Oleh: NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 10 SEP: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muda Selangor berharap Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) menambah hari persidangan.
Perkara itu dibangkitkan beberapa Adun Muda yang ditemui Selangor Kini pada persidangan DNS Adun Muda, semalam.
Pelajar Geomatika University College, Setiawangsa, Muhammad Faisal Abd Rahman, 20, berkata keputusan menambah masa dan hari bersidang membolehkan lebih ramai Adun Muda lain mengambil peluang membahaskan sesuatu usul.
“Program ini adalah platform terbaik untuk anak muda menyampaikan idea dan saya menjangkakan Kerajaan Negeri akan mengumpul data perbahasan kami seterusnya membawa dalam persidangan yang sebenar.
“Perlu ditambah kepada tiga hari, dua malam supaya usul yang dibincangkan lebih telus dan mendalam. Dua hari satu malam tak cukup,” katanya.
Cadangan sama turut dikongsi Sahain Nada Puthucheary, 18, selain percaya program itu memberi peluang kepada golongan muda menimba pengalaman dan merasai prosiding sebenar persidangan DNS.
“Bukan senang untuk Adun meneruskan usulnya, tambahan pula jika dia berada di pihak bukan majoriti. Hakikatnya, setiap usul itu perlu persetujuan ramai.
“Saya juga rasa perlukan lebih banyak usul yang berkaitan golongan belia secara langsung dan masanya pula agak pendek, tak cukup untuk kita keluarkan semua hujah untuk sesuatu usul,” kata pelajar Taylor College, Subang Jaya itu.
Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia, Nur Atheefa Sufeena M.Suaree, 22, memberitahu program seumpama itu mampu memberi ruang anak muda khususnya anak jati Selangor memahami dasar Kerajaan Negeri.
“Saya nampak aktiviti dalam program ini mengasah bakat anak muda seperti kemahiran pengucapan awam, kemahiran berfikir untuk mereka mengemukakan idea dan menambah pengetahuan apa yang sebenarnya berlaku di Selangor.
“Generasi muda juga lebih berani mengemukakan idea yang agak panas berbanding ahli politik sebenar. Saya rasa elok juga ditambah slot pengisian keilmuan dalam minda anak muda,” katanya.
-NR-