Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pegawai projek pengarusperdanaan gender teruskan pantau pelan tindakan gender

SHAH ALAM, 11 NOV: Pegawai siri pertama projek pengarusperdanaan gender yang tamat tahun lalu masih meneruskan pemantauan pelan tindakan gender.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga berkata pegawai terbabit perlu meneruskan pemantauan bagi memastikan pelan tindakan itu dilaksana dalam pentadbiran agensi atau jabatan tersebut.

“Pentadbiran perlu memahami apa pengarusperdanaan gender seperti faktor-faktor yang menghambat wanita daripada mencapai kesaksamaan gender,”kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian watikah lantikan pegawai Kumpulan Tumpuan Gender (GFT) dan Kumpulan Titik Tumpuan Gender (GFP) Projek Pengarusperdanaan Gender sesi 2021/2022 yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Foyer SUK semalam.

Pelaksanaan tahun kedua Pengarusperdanaan Gender pada kali ini melibatkan portfolio pendidikan di bawah Amirudin, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau.

Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan pengarusperdanaan gender untuk mempromosi hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita.

Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan bagi menggiatkan lagi program pengarusperdanaan gender agar golongan wanita dapat memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan negeri ini.