Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas jalan raya meningkat setiap kali beralih fasa PKP

SHAH ALAM, 16 OKT: Jumlah nahas jalan raya seluruh negara meningkat setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu, kata pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Datuk Mat Kasim Karim beberapa fasa PKP yang dilaksanakan termasuk PKP 1, PKP 2 dan PKP 3, selain Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), lapor portal Berita Harian.

Jelas beliau, kenderaan dipandu terbabas sendiri, kecuaian dan cubaan memotong atau tukar laluan antara punca kemalangan maut berlaku.

“Saya mengambil data bagi pelaksanaan PKP 1 yang merekodkan sebanyak 5,948 kemalangan, membabitkan 51 kemalangan maut dan 58 kematian, manakala PKP 2 pula mencatatkan 4,693 kemalangan meliputi 54 kemalangan maut serta 56 kematian.

“Bagi tempoh PKP 3 pula, sebanyak 6,011 kemalangan direkodkan, membabitkan 63 kemalangan maut dan 65 kematian, manakala ketika PKPP pula, sebanyak 102,240 kemalangan dilaporkan dengan 835 kemalangan maut serta 907 kematian,” katanya

Susulan itu, Mat Kasim berkata tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi menentukan kepatuhan pengguna kepada peraturan serta undang-undang jalan raya, sekali gus mengurangkan kes kemalangan termasuk kemalangan maut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Institusi pendidikan KPM di Lembah Klang, Melaka kekal dibuka 4 Okt

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya kekal dibuka pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kementerian itu menetapkan sekiranya sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu hanya akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa berkenaan.

Pada 29 September, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peralihan fasa PPN bagi Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya ke Fasa Tiga manakala Kedah beralih ke Fasa Dua berkuatkuasa 1 Oktober.

“Oleh itu pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan (Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya) mengikut ketetapan Fasa Tiga PPN akan bermula pada 18 Oktober 2021.

“Ini melibatkan pertambahan kemasukan murid lain meliputi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma (IBD), Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain,” menurut kenyataan itu.

Pengoperasian Fasa Dua pula melibatkan Murid Berkeperluan Khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Ini turut melibatkan murid Tingkatan Enam Semester Dua, International Baccalaureate Diploma Tahun Dua, Program Prauniversiti Semester Tiga di Sekolah Sukan Malaysia dan Murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).

Bagi pembukaan institusi pendidikan bawah KPM di Kedah, kekal pada 10 Oktober untuk kelas Tingkatan Enam Semester Dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) manakala ketetapan pengoperasian Fasa Dua PPN termasuk Kolej Vokasional hanya akan bermula 17 Oktober.

KPM memaklumkan pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi Zon Selatan negeri Sarawak juga kekal pada 4 Oktober berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa Dua PPN.

Ini susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berhubung peralihan Zon Selatan negeri Sarawak ke Fasa Tiga PPN berkuatkuasa 1 Oktober namun pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan negeri Fasa Tiga PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober.

Bagaimanapun KPM memaklumkan semua institusi pendidikan bawah KPM yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah ditutup sepanjang tempoh PKPD berkuatkuasa.

Oleh itu, semua murid di kawasan yang terlibat perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), menurut KPM.

KPM dalam kenyataan sama memaklumkan institusi pendidikan bawah KPM turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM turut menyaran ketetapan ini digunakan di semua institusi pendidikan tidak berdaftar dengan KPM termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gim kembali beroperasi kecuali di negeri fasa satu PPN

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Semua pusat gimnasium, kecuali di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), kini dibenarkan kembali beroperasi, namun terhad untuk penggunaan individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Perkara itu dinyatakan dalam kemas kini tatacara operasi piawai (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dimuat naik di telegram rasmi mereka.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam perkongsian di laman Twitter beliau mengingatkan semua pihak supaya mengikuti SOP yang ditetapkan.

“Gimnasium kini dibuka untuk operasi. Sila ikuti SOP dan terutamanya garis panduan pengudaraan. Nikmati kehidupan sihat!,” katanya sambil berkongsi infografik MKN yang dikemas kini pada Jumaat.

Mengikut SOP itu, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup (indoor) dibenarkan dalam Fasa Dua dan Tiga PPN, dengan pematuhan 50 peratus kapasiti penggunaan atau kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Kehadiran pekerja pula adalah tidak melebihi 60 peratus tenaga kerja merangkumi pengurusan dan operasi untuk Fasa Dua dan 80 peratus untuk Fasa Tiga.

Hanya individu yang telah lengkap vaksinasi boleh menggunakan kemudahan itu dan mereka dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.

Bagaimanapun, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi terbuka (outdoor) dan tertutup awam adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, di bawah Fasa Empat PPN semua fasiliti sukan dan rekreasi komersial adalah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus merangkumi penggunaan pelanggan atau pengguna dan kehadiran pekerja.

Waktu operasi pula adalah tertakluk kepada syarat lesen, sementara pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi awam di Fasa Empat juga tertakluk kepada PBT dan pihak berkuasa berkaitan.

Manakala di bawah Fasa Satu PPN, pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup, kecuali gimnasium dan pusat kecergasan, dibenarkan dengan pematuhan 50 peratus kapasiti penggunaan atau kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Kehadiran pekerja pula dibenarkan tidak melebihi 60 peratus, merangkumi pengurusan dan operasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi sekolah: PdPR kekal di negeri dalam fasa dua PPN

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Sesi pengajaran dan pembelajaran bagi murid kelas peperiksaan di lima negeri yang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti pertengahan penggal.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuti pertengahan penggal ini akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B.

Menurutnya pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai akan dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan itu bermula.

“Berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi PdP secara bersemuka terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

“Bagaimanapun, KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) dalam sidang media pada 6 Jun lepas,” menurut kenyataan itu.

Radzi pada sidang media Jun lepas berkata PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing sehingga cuti pertengahan penggal.

Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN mulai esok.

Keputusan itu diambil berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Lima negeri beralih ke fasa kedua pemulihan mulai 5 Julai

PUTRAJAYA, 3 JULAI: Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai.

Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Ismail Sabri berkata dalam Fasa Dua PPN, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali untuk guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.

“Selain itu, pengecualian khas akan diberikan kepada pasangan jarak jauh dalam kes-kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata sektor yang dibenarkan beroperasi dalam Fasa Dua PPN adalah Sektor Perdagangan dan Pengedaran iaitu kedai buku dan alat tulis; komputer dan telekomunikasi; barangan eletrik; kedai cuci kereta; dan kedai gunting rambut, iaitu hanya perkhidmatan gunting rambut asas.

Selain itu pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi sehingga 11 pagi dengan jualan dihadkan kepada enam komoditi utama iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

“Bagaimanapun pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka,” katanya.

Di bawah Fasa Dua PPN, Ismail Sabri berkata kapasiti pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu atau ‘essential services’ akan dinaikkan kepada 80 peratus dan pihak majikan perlu memastikan penjarakan fizikal serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dipatuhi setiap masa.

Beliau turut memaklumkan yang aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tiada sentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri; adalah dibenarkan.

Ia termasuk aktiviti secara individu seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skate boarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis perseorangan, golf, permotoran dan seumpamanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul yang merupakan Menteri Penyelaras PPN berkata pelaksanaan PPN telah menunjukkan perkembangan positif apabila lima negeri kini beralih ke Fasa Dua.

“Nilai ambang di negeri-negeri dalam fasa dua ini akan dipantau dan dinilai, sekiranya ada peningkatan kes…ia akan dibincangkan dalam sidang khas MKN untuk keputusan lanjut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai gunting rambut, kedai buku dibenar operasi pada fasa dua pelan pemulihan

SHAH ALAM, 27 JUN: Kedai gunting rambut, kedai buku dan alat tulis antara sektor dibenarkan beroperasi sebaik Pelan Pemulihan Negara  (PPN) beralih pada fasa kedua.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran operasi kedua-dua sektor berkenaan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

Sektor lain yang boleh beroperasi dalam tempoh sama ialah:

1. Sektor pembuatan seperti automotif (kenderaan dan komponen), seramik, kilang perabot bagi tujuan eksport, getah, besi dan keluli serta simen

2. Sektor perdagangan dan pengedaran seperti komputer dan telekomunikasi, barangan elektrik serta kedai cuci kereta

Kedai makan, gerai makan, kendera saji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi atau kiosk dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.

Menurut beliau, pasar tani dan pasar pagi boleh beroperasi dari 7 pagi hingga 11 malam bagaimanapun pasar minggu, pasar malam serta pasar tamu masih tidak dibenarkan.

“Pasar tani dan pasar pagi terhad kepada enam komoditi iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut serta daging,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu tidak bersentuhan fizikal dibenarkan.

Beliau juga memaklumkan, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan dalam fasa terbabit kecuali bagi guru sekolah dan pelajar kelas peperiksaan.

“Pergerakan rentas negeri pasangan jarak jauh dibenarkan bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan polis,” katanya.