hashim, Raja Azlan Shah dan Hakim Eusoffee Abdoolcader.

“Saya percaya sebab utama mengapa hakim hakim Malaysia dipandang tinggi dalam tempoh ini adalah kerana mereka sentiasa membuat keputusan yang tepat berdasarkan bukti dan lunas undang-undang,” katanya.

Thomas berkata, keupayaan Tengku Maimun yang tidak dapat ditandingi dapat menerajui badan kehakiman ke landasan sebenar dan lancar.

Beliau berkata, pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara adalah satu pengiktirafan kepada peranan penting yang dimainkan oleh wanita dalam melaksanakan keadilan.

“Wanita mendominasikan fakulti undang-undang dan dan majoriti daripada pengamal undang-undang adalah wanita. Dalam kamar saya, tiga perempat daripada peguam terdiri daripada wanita,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan Tengku Maimun yang diangkat sebagai Ketua Hakim Negara tidak ada hubungan dengan jantina, tetapi berdasarkan integriti, kebebasan, kecerdasan, ketekunan dan ketrampilannya. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Percubaan Najib di saat akhir untuk tangguh bicara SRC gagal

KUALA LUMPUR, 3 APR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi gagal untuk menangguhkan perbicaraannya berhubung SRC International Sdn Bhd selepas Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan ia dimulakan hari ini sebagaimana dijadualkan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib supaya notis usul bagi mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai cacat, didengar dahulu, sebelum perbicaraan bermula.

“Itu (usul berkenaan) boleh didengar pada tarikh kemudian,” kata hakim dan memerintahkan perbicaraan dimulakan.

Pada permulaan prosiding, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pembela telah memfail usul itu pagi ini dan telah meng-emel salinan kepada pihak pendakwaan.

“Usul ini perlu didengar dahulu, atau pada sebarang masa sebelum perbicaraan bermula, sebelum kita memanggil saksi. Kami telah juga memfail ‘sijil urgency’ pagi ini,” kata Muhammad Shafee.

Peguam Negara, Tommy Thomas membantah permohonan itu, dan berkata, usul itu tidak disampaikan ke pejabatnya secara sempurna dan difailkan pada saat-saat akhir.

“Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan, kita harus memulakan perbicaraan dulu. Kami tidak bersedia untuk ini oleh kerana kami perlu menjawab afidavit kepada usul itu. Tidak ada sebab mengapa sebarang usul mengenai pertuduhan itu perlu dibawa di peringkat ini.

“Jika mereka kata ada yang salah tentang pertuduhan itu, mereka mempunyai banyak masa untuk memfail usul berkenaan oleh kerana kes itu difailkan terhadap tertuduh pada Julai tahun lepas.

“Pastinya bukan pagi ini. Tiada kesimpulan lain yang boleh dibuat daripada perlakuan ini kecuali mereka cuba melambat-lambatkan perbicaraan,” kata beliau.

Peguam bersama Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, bertindak bagi Najib, juga berhujah mahkamah harus mendengar usul itu dulu oleh kerana perbicaraan akan jadi sia-sia jika mahkamah memihak kepada pembelaan dan meminda pertuduhan.

Mohd Yusof, bekas Peguam Cara Negara II dan pendakwa utama dalam kes Sodomi II Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tuduhan pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah tidak wajar dan tidak boleh langsung dikenakan terhadap anak guamnya.

DPP Datuk V Sithambaram membalas hujah bahawa tujuan memfail usul itu oleh pihak pembela adalah untuk menangguhkan perbicaraan.

“Mereka berkata pertuduhan itu lemah. Kami kata pertuduhan itu tidak lemah. Kami menghadapi risiko jika pertuduhan lemah.

“Langkah ini semata-mata untuk melambatkan perbicaraan, dan mahukan perbicaraan itu, sebagaimana mereka nyatakan dalam usul mereka, ditangguh, dibatal atau ditunda,” kata beliau.

Najib, 66, yang duduk dalam kandang orang salah, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu menyalah gunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan mengubah wang haram atas dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pendakwaan akan buktikan kes terhadap Najib – Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 3 APR: Pihak pendakwaan akan membuktikan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan bagi dirinya suapan sebanyak RM42 juta.

Dalam pernyataan pembukaan, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib terlibat secara langsung dalam keputusan pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion yang diterima oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

“Oleh itu, adalah menjadi tugas dan keistimewaan saya untuk memulakan perbicaraan di mahkamah terhadap bekas seorang perdana menteri yang selama hampir sedekad, menduduki jawatan yang paling berkuasa di negara ini dan mempunyai hampir kuasa mutlak.

“Keistimewaan seperti itu memikul tanggungjawab yang besar, yang pejabat saya berhasrat untuk melaksanakannya bagi membuktikan bahawa tertuduh bersalah atas tujuh pertuduhan yang dihadapinya seperti yang telah dibacakan di hadapan Yang Arif.

“Tertuduh sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri yang kesalahan itu dilakukan juga serentak ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, dengan itu menggabungkan kuasa politik maksimum dan mengawal kewangan negara,” katanya di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Thomas berkata, selaku memegang jawatan Perdana Menteri dan sebagai pegawai awam tertinggi yang dipilih dan ketua kerajaan, rakyat meletakkan kepercayaan tertinggi kepada tertuduh.

Dalam keadaan sedemikian, undang-undang itu memperuntukkan standard penjagaan bagi tertuduh melaksanakan tugas dan kewajipannya sebagai pemegang amanah perjawatan awam, katanya.

“Tidak cukup dengan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tertuduh juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Penasihat Emeritus dalam anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd, ” kata beliau.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan di sini dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015

Najib yang merupakan perdana menteri Malaysia keenam, adalah perdana menteri pertama berada dalami kandang tertuduh selepas dia diheret ke mahkamah.

Thomas berkata, perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah yang pertama daripada banyak lagi pendakwaan berkaitan kleptokrasi 1MDB yang akan dijalankan.

Beliau berkata, ciri bersama kedua-dua syarikat (1MDB dan SRC International) adalah bahawa kuasa sebenar untuk mengarah dan mengurus hal ehwal kedua-dua syarikat tidak terletak pada Lembaga Pengarah, sebagaimana dikehendaki oleh undang-undang dan menjadi amalan universal apabila syarikat menjalankan perniagaan, tetapi dalam kes ini, kuasa tersebut terletak pada Najib memandangkan beliau memegang kedua-dua jawatan itu.

“Pelaksanaan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa ‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang’ jelas dibuktikan melalui perbicaraan ini. Seorang bekas perdana menteri didakwa di bawah proses sewajarnya di mahkamah di negara ini seperti mana-mana tertuduh yang lain.

“Tertuduh tidak terkecuali daripada undang-undang dan pendakwaan dan perbicaraan ini harus dijadikan duluan bagi semua pemegang jawatan tersebut pada masa depan,” kata beliau.

Bagi membuktikan unsur-unsur pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Thomas berkata, semua bukti iaitu bukti lisan, bukti dokumen dan bukti berdasarkan keadaan akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi membuktikan penubuhan SRC International, penubuhan geran RM3 bilion, permintaan SRC International bagi pinjaman kerajaan sebanyak RM3.95 bilion, pelantikan Lembaga Pengarah SRC International, dan pelantikan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.

Thomas berkata, pihak pendakwaan juga akan membuktikan perkara yang mendorong kelulusan kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kewangan, pengeluaran jaminan kerajaan RM2 bilion yang memihak kepada SRC International dan mengeluarkan jaminan kerajaan sebanyak RM2 bilion lagi yang memihak kepada SRC International.

Beliau berkata, bukti juga akan dikemukakan mengenai wang berjumlah RM42 juta, yang diperoleh daripada SRC International, disalurkan menerusi akaun syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh SRC International) dan Ihsan Perdana Sdn Bhd (yang dikatakan dilantik sebagai rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat SRC International).

“Tertuduh, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012, seperti disebutkan di atas, telah menerima sebagai suapan wang tersebut berjumlah RM42 juta ke dalam akaun AmPrivate Banking-1MY menggunakan nombor akaun 211-202-201188-0 dan akaun AmPrivate Banking-MY menggunakan nombor akaun 211-202-201190-6,” kata beliau.

Bagi pertuduhan pecah amanah jenayah, Thomas berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dan Penasihat Emeritus SRC International, yang diamanahkan dengan wang milik SRC International, telah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta milik SRC International.

Bukti akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa usul khas telah dilulukan untuk meminda Tataurusan Persatuan Syarikat SRC International untuk melantik tertuduh sebagai Penasihat Emeritus, katanya.

“Sebagai Penasihat Emeritus, tertuduh akan menasihati Lembaga Pengarah mengenai perkara-perkara penting dan perkara kepentingan strategik melibatkan Malaysia, dan bahawa Lembaga hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya dan melaksanakan apa-apa nasihat Penasihat Emeritus demi kepentingan syarikat,” katanya.

Thomas berkata, Najib secara tidak jujur ​​telah menyebabkan dirinya mengaut keuntungan sebanyak RM42 juta secara menyalahi undang-undang dan menyebabkan SRC International kehilangan wang sebanyak RM42 juta secara salah dari segi undang-undang.

Beliau berkata, jumlah wang itu dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking Najib melalui akaun syarikat Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana antara 24 dan 29 Disember 2014 dan antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga akan menampilkan bukti bahawa Najib terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM42 juta sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, ke dalam akaun AmPrivate Banking.

Beliau berkata, bukti juga akan dikemukakan bahawa Najib mengeluarkan sejumlah 15 cek peribadi daripada akaun banknya berjumlah RM10,776,514.00.

“Bukti juga akan menunjukkan bahawa pada Disember 2014, kad kredit tertuduh telah digunakan bagi melunaskan bayaran US$130,625 untuk perbelanjaan di Chanel, butik fesyen eksklusif di Honolulu, Amerika Syarikat” kata Thomas.

Thomas berkata, turut akan dibuktikan bahawa cek peribadi yang digunakan, antara lain, bagi pembayaran kerja pengubahsuaian rumah tertuduh di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, kediaman tertuduh di Pekan, Pahang serta kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Tanggungjawab sekarang terletak pada pihak pendakwaan, untuk membuktikan tanpa keraguan yang munasabah, bahawa tertuduh, Mohd Najib bin Hj Abd Razak bersalah atas pertuduhan jenayah yang dihadapinya pada perbicaraan ini,” kata beliau.

FOTO EHSAN: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peguam Negara perlu beri penjelasan segera – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 SEPT: Pejabat Peguam Negara perlu memberi penjelasan segera berhubung pembebasan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penjelasan itu penting supaya tidak timbul tafsiran yang boleh merosakkan persepsi umum terhadap institusi jabatan terbabit.

“Saya percaya peguam negara akan membuat penjelasan berhubung isu ini,” katanya ketika ditemui media di lobi Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah terbabit.

Dalam laporan itu, SPRM menegaskan keputusan menarik balik kes rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo terbabit dibuat Pejabat Peguam Negara.

Categories
NASIONAL

Peguam Negara: Kapal mewah Equanimity disita secara teratur

SHAH ALAM 7 OGOS: Peguam Negara Tommy Thomas berkata kapal layar mewah Equanimity disita mengikut undang-undang Malaysia.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah memohon bidang kuasa Admiralti Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap kapal layar tersebut dan pada Isnin mahkamah mengeluarkan Waran Penahanan terhadapnya.

“Oleh itu, “Equanimity” kini telah disita secara teratur di bawah undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan sejurus selepas kapal layar bernilai bilion ringgit itu berlabuh di Pusat Pelayaran Boustead, Pulau Indah pada jam 1 petang Selasa.

Thomas berkata, lanjutan daripada Triti-Triti Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Indonesia, Amerika Syarikat dan Malaysia yang diaktifkan baru-baru ini, rundingan sensitif dan rumit telah diadakan di peringkat tertinggi pelbagai agensi di ketiga-tiga negara untuk mencapai kejayaan tersebut.

“Kapal layar tersebut telah disita oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari 2018 atas permohonan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

“Penyitaan tersebut dibuat atas inisiatif DOJ yang menuntut hak milik ke atas kapal layar tersebut bagi pihak Malaysia dan 1MDB kerana wang milik kita telah digunakan untuk membelinya,” kata beliau.

Thomas juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat, terutamanya Polis Republik Indonesia (Polri) dalam menghulurkan kerjasama dengan Malaysia untuk membolehkan Equanimity kembali ke negara ini.

Beliau berkata antara agensi tempatan terlibat dalam operasi tersebut adalah Polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

 

Categories
NASIONAL

Peguam Negara era BN turut boleh didakwa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 MEI: Peguam Negara era kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh didakwa sekiranya didapati tidak mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika didapati bersalah berhubung isu 1MDB, kata Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau mengulas susulan kenyataan Peguam Negara mengenai Najib tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kes pemindahan RM42 juta daripada anak syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu SRC International.

Namun, Mohamed Hanipa tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai nasib yang bakal diterima Peguam Negara itu dan hanya menyerahkan ia kepada Peguam Negara baharu untuk mengambil tindakan.

“Jika diandaikan Peguam Negara yang baharu nanti memutuskan akan mendakwa bekas Perdana Menteri BN di mahkamah bagi kes pemindahan RM42 juta tersebut, saya rasa berkemungkinan besar Peguam Negara itu (era BN) juga berdepan risiko yang besar untuk didakwa dengan pertuduhan jenayah,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Hanipa berkata, di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, seorang Peguam Negara ada budi bicara mendakwa atau tidak seseorang atas sesuatu kesalahan jenayah.

“Namun, seperti titah Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam kes Sri Lempah Enteprise tidak wujudnya budi bicara mutlak kerana ‘absolute discretion is a contradiction in terms’.

“Jika budi bicara itu dilihat secara sengaja disalahgunakan bagi melindungi seorang penjenayah yang jelas melakukan jenayah, saya tidak fikir budi bicara tersebut boleh melindungi hatta seorang Peguam Negara,” katanya.

Terdahulu, Peguam Negara lantikan BN pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang bukti penyalahgunaan wang 1MDB daripada mana-mana penyiasatan agensi penguatkuasaan undang-undang membabitkan pelbagai kuasa.

Katanya, Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) mengambil perhatian mengenai tindakan undang-undang sivil terbaru oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

=EZY=