Categories
AGENDA NASIONAL

Pelan rekalibrasi pendatang dijangka terima 250,000 permohonan

PUTRAJAYA, 4 DIS: Jabatan Imigresen dijangka menerima 250,000 permohonan untuk menyertai menyertai Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin yang mengandungi dua komponen utama – Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata setakat Rabu lalu, jabatannya telah menerima 478 permohonan daripada majikan melibatkan 1,980 pendatang tanpa izin untuk menyertai program yang dilancarkan pada 16 November itu.

“Kesemua permohonan ini kita terima melalui e-mel dan mulai Rabu, majikan tidak lagi perlu membuat permohonan menerusi e-mel kerana semua permohonan boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi Jabatan Imigresen,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Program Rekalibrasi Pulang membenarkan pendatang tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja adalah program untuk membolehkan pendatang tanpa izin dijadikan pekerja asing yang sah di negara ini.

Pelan itu dilaksanakan bermula 16 November lalu hingga 30 Jun tahun depan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

Khairul Dzaimee berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja hanya terhad ditawarkan kepada pekerja di empat sektor iaitu perkilangan, pembinaan, pertanian dan perladangan.

“Majikan mempunyai kuota kelayakan untuk menggajikan pekerja asing berdasarkan nisbah kelayakan semasa,” katanya sambil menyatakan hanya pendatang tanpa izin dari 15 negara yang ditetapkan boleh diambil bekerja.

Menurutnya, setakat ini terdapat 12,400 pendatang tanpa izin berada di 14 depoh tahanan di Semenanjung dengan kebanyakan mereka berasal daripada Myanmar, Pakistan, India, Indonesia dan Bangladesh.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata Program Rekalibrasi Pulang pula membenarkan pendatang tanpa izin yang melakukan kesalahan tertentu untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Antara pendatang tanpa izin yang layak menyertai program itu adalah mereka yang melakukan kesalahan masuk atau tinggal di Malaysia tanpa pas dan permit sah atau tinggal lebih masa.

“Pendatang tanpa izin yang layak perlu mendapatkan janji temu secara dalam talian menerusi Sistem Temujanji Online (STO) dan seterusnya hadir ke pejabat Imigresen mengikut tarikh ditetapkan.

“Mereka perlu hadir dengan membawa dokumen tertentu antaranya tiket pulang ke negara asal serta membayar kompaun dan selepas urusan selesai, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan pas khas atau Check Out Memo kepada mereka,” katanya.

– BERNAMA