Categories
AGENDA NASIONAL

Kekang Covid-19, kemasukan pekerja asing lalui SOP ketat

PUTRAJAYA, 16 DIS: Malaysia menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat untuk kemasukan pekerja asing membabitkan empat proses bagi mengekang risiko penularan Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata empat peringkat itu adalah pekerja asing mesti lengkap vaksinasi di negara asal dan dibawa masuk melalui laluan khas apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pekerja asing kemudiannya akan dikuarantin di tempat khas yang disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dipindahkan ke tempat kerja masing-masing dan disediakan tempat penginapan kondusif oleh majikan sebagai prasyarat mengikut Akta Standard Minimun Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Saravanan berkata pekerja asing yang dibawa masuk akan menjalani kuarantin 14 hari dan ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) pada hari pertama, ketiga, kelima dan ketujuh sebelum dipindahkan ke tempat kerja masing-masing.

“Empat langkah diambil ini bagi memastikan kemasukan pekerja asing ke negara ini adalah selamat,” katanya kepada media selepas majlis graduasi ‘Certified Disability Management Professional’ (CDMP) hari ini. Seramai 105 graduan hari ini terlibat dalam bidang pengurusan hilang upaya.

Bagi kemasukan pembantu rumah asing pula, Saravanan berkata SOP untuknya sedang dikaji Kementerian Sumber Manusia.

Pada 8 Dis lepas, Saravanan dilaporkan berkata Malaysia dijangka menerima kemasukan antara 5,000 dan 10,000 pekerja asing dari Indonesia tahun depan bagi memenuhi sektor pembinaan dan pembuatan termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

Sementara itu, Saravanan berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menerima sejumlah 50,634 tuntutan faedah hilang upaya sementara dan permohonan ilat pula sebanyak 32,275 pada 2020, dan daripada jumlah itu, seramai 5,503 individu disahkan ilat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bawa masuk pekerja asing, majikan tanggung semua kos – menteri

PUTRAJAYA, 26 OKT: Majikan yang berminat untuk menggajikan pekerja asing perlu menanggung semua kos berkaitan untuk membawa mereka masuk ke Malaysia, antaranya meliputi kadar bayaran levi dan kos kuarantin wajib setelah mereka tiba di pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ketibaan semua pekerja asing hanya dibenarkan melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 serta pintu masuk Sabah dan Sarawak yang akan ditetapkan kemudian nanti.

Bercakap dalam sidang selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini hari ini beliau berkata, pekerja asing juga perlu menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari di pusat kuarantin yang diperakui oleh kerajaan.

Pada 22 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikannya telah meluluskan tatacara operasi piawai (SOP) kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan sektor perladangan, seterusnya sektor lain yang dibenarkan.

SOP kemasukan pekerja asing turut merangkumi empat peringkat iaitu praperlepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin.

Mengenai Program Rekalibrasi Pulang, Hamzah berkata 147,705 pendatang tanpa izin telah berdaftar untuk program berkenaan setakat 21 Okt lepas, dan seramai 124,423 daripada jumlah itu telah pulang ke negara asal.

“Kerajaan telah menjana RM71 juta daripada pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang ini melalui bayaran kompaun yang dikutip,” katanya dan menambah kejayaan kutipan itu didorong oleh pembukaan kaunter khas untuk memudah cara kepulangan mereka di beberapa pintu keluar negara iaitu di KLIA, klia2, Stulang Laut dan Pasir Gudang di Johor

Bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula, Hamzah berkata seramai 212,926 pendatang tanpa izin telah berdaftar untuk diregularisasikan sebagai pekerja asing yang sah, dengan 34,318 individu lulus verifikasi manakala 20,889 lagi gagal.

“Seramai 157,719 pendatang tanpa izin masih belum hadir proses verifikasi di Jabatan Imigiresen. Peserta yang gagal dalam proses regularisasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan secara automatik dihantar pulang melalui Program Rekalibrasi Pulang,” katanya.

Menurutnya antara sebab mereka gagal di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja itu adalah faktor had umur, memandangkan pekerja asing yang ingin bekerja di Malaysia ditetapkan berumur bawah 45 tahun, dan mereka dibenarkan bekerja sehingga usia 55 tahun.

Hamzah berkata berkata kutipan wang cagaran untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang terkumpul sehingga 20 Okt lepas adalah sebanyak RM106 juta, manakala kutipan hasil bagi program itu adalah RM4.15 juta merangkumi fi rekalibrasi, levi, pas, visa dan fi proses.

Pendaftaran tertinggi di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja adalah dari sektor pembinaan iaitu sebanyak 122,075 permohonan, diikuti sektor perkilangan (65,484), dan pertanian (12,003), katanya.

Beliau berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dilaksanakan sehingga 31 Dis ini, dan dibuka kepada semua sektor, kecuali sektor yang dibekukan sebelum ini, yang melibatkan subsektor seperti perkhidmatan dobi, tekstil, tukang gunting rambut, tukang emas, barangan logam dan lusuh, dan penjagaan dan perkhidmatan komuniti.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang ada pekerja asing perlu jadi pusat beri vaksin

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan agar semua pemilik kilang yang mempunyai pekerja asing menjadikan premis mereka sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, Ismail Sabri berkata kilang-kilang seharusnya menyumbang kepada percambahan ekonomi dan bukan menjadi pusat penyebaran Covid-19.

“Saya juga telah berjumpa dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan supaya pekerja asing tidak lagi perlu beratur dan menyebabkan kesesakan di PPV sebaliknya hanya mendapatkan vaksin di tempat mereka bekerja.

“Pendirian kerajaan adalah jelas dan tegas bahawa sesebuah kilang itu hanya dibenarkan untuk beroperasi semula setelah mencapai 80 peratus kadar vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata pemberian vaksin secara pandu lalu juga akan dipertingkat dalam masa terdekat supaya rakyat tidak perlu menunggu lama, cukup sekadar 15 minit di dalam kereta dan boleh terus mendapatkan dos suntikan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB bawa isu individu mahu vaksin tapi tiada dokumen kepada menteri

SHAH ALAM, 9 OGOS: Dato’ Menteri Besar akan membantu berhubung isu individu di negeri ini yang mahu divaksin tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau telah berbincang dengan menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan penyelesaian akan diumum dalam masa terdekat.

“Bagi mengatasi masalah ini, saya telah berhubung dengan Menteri Penyelaras PICK dan jalan penyelesaian akan diumum dalam masa terdekat.

“…sama ada melalui dokumen pengenalan sementara menerusi aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) atau inisiatif lain yang akan dikenal pasti,” katanya menerusi video Kemaskini Usaha Kerajaan Negeri Selangor Menggempur Covid-19 di Facebooknya hari ini.

Selain itu, Amirudin percaya banyak kes berhubung mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan atau pekerja asing yang bekerja di negara ini tanpa dokumen lengkap.

“Ada segelintir mereka tidak lengkap dokumen kerana pas dan visa pekerja tidak dapat diperbaharui susulan beberapa kekangan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program vaksin Selangor, pekerja berisiko antara terawal dapat suntikan

SHAH ALAM, 23 FEB: Pekerja berisiko tinggi di negeri ini antara kumpulan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dibeli majikan mereka.

EXCO kesihatan awam berkata langkah itu berikutan golongan tersebut, termasuk bukan warganegara, antara yang menyumbang peningkatan kes di tempat kerja.

Bagaimanapun, tambah Dr Siti Mariah Mahmud, majikan pekerja asing itu harus membeli vaksin berkenaan untuk disuntik kepada para pekerja.

“Selangor ada lebih 500,000 pekerja asing, jika dibiarkan kita bimbang kes makin meningkat. Oleh itu, majikan perlu beli vaksin dan beri kepada pekerja,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas mengagihkan kit pembasmi Covid-19 di sini menyasar hampir 70 peratus daripada 6.7 juta penduduk negeri ini bakal menerima suntikan.

Selangor sebagai negeri utama industri di negara ini mempunyai banyak kilang dan tapak binaan yang menyaksikan kemunculan banyak kluster Covid-19 dalam gelombang ketiga.

Susulan itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) sejak bulan ini. Program saringan di kilang dan tempat kerja ini bertujuan mengawal kluster baharu.

Semalam, Kerajaan Negeri menjangka pembelian antara dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang bakal diperoleh sekitar Mei atau Jun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu demi memenuhi keperluan warga tempatan dan pekerja asing selain mengurangkan beban kerajaan persekutuan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 5,000 pekerja asing dijangkiti Covid-19 sejak Disember

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Seramai 251,101 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 1 Dis lalu hingga semalam dengan 4,735 orang didapati positif jangkitan virus itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sebanyak 10,500 majikan menghantar pekerja mereka menjalani ujian itu yang diwajibkan oleh kerajaan ke atas pekerja asing.

“Semalam, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 8,601 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 133 daripadanya positif.

“Hingga kini juga, 887 klinik terlibat dengan program saringan ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ujian itu selaras dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing, khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ditanggung majikan masing-masing.

Selain itu, Ismail Sabri berkata sejak 20 April lepas, anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalankan 14,840 pemeriksaan melibatkan 8,404 tapak pembinaan di seluruh negara.

Mengenai pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), beliau berkata polis menahan 426 individu dengan 404 dikompaun, 21 direman dan seorang dijamin, semalam.

Kawalan sempadan menerusi Operasi Benteng pula menyaksikan 23 pendatang tanpa izin ditahan manakala lima kenderaan darat dan dua bot dirampas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Vaksinasi pekerja asing penuhi sasaran 70 peratus imuniti kelompok

SHAH ALAM, 26 JAN: Rancangan vaksinasi ke atas sejuta pekerja asing di Selangor perlu diambil kira bagi mencapai sasaran 70 peratus imuniti kelompok seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan itu merangkumi pekerja asing yang tinggal bersama enam juta penduduk tempatan, lapor MalaysiaKini.

“Selepas mendapat vaksin, saya dimaklumkan orang itu hanya akan kebal tapi dia masih boleh jadi pembawa kepada virus ini. Jadi suka atau tidak orang lain juga harus kebal kepada virus tersebut.

“Jika tidak, komuniti (tempatan) kita kebal tetapi pada masa sama ada warga asing tidak kebal kerana kita tidak memberikan vaksin kepada mereka,” katanya.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri mungkin menawarkan harga subsidi kepada pekerja asing untuk mendapatkan suntikan vaksin berbanding rakyat tempatan yang diberi secara percuma.

“Inilah sebabnya mengapa Kerajaan Negeri bersiap memberi vaksin untuk pekerja asing berdaftar melalui majikan mereka untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan membeli tiga hingga lima juta dos vaksin bagi mengawal penularan Covid-19.

Menurutnya, langkah itu berupaya mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan dan memastikan bekalan vaksin mencukupi untuk penduduk Selangor sekali gus memastikan kesihatan rakyat terus terjamin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja asing wajib buat saringan Covid-19 mulai 1 Januari 2021

SHAH ALAM, 24 DIS: Semua pekerja asing dalam pelbagai sektor diwajibkan menjalani saringan Covid-19 berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

Menteri kanan keselamatan berkata kos ujian ditanggung sepenuhnya oleh majikan termasuk kuarantin dan rawatan jika pekerja tersebut dijangkiti virus.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan arahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) membolehkan tindakan undang-undang dan penalti untuk majikan yang ingkar.

“Kementerian Sumber Manusia mengesahkan seramai 49,248 pekerja asing sudah menjalani saringan melibatkan 1,990 majikan, namun masih ramai (majikan) enggan memberi kerjasama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bermula 1 Disember, kerajaan mengarahkan semua pekerja asing menjalani saringan Covid-19 dan kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut mempergiat pemeriksaan kediaman pekerja asing mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 382 kes baharu di Thailand, tiada rancangan luas sekatan

BANGKOK, 21 DIS: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan segera untuk memperluaskan sekatan pergerakan selepas 382 kes baharu Covid-19 dilaporkan sepanjang tempoh 24 jam lepas.

Daripada 382 kes baharu itu, 360 kes melibatkan pekerja asing di pasar makanan laut di wilayah Samut Sakhon yang sekatan pergerakan dan perintah berkurung pada sebelah malam dilaksanakan sehingga 3 Januari berikutan lonjakan kes Covid-19.

Prayuth berkata kerajaan akan memantau situasi itu selama seminggu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Keadaan adalah terkawal. Kluster baharu itu ekoran kemasukan pekerja asing secara haram. Kami berharap semuanya akan bertambah baik tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam untuk merangka garis panduan untuk melaksanakan sekatan pergerakan sekiranya kes Covid-19 terus meningkat.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissnuyothin berkata 821 kes dilaporkan dengan kes indeks merupakan seorang penjual udang di pasar makanan laut di Samut Sakhon, sebuah wilayah di barat daya Bangkok.

“Sejumlah 360 kes didapati di asrama pekerja migran. Lebih 90 peratus pesakit baharu adalah asimptomatik atau tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Lebih banyak kes yang disahkan dijangkakan berikutan proses pengesanan kes aktif Covid-19 dijalankan di wilayah itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thaweesilp berkata semua pekerja migran di Samut Sakhon akan menjalani kuarantin susulan kebanyakan kes yang disahkan adalah asimptomatik.

Beliau juga berkata pihak berkuasa meningkatkan usaha pengesanan kontak dan sejumlah 2,707 orang telah menjalani ujian Covid-19 dalam tempoh dua hari lepas dan sedang menunggu keputusan.

Kementerian Kesihatan Awam berkata 40,000 orang akan menjalani ujian Covid-19 di Samut Sakhon dan wilayah berhampiran. Setakat ini, Thailand merekodkan 5,289 kes Covid-19 dengan 60 kematian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan wajib pastikan pekerja asing jalani saringan Covid-19 mula 1 Jan 2021

PUTRAJAYA, 21 DIS: Semua majikan diwajibkan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Januari 2021 bagi menangani penularan pandemik itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kos bagi ujian saringan itu akan ditanggung oleh majikan.

“Bagaimanapun, bagi pekerja asing yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), ujian saringan boleh dibuat di klinik-klinik yang dilantik oleh Perkeso,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dijangka dikuatkuasakan dalam masa terdekat dan mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cegah Covid-19, majikan diseru tangani penginapan sempit pekerja asing

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Masalah penginapan pekerja warga asing yang sempit dan sesak perlu ditangani dengan segera bagi memastikan isu itu tidak menjadi punca penularan jangkitan Covid-19 dan lain-lain penyakit berjangkit, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkara itu adalah selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Memandangkan isu penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara merupakan isu penting yang perlu ditangani, Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menanganinya.

“Sehubungan itu, KKM menyambut baik tindakan penguatkuasaan Akta 446 ini oleh Kementerian Sumber Manusia ke atas pihak majikan yang gagal mematuhi ketetapan akta tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata seperti yang sering ditekankan KKM, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja, termasuk isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan juga persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja.

Beliau berkata KKM memandang serius peningkatan kejadian penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja memandangkan tenaga kerja adalah aset berharga sesebuah syarikat mahupun organisasi, baik pekerja warganegara mahupun bukan.

Terdahulu, Dr Noor Hisham pada tengah hari tadi meninjau aktiviti di lapangan bagi kluster Tapak Bina Awan Baru.

Kluster itu yang melibatkan daerah Kepong dan Cheras diisytiharkan semalam susulan kes positif yang dikesan melalui saringan bersasar ke atas pekerja di sebuah tapak pembinaan di Bandar Baru Sentul.

Beliau berkata hingga 8 malam 28 Nov, seramai 482 individu disaring dengan 410 kes dilaporkan positif.

“Penilaian risiko dan pengesanan kontak rapat di kawasan tapak bina dan kawasan sekitar tempat kerja dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kepong pada 27 Nov.

“Tapak bina ini ditutup di bawah Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 27 Nov bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan pekerja asing di zon merah bermula 1 Disember

PUTRAJAYA, 28 NOV: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula Selasa depan (1 Disember).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata bagi membolehkan program dijalankan secara komprehensif, saringan Covid-19 ini akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik dan hospital swasta.

“Ujian saringan ini akan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan kit ujian akan dibiayai oleh Perkeso.

“Majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital. Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan ini akan dijalankan secara berjadual dan berperingkat dengan memberi tumpuan kepada daerah yang berisiko tinggi, di mana ia akan dimulakan dengan pekerja asing di Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa depan.

“Lain-lain daerah zon merah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan bermula pada 9 Disember depan manakala seluruh negeri Sabah, Labuan dan lain-lain daerah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan bermula pada 16 Disember,” katanya.

Saravanan berkata program saringan ini merupakan kolaborasi di antara agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh, yang meliputi aspek saringan, pemantauan dan pengurusan kes selepas ujian dijalankan.

Beliau berkata program ini akan dikuatkuasakan oleh KSM di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mencegah penularan Covid-19 di kalangan pekerja asing.

Maklumat lanjut berkenaan program ini akan dikemaskini di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my).

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089, katanya.

-BERNAMA