Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor kenal pasti pelabur asing, kembang industri halal

SHAH ALAM, 15 DIS: Beberapa pelabur asing dikenal pasti untuk dijadikan rakan strategik bagi mengembangkan sektor halal negeri ini, kata EXCO industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata syarikat dari beberapa negara seperti Turki dan China akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebaik pintu sempadan negara dibuka kelak.

Beliau menjelaskan Selangor memiliki banyak produk halal merangkumi pelbagai komponen, namun memerlukan pihak yang boleh membantu mengetengahkannya ke peringkat global.

“Kita sedang berhubung dengan pelabur terbabit untuk adakan MoU. Insya-Allah, selepas dibuka sempadan negara kita akan adakan hubungan lebih strategik.

“Malah, ada beberapa usahawan muslim di China dan sebahagiannya beroperasi di Malaysia sedia jadi rakan kongsi serta melabur dalam sektor halal,” katanya pada sidang media program Fam Trip Media Promosi Industri Halal Selangor di Mardhiyyah Hotels and Suites di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS) – Aspire Flagship Sdn Bhd Mat Ghazali Mohd Rakim dan Setiausaha Pertubuhan Media Negeri Selangor Nuar Md Diah.

Mohd Zawawi berkata Ekspo Dubai yang bakal disertai Selangor pada awal Mac tahun depan menjadi platform terbaik untuk membina lebih banyak jaringan bersama pelabur selain memperkenalkan produk halal tempatan.

“Ekspo itu melibatkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat besar bagi mencari rakan strategik serta mempromosi produk halal. Mudah-mudahan ia membuka ruang kepada kita untuk kembangkan industri ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Keharmonian bantu Selangor depani era digital, tarik pelabur asing

SHAH ALAM, 25 NOV: Penyebaran maklumat berhubung dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah supaya difahami seluruh lapisan masyarakat, kata EXCO perpaduan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata elemen itu penting memandangkan masyarakat Selangor terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Mengekalkan keharmonian dan kerukunan hidup bersama dalam masyarakat berbilang agama merupakan cabaran besar yang dihadapi Malaysia khususnya di Selangor.

“Sebagai negeri yang memimpin kemajuan ekonomi dan politik, Kerajaan Selangor bertanggungjawab mengekalkan kesepaduan dan cara ini mampu menghadapi persaingan era digital serta menarik pelaburan asing,” katanya berucap pada Konvensyen Dialog Antara Agama Negeri Selangor 2021.

Program secara maya itu dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Dr Siti Mariah berkata bagi mencapai matlamat berkenaan, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai usaha menyeluruh dan proaktif termasuk jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi akademik, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara program dijayakan adalah bengkel yang dianjur bersama Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), sidang perpaduan bersama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Selangor, webinar bersama Institut Darul Ehsan serta siri dialog rumah ibadat dengan komuniti.

“Saya percaya usaha ke arah memperkukuh keharmonian dan mempromosi kesepaduan perlu dilaksanakan secara kolektif dan inklusif agar boleh difahami dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Malaysia rekod aliran keluar dana RM409.14 juta

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Pelabur asing menjadi penjual bersih di dalam pasaran ekuiti tempatan bagi minggu yang baru berakhir, mencatatkan aliran keluar bernilai RM409.14 juta bagi tempoh 28 hingga 30 Januari berbanding aliran masuk bersih sebanyak RM23.48 juta dari 20 hingga 23 Januari.

Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini susulan laporan mengenai wabakv koronavirus 2019 yang terus menjadi perhatian.

“Purata kadar penyertaan institusi asing dan tempatan masing-masing pada 19.45 peratus dan 44.91 peratus, berbanding 18.4 peratus (institusi asing) dan 54.0 peratus (institusi tempatan) bagi tempoh yang sama pada minggu sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Institusi tempatan merekodkan jualan bersih bernilai RM115.73 juta pada 28 hingga 30 Januari, berbanding jualan bersih bernilai RM48.51 juta pada 20 hingga 23 Januari.

Sementara itu, aliran dana bersih bagi runcit tempatan mencatatkan belian bersih bernilai RM293.41 juta dengan purata penyertaan 35.64 peratus pada 28 hingga 30 Januari berbanding belian bersih RM25.03 juta dengan purata penyertaan sebanyak 27.97 peratus bagi tempoh 20 hingga 23 Januari.

Mohd Afzanizam berkata pasaran kekal berhati-hati terhadap impak koronavirus memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengelaskan wabak itu di bawah Kecemasan Kesihatan Awam susulan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), menunjukkan penularan wabak itu adalah teruk.

Bagaimanapun, WHO memuji usaha pihak berkuasa China untuk berkongsi maklumat mengenai tahap penularan wabak berkenaan.

“Secara ringkasnya, ia merupakan mod risiko sepanjang minggu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata keadaan negatif dalam penjualan berlaku apabila kebimbangan (mengenai koronavirus) mempengaruhi peniaga pasaran memandangkan mereka pantas melepaskan nisbah modal masing-masing.

“Terdapat beberapa kesukaran bagi aliran masuk di rantau ini minggu ini, namun jika insiden penularan wabak itu mulai lemah pada minggu depan, saya menjangkakan pasaran akan mengalami pembelian untuk mendapatkan hasil, terutama bagi ekuiti dan bon di bawah nilai, sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat memberi petunjuk bagi kadar faedah rendah,” katanya.

Beliau berkata jika penularan koronavirus turun secara ketara, aliran masuk dana ke pasaran seperti Korea Selatan, Malaysia dan Australia merupakan pilihan utama untuk minggu depan, memandangkan negara-negara ini adalah antara rakan dagang terbesar China.

“Selain itu, penstabilan yuan China berbanding dolar AS, yang telah diniagakan di bawah RMB7.0 berbanding AS$1 juga merupakan petanda yang baik untuk pasaran ini,” katanya.

– BERNAMA