Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Buka semula pelancongan domestik beri sinar baharu buat penggiat

SUBANG JAYA, 5 OKT: Pembukaan semula sektor pelancongan domestik secara berperingkat dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi sinar baharu buat penggiat industri di Selangor.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu memberi kesan ketara terhadap industri pelancongan negara amnya dan Selangor khasnya.

“Tidak dapat dinafikan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam beberapa fasa yang kemudiannya diikuti dengan PPN telah menjejaskan operasi dan pendapatan penggiat industri pelancongan negeri.

“Ini terbukti bila penggiat industri menghadapi pembatalan tempahan bilik, penganjuran acara, pakej pelancongan dan perkhidmatan lain. Justeru, peralihan ke fasa tiga PPN mampu memberi nafas baharu kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemantauan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) dan pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di Sunway Lagoon di sini hari ini.

Selangor  ke fasa tiga PPN berkuat kuasa 1 Oktober yang memberi kelonggaran kepada rakyat lengkap vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Sementara itu, Loy Sian turut menyenaraikan beberapa aktiviti dibenarkan melibatkan premis pelancongan di Selangor antaranya:

1. Hotel dan inap desa
2. Zoo, taman tema, selam, akuarium, taman negara
3. Premis hasil seni budaya dan warisan, muzium perpustakaan, galeri
4. Pusat hiburan keluarga

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: 10,000 baucar pelancongan disedia untuk penduduk Selangor

SHAH ALAM, 20 SEPT: Penduduk Selangor disaran tidak melepaskan peluang mendapatkan Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 yang bakal dilancar Oktober ini.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata baucar pelancongan percuma sebanyak 10,000 bernilai RM100 itu hanya boleh didapati di platform e-dagang Shopee.

“Baucar ini akan dilancar pada Oktober dan boleh digunakan serta-merta selain keistimewaan diberi untuk rakyat Selangor sahaja.

“Tujuan kita berikan kepada rakyat negeri ini kerana buat masa ini kebenaran rentas negeri tidak dibenarkan selain merancakkan industri pelancongan dalam Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 9 September Loy Sian memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 bagi merancakkan aktiviti sektor berkaitan susulan Selangor beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Loy Sian berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan dengan setiap baucar bernilai RM100 yang boleh digunakan mulai Oktober depan.

Sebelum ini menerusi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 1.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta yang diagihkan kepada umum pada Januari lalu melalui Lazada dan Touch ‘n Go e-wallet.

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor rancang buka kawasan pelancongan, tempat bersejarah kepada pelawat

PETALING JAYA, 21 OGOS: Kerajaan Negeri meneliti membuka beberapa kawasan pelancongan dan tempat bersejarah kepada pelawat apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata ia sebagai usaha membantu merancakkan semula sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kita juga merancang untuk menganjurkan beberapa program kemasyarakatan apabila PKP dilonggarkan seperti pertandingan permainan wau dan gasing.

“Setakat ini penganjuran aktiviti dalam talian seperti Senandung Aidilfitri, Rentak Selangor dan anugerah Hadiah Sastera Selangor dapat sambutan menggalakkan,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.

Pada 1 Mac, Kerajaan Negeri julung kali menganjurkan Program Rentak Selangor secara maya dengan menampilkan 10 jenis kebudayaan.

Program yang bersiaran selama satu jam di Warisan Hall Studio Sijangkang, Kuala Langat mempersembahkan tarian pooja, muzik gambus, tarian kuda dan muzik cempuleng.

Program itu juga menjadi platform anak untuk seni untuk membuat persembahan dalam tempoh PKP.

Categories
BERITA UTAMA EXCO PELANCONGAN SELANGOR

Utamakan bercuti di Selangor dahulu, banyak lokasi menarik

SHAH ALAM, 30 DIS: Penduduk di negeri ini yang berhasrat untuk melancong disarankan supaya mengutamakan bercuti dalam Selangor dahulu susulan peningkatan kes Covid-19, kata EXCO pelancongan.

Hee Loy Sian berkata banyak lokasi percutian menarik yang boleh dimanfaatkan tanpa perlu keluar dari Selangor walaupun tiada sekatan pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita akui bahawa ramai yang mahu melancong tetapi mereka diingatkan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan seelok-eloknya tidak ke luar negeri kerana jangkitan Covid-19 masih tinggi.

“Justeru, mereka digalak pusing Selangor dahulu kerana kita memiliki tempat unik seperti Sky Mirror di Kuala Selangor sekali gus menyokong industri pelancongan negeri,” katanya selepas menyerahkan dana kepada badan agama Kristian di sini, semalam.

Beliau menambah sektor pelancongan mula menunjukkan perkembangan positif berikutan permintaan menginap di hotel semakin meningkat.

“Kita nampak tempahan (hotel) sudah penuh walaupun caj sedikit mahal namun ini petanda yang baik untuk mengukuhkan industri pelancongan meskipun masih terikat dengan PKPB,” katanya.

Pada 17 Disember lalu, Tourism Selangor melancarkan kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! bagi menggalakkan rakyat melancong ke pelbagai destinasi menarik di negeri itu.

Kerajaan Negeri juga melaksanakan program penebusan subsidi baucar pelancongan bernilai RM200 setiap seorang sebagai insentif.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pengusaha pelancongan gembira terima insentif, lancar operasi niaga

SHAH ALAM, 16 JULAI: Bantuan RM1,000 Kerajaan Selangor kepada sektor pelancongan membolehkan pengusaha menyediakan barang keperluan bagi melancarkan operasi perniagaan.

Penyelaras Inap Desa Sungai Haji Dorani berkata wang itu akan dimanfaatkan dengan membeli cecair pembasmi kuman dan pelitup muka untuk kegunaan kakitangan serta pelanggan.

“Bantuan ini membuktikan Kerajaan Selangor prihatin masalah dan beban rakyat. Wang ini juga membantu persediaan untuk memulakan beberapa program santai bagi menarik pelanggan,” kata Abdul Rahman Daud kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pengurus Apple Hotel Shah Alam, Mimi Syaqirah Rosli berkata pemberian subsidi baucar pelancongan kepada hotel dapat menggalakkan lagi kehadiran pengunjung.

“Ini akan menggiatkan kitaran ekonomi sekali gus membantu meringankan beban pihak pengurusan dalam menjaga kebajikan pekerja dan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentang pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga mengumumkan insentif khas RM1,000 kepada pekerja sektor pelancongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Seri Amirudin Shari turut memaklumkan kesediaan Kerajaan Negeri menyalurkan subsidi baucar pelancongan bagi hotel, taman tema dan inap desa berlesen dalam kawasan pihak berkuasa tempatan berjumlah RM 2 juta.

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Tourism Selangor syor ‘percutian’ maya di rumah

SHAH ALAM, 4 APRIL: Tourism Selangor mengesyorkan beberapa ‘percutian’ menarik secara maya yang boleh dinikmati orang ramai tanpa perlu meninggalkan rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Agensi pelancongan itu mempelawa ‘kaki jalan’ melayari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.travel bagi percutian pertama mereka ke sembilan daerah di negeri itu.

Katanya orang ramai boleh mengambil peluang membaca semua cerita pelancongan itu di https://selangor.travel/travel-stories/ untuk idea percutian seterusnya selepas tamat PKP.

“Bagi peminat seni, luangkan masa bersama orang tercinta melawat Galeri Shah Alam secara maya dengan melayari laman sesawang https://galerishahalam.com/video/.

“Selain itu, gunakan data internet percuma untuk rakyat sepanjang tempoh PKP mendapatkan pelbagai promosi hotel dan pakej pelancongan menarik di hujung jari anda,” menurut Tourism Selangor.

Tourism Selangor turut menyenaraikan beberapa cadangan ‘percutian’ secara dalam talian lain antaranya :

1) Alami Selangor melalui video Hos Komuniti Selangor di YouTube dan langgani saluran YouTube rasmi Tourism Selangor untuk maklumat lanjut tentang produk serta acara pelancongan Selangor.

2) Tonton video dimuat-naik ke saluran menarik di Kuala Selangor di YouTube untuk pengalaman melancong ke daerah berkenaan.

3) Nikmati perkhidmatan penghantaran makanan dari restoran dan kafe popular di Selangor ke pintu rumah di https://selangor.travel/20-best-eateries-with-takeaways-and-delivery-services-in-selangor/

4) Ambil ilham hotel lima bintang untuk menghiaskan bilik tidur dengan cadar putih bersama tuala mandian yang baru dicuci bagi pengalaman penginapan mewah di rumah.

Categories
PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Koronavirus: Selangor sasar pelancong negara lain

KUALA SELANGOR, 4 FEB: Selangor menyasarkan lebih ramai pelancong dari negara Timur Tengah, Korea, Jepun dan Taiwan berkunjung ke negeri ini selepas Malaysia menggantung sementara visa kepada warga China susulan penularan wabak koronavirus 2019, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri akan memperhebatkan promosi dan galakkan dari negara-negara berkenaan supaya industri pelancongan Selangor tidak terjejas.

“Saya yakin ia beri kesan kepada pelancongan. Bukan sahaja pengunjung dari China, tetapi rakyat negara lain juga akan berkira-kira atau berhati-hati untuk keluar ke negara lain kerana bimbang akan wabak ini.

“Sudah pasti di Selangor kita memperhebatkan promosi ke pelancong lain contohnya Jepun kerana kita mempunyai sambutan Bon Odori setiap tahun,” katanya selepas merasmikan Program Pemurnian Pelancongan (P3S) di Dataran Malawati, di sini hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa membuat semak silang dengan jabatan berkaitan dan mendapatkan maklumat dari EXCO kesihatan dalam isu berkenaan dari masa ke masa kerana Selangor merupakan pintu masuk utama ke negara.

“Saya harap vaksin yang sesuai ditemui serta dikenal pasti. Keprihatinan kerajaan membawa pulang warganegara pulang adalah contoh kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad menyasarkan kedatangan seramai 7.8 juta pelancong dalam dan luar negara tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia.

Katanya, sasaran itu sebelum ini menjangkakan kedatangan pelancong warga China paling ramai ke negeri ini seperti tahun 2018.