Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Lebih 22,000 mangsa banjir Petaling layak terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Pejabat daerah dan tanah Petaling berkata lebih 22,000 mangsa banjir daerah itu layak menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Pegawai Daerah Mohd Jusni Hashim berkata daripada jumlah itu hanya 500 mangsa masih belum menerima wang tunai RM1,000 dana BSB.

Katanya mereka boleh mendapatkan sumbangan BSB itu dengan mengunjungi pejabat daerah dan tanah Petaling.

“Hanya sebilangan kecil iaitu 500 isi rumah yang masih belum menerima BSB kerana mereka tidak hadir pada majlis penyerahan.

“Agihan dibuat menerusi pelbagai program berskala besar, selain penyerahan di kawasan perumahan mangsa,” katanya kepada Selangorkini, hari ini.

Mohd Jusni berkata pihaknya menjangkakan proses agihan BSB itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta menerusi BSB bagi membaik pulih prasarana, selain sumbangan wang tunai kepada mangsa dan waris mangsa banjir Disember lalu.

Individu yang layak terbahagi kepada tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta dan mereka yang kekal di rumah.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Penduduk terima tawaran Rumah Selangorku, sagu hati RM392,000

SHAH ALAM, 3 SEPT: Penduduk di jajaran Sungai Pelempas yang menghuni atas tanah kerajaan menerima ex-gratia berjumlah RM392,000 bagi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas.

Sebelum perobohan struktur, penduduk Desa Subang Perantau 2 di sini menerima surat tawaran Rumah Selangorku pada 10 Disember tahun lalu.

Penyampaian cek bayaran ex-gratia iaitu sagu hati pula dibuat pada 5 dan 9 Jun di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling selepas surat panggilan diserahkan pada 3 Jun lalu.

Sebahagian penduduk Desa Subang Perantau, Shah Alam menerima surat tawaran Rumah Selangorku pada 10 Disember 2019 sebelum kediaman mereka yang didirikan atas tanah kerajaan dirobohkan untuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas.

Seramai 21 penerima Plot B yang terdiri daripada pemilik dan penyewa menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM30,000 seorang.

Perobohan 20 struktur di Plot B dilakukan hari ini manakala di Plot A dan C dilaksanakan pada 9 dan 10 Jun lalu.

Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas bernilai RM15.13 juta membabitkan kerja naik taraf sungai sepanjang 2.1km dibuat bagi menangani masalah banjir yang kritikal di daerah Petaling dengan kekerapan lebih dua kali setahun.

Rumah di atas rizab Sungai Pelempas, Shah Alam yang dirobohkan Pejabat Daerah Petaling pada 3 September 2020 bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas. Foto oleh FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berikut kronologi Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas:

1) Projek yang bermula pada 13 April 2016 sepatutnya disiapkan pada 11 Oktober 2017

2) Kedudukan struktur sedia ada menghalang pelaksanaan projek hingga mengakibatkan lanjutan masa (EOT) sebanyak empat kali, terakhir 11 Februari 2021

3) Penyampaian Notis 425 Kanun Tanah Negara 1965 dibuat pada 30 Disember 2019 dan 13 Mac 2020

4) Lembaga Zakat Selangor mengadakan bancian penduduk Plot A, B dan C pada 17 November 2019

5) Penduduk diberikan surat tawaran Rumah Selangorku pada 10 Disember 2019

6) Penyampaian surat panggilan kepada penduduk supaya hadir mengambil cek bayaran ex-gratia pada 3 Jun 2020

7) Penduduk hadir mengambil cek bayaran sagu hati pada 5 dan 9 Jun 2020 di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dengan peruntukan keseluruhan RM392,000

8) Perobohan Plot A dan C dilakukan pada 9 dan 10 Jun manakala Plot B dibuat 3 September

Rumah di atas rizab Sungai Pelempas, Shah Alam yang dirobohkan oleh Pejabat Daerah Petaling pada 3 September 2020 bagi projek tebatan banjir. Foto oleh FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

PDT Petaling: 82 pemilik ditawar Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seramai 82 pemilik struktur di atas rizab Sungai Kedondong yang terbabit dengan pelaksanaan projek rancangan tebatan banjir di sungai berkenaan ditawarkan pembelian Rumah Selangorku.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tawaran itu adalah hasil libat urus pihaknya bersama Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong ini amat penting bagi penyelesaian masalah banjir di kawasan Paya Jaras dengan mengambil kira kepesatan pembangunan semasa dan penduduk yang kian bertambah.

“Kejadian banjir bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda, malahan turut mengancam nyawa penduduk yang berkaitan,” katanya.

Terdahulu, PDT Petaling bersama Polis Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor mengadakan tindakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu terhadap struktur yang berada di atas rizab Sungai Kedondong.

Tindakan operasi penguatkuasaan pada 18 September lalu dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

“Operasi penguatkuasaan (18 September) hanya di (dijalankan) Plot C dan D membabitkan 45 struktur membabitkan rumah kediaman, kedai runcit, bengkel dan garaj.

“Plot A dan B belum dibuat operasi penguatkuasaan dan dijangka dalam masa terdekat. Penduduk di Plot A dan B disaran untuk segera mengosongkan struktur bangunan masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, projek rancangan tebatan banjir bernilai RM5.93 juta itu dibiayai Kerajaan Negeri bertujuan menangani masalah banjir yang kritikal di Daerah Petaling dengan kekerapan banjir lebih dua kali setahun.

Projek menaiktaraf Sungai Kedondong sepanjang 1.15 kilometer (km) yang dimulakan sejak 2 Disember 2015 itu dijadualkan siap pada 31 Mei 2017.

Bagaimanapun, ia mengalami kelewatan serius disebabkan adanya sturktur yang menceroboh tanah kerajaan.

“Pihak Berkuasa Negeri sudah menangguhkan operasi penguatkuasaan sebanyak tiga kali iaitu pada 20 Julai 2016, 22 Februari 2017 dan yang terkini operasi yang dijadual pada 5 September 2019 juga telah ditangguh.

“Penangguhan kali ketiga sehingga 16 September 2019 bertujuan memberi laluan kepada anak-anak yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan juga sebagai memberi tambahan masa kepada penduduk untuk mengosongkan tapak secara sukarela,” kata kenyataan itu lagi.

Categories
SELANGOR

Pemilik premis Kampung Lembah Kinrara setuju roboh binaan

Oleh : AFIX REDZUAN

PUCHONG JAYA, 23 JAN: Operasi Perobohan Struktur dan Aktiviti Pembuangan Sampah di rizab sungai Klang, Kampung Lembah Kinrara terpaksa ditangguhkan apabila pemilik premis berkenaan bersetuju untuk merobohkan sendiri binaan berkenaan dalam tempoh sebulan.

Keputusan itu dicapai selepas pemilik premis berbincang bersama Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Petaling dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Zhe Han.

12Sebelum itu, berlaku kekecohan antara pemilik premis yang tidak berpuas hati dengan tindakan perobohan berkenaan kerana membabitkan kawasan mereka sahaja.

Sepanjang tempoh berkenaan, wakil pemilik meluahkan rasa marah dengan tindakan berkenaan dan suasana operasi perobohan berlangsung sedikit tegang sehingga mengakibatkan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dipanggil untuk mengawal keadaan.

Operasi bersepadu itu diketuai Pejabat Tanah Daerah Petaling turut dibantu polis, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Tindakan perobohan diambil di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah kerana memasuki tanah rizab sungai kerana berada di bawah penyelenggaraan JPS dan bidang kuasa Pejabat Tanah Daerah.

Kesalahan itu adalah notis pendudukan tidak sah di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara.

6MPSJ sudah mengemukakan notis meruntuh dan mengosongkan bangunan kepada pemilik struktur dengan notis terakhir diserahkan, pada Disember lalu.

Operasi itu turut menemui dua tangki yang dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel, manakala seramai 69 orang anggota MPSJ turun bagi membantu operasi berkenaan.

Tinjauan Selangor Kini di sepanjang kawasan berkenaan mendapati banyak sisa pepejal berbentuk lebihan binaan dibuang di tepi sungai, namun premis berkenaan menyatakan sampah itu bukan milik mereka.

Namun, kenyataan ‘meragukan’ terbabit menimbulkan tanda tanya apabila jalan untuk memasuki premis berkenaan dihalang dengan palang besi yang bukan didirikan pihak berkuasa.

-NFN-