Categories
AGENDA SUKANKINI

Sasar lebih 30 peserta perlumbaan kapal layar tahun depan

LANGKAWI, 25 DIS: Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-32 tahun depan dijangka menarik lebih 30 penyertaan dari dalam dan luar negara.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata sasaran itu mampu dicapai berikutan kejohanan tersebut sudah dikenali di peringkat global selain mendapat sambutan luar biasa penggemar sukan layar.

“Biasanya lebih 30 pasukan termasuk luar negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan ini, cuma tahun ini RMSIR hanya disertai 10 pasukan tempatan memandangkan masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jadi, kita yakin lebih banyak pasukan menyertainya tahun depan apabila pintu sempadan negara dibuka,” katanya ditemui selepas majlis penutup RMSIR 2021 di Royal Langkawi Yacht Club (RYLC) di sini pada 18 Disember.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad, Pengerusi RMSIR Jeff Harris dan Pengarah Eksekutif RYLC Azlan Abdullah.

Loy Sian berkata kejohanan seumpama itu menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat anak muda yang turut menggemari sukan kapal layar.

“Kalau boleh kita mahu mendidik ramai anak muda agar meminati sukan ini supaya mereka boleh membawa nama negeri ke kejohanan seperti Olimpik dan Asia.

“Malah, kita nampak kejohanan kali ini ada dalam kalangan anak muda misalnya anggota marin dan mereka menampilkan perlumbaan yang agak memberangsangkan,” katanya.

Sebanyak 10 kapal layar berentap dalam RMSIR edisi ke-31 bermula 11 Disember sehingga 18 Disember.
Kapal terbabit bersaing mengikut kategori iaitu kelas satu (Meraki, The Next Factor dan Uranus), kelas dua (Insanity, Gloki D Acqua, Nijinsky dan VG Offshore), kelas tiga (Marikh dan Dash) manakala kelas empat (Candice 11).

Perlumbaan selama lapan hari membabitkan empat perhentian bermula di Pelabuhan Klang diikuti Pulau Pangkor, Pulau Pinang sebelum berakhir di Pulau Langkawi.

Dianjurkan sejak 1990, RMSIR merupakan kejohanan kapal layar kedua tertua Asia dan paling sukar di Asia Tenggara.

Ia dicetuskan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Dato’ Johan Ariff dan Jonathon Muhiudeen.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi tempah tiket Go Selangor dilancar tahun depan, mudahkan pelancong pilih destinasi

PETALING JAYA, 10 DIS: Aplikasi Go Selangor yang dilancarkan Februari depan memudahkan pengguna menempah tiket ke pelbagai destinasi percutian negeri ini secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata tempahan tiket melalui aplikasi rasmi pelancongan negeri itu meliputi taman tema, premis inap desa dan hotel.

“Ketika ini, aplikasi tersebut sedang giat dibangunkan dan dijangka tersedia kepada orang ramai pada Februari nanti.

“Rancangan kita adalah untuk mendigitalisasikan industri dan penggiat pelancongan seperti pemandu pelancong, pengusaha inap desa, hotel dan taman tema serta agensi pelancongan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Konvensyen Global Tourism Selangor di Hotel New World di sini hari ini.

Konvensyen selama dua hari bermula semalam disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan menghimpunkan seramai 4,400 penggiat industri pelancongan.

Pada 26 November, Amirudin berkata Kerajaan Negeri membangunkan aplikasi Go Selangor dengan kerjasama syarikat pemula tempatan Tourplus dan disokong Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Menurutnya, semua perniagaan layak menyertai aplikasi berkenaan secara percuma.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aktiviti pelancongan domestik, cuti inap meningkat

PETALING JAYA, 10 DIS: Aktiviti cuti inap di hotel sekitar Selangor mendapat sambutan menggalakkan sejak sektor pelancongan dibenarkan pada Oktober.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebanyakan rakyat negeri ini memanfaatkan cuti hujung minggu dengan menginap di hotel sebagai menyokong sektor pelancongan tempatan.

“Kita tengok cuti inap di hotel-hotel di Selangor meningkat dalam tempoh tiga bulan terakhir ini. Kita percaya jumlah akan meningkat dari semasa ke semasa.

“Namun jumlah sebenar pengunjung ke hotel dan pusat pelancongan negeri hanya akan diperoleh pada suku pertama tahun depan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Konvensyen Global Tourism Selangor di Hotel New World di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Pelancongan Hee Loy Sian, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad dan duta Kempen Pusing Selangor Dulu Juliana Evans.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata perkara menjadi kebimbangan ialah kaedah memastikan pelancong asing datang ke Selangor sudah menerima vaksin atau sebaliknya apabila sempadan negara dibuka.

“Setakat ini kita yakin lebih 95 peratus rakyat Malaysia sudah divaksin dan ia sedikit sebanyak meredakan keadaan. Oleh sebab itu, kita fokus kepada pelancongan domestik,” katanya.

Bermula 11 Oktober kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri kepada individu yang lengkap menerima vaksin Covid-19.

Keputusan dibuat selepas kadar vaksinasi golongan dewasa negara mencapai tahap 90 peratus.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM114.6 juta semarak sektor pelancongan, bantu pemain industri bangkit

PETALING JAYA, 10 DIS: Sejumlah RM114.6 juta diperuntuk bagi menyemarak semula sektor pelancongan di Selangor yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbelanjaan untuk tempoh antara 2021 hingga 2025 bagi pelaksanaan beberapa inisiatif membabitkan semua industri berkaitan.

Menurutnya, inisiatif itu meliputi pemberian geran pemulihan untuk pemain industri, Kempen Pusing Selangor Dulu dan Kempen Selangor Indah, persiapan tatacara operasi piawai (SOP), penganjuran Konvensyen Tourism Selangor 2022 serta pembangunan infrastruktur pelancongan.

“Selangor beraspirasi untuk sentiasa berada selangkah di hadapan dan ingin menjadi pemangkin kepada pemulihan sektor pelancongan negara secara keseluruhan.

“Pemulihan sektor pelancongan adalah sebagai kebangkitan semula selepas melalui tempoh dua tahun yang amat mencabar susulan Covid-19,” katanya berucap pada majlis pelancaran Konvensyen Global Tourism Selangor di Hotel New World di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Pelancongan Hee Loy Sian, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad dan duta Kempen Pusing Selangor Dulu Juliana Evans.

Sementara itu, Amirudin menggesa pemain industri memperkenalkan pakej dan tarikan unik bagi menarik minat pelancong sekali gus memacu sektor terbabit.

“Pendekatan bersesuaian diperlukan bagi memenuhi kehendak yang semakin meningkat berikutan pelancong mahu kembali melancong dalam norma baharu

“Elemen penentu yang wujud akibat Covid-19 adalah transformasi digital memandangkan wabak ini meningkatkan penggunaan teknologi digital dan inisiatif ini yang sering diutamakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan #Selangor2022: Tambah dana, rancak sektor pelancongan

PETALING JAYA, 24 NOV: Belanjawan #Selangor2022 diharap dapat menambah lebih peruntukan kepada sektor pelancongan demi merancakkan kembali industri itu pada tahun depan.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata kempen promosi dan acara berimpak tinggi juga perlu dilaksanakan dalam usaha mengembali momentum sektor pelancongan negeri.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat memperuntuk dana tambahan untuk kita menganjurkan lebih banyak seminar atau kunjungan ke luar negara bagi mempromosi produk pelancongan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pusing Selangor Dulu Travel Fair dan Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 di Hotel New World Petaling Jaya di sini semalam.

Pada 8 Oktober lalu, Amirudin menerusi sesi taklimat belanjawan memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, sesi taklimat itu juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.

Pembentangan Belanjawan #Selangor2022 boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan http://selangorjournal.my

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Forum komersial medan penggiat pelancongan negeri kongsi idea

SEPANG, 10 NOV: Seramai 1,000 penggiat pelancongan di negeri ini menyertai forum komersial global pada 10 Disember bagi berkongsi idea merancakkan sektor itu.

Forum anjuran Kerajaan Selangor merupakan kedua terbesar selepas Pameran Persatuan Agensi-agensi Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia, kata EXCO pelancongan.

“Penggiat industri teruja kerana terlalu lama tiada penganjuran program selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun,” kata Hee Loy Sian semalam.

Sebelum itu, beliau merasmikan peta pelancongan Sepang-Sungai Pelek-Salak khusus bagi kemudahan pengunjung di Avani Sepang Goldcoast Resort di sini.

Sektor pelancongan domestik yang dibuka semula secara berperingkat dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara memberi sinar baharu buat penggiat industri di Selangor.

Pakej Kita Selangor yang diumum pada 9 Jun tahun ini memperuntuk RM2.55 juta bagi membantu membangunkan semula sektor pelancongan negeri.

Inisiatif itu melibatkan geran bantuan, baucar Pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran digital dan bantuan kewangan sekali bayar.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ajak orang ramai tebus 10,000 baucar pelancongan negeri

SHAH ALAM, 23 OKT: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menebus Baucar Pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM100 menerusi aplikasi beli-belah Shopee sehingga 31 Disember depan.

Dalam hantaran di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menawarkan 10,000 baucar sempena kempen Pusing Selangor Dulu yang sah digunakan sehingga 30 Jun tahun depan.

Baucar yang boleh ditebus mulai semalam boleh digunakan untuk membeli lebih 170 pakej pelancongan menarik yang ditawar 35 agensi pelancongan negeri.

Tourism Selangor menjelaskan baucar itu terhad kepada satu transaksi dan tidak boleh diganti produk lain.

Baucar tersebut yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dilancar EXCO Pelancongan Hee Loy Sian pada 5 Oktober.

Dengan peruntukan RM2.55 juta, fasa pertama program berlangsung mulai Januari yang menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Maklumat lanjut, layari pautan selangor.travel.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Taman Eko Rimba Komanwel tumpuan warga kota berkhemah, berkelah

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Ibarat berada di pelosok hutan belantara, begitulah perasaan yang boleh digambarkan sebaik sahaja melangkah masuk ke Taman Eko Rimba Komanwel.

Hakikatnya, lokasi pelancongan di Rawang yang jaraknya hanya kira-kira 30 Kilometer dari ibu negara itu hanya mengambil masa kurang sejam untuk sampai melalui akses mudah antaranya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Suasana hening dengan kicauan burung dalam kehijauan rimba di kawasan yang merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Kanching itu, tentunya berupaya menghilangkan kekusutan dan membawa pengunjung melupakan seketika tekanan dan hiruk-pikuk di kota tanpa perlu memandu jauh.

Lokasi pelancongan di Rawang yang jaraknya hanya kira-kira 30 Kilometer dari ibu negara itu hanya mengambil masa kurang sejam untuk sampai melalui akses mudah antaranya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).
Suasana hening dengan kicauan burung dalam kehijauan rimba di kawasan yang merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Kanching itu, tentunya berupaya menghilangkan kekusutan dan membawa pengunjung melupakan seketika tekanan dan hiruk-pikuk di kota tanpa perlu memandu jauh. Foto BERNAMA

Bercerita lanjut, Pegawai Hutan Daerah Hulu Selangor Zulkurnain Zakaria berkata kawasan rekreasi yang mampu menampung sehingga 400 individu pada satu-satu masa dan dilancarkan pada 1993 itu sering menjadi tumpuan dan pilihan keluarga untuk beriadah serta menjalani aktiviti seperti berkhemah dan berkelah.

“Kawasan ini bersifat mesra keluarga kerana air terjun dan sungai yang cetek (separas lutut dan buku lali) dan tidak berarus deras, jadi ibu bapa kita tidak terlalu khuatir dengan aspek keselamatan anak-anak untuk aktiviti mandi-manda,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengunjung juga akan diberi pendedahan mengenai lebih 10 spesies tumbuhan yang terdapat di taman berkeluasan lebih 300 hektar itu dalam usaha menyemai perasaan mencintai alam semulajadi terutama kepada generasi muda.

Zulkurnain berkata antara spesies yang istimewa adalah Merawan Kanching atau nama saintifiknya Hopea subalata Symington, tumbuhan yang dikategorikan sebagai sangat terancam dan habitatnya hanya pernah ditemui di Hutan Simpan Kanching.

“Kami juga merancang untuk menambah tanaman buah-buahan nadir yang semakin jarang ditanam seperti tampoi, macang, keladan dan bangkong bagi memulihara dan memastikan spesies ini tidak pupus dan masih boleh dinikmati generasi akan datang,” jelasnya.

Pegawai Hutan Daerah Hulu Selangor Zulkurnain Zakaria ketika sesi temu bual di Taman Eko Rimba Komanwel di sini. Foto BERNAMA

Kawasan itu turut dilengkapi kemudahan seperti surau, tandas, dewan dan pondok rehat selain menawarkan penginapan seperti chalet serendah RM50 sehari serta sewaan tapak khemah sebanyak RM10.

Zulkurnain turut mengingatkan orang ramai agar bertanggungjawab menjaga kebersihan khazanah alam itu dengan tidak meninggalkan sampah atau merosakkan tumbuhan selain menjaga keselamatan diri ketika beriadah.

Katanya, bagaimanapun kawasan tersebut yang ditutup sementara kepada umum sejak Mei lepas susulan Perintah Kawalan Pergerakan dan larangan bagi aktiviti rekreasi di kemudahan awam serta kawasan terbuka, kini sedang dalam proses penyelenggaraan dan pemangkasan pohon bagi menjamin aspek keselamatan pengunjung.

Ia dijangka dibuka semula kepada umum pada pertengahan bulan depan khusus buat individu yang lengkap vaksinasi dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pelancongan cadang buka Langkawi kepada pengunjung luar negara

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi, dibuka kepada pengunjung daripada beberapa negara luar.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu bagi membolehkan Malaysia mengembangkan ekonomi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Saya cadangkan dibuka (sempadan) kepada (pelancong) beberapa negara untuk Langkawi sahaja dahulu, (iaitu) projek rintis Langkawi, kita dengarlah dahulu pengumuman daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar.

“Ini salah satu cara kita mengembangkan ekonomi kita,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Yahaya, yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuka ruang pelancongan bagi projek berkenaan kepada negara luar, khususnya negara ASEAN.

Terdahulu, Nancy berkata dari 16 Sept hingga 12 Okt, seramai 85,921 pengunjung telah mengembara ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan tersebut melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan pintu masuk laut.

Katanya berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar purata penginapan di premis penginapan pelancong ahli MAH di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama bulan ini adalah 45 peratus bagi premis penginapan pelancong bertaraf empat hingga lima bintang, manakala 21 peratus premis bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

Nancy berkata demikian bagi menjawab soalan asal Ahmad yang mahu tahu sejauh manakah sambutan pelancong tempatan ke Pulau Langkawi, selepas dibuka semula pada 16 Sept lepas serta masalah berbangkit sejak hari pembukaan sehingga kini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancongan negeri pantai timur dijangka pulih dalam tempoh singkat

KOTA BHARU, 13 OKT: Sektor pelancongan di negeri-negeri pantai Timur dijangka kembali pulih dalam tempoh singkat berikutan sambutan dan kehadiran pengunjung yang dicatatkan di lokasi tarikan pengunjung sangat memberangsangkan.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin berkata hasil tinjauan yang dilakukan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mendapati banyak kawasan pelancongan sudah mula dikunjungi orang ramai.

“Sebagai contoh di Tasik Kenyir, Terengganu dalam tempoh tiga minggu sahaja direkodkan seramai 35,000 pelancong domestik datang selepas beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Tinjauan di Cameron Highlands, Pahang dan pulau-pulau juga menunjukkan sudah ada penerimaan pelancong dan itu satu petanda baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata pemain industri juga sudah bersedia menerima pelancong dalam kehidupan norma baharu.

“Sebagai contoh, bila pelancong datang dan sekiranya ada kes Covid-19, tempat mereka sudah pasti akan ditutup.

“Saya yakin pemain industri akan sentiasa memastikan segala syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Giat promosi Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu, tawar lokasi cuti menarik

SUBANG JAYA, 5 OKT: Kerajaan Negeri giat mempromosikan kempen pelancongan domestik Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu bagi meningkatkan jumlah kemasukan pelancong.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata inisiatif itu diambil susulan kadar vaksin lengkap dua dos rakyat dewasa dalam negara mencapai 88 peratus setakat semalam.

“Saya berasakan usaha ini adalah langkah tepat bagi menarik minat pelancong dalam negara untuk berkunjung ke Selangor.

“Malah, kempen tersebut menjadi buah mulut orang ramai khususnya pengguna media sosial sejak dilancarkan pada 17 Disember tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di Sunway Lagoon di sini hari ini.

Aktres popular Che Puan Juliana Evans dilantik sebagai duta pelancongan Selangor bagi mempromosikan kempen berkenaan.

Beliau berkata antara lokasi pelancongan menarik adalah Air Terjun Lata Medang dan Fraser Valley di Hulu Selangor; Greenhouse D Jeram dan Sembilang Eco Resort (Kuala Selangor); Air Terjun Sungai Lepoh dan Kolam Air Panas Sungai Serai (Hulu Langat) serta Kelong Paradise dan Sungai Limau Resort (Sabak Bernam).

Maklumnya, pelancong juga boleh berkunjung di Rubinga Heritage dan Golek Golek Suasana Kampung (Gombak); Ladang Buah Naga (Sepang), Pantai Batu Laut (Kuala Langat), Mural Safari (Klang) dan Taman Persahabatan Selangor-Jepun (Petaling).

Sementara itu, Loy Sian berkata jumlah ketibaan pelancong ke Selangor dijangka mengalami penurunan tahun ini berikutan sekatan rentas negeri yang masih berkuat kuasa.

Beliau turut menjelaskan prestasi kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini tahun lalu susut kepada 3.34 juta berbanding 7.62 juta pada 2019 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 1 Oktober.

Peralihan fasa memberi kelonggaran kepada rakyat yang mendapat suntikan dua dos vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
AGENDA NASIONAL

55 hotel tutup operasi akibat pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sebanyak 55 hotel ditutup sepenuhnya manakala 86 hotel ditutup sementara dari Mac 2020 hingga kini akibat pandemik COVID-19, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata hotel-hotel itu adalah hotel yang berdaftar dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan diiktiraf oleh MOTAC.

Beliau berkata berikutan penutupan sepenuhnya dan sementara hotel-hotel terlibat, dianggarkan lebih 8,000 pekerja sektor perhotelan dibuang kerja.

“Bagi menghidupkan semula aktiviti pelancongan dan kelangsungan pekerjaan sektor ini, pelbagai bantuan telah disediakan secara langsung menerusi pakej rangsangan ekonomi antaranya Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) contohnya bantuan kewangan secara one-off (sekali beri) kepada penggiat industri.

“Bantuan-bantuan lain seperti pelanjutan diskaun bil elektrik kepada penggiat industri, pengusaha hotel, pengendali taman tema dan sebagainya sehingga 31 Dis ini, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan serta penangguhan pembayaran ansuran cukai dan skim subsidi upah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Jefridin Atan berhubung jumlah hotel di negara ini yang terpaksa menutup operasi atau gulung tikar akibat pandemik COVID-19 dan bantuan yang diberikan MOTAC kepada pengusaha-pengusaha terlibat.

Menjawab soalan asal Jefridin mengenai inisiatif yang diambil MOTAC dalam memulihkan semula sektor pelancongan terutamanya melibatkan penyelenggaraan kawasan tumpuan utama, Santhara berkata sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan atau infrastruktur pelancongan dengan 89 projek sedang dilaksanakan di bawah peruntukan itu di seluruh negara sehingga kini.

Selain itu, beliau berkata melalui Belanjawan 2021, MOTAC juga diperuntukkan RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-kampung Budaya di empat negeri iaitu Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Secara umumnya, MOTAC sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan pelancongan sentiasa ditambah baik. Ini bagi membolehkannya menjadi tarikan kepada pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk setempat.

“Projek penyelenggaraan dan naik taraf juga telah dilaksanakan di kawasan tumpuan utama dan popular bagi memastikan ketersediaan infrastruktur pelancongan di tahap yang optimum serta selamat dikunjung menjelang pembukaan sektor pelancongan kelak,” katanya.

— BERNAMA