Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso salur RM629.2 juta bantu individu hilang kerja, pendapatan berkurang

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM629.2 juta menerusi Sistem Insurans Pekerja (SIP) sejak awal 18 Mac 2020 sehingga 5 Nov lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata bantuan kewangan itu melibatkan tiga kategori iaitu elaun mencari pekerjaan sebanyak RM588.5 juta, elaun pendapatan berkurangan (RM6.9 juta) dan elaun bekerja semula awal (RM33.8 juta).

“Berdasarkan statistik SIP, bilangan permohonan faedah dari 18 Mac 2020 hingga 5 Nov 2021 adalah sebanyak 148,926 permohonan dan daripada jumlah itu, 119,500 permohonan telah diluluskan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang ingin tahu secara terperinci bilangan tuntutan dan jumlah pembayaran yang telah di bayar oleh Perkeso di bawah SIP.

Menurutnya negara merekodkan 55,742 kehilangan pekerjaan sejak Januari hingga 5 Nov lepas dan sebanyak RM324.6 juta telah diluluskan untuk pembayaran faedah kepada individu terlibat.

Sementara itu, beliau berkata hampir 90 peratus individu yang memohon melalui portal MYFurtureJobs telah mendapat pekerjaan.

Menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) mengenai rancangan kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500, Awang berkata Majlis Perundingan Gaji Negara telah melaksanakan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020.

Katanya Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus melibatkan wakil majikan, pertubuhan majikan, wakil pekerja, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input tentang impak pelaksanaan gaji minimum ke atas sosiokonomi negara.

“Proses kajian semula turut mengambil kira indikator-indikator sosioekonomi seperti pendapatan garis kemiskinan, penengah gaji (keupayaan majikan untuk membayar gaji), kadar pengangguran, produktiviti buruh dan perubahan indeks harga pengguna yang mencerminkan kos sara hidup. Indikator-indikator sosioekonomi ini akan mencerminkan pasaran tenaga kerja semasa.

“Kerajaan prihatin dengan kesan kenaikan kadar gaji minimum terhadap perusahan mikro, kecil dan sederhana. Oleh itu, peningkatan gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat agar tidak memberi tekanan dan membebankan majikan serta menjejaskan operasi syarikat dan mendedahkan pekerja kepada risiko kehilangan pekerjaan,” katanya.

Justeru, katanya Majlis Perundingan Gaji Negara yang bersidang pada 9 Dis lepas telah menyelesaikan perbincangan dan dalam proses penyediaan kertas Jemaah Menteri untuk dikemukakan bagi pertimbangan dan persetujuan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor Job Fair bermula hujung September, disertai 50 syarikat

BESTARI JAYA, 18 SEPT: Program Selangor Job Fair berskala kecil dijangka bermula hujung bulan ini dengan tumpuan di lima daerah, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata program secara hibrid di Petaling, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak dan Sepang bakal disertai 50 syarikat yang menawarkan pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Sebenarnya kita sudah ada perancangan untuk turun (ke daerah) tetapi tersekat kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Insya-Allah bulan ini kita akan segerakan dalam skala kecil mengikut syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Apapun, dalam tahun ini kita akan selesaikan sekurang-kurangnya lima siri jelajah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Tasik The Tomanz Tangkap dan Lepas di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri tekad memastikan kadar pengangguran di Selangor turun bawah empat peratus berbanding ketika ini yang mencatat 4.5 peratus ekoran pandemik.

“Kita tidak akan berdiam diri dan terus berusaha membantu bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya.

23 Ogos lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Kerajaan Negeri memandang serius isu kehilangan pekerjaan.

Untuk rekod, penganjuran Selangor Job Fair dua tahun lalu menerima penyertaan 200 syarikat dengan menawarkan 11,000 peluang pekerjaan termasuk 20 kepada orang kelainan upaya (OKU).

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kadar pengangguran naik kepada 4.5 peratus pada 2020

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kedudukan tenaga buruh Malaysia yang terjejas pada 2020 berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi, menyebabkan kadar pengangguran mencecah 4.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2019, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh global berada dalam situasi tidak menentu sepanjang 2020 yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pengurangan jam bekerja serta sumber pendapatan berikutan pandemik Covid-19 dan langkah mengekang penularan pandemik ini yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara.

“Semasa krisis kesihatan, kadar pengangguran bulanan adalah dalam lingkungan 3.9 peratus hingga 5.3 peratus — penambahan melebihi 200,000 penganggur.

“Pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sehingga akhir tahun ini dilihat telah dapat mengimbangi kepentingan kesihatan dengan pemulihan ekonomi dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan berdasarkan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, 2020.

Mengulas mengenai situasi tenaga buruh pada tahun lepas, Mohd Uzir berkata tenaga buruh yang merangkumi penduduk bekerja dan penganggur, meningkat 0.6 peratus kepada 15.7 juta orang daripada 15.6 juta orang pada 2019.

Sementara itu, beliau berkata kadar pengangguran tahunan meningkat 1.2 mata peratus kepada 4.5 peratus pada 2020, kadar tertinggi sejak 1993.

Bilangan penganggur bertambah 39.9 peratus kepada 711,000 orang daripada 508.2 ribu orang pada 2019.

Daripada jumlah ini, 72.3 peratus adalah penganggur aktif yang meningkat 40.4 peratus kepada 514,200 orang daripada 366,200 orang pada 2019.

Beliau berkata bilangan mereka yang bekerja berkurang 0.8 peratus kepada 15 juta orang berbanding 15.1 juta orang pada 2019.

Melihat kepada guna tenaga mengikut sektor ekonomi, beliau berkata majoriti penduduk bekerja tertumpu dalam sektor perkhidmatan dengan peratus sumbangan sebanyak 64.5 peratus diikuti pembuatan (16.7 peratus) dan pertanian (10.5 peratus).

Sementara itu, penduduk bekerja dalam sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing meliputi 7.8 peratus dan 0.5 peratus.

Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia diramalkan akan meningkat secara marginal namun masih berdepan dengan cabaran ketidaktentuan situasi krisis kesihatan.

“Ketika pelbagai fasa PKP 2.0 juga dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan pandemik ini, beberapa kelonggaran bagi aktiviti ekonomi untuk beroperasi juga dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Dengan fasa pemulihan ekonomi yang berterusan disokong pelbagai program inisiatif oleh kerajaan bagi membantu kelangsungan perniagaan serta pelancaran program pemvaksinan pada 2021, ia diharapkan dapat membantu melegakan serta mengurangkan beban perniagaan.

“Ini sekali gus boleh membantu mempercepatkan pemulihan pasaran buruh,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengangguran naik kepada 4.5 peratus pada 2020, tertinggi sejak 1993

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020, kadar tertinggi sejak 1993 yang merekodkan 4.1 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengangguran meningkat kepada 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 manakala bilangan penduduk bekerja meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan atau bersamaan dengan 19,300 orang kepada 15.22 juta orang selepas mencatatkan penurunan marginal pada bulan sebelumnya.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.1 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Disember dan Suku Tahun Keempat 2020 yang dikeluarkan pada Isnin.

Beliau berkata dari segi penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.6 peratus daripada jumlah guna tenaga, meningkat sebanyak 0.2 peratus atau 23,500 orang kepada 11.81 juta orang berbanding dengan angka pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, kategori bekerja sendiri yang merangkumi 15.8 peratus penduduk bekerja, terus mencatatkan pengurangan bagi bulan ketiga sebanyak 0.6 peratus kepada 2.40 juta orang pada Disember 2020, katanya.

Beliau berkata kumpulan ini terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam, gerai makanan, pekerja sambilan serta pekebun kecil.

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat kepada 146,200 orang berbanding dengan angka pada November 2020 iaitu 142,000 orang disebabkan pelaksanaan fasa Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang bulan tersebut selain cuti persekolahan dan cuti perayaan yang singkat.

“Kumpulan ini, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata keadaan pasaran buruh pada Disember 2020 yang masih dipengaruhi oleh krisis kesihatan dan kesan ekonomi telah memperlahan momentum pemulihan pasaran buruh.

Oleh itu, pasaran buruh pada bulan itu kekal kompetitif dengan bilangan tenaga buruh meningkat seramai 27,800 orang kepada 15.99 juta orang daripada 15.96 juta pada November 2020, katanya.

Beliau berkata Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada bulan itu adalah 68.4 peratus.

“Di samping itu, jumlah penduduk di luar tenaga buruh mencatatkan penurunan sebanyak 2,600 orang berbanding dengan angka pada November 2020 kepada 7.37 juta orang dengan komposisi terbesar adalah disebabkan bersekolah/latihan,” katanya.

Ketua Perangkawan itu juga menjelaskan mengenai kedudukan penawaran buruh pada suku keempat 2020 dengan berkata, keadaan pasaran buruh bertambah baik secara beransur-ansur dengan tenaga buruh dan guna tenaga terus meningkat berbanding suku sebelumnya, masing-masing mencatatkan 15.92 juta orang dan 15.16 juta orang.

“Pada suku keempat 2020, terdapat 533,700 orang yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu kerana keadaan kerja atau kerja yang tidak mencukupi berbanding dengan 403,800 orang pada suku ketiga 2020,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah ini, 369,100 orang dikategorikan di bawah guna tenaga tidak penuh berkaitan masa disebabkan mereka bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup untuk menerima tambahan jam bekerja (suku ketiga 2020: 300,800 orang).

“Golongan ini merangkumi 2.4 peratus daripada jumlah guna tenaga pada suku keempat 2020,” katanya.

Mohd Uzir berkata selain itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang terdiri daripada mereka yang berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah merangkumi 1.89 juta orang atau 37.4 peratus daripada jumlah penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari (suku ketiga 2020: 1.76 juta orang; 36.8 peratus).

Beliau berkata bagi merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh sepanjang 2020 berdasarkan data purata suku tahunan, KPTB pada 2020 turun 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus (2019: 68.7 peratus.

Dalam tempoh sama, bilangan penduduk bekerja susut 0.2 peratus kepada 15.1 juta orang dengan penurunan kecil ini disebabkan oleh ketidaktentuan dalam pasaran buruh susulan krisis kesihatan dan ekonomi pada 2020, katanya.

Beliau berkata berikutan negara mengalami permintaan buruh yang lebih perlahan pada 2020 disebabkan impak negatif pandemik Covid-19 maka bilangan penganggur mencatatkan pertambahan melebihi 200,000 orang.

“Krisis kesihatan memberi impak yang besar kepada tenaga buruh dan menyebabkan kadar pengangguran mencecah lebih 4.0 peratus berbanding kadar purata 3.0 peratus yang direkodkan dalam tempoh prakrisis,” katanya.

Mohd Uzir berkata dalam usaha mengekalkan momentum pemulihan ekonomi dan sistem penjagaan kesihatan, kebanyakan aktiviti perniagaan dibenarkan untuk terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

Beliau berkata aktiviti tertentu masih dihadkan untuk beroperasi seperti aktiviti perhimpunan sosial, pawagam dan hiburan serta rekreasi, katanya.

“Oleh itu, dijangkakan pasaran buruh Malaysia kekal berada dalam situasi yang mencabar pada awal 2021, bagaimanapun dengan pelbagai bantuan dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan akan dapat membantu mengurangkan impak pandemik terhadap pasaran buruh,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tawaran 500,000 kerja baharu tahun depan atasi pengangguran

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kerajaan akan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang melibatkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu, bermula tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia termasuk pelaksanaan pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula, melalui perbelanjaan kerajaan yang berjumlah RM3.7 bilion.

“Kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lalu merekodkan 3.2 peratus atau sekitar 500,000 penganggur, berikutan pendemik Covid-19, ia telah meningkat kepada 5.3 peratus atau 820,000 penganggur pada Mei 2020 iaitu tertinggi sejak 1989.

“Melalui pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif Prihatin dan Penjana, kadar pengangguran telah turun kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan meneruskan usaha pengambilan pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya menerusi empat insentif dengan peruntukan RM2 bilion.

Katanya, bagi insentif pertama adalah untuk kumpulan pekerja bergaji RM1,500 ke atas yang mana akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

Bagi insentif kedua pula, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus untuk menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan.

“Untuk insentif ketiga pula, sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, akan diberi insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan dengan 40 peratus disalurkan kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

“Ketiga-tiga insentif ini akan diberikan untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata menerusi insentif keempat, mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan akan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kerajaan digesa perkukuh ekosistem cipta kerja baharu

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Badan pemikir progresif Research for Social Advancement (REFSA) menyeru kerajaan untuk melaksanakan dasar industri “berorientasikan misi” yang bertujuan untuk mewujudkan pekerjaan baharu dalam jangka sederhana hingga panjang.

Hal ini berikutan laporan suku kedua 2020 Bank Negara Malaysia (BNM) yang menunjukkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) susut sebanyak 17 peratus dan kadar pengangguran berada pada 4.9 peratus setakat Jun, iaitu seramai 773,200 orang tanpa kerja.

REFSA dalam satu kenyataan berkata dasar berorientasikan misi mengambil kira hubung kait antara pelbagai badan dalam sektor swasta dan kerajaan bagi menjayakan sesuatu misi yang menjana kebaikan sosial, seperti memastikan keselamatan makanan, menyelesaikan krisis kesihatan masyarakat, atau menangani perubahan iklim.

“Kerajaan boleh memberikan galakan melalui insentif dan melabur secara langsung dalam industri sasaran bagi mencapai tujuan misi tersebut

“Langkah ini dapat mencipta peluang dan permintaan untuk pelbagai jenis kemahiran dan tenaga kerja di samping memenuhi keperluan mustahak negara seperti kemampuan setiap perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan gangguan dan teknologi baharu berbeza,” kata kenyataan itu.

REFSA berkata, kerajaan perlu memainkan peranan aktif dalam membentuk dan mencipta pasaran ekonomi masa depan dengan bertindak sebagai pemangkin.

Langkah awal ini dapat menarik pelabur dan seterusnya memajukan pasaran dan mencipta peluang pekerjaan.

Pengarah Komunikasinya Iskandar Fareez berkata Malaysia memerlukan dasar sosio-ekonomi yang berani untuk memulakan pemulihan ekonomi dan menyusun semula keutamaan ekonomi ke arah bentuk pekerjaan yang lebih lestari dan mampan.

“Kita ingin memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Ia perlu dihasilkan melalui sistem ekonomi yang lebih kukuh yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang timbul daripada ketidakseimbangan, kerendahan mobiliti sosial dan kekurangan perlindungan masyarakat.

“Tetapi, untuk menyelamat dan mencipta pekerjaan dalam ekonomi yang sedang meleset ini, kerajaan mesti bertindak dengan serta-merta dan berani,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Inisiatif MBSA dihargai, penerima mahu bangkit cari pekerjaan

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sumbangan Khas Sempena Pasca Covid-19 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedikit sebanyak meringankan beban individu yang hilang pendapatan ketika penularan Covid-19.

Mohd Razali Salleh, 44, berkata beliau diberhentikan kerja Mac lalu selepas berkhidmat lebih 22 tahun di sebuah syarikat pencetakan akhbar.

Mohd Razali Salleh

“Saya berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana memberikan nama kepada MBSA untuk menerima sumbangan hari ini.

“Ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya akui agak panik kerana tiada kerja dan ambil keputusan balik ke kampung dan lakukan kerja-kerja kecil di sana. Sekarang dalam proses mencari kerja,” kata bapa kepada empat anak.

Tambahnya, selepas ini beliau mahu berniaga kecil-kecilan bagi menampung kehidupan di samping mencari kerja baharu.

Bagi Rasalechumi Kanagaratmam, 59, beliau gembira dipilih untuk menerima sumbangan selepas diberhentikan kerja pada April.

Rasalechumi Kanagaratmam

Menurut ibu kepada dua anak yang masih belajar, beliau pernah berkhidmat di klinik swasta selama 37 tahun di samping menjaga suami berdepan masalah kesihatan.

“Program sebegini sangat baik dan sedikit sebanyak membantu golongan terjejas seperti kami. Saya sendiri diberhentikan serta merta pada awal April lalu dan ketika itu masih diberikan gaji,” katanya.

Sementara itu, Intan Farhana Abdul Rashid, 29, menceburi perniagaan makanan kecil-kecilan selepas mengambil keputusan berhenti secara sukarela dari sebuah syarikat pembinaan.

Pernah berkhidmat selama dua tahun, beliau mengakui kekurangan projek pembinaan memaksa syarikat mengurangkan jumlah kakitangan membuatkannya beralih ke bidang lain.

Intan Farhana Abdul Rashid

“Pada awalnya terkejut juga untuk berhenti kerana tiada persediaan dari segi kewangan. Saya ambil keputusan untuk jalankan perniagaan secara dalam talian.

“Alhamdulillah dengan sokongan diberikan kawan-kawan dan program seperti dianjurkan MBSA sedikit sebanyak dapat membantu saya,” katanya ketika penyampaian sumbangan di Dewan Teratai MBSA, Seksyen 19 hari ini.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan sektor pembuatan susut tiga peratus pada Mac

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan penurunan tiga peratus kepada RM110.2 bilion pada Mac 2020 berbanding RM113.5 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jualan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain merosot -7.4 peratus; produk makanan, minuman dan tembakau (-5.9 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (-5.7 peratus).

Berasaskan pertumbuhan bulan ke bulan, nilai jualan menyusut 0.9 peratus atau RM1.1 bilion manakala bagi terma pelarasan musim, nilai jualan mencatatkan penurunan 9.5 peratus, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2020, Mohd Uzir berkata nilai jualan sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan 2.2 peratus kepada RM339.4 bilion berbanding tempoh yang sama 2019.

Sementara itu, beliau berkata jumlah pekerja dalam sektor itu pada Mac 2020 berjumlah 2.26 juta, peningkatan 1.2 peratus atau 27,541 pekerja berbanding 2.23 juta pekerja pada Mac 2019.

Menurut Mohd Uzir, gaji dan upah pada Mac 2020 berjumlah RM7.46 bilion dengan pertambahan 1.8 peratus atau RM130.5 juta pada bulan yang sama tahun lepas.

“Pada masa sama, nilai jualan per pekerja menguncup 4.1 peratus kepada RM48,815 berbanding bulan sama 2019. Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,303 pada Mac 2020,” katanya.

Bagi suku pertama 2020, jumlah pekerja meningkat 1.2 peratus kepada 2.26 juta manakala gaji dan upah mencatat kenaikan 3.4 peratus kepada RM22.7 bilion. Nilai jualan per pekerja pada tempoh rujukan itu naik satu peratus kepada RM150,368, kata beliau.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu pengangguran di Malaysia semakin parah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 APR: Isu pengangguran di negara ini berada pada tahap membimbangkan berdasarkan kepada data Jabatan Statistik Malaysia, kata Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Madya Dr Hamdan Dato’ Salleh.

Dr Hamdan berkata, terdapatnya penurunan ketara mengenai peratus peluang pekerjaan yang dibuka kepada warganegara Malaysia.

“Secara purata, antara 2011 hingga 2014, sekitar 94 peratus peluang pekerjaan di Malaysia adalah untuk warganegara Malaysia.

“Namun, 2015 pula menyaksikan hanya 35.6 peratus peluang pekerjaan untuk warganegara manakala 64.4 peratus diberikan kepada warga asing,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dr Hamdan yang juga selaku Felo Penyelidik Penubuhan Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) berkata, tambah membimbangkan pada 2016, hanya 18.5 peratus peluang pekerjaan terbuka kepada warganegara Malaysia manakala 81.5 peratus untuk warga asing.

“Data ini jelas membuktikan bahawa kadar pengangguran semakin meruncing apabila 50 peratus pekerjaan dicipta di Malaysia diberi kepada warga asing dan hal ini perlu ditangani secara holistik.

“Ia jelas menunjukkan kerajaan Persekutuan gagal menangani isu pengangguran walaupun pelaburan demi pelaburan dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Katanya, tidak berbaloi sekiranya ekonomi dirasakan gah dengan pelbagai pertumbuhan hebat namun masih gagal memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada anak muda Malaysia.

Beliau berkata, walaupun kerajaan Persekutuan melancarkan program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) dengan menjanjikan 2.6 juta peluang pekerjaan namun ia masih sukar untuk direalisasikan seandainya isu sebegini tidak mampu diselesaikan.

“Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) juga sukar mencapai kejayaan sekiranya majikan hanya menggunakan skim ini untuk memberi status kontrak jangka masa pendek tanpa melihat sewajarnya perlu ada perkembangan kerjaya kepada golongan belia,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pemuda PAKATAN mahu 1 juta peluang pekerjaan diwujudkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 JAN: Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa usaha dilaksanakan bagi memanstikan sejuta peluang pekerjaan diwujudkan dengan pendapatan RM2,500 sebulan buat anak muda bagi memastikan nasib ekonomi rakyat terbela.

Naib Ketua Pemuda PAKATAN, Arul Kumar berkata anak muda kini berdepan masalah memperoleh pekerjaan disamping tawaran gaji rendah.

“Kami dari Pemudah PAKATAN telah memberikan keutamaan aspek pekerjaan dan gaji yang adil.

“Kami mahu 1 juta pekerjaan yang memberikan pulangan gaji sekurang-kurangnya RM2,500 diwujudkan untuk anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memulakan ucapan Pentas Rakyat sempena Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di IDCC Shah Alam.

Katanya, Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Umno- Barisan Nasional gagal melakukan transformasi untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.

Sebelum ini dilaporkan kadar pengangguran di negara berada pada paras bawah 4 peratus setakat September 2017 lalu, iaitu pada kadar 3.5 peratus atau seramai 504,100 orang penganggur.

=EZY=