Categories
NASIONAL

KL, Jakarta perhalusi inisiatif bagi buka sempadan kedua-dua negara

JAKARTA, 10 NOV: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan pengurusan koridor perjalanan melalui aturan Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane berikutan kedua-dua negara semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menteri-menteri berkaitan akan memperhalusi inisiatif itu supaya sempadan kedua-dua negara dapat dibuka membabitkan laluan Kuala Lumpur-Jakarta-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Bali-Kuala Lumpur.

“Jika dipercepatkan urusan untuk butirannya, pernyataan bersama akan dibuat bagi mengumumkan pembukaan sempadan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor sempena lawatan sulung rasmi tiga hari beliau yang bermula Selasa.

Mengenai pekerja Indonesia di Malaysia, perdana menteri memberi jaminan untuk terus memelihara kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Ismail Sabri berkata Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 telah diluluskan pindaannya tahun lepas, yang menjamin keselesaan penginapan pekerja bagi rakyat tempatan dan rakyat asing termasuk dari Indonesia.

Perdana Menteri turut memberi jaminan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia akan dimuktamadkan secepat mungkin.

Beliau berkata warga Indonesia boleh memanfaatkan program pemutihan yang dilanjutkan oleh kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini sama ada pulang secara sukarela atau bekerja secara sah.

“Kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam bidang kebudayaan juga akan dipertingkat melalui penyenaraian bersama ke UNESCO beberapa lagi item warisan kebudayaan yang diwarisi bersama,” kata beliau.

Berhubung sempadan maritim kedua-dua negara, Ismail Sabri memberi jaminan Malaysia terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan perkara itu.

“Ada empat isu yang berkaitan, dua isu telah selesai dan boleh ditandatangani,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri dan Jokowi bersependapat isu Myanmar perlu ditangani dengan baik kerana kesan daripada masalah di negara itu memberi impak besar kepada Malaysia daripada segi kedatangan pelarian etnik Rohingya ke Malaysia yang sekarang berjumlah lebih 200,000 orang.

Pada akhir sidang akhbar itu Ismail Sabri menjemput Jokowi melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

Jokowi telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebanyak dua kali sejak memegang jawatan presiden negara itu.

Terdahulu Ismail Sabri dan Jokowi menyaksikan dua MoU ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia bagi kerjasama dalam bidang pendidikan dan kastam.

Sepanjang lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

– BERNAMA

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Majikan diingat lengkapkan dos vaksin pekerja sebelum beroperasi

SHAH ALAM, 14 SEPT: Majikan diingatkan supaya mengambil serius dalam memastikan semua pekerja mereka lengkap divaksin sebelum memulakan operasi perniagaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Rodziah Ismail berkata kegagalan majikan menitik berat isu vaksin terhadap pekerja akan menyebabkan imuniti kelompok tidak tercapai.

“Kerajaan pusat telah membuat polisi bahawa mana-mana individu tidak dibenarkan masuk ke beberapa jenis kedai yang memerlukan dua dos suntikan. Namun apabila disiasat terdapat dalam kalangan pekerja mereka sendiri belum lengkap.

“Saya cadangkan masyarakat jangan masuk ke kedai-kedai yang pekerjanya tidak divaksin dan melaporkannya kepada pihak berwajib,” katanya selepas meninjau program Selvax bergerak DUN Batu Tiga di Kompleks Padang Jawa semalam.

Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya kerajaan bertegas memastikan setiap pekerja perlu lengkap dua dos vaksin selain pelanggan.

Selvax bergerak DUN Batu Tiga memperuntuk sebanyak 300 dos suntikan pelalian untuk penduduk di kawasan tersebut dengan menggunakan sebuah klinik van bergerak yang dipinjamkan Hospital Avisena.

Selvax bergerak berlangsung selama seminggu melibatkan 11 DUN bermula di Bandar Baru Klang diikuti Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Categories
EXCO SELANGOR

Negeri tubuh unit rapatkan jurang jabatan, agensi dengan pusat

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri menubuhkan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bagi merapatkan jurang di antara jabatan serta agensi dengan kerajaan persekutuan.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja anjuran kerajaan persekutuan menyebabkan peranan Kerajaan Negeri kurang relevan.

“Oleh demikian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 18 Ogos lalu memutuskan unit ini ditubuhkan dalam membantu menyelesaikan isu melibatkan antara majikan dan pekerja.

“Walaupun portfolio ini baharu ditubuhkan tahun lalu ia memerlukan hala tuju dan penyusunan program selain lebih banyak peluang untuk Kerajaan Negeri untuk terlibat dalam perancangan program-program persekutuan dengan melibatkan pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau turut meminta kerjasama semua Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk hadir bertemunya dalam memperkasakan program kerjaya yang dianjur menerusi UPPS.

Pada 13 Ogos, Ganabatirau memaklumkan pihaknya akan memperkasa portfolio pemberdayaan pekerja bagi membantu golongan yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, antara langkah yang perlu diambil adalah menambah peruntukan untuk membantu golongan terkesan yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor upayakan pekerja, bantu golongan terkesan akibat Covid-19

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri akan memperkasa portfolio pemberdayaan pekerja bagi membantu golongan yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19.

EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata antara langkah yang perlu diambil adalah menambah peruntukan untuk membantu golongan terkesan yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Portfolio pemberdayaan pekerja yang ditubuh pada Oktober tahun lalu perlu disemak semula melibatkan perancangan serta peruntukan, sebab saya bimbang lebih ramai rakyat Selangor tiada kerja atau terjejas pendapatan.

“Jika tidak diperkasakan dikhuatiri memberi impak kepada kesihatan emosi dan ekonomi individu yang kehilangan pekerjaan akibat tertekan sehingga sanggup membunuh diri,” kata V Ganabatirau kepada SelangorKini.

Beliau berkata dalam membantu meningkatkan ekonomi rakyat, syarikat perlu merancakkan pengambilan pekerja warga tempatan berbanding warga asing.

“Jika mengambil warga tempatan kebergantungan warga asing dapat dikurangkan. Kita tidak mahu ekonomi warga asing lebih baik daripada rakyat sendiri,” katanya.

Pada 7 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan lima bidang tugas baharu bagi mencapai sasaran Selangor Maju iaitu pembudayaan inovasi dan Selangor pintar, pengurusan bencana, pemberdayaan pekerja, perpaduan dan industri halal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja, majikan terjejas Covid-19 diminta dapatkan faedah sistem insurans

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Pekerja dan majikan dalam semua sektor termasuk peruncitan dan membeli-belah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 diminta mendapatkan bantuan atau faedah sementara ditawarkan kerajaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara bantuan SIP bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan adalah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan dan faedah bantuan pencarian pekerjaan.

“Selain itu, fi latihan juga dibayar kepada penyedia latihan yang berdaftar dengan jumlah maksimum sebanyak RM4,000.

SIP merupakan satu program jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu pekerja kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan secara sementara dan membantu mereka yang terkesan untuk mendapatkan pekerjaan agar dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan individu berinsurans akan diberi nasihat dan bantuan serta peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui skim latihan disediakan kerajaan.

“Pekerja yang kehilangan pekerjaan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia secara dalam talian berhubung permasalahan dihadapi,” menurut kenyataan itu.

KSM turut meminta agar permohonan tuntutan faedah SIP dibuat sama ada secara dalam talian di portal SIP atau hadir di mana-mana kaunter Perkeso berhampiran.

Selain itu, pekerja yang terkesan juga boleh melayari Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di http://www.myfuturejobs.gov.my yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Pada masa ini terdapat 242,598 kekosongan jawatan aktif yang berdaftar di bawah Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari pautan https://eiscentre.perkeso.gov.my/ms/utama/ atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-22-8000 atau melalui e-mel ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan paksa kakitangan datang kerja ketika PKP berdepan tindakan

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Majikan yang memaksa pekerja hadir ke tempat kerja walaupun bukan melibatkan perkhidmatan penting perlu dilapor segera kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM), kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pekerja yang memakai gelang kuarantin juga tidak boleh dipaksa hadir ke tempat kerja dan jika berlaku, perkara itu perlu dilaporkan di Hotline KSM di talian 03-88862409, 03-88862352 dan 03-88889111 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Pekerja diminta lapor jika majikan langgar syarat kapasiti 60 peratus yang dibenarkan. Jika ada yang memakai gelang pink diarahkan bekerja, saya harap ia dilaporkan kepada KSM supaya dapat diambil tindakan dan semua pihak perlu bekerjasama memastikan tidak ada pelanggaran SOP.

“Kalau majikan yang paksa pekerja berkenaan untuk bekerja, majikan itu sepatutnya dikenakan tindakan namun saya faham, pekerja tiada pilihan kerana kemungkinan mereka ini diberi amaran, jika tidak hadir bekerja kemungkinan akan dipecat atau tidak dibayar gaji,” katanya pada sidang media selepas melawat sekatan jalan raya di Jalan Ampang hari ini.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun ada kes sedemikian telah diambil tindakan serta diarahkan tutup premis dan dikompaun.

“Insya-Allah, jika semua masyarakat bekerjasama dalam hal ini (mematuhi SOP dan arahan sekatan pergerakan penuh) bersama-sama kita semua dapat melandaikan kes Covid-19,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata pihaknya juga menerima banyak aduan berkaitan premis perniagaan dan perkilangan yang bukan dikategorikan perkhidmatan penting beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh.

“Kita dengar banyak rungutan orang ramai termasuklah di media-media sosial dan sebagainya mengatakan premis berkenaan dibuka dan tetap beroperasi walaupun ia dilarang.

“Oleh itu, semalam Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah meminta untuk memperketatkan penguatkuasaannya,” katanya.

Ismail Sabri berkata orang ramai boleh membuat aduan di Malaysian Government Call Centre di talian 03-80008000.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia hasrat ambil semula pekerja diberhentikan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: AirAsia Group Bhd menyasarkan untuk mengambil semula pekerjanya yang terpaksa diberhentikan pada tahun lepas susulan impak Covid-19, apabila perniagaan syarikat penerbangan itu kembali pulih.

Sambil mengakui keputusan pemberhentian khidmat kira-kira 2,000 pekerja terbabit sebagai satu tragedi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes turut berikrar untuk mengambil khidmat mereka terbabit serta yakin dengan kemampuan syarikat penerbangan tambang rendah tersebut.

“Kehilangan 2,000 pekerja akibat impak Covid-19 merupakan satu tragedi untuk kami. Oleh itu sebelum bersara, saya perlu pastikan kesemua mereka dapat diambil semula.

“Inilah sasaran saya, malah saya yakin ini dapat dilakukan apabila aktiviti penerbangan kembali beroperasi serta disokong oleh perniagaan lain kumpulan ini,” katanya pada acara Reimagining Malaysia Assets (RESET) 2021 pada Selasa.

RESET 2021 yang dihoskan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), merupakan persidangan secara maya selama empat hari yang dianjurkan oleh Persatuan Jurutera Petroleum Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Perkhidmatan Minyak & Gas Malaysia serta Informa Markets Malaysia.

Pada Oktober tahun lepas, AirAsia dan syarikat sekutunya yang juga penerbangan jarak jauh, AirAsia X mengesahkan langkah pemberhentian kira-kira 10 peratus daripada 24,000 tenaga kerjanya berikutan kesukaran sektor penerbangan untuk bangkit semula dalam masa terdekat akibat pandemik tersebut.

Fernandes berkata kewujudan AirAsia juga berteraskan perubahan pengurusan yang memudahkan pekerja berpindah kerja.

Perubahan pengurusan merupakan terma yang merujuk semua pendekatan untuk melakukan persiapan, sokongan, membantu individu, pasukan dan syarikat membuat perubahan di peringkat organisasi.

“Kami adalah syarikat penerbangan pertama (Aseam) dengan barisan juruterbang wanita iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah Asean.

“Oleh itu, budaya dalam AirAsia ini menetapkan asas perubahan dan itulah juga kemahiran kami. Sebagai syarikat penerbangan dengan saiz seperti ini, kami mempunyai kesatuan sekerja sendiri — sesuatu yang tidak dimiliki oleh syarikat penerbangan dunia lain dengan saiz serupa,” katanya.

Fernandes juga menyifatkan kelangsungan AirAsia itu disokong oleh strukturnya, amalan meritokrasi serta kemampuan untuk mengurus perubahan.

Namun, baginya, aspek terpenting dalam AirAsia adalah bakat atau tenaga kerjanya.

“Anda boleh lakukan apa saja sekiranya terdapat struktur, persekitaran wajar dan paling penting adalah barisan pekerja yang tepat. Bagi saya, inilah teras kekuatan kami.

“Mungkin kami tidak mempunyai jumlah tunai yang diinginkan, tetapi ini diatasi dengan membentuk barisan bakat, pekerja (yang tepat), bersemangat serta kemampuan untuk yakin bahawa kami mampu melakukan apa sahaja,” katanya.

Menurutnya, AirAsia turut menubuhkan Redbeat Academy hasil kerjasama dengan Google yang menjadi sebahagian daripada aspirasi untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja berikutan hakikat penerbangan yang tidak terkecuali daripada Revolusi Perindustrian 4.0.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan dinasihat pastikan pekerja terima suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menasihatkan majikan supaya memastikan pekerja yang diberikan kemudahan penginapan di asrama menerima suntikan vaksin bagi mencegah Covid-19.

Dalam kenyataan media, presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata majikan perlu mempunyai perancangan yang betul supaya suntikan vaksin dan operasi syarikat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mengenai tanggungjawab majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

“Majikan yang menggajikan pekerja tempatan dan asing termasuk pekerja asing tidak didokumentasikan perlu memastikan semua pekerja menerima suntikan vaksin atau risiko didenda di bawah Akta 446,” kata Syed Hussain.

Beliau berkata MEF menyokong cadangan agar semua pihak sama-sama bertanggungjawab memerangi penularan Covid-19.

“Semua ahli MEF sedar mengenai tanggungjawab mereka dan kami yakin mereka akan melaksanakan langkah pemvaksinan kepada pekerja seperti ditetapkan kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Top Glove komited vaksin pekerja termasuk warga asing

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Top Glove Corporation Bhd komited untuk memberikan vaksin kepada semua kakitangannya, termasuk pekerja asing, sebaik sahaja vaksin Covid-19 diperoleh.

Pengerusi Eksekutif Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata langkah itu adalah untuk memastikan pengeluaran tidak terganggu bagi tempoh jangka masa panjang selain memastikan kesihatan fizikal dan mental pekerjanya dalam usaha mencapai kedudukan kewangan syarikat yang baik.

“Kami masih menunggu vaksin daripada kerajaan dan kami akan sangat gembira untuk memastikan kakitangan kami menerima vaksin kerana kami mempunyai lebih 21,000 pekerja di 47 kilang dan 750 barisan pengeluaran setakat Disember 2020,” katanya dalam kunjungan hormat secara maya bersama Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Golam Sarwar dan Kaunselor Buruh Kedutaan Nepal Deepak Dhakal, hari ini.

Lim berkata syarikat itu terus melabur bagi menyediakan kemudahan penginapan yang lebih baik di Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Johor untuk pelan pertengahan penggalnya dengan perbelanjaan modal sebanyak RM195 juta bagi meningkatkan kebajikan pekerja asing.

“Kami sedang membina dan membeli asrama pekerja baharu, dilengkapi dengan kemudahan dan kelengkapan yang dijangka siap menjelang 2023,” katanya.

Selain itu, beliau berkata syarikat tersebut menyasar untuk menjadi syarikat Fortune Global 500 menjelang 2030 dengan pertumbuhannya meningkat kepada 10 kali ganda, mencapai pendapatan jualan US$30 bilion dan menambah kilang kepada 150 dengan 100,000 pekerja.

“Pelan jangka panjang ini boleh dicapai melalui teknologi dan inovasi, penyelidikan dan pembangunan, serta kecerdasan buatan dan manusia, disokong oleh 10,000 tenaga kerja global, penyelidik dan graduan universiti,” katanya.

Sementara itu, Sarwar berharap Top Glove akan terus memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerjanya, khususnya pekerja asing, dan memastikan mereka dilindungi dan diberi vaksin, terutamanya dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

Keuntungan bersih Top Glove melonjak lebih 20 kali ganda kepada RM2.38 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2021 berakhir 30 Nov 2020 (Suku Pertama Tahun Kewangan 2021) daripada RM111.43 juta pada Suku Pertama Tahun Kewangan 2020.

Pengeluar sarung tangan utama dunia itu sebelum ini terlibat dalam isu berkaitan kesejahteraan pekerja dan ketidakpatuhan kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Syarikat ini juga menjadi tumpuan ramai selepas ia menjadi kluster Covid-19 terbesar di Malaysia, iaitu Kluster Teratai.

Pada 3 petang, saham Top Glove meningkat 0.45 peratus kepada RM6.67.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS santuni pekerja terjejas Covid-19 di Puchong

SHAH ALAM, 19 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kaunter di Syarikat I&P Group Sdn Bhd di Puchong, semalam bagi menyantuni pekerja yang terjejas akibat Covid-19.

Agensi berkata langkah itu sebagai usaha menjejak individu terkesan menerusi Program Mini Skuad Jejak Kemiskinan.

“Syarikat ini membuat potongan gaji untuk bayaran zakat pekerjanya. Akibat Covid-19 ada antara kakitangan yang terjejas teruk.

“Susulan itu LZS Petaling membuka empat kaunter bagi menyantuni 11 pekerja terkesan manakala pekerja yang tidak hadir akan dihubungi melalui panggilan telefon,” katanya menerusi Facebook.

LZS memaklumkan syarikat itu turut memberi sumbangan kepada pekerja terlibat menerusi wakalah agihan bagi meringankan beban ditanggung.

“Semoga dengan usaha ini akan dapat membantu mereka yang terkesan. Terima kasih kepada pembayar zakat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja asing beberapa negeri layak jalani ujian Covid-19 secara subsidi

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Semua pekerja asing yang merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bekerja di beberapa negeri layak menjalani ujian saringan Covid-19 secara subsidi di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata tarikh kuat kuasa akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Beliau berkata Sidang Khas MKN pada 20 November lepas memutuskan semua pekerja di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, wajib menjalani ujian saringan Covid-19.

“Ujian saringan yang menggunakan kaedah RTK Antigen ini perlu dijalankan di klinik atau hospital yang berdaftar sebagai Klinik Panel Program Saringan Kesihatan Perkeso (HSP). Direktori klinik panel boleh dirujuk di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my),” katanya.

Katanya kos saringan itu hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan subsidi PSP daripada Perkeso.

Saravanan berkata Perkeso akan membuat bayaran subsidi sehingga RM60 bagi setiap ujian saringan Covid-19 yang dijalankan, dengan bayaran itu hanya dibuat sekali sahaja untuk setiap pekerja.

“Di samping itu, majikan perlu mengambil langkah proaktif dalam mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan program itu, katanya akan dikemas kini di Portal PSP Perkeso (https://psp.perkeso.gov.my), manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Perkeso melalui e-mel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 90,000 pekerja carum SIP henti kerja setakat 13 Nov

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sejumlah 95,995 pekerja yang mencarum di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) diberhentikan kerja setakat 13 November lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata daripada jumlah itu 40,766 adalah dalam kalangan mereka terlibat dengan sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan.

“Sehingga kini, RM110 juta diluluskan untuk pembayaran kepada pemohon SIP daripada sektor itu… jika terdapat sebarang kes kegagalan pembayaran SIP, sila berjumpa terus dengan saya supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

Sementara itu, Saravanan berkata kerajaan menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam usaha kerajaan mengatasi pengangguran melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) seperti dicadangkan dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM3.7 bilion.

“Untuk mencapai sasaran ini, tiga inisiatif di bawah Skim JanaKerja dirancang yang mana dua inisiatif dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Sumber Manusia, iaitu Insentif Penjana Kerjaya di bawah Perkeso; dan Program Reskilling dan Upskilling di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan lain-lain kementerian.

“…Program peningkatan kemahiran dan latihan semula disediakan di bawah Perkeso dan PSMB dijangka boleh mengurangkan jurang kemahiran terutamanya dalam bidang kemahiran digitalisasi dan kemahiran lain berpandukan perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

-BERNAMA