Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Kempen Pusing Selangor Dulu, destinasi pelancongan kelas dunia

SHAH ALAM, 29 SEPT : Tourism Selangor dan Tourism Malaysia Bahagian Domestik bekerjasama secara dalam talian bagi mempromosi produk pelancongan kepada penggiat industri setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamed berkata promosi menerusi siri webinar “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” itu bermula sejak Jun lalu sehingga semalam.

Menurutnya inisiatif antara usaha mempromosi pelancongan domestik Selangor seiring dengan budaya norma baharu iaitu menjelajah secara maya ke Malaysia Timur dalam masa terdekat.

“Sesi webinar hari ini bertepatan dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 yang mana kita turut melancarkan kempen menerusi media sosial rasmi bertujuan menampilkan Selangor sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia.

“Penting untuk mengekalkan hubungan baik antara Tourism Selangor dan Tourism Malaysia Domestik bagi membangunkan semula industri yang sangat terkesan dengan pandemik global yang semakin hampir ke fasa endemik ini,” katanya menerusi kenyataan.

Azrul Shah berkata sesi webinar itu sedang giat dijalankan di semua landasan digital Tourism Selangor iaitu laman sesawang www.selangor.travel, Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan TikTok.

Pada masa sama, beliau menggalakkan orang awam berkongsi pengalaman menarik masing-masing dalam menerokai tempat pelancongan Selangor dengan memuat turun gambar dan video di media sosial beserta tanda pagar #PusingSelangorDulu.

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Garis panduan, SOP gelembung perjalanan siap minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dijangka dapat menyiapkan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) berhubung gelembung perjalanan yang dicadang dilaksanakan dengan beberapa negara terpilih minggu depan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata garis panduan dan SOP terbabit akan dikemukakan untuk penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MOTAC diarahkan oleh kerajaan agar mengemukakan cadangan berserta SOP negara kita. Kami juga berbincang dengan duta-duta terlibat, mendengar pandangan mereka. Mereka juga ingin tahu perancangan kita. Kami telah berbincang dengan Jepun, Singapura … ini akan menjadi inisiatif berterusan negara kita,” katanya ketika ditanya mengenai pelaksanaan gelembung perjalanan itu.

Nancy berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Promo TV Kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ dan pengumuman pemenang pertandingan ‘Video Muzik Cuti-cuti di Rumah’ di sini, hari ini.

Menurut Nancy, MOTAC juga bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar dalam menyiapkan SOP berkenaan.

Terdahulu, Nancy dalam ucapannya berkata berdasarkan Siri Jelajah Promosi Pelancongan Domestik, beliau mendapati pelancongan tempatan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.

“Saya gembira melihat sokongan rakyat terhadap pelancongan domestik di mana kebanyakan hotel menerima tempahan penuh dan ramai yang memanfaatkan cuti hujung minggu dengan membawa keluarga berjalan-jalan,” katanya.

Beliau berkata satu tinjauan melibatkan 13,797 individu di negara ini mengenai persepsi rakyat terhadap pelancongan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan pelancongan domestik masih menjadi pilihan apabila 50.9 peratus responden percaya melancong dalam negara lebih selamat selepas PKP.

Selain itu, 71.3 peratus daripada responden memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat berbanding negara-negara lain, katanya.

Beliau juga berkata pelancaran promo TV hari ini tepat pada masanya dengan tema-tema dalam video itu memberikan identiti unik kepada destinasi pelancongan yang ada di Malaysia

Nancy berkata promosi berterusan perlu dilakukan bagi mencetus minat orang ramai untuk keluar melancong selain menyuntik keinginan merasai sendiri pengalaman yang dilihat dalam video promosi tersebut.

Lima video promosi yang dihasilkan mengetengahkan beberapa tema dan produk pelancongan termasuk pulau dan pantai, aktiviti menyelam laut dalam dan bersnorkel, alam semula jadi dan pengembaraan, makanan tempatan dan tematik iaitu satu genre yang merangkumi semua aktiviti pelancongan.

Selain daripada media arus perdana seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran TV1, TV2 dan TV OKEY, promosi itu turut dimuat naik ke laman web serta platfom digital.

Sementara itu, tiga pemenang pertandingan video muzik ialah Ko Chuan Li (kategori alat muzik), Mohd Yatim Naming (kategori nyanyian) dan Clarissa Premini Robert Jeyakumar (kategori sketsa).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Pelancongan domestik naik, permintaan penginapan menggalakkan

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Industri pelancongan domestik negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kegiatan pelancongan dibenarkan semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai 10 Jun.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kadar purata penginapan di beberapa hotel bandar dan resort di seluruh negara adalah menggalakkan terutama di lokasi yang menawarkan keindahan alam semula jadi seperti pulau, pantai, tanah tinggi atau di pinggir hutan.

Beliau berkata sejumlah 180,000 tempat duduk pesawat terjual bermula 10 hingga 28 Jun lepas bagi tempoh penerbangan Julai hingga September 2020 melalui kempen promosi tiket penerbangan domestik yang dijalankan oleh syarikat penerbangan AirAsia.

Pengunjung kelihatan berswafoto semasa matahari terbenam di Pantai Chenang, antara lokasi wajib singgah sekiranya bercuti ke Langkawi. Foto: BERNAMA

“Trend mingguan kadar penginapan juga menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya. Walaupun tidak mendadak atau ketara peningkatannya, ia masih memberi indikatif positif,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Yamani Hafez Musa (BN-Sipitang) mengenai sambutan pengusaha pelancongan dan rakyat terhadap galakan kerajaan mempromosi kempen melancong dalam negeri (domestik).

Nancy berkata perkembangan itu hasil inisiatif penggiat industri pelancongan tempatan melalui tawaran pakej pelancongan istimewa dengan harga promosi menarik bagi hotel, tiket kapal terbang domestik serta diskaun harga masuk ke produk dan destinasi pelancongan.

Dalam pada itu, Nancy menjelaskan susulan pembatalan kempen Visit Malaysia 2020 (VM2020) Mac lepas, peruntukan RM90 juta bagi kempen itu disimpan untuk kegunaan kempen VM edisi akan datang.

Katanya, walaupun VM2020 dibatalkan, kementerian itu masih menjalankan pemantauan untuk memastikan negara-negara yang akan bekerjasama dengan Malaysia adalah negara dari kategori Zon Hijau Covid-19.

Beliau menjawab soalan tambahan yang diajukan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang ingin tahu mengenai perancangan kementerian terhadap peruntukan yang disalurkan untuk kempen itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA PELANCONGAN

AirAsia, hotel tempahan tawar pakej harga terbaik, lebih jimat

KUALA LUMPUR, 18 JUN: AirAsia bekerjasama dengan hotel tempatan untuk menawarkan harga terbaik dengan lebih penjimatan menerusi platform tempahan penerbangan dan kombo hotel, SNAP.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata SNAP memanfaatkan rangkaian luas AirAsia yang meliputi lebih daripada 160 destinasi AirAsia untuk memberikan harga terbaik untuk tiket penerbangan dan pada masa sama menjalinkan kerjasama dengan rakan niaga hotel untuk menawarkan harga bilik berpatutan.

“Ini memberi faedah secara langsung kepada pengguna dengan menawarkan keselesaan, penjimatan yang lebih besar dan harga berpatutan, seterusnya ia juga dapat membantu mempercepatkan pemulihan pelancongan domestik,” katanya.

Pada masa yang sama, ia berkata rakan niaga hotel dapat memanfaatkan sumber ekosistem AirAsia yang kukuh, termasuk jumlah pelawat yang tinggi di laman sesawangnya, airasia.com, pangkalan data pengembara yang ketara serta kempen pemasaran berfokus kepada destinasi dilengkapi dengan strategi kreatif berdasarkan pengalaman luas syarikat penerbangan itu dalam industri pelancongan.

Hotel yang tersedia bagi kempen jualan SNAP itu melibatkan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang, antaranya ialah The Chow Kit – An Ormond Hotel, MoMo’s Kuala Lumpur, Tune Hotel, Lexis Port Dickson, Vouk Hotel Suites.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perbelanjaan pelancongan domestik catat RM92.6 bilion

PUTRAJAYA, 28 JUN: Pelancongan domestik merekodkan jumlah perbelanjaan RM92.6 bilion pada 2018, meningkat 11.4 peratus berbanding RM83.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan perbelanjaan oleh pelancong dan pelawat harian iaitu masing-masing merekodkan perbelanjaan sebanyak RM60.41 bilion dan RM32.15 bilion.

“Membeli-belah mencatatkan peratus sumbangan tertinggi daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan oleh pelawat domestik untuk perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung laporan survei pelancongan domestik 2018.

Menurut Mohd Uzir, bilangan pelawat domestik meningkat kepada 221.3 juta pada tahun 2018 dengan pertumbuhan sebanyak 7.7 peratus.

“Dari segi volum jumlah perjalanan, pelawat domestik telah melakukan sejumlah 302.4 juta perjalanan di dalam negara di mana 40.6 peratus dari keseluruhan perjalanan adalah bagi tujuan melawat saudara-mara dan rakan,” katanya.

Beliau berkata trend itu adalah selari dengan budaya penduduk Malaysia yang pulang ke kampung pada musim perayaan.

Mohd Uzir berkata Selangor adalah negeri paling ramai dikunjungi oleh pelawat domestik pada 2018 iaitu seramai 30.2 juta, diikuti Sabah (20.4 juta), Sarawak (19.4 juta), Kuala Lumpur (19.2 juta) dan Pahang (18.1 juta). – BERNAMA