Categories
AGENDA NASIONAL

Pelabuhan Klang, PTP tersenarai 15 pelabuhan paling sibuk di dunia tahun lalu

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), yang disenaraikan antara 20 pelabuhan utama dunia, berjaya melakar pencapaian terbaik dengan jumlah kontena masing-masing sebanyak 13.64 juta dan 11.2 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada tahun lepas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata bagi Pelabuhan Klang, prestasi itu adalah pencapaian terbaik sepanjang tempoh penubuhannya, meskipun terkesan akibat banjir besar yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor pada akhir 2021.

Beliau berkata bagi PTP pula, jumlah TEU itu juga dianggap luar biasa apabila merekodkan kenaikan sebanyak 14 peratus berbanding prestasi tahun sebelumnya.

“Kita berasa kagum, dalam senarai 20 pelabuhan terbesar dunia, dua daripadanya iaitu Pelabuhan Klang dan PTP tersenarai sebagai 15 pelabuhan paling sibuk. Rekod ini menunjukkan kita (Malaysia) berdaya saing dan berjaya tingkatkan pengurusan kapasiti,” katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Wee berkata kerajaan sentiasa meneliti potensi setiap pelabuhan di negara ini termasuk melakukan perluasan pelabuhan susulan keperluan untuk menguruskan jumlah kenaikan TEU setiap tahun.

Sementara itu, semasa berucap di MMW 2022, Wee berkata industri perkapalan yang lebih hijau dan mampan adalah cara yang baik untuk memastikan kejayaan sektor maritim pada era kebangkitan pascapandemik.

Beliau berkata peserta industri maritim perlu bekerjasama dalam menggunakan teknologi baharu dan menggalakkan amalan perkapalan hijau untuk mencapai matlamat tersebut.

Katanya, seiring dengan tema yang dipilih Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk Hari Maritim Sedunia 2022 iaitu Teknologi Baharu untuk Perkapalan yang Lebih Hijau, ia berperanan sebagai peluang untuk menunjukkan perlunya menyokong peralihan hijau dalam sektor maritim kepada masa depan yang mampan.

“Bagi merealisasikan inisiatif ini, kami memerlukan perkongsian kukuh seperti yang dinyatakan dalam Matlamat Pembangunan Mampan 17 (SDG 17) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang menekankan semua pihak perlu terlibat dengan berkongsi dan menguar-uarkan maklumat mengenai amalan terbaik di samping untuk mengakses sumber dan pengetahuan umum,” katanya.

MMW 2022 yang bermula hari ini hingga 24 Februari adalah platform bagi pengawal selia dan peserta industri maritim meneroka pendekatan baharu dan membangunkan strategi berkesan untuk berkembang dalam normal baharu serta pulih daripada krisis pandemik.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada limpahan, air pasang besar di Pelabuhan Klang terkawal

SHAH ALAM, 3 FEB: Fenomena air pasang besar yang melanda pesisir pantai Pelabuhan Klang dilaporkan terkawal pagi ini, maklum Unit Pengurusan Bencana Selangor.

Menurut Penolong Pegawai Tadbirnya Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir, paras air laut mencatat bacaan sederhana setinggi 4.9 meter setakat jam 7.33 pagi.

Beliau berkata tiada limpahan besar air dikesan setakat ini yang boleh mengakibatkan banjir serius.

“Setakat ini tiada apa-apa yang berlaku dan keadaan semua terkawal,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Pusat Hidrografi Nasional meramalkan air pasang besar di Pelabuhan Klang dan Sabak Bernam mulai 1 hingga 5 Februari.

Beberapa kawasan lain turut dijangka berdepan fenomena itu ialah Kuala Muda (Kedah), Bagan Datoh (Perak), Batu Pahat dan Pontian (Johor).

 

Categories
ADN SELANGOR

Kerajaan persekutuan didesak beri peruntukan baiki jalan Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 6 DIS: Wakil rakyat Pelabuhan Klang mendesak kerajaan persekutuan memberi peruntukan membaiki jalan di kawasan itu atau pihaknya mengadakan mogok sekiranya permintaan itu tidak diendahkan.

Azmizam Zaman Huri berkata ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) menerajui negara sebanyak RM50 juta diperuntuk, namun selepas bertukar pentadbiran peruntukan menyelenggara tidak lagi diberikan.

“Selepas itu pada 2020, 2021 dan tahun depan tiada lagi pengumuman peruntukan untuk jalan-jalan ini oleh kerajaan persekutuan.

“Mohon dewan yang mulia ini desak kerajaan persekutuan kerana rakyat tidak tahu jalan-jalan persekutuan memerlukan peruntukan kerajaan persekutuan sebaliknya Kerajaan Selangor dipersalahkan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Azmizam berkata beliau difahamkan sebanyak RM88 juta diperlukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk menyelenggara jalan terbabit.

“Sekiranya menteri kerja raya, menteri pengangkutan tidak mahu memberi peruntukan kepada negeri melalui JKR Selangor,  kita akan melancarkan mogok besar-besaran,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelabuhan Klang dijangka capai rekod terbaik kendali kontena

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Pelabuhan Klang dijangka merekodkan pengendalian kontena sebanyak 13.8 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) sehingga akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata setakat 30 Nov 2021, pengendalian kontena di pelabuhan tersebut adalah 12.69 juta TEU.

“Saya yakin dengan prestasi ini, dalam masa lebih kurang sebulan sahaja lagi, kita pasti akan mencapai rekod terbaik untuk Pelabuhan Klang, melebihi paras sebelum Covid-19 iaitu 13.6 juta TEU,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) ECRL antara MRL dan syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC) di sini.

Katanya Pelabuhan Klang perlu diperbesarkan lagi supaya mampu bersaing dengan pelabuhan di rantau ini seperti Singapura yang telah memperbesarkan pelabuhannya sehingga dapat menampung kapasiti sebanyak 65 juta TEU setahun.

“Setiap tahun Pelabuhan Klang perlu menambah 1.5 juta TEU untuk menampung penambahan kapasiti kontena, namun ia masih belum mencukupi,” katanya.

Justeru, katanya Kementerian Pengangkutan sedang meninjau untuk menjadikan Pulau Carey sebagai pusat maritim dengan menempatkan pelabuhan ketiga di situ.

“Kita sudah ada pelan induk dan kita berkongsi dengan pihak kerajaan negeri Selangor,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cubaan seludup minuman keras lebih RM20 juta gagal

SHAH ALAM, 13 NOV: Cubaan menyeludup minuman keras dianggarkan lebih RM20 juta termasuk duti di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Barat (PKFZ) gagal, kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Malaysia, Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata minuman sebanyak 627,510 liter itu dirampas dalam tiga serbuan iaitu pada 21 dan 27 September serta 8 November, lapor Berita Harian.

“Serbuan pertama pada 21 September rampas minuman bernilai 18.54 juta, rempasan kedua pada 27 Septermber melibatkan RM2.11 juta dan terakhir pada Isnin lalu berjumlah RM1.6 juta.

“Seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Wisma JKDM Pulau Indah, hari ini.

Abdul Wahabi berkata kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 Akta Zon Bebas 1990.

Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar: 10 tempat letak kereta di Pelabuhan Klang ditenggelami air

SHAH ALAM, 5 NOV: Sebanyak 10 buah tempat letak kereta kediaman penduduk di Jalan Sekolah, Pelabuhan Klang ditenggelami air susulan fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berkata ruang dapur rumah penduduk terbabit turut dinaiki air paras buku lali, namun situasi terkawal.

“Saya difahamkan paras air laut Pelabuhan Klang mencecah 5.5 meter setakat jam 6 pagi tadi. Malah, Jalan Banting Pandamaran dipenuhi dengan air laut.

“Jadi, saya menyeru penduduk supaya alihkan kenderaan termasuk perabot mereka ke tempat lebih tinggi kerana air laut dijangka mencecah paras sama esok,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau menggesa Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyegerakan kerja menaik taraf benteng sedia ada di kawasan Pandamaran.

“Saya nampak limpahan air laut berpunca daripada benteng yang tidak cukup tinggi. JPS baru tahu perkara ini dan mreka perlu tambah baik segera.

“Diharap semua penduduk dapat tidur lena pada masa akan datang apabila benteng tersebut dinaik taraf,” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari bermula semalam di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh serta memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

 

 

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 6,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Pelabuhan Klang

KLANG, 19 OGOS: Lebih 6,000 bakul makanan diagih sepanjang tahun ini kepada penduduk Pelabuhan Klang yang terkesan pendemik Covid-19, kata wakil rakyatnya.

Azmizam Zaman Huri berkata bantuan turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat persendirian yang mahu bersama-sama meringankan beban penduduk.

“Bantuan berupa makanan kering dan basah ini bukan hanya tertumpu individu terjejas kewangan sahaja sebaliknya mereka yang dikuarantin akibat pandemik.

“Kita akan terus membantu penduduk terutama mereka yang hilang kerja serta tiada sumber pendapatan bagi memastikan bekalan makanan tidak putus,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 kepada semua Ahli Dewan Negeri.

Pakej bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Dijangkiti lepas raya, saringan cegah virus merebak di empat kampung

PELABUHAN KLANG, 30 MEI: Saringan Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang hari ini bertujuan memutuskan penularan Covid-19 yang meningkat di empat kampung.

Ahli Dewan Negeri Azmizam Zaman Huri berkata peningkatan jangkitan di Kampung Pendamar, Jalan Pandamaran Jaya, Taman Suria Pendamar dan Kampung Idaman berlaku selepas sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak panggilan penduduk kawasan itu yang mendakwa mereka perlu menjalani kuarantin ekoran ahli keluarga dijangkiti wabak seminggu selepas raya.

“Kebanyakan mereka mendapat jangkitan virus ini semasa hari raya. Apa yang dimaksudkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu betul yang mana kes berkembang 14 hari selepas perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Pandamaran Jaya dari jam 9 pagi hingga 4 petang hari ini.

Azmizam menjelaskan beliau memutuskan saringan diadakan di dewan tersebut selepas seminggu berbincang dengan Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Beliau juga berpuas hati dengan perjalanan program tanpa sebarang pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) malah orang ramai tidak perlu menunggu lama kerana proses saringan sangat cepat.

Bermula 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan saringan percuma di 56 DUN dengan memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
SELANGOR

Kontena dari Amerika Syarikat bukan bawa sisa plastik berbahaya

PUTRAJAYA, 30 MAC: Dua buah kontena yang tiba di Pelabuhan Klang pada 27 Mac (Sabtu lepas) dari Amerika Syarikat mengandungi barang dagangan sisa plastik jenis polietilena yang bersih, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Sisa plastik tersebut adalah bersih, homogenous dan memenuhi kriteria seperti mana yang disyaratkan dalam lesen import sisa plastik (Approved Permit, AP) kepada pengimport,” katanya serta menambah perkara itu disahkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Beliau berkata pemeriksaan terhadap kontena berkenaan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, JPSPN, Lembaga Pelabuhan Klang, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Westport Malaysia Sdn Bhd.

Tuan Ibrahim berkata selaku Competent Authority (pihak bertanggungjawab) terhadap Konvensyen Basel, JAS mengesahkan sisa plastik tersebut mematuhi kriteria B3011 Konvensyen Basel.

“Pengimportan sisa plastik B3011 ini tidak memerlukan tatacara Prior Inform Consent (PIC) dan notifikasi daripada negara pengeksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan JAS ke atas premis pengimport juga mendapati premis mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik secara Environmental Sound Manner (ESM), katanya.

Pada 20 Mac lepas, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata kontena dari Los Angeles akan ditahan apabila tiba di Pelabuhan Klang susulan maklumat yang diterima JAS daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lepas berhubung kontena dari Amerika Syarikat yang disyaki mengandungi sisa plastik.

Tuan Ibrahim berkata kerajaan amat menghargai sebarang maklumat awal yang disalurkan oleh mana-mana pihak dalam mendepani cabaran siasatan dan penguatkuasaan pergerakan sisa plastik merentas sempadan ke Malaysia.

“Sebarang cubaan untuk mengimport sebarang sisa ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan berdepan dengan tindakan tegas jika mereka gagal mematuhi perundangan dan prosedur pengimportan yang telah ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM2 juta beras seludup dari India dirampas di Pelabuhan Klang

KLANG, 29 MAC: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am Briged Tengah merampas 26 tan beras tidak bercukai bernilai RM2.65 juta, yang dipercayai diseludup masuk dari India untuk pasaran tempatan dalam satu operasi yang dijalankan pasukan itu, pada Sabtu lepas di sekitar Klang.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Supt Rizal Mohamed berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan tiga individu dalam keadaan mencurigakan, yang sedang memunggah guni berwarna putih dari sebuah kontena ke dalam sebuah stor di Jalan Telok Gadong, Pelabuhan Klang.

Beliau berkata ketika serbuan dijalankan, pihak polis berjaya menahan dua lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun dan 38 tahun, serta seorang lelaki warganegara India berumur 26 tahun.

“Pihak polis merampas 78 guni beras, 259 kampit beras dan 60 kotak beras pelbagai jenama, yang dipercayai diseludup dengan anggaran berat 13 tan beserta satu trailer kontena.

“Hasil pemeriksaan di stor pula, pasukan polis menemui 214 guni beras, 459 kampit beras dan 200 kotak beras pelbagai jenama, dipercayai tidak bercukai dengan anggaran berat 13 tan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan tersebut berjaya memutuskan salah satu rangkaian sindiket pengedaran beras seludup atau tidak bercukai di sekitar Klang.

“Suspek yang ditahan dan barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor, atas kesalahan di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000 dan semua barangan dirampas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam patah cubaan seludup dadah lebih RM5 bilion di Pelabuhan Klang

NILAI, 23 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup tiga kontena mengandungi pil Captagon bernilai RM5.2 bilion dalam operasi di Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 Mac lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata rampasan itu yang merupakan rampasan dadah terbesar dalam sejarah JKDM, dilakukan sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik Kastam yang menemukan 94.8 juta biji pil dengan berat keseluruhan dianggar 16 tan di dalam lereng-lereng roda.

“Saya difahamkan setiap satu castor (lereng-lereng roda) mengandungi sebanyak 1,000 pil. Sebiji pil itu bernilai lebih kurang RM54, maknanya satu castor bernilai RM54,000,” katanya pada sidang media hari ini.

Untuk rekod, sepanjang tahun lepas, JKDM merampas 2.86 tan dadah bernilai RM117 juta, manakala pada 2019 pula agensi itu menyita 4.75 tan (RM790 juta), sementara pada 2018 ia merampas 3.35 tan dadah bernilai RM160 juta.

Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata siasatan awal mendapati kontena terbabit tiba dari negara Timur Tengah dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Timur.

Menurutnya, JKDM sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang di sebalik penghantaran dadah berkenaan yang dipercayai membabitkan sindiket antarabangsa.

Siasatan juga dijalankan sekiranya sindiket turut melibatkan rakyat tempatan, katanya.

Abdul Latif berkata rampasan tersebut adalah hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Beliau berkata kes disiasat menurut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

DUN Pelabuhan Klang anjur kejohanan PUBG Mobile bulan depan

SHAH ALAM, 23 MAC: Penggerak Belia Selangor (PeBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menganjurkan kejohanan PUBG Mobile pada 4 April.

Permainan secara berkumpulan menawarkan wang tunai RM800, sijil dan trofi kepada juara, naib juara (RM500, sijil dan trofi) serta tempat ketiga (RM300, sijil dan trofi).

Mengikut poster dikongsi PeBS di Facebook, setiap pasukan perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM25 dan boleh mendaftar mulai 22 hingga 29 Mac.

“Untuk pendaftaran sila tekan pautan https://forms.gle/cd4MFnKapxcj6jwJ8 dan sebarang pertanyaan boleh WhatsApp atau hubungi talian 017-2434200,” tulis pertubuhan itu di Facebook.

Berikut syarat kelayakan pemain:

1. Pengundi atau alamat DUN Pelabuhan Klang
2. Berumur 16 hingga 35 tahun
3. Dibenarkan bermain dalam satu pasukan sahaja
4. Jumlah pemain untuk satu kumpulan maksimum lima orang
5. Pemain menggunakan ID yang berdaftar sahaja
6. Pemain atau pasukan dari liga besar tidak dibenarkan menyertai pertandingan
7. Hanya kumpulan yang menepati syarat kelayakan akan dihubungi

Poster dari Facebook PeBS DUN Pelabuhan Klang