Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mida lulus 1,725 projek nilai RM64.8 bilion separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk enam bulan pertama 2020 walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berkata pelaburan ini melibatkan 1,725 projek dan akan mewujudkan 37,110 peluang pekerjaan.

”Daripada jumlah pelaburan diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 69.8 peratus atau RM45.3 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM19.5 bilion,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh tersebut ialah Singapura (RM4.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), China (RM2.2 bilion), Amerika Syarikat (RM2.2 bilion) dan Thailand (RM1.8 bilion).

MIDA berkata untuk projek diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor menyumbang RM47.1 bilion (72.6 peratus) kepada jumlah pelaburan diluluskan untuk Januari hingga Jun 2020.

Sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan untuk separuh pertama 2020 dengan menyumbang lebih separuh (55.1 peratus) atau RM35.7 bilion, diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan 44.2 peratus atau RM28.6 bilion, dan sektor utama dengan pelaburan diluluskan berjumlah 0.7 peratus atau RM0.5 bilion, menurutnya.

“Kerajaan, melalui Mida menerajui usaha untuk menarik pelaburan lestari, daripada sumber domestik dan asing, yang akan memperkuatkan lagi ekosistem perniagaan di Malaysia,” menurut Mida.

Selain itu ia berkata dari Januari hingga Jun 2020, sebanyak 1,316 projek dalam sektor perkhidmatan diluluskan dengan pelaburan bernilai RM28.6 bilion.

Pada Januari hingga Jun 2020, sektor utama menarik pelaburan bernilai RM471.0 juta.

Sektor ini merangkumi tiga subsektor utama iaitu perlombongan, pertanian serta perladangan dan komoditi.

Mida berkata sehingga Julai 2020, sejumlah 732 projek dengan cadangan pelaburan RM35.9 bilion sedang dalam perancangan untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

— BERNAMA