Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Promosi guna aplikasi digital, rancak semula pelancongan negeri

SHAH ALAM, 2 OKT: Mulai 1 Oktober, Selangor memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) seterusnya mengecapi pelbagai kelonggaran tatacara operasi piawai termasuk rentas daerah.

Justeru, orang ramai berpeluang mengunjungi pelbagai destinasi menarik setelah sekian lama ‘terkurung’ akibat pandemik.

Sempena Hari Pelancongan Sedunia pada 27 September, wartawan Nadiah Zamlus dan Alang Bendahara menemu bual Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad bagi mengupas perancangan membangunkan semula industri pelancongan.

Apakah langkah Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor bagi membantu penggiat industri pelancongan selepas berhadapan pandemik?

Kesan pandemik terhadap industri pelancongan amat teruk, khususnya di Selangor. Banyak pengendali pelancongan terpaksa menamatkan operasi dan banyak hotel ditutup.

Bagi memastikan industri pelancongan di Selangor kekal bernyawa, Tourism Selangor bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi negeri.

Pada 2020, Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor memperuntuk RM2.6 juta kepada industri pelancongan negeri. Pada 2021, sebanyak RM2.55 juta lagi disalur menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 iaitu:

  • Geran program insentif/aktiviti promosi pelancongan Selangor berjumlah RM1 juta
  • Baucar Pelancongan Selangor 2.0 berjumlah RM1 juta
  • Program Latihan Digitalisasi Pelancongan Selangor berjumlah RM300,000
  • Insentif sekali bayar kepada 17 persatuan penggiat pelancongan negeri sebanyak RM255,000

Apakah langkah untuk mempergiat kegiatan pelancongan selepas pandemik?

Sebagai langkah mempergiatkan aktiviti industri pelancongan, kempen Tourism Selangor sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 dijalankan bermula 20 September hingga 8 Oktober menerusi platform digital dan laman media sosial rasmi Tourism Selangor.

Antara strategi kempen ialah sesi Live-Talk Edisi WTD 2021, webinar bersama penggiat industri pelancongan, siri ‘Virtual Tour’ ke tempat pelancongan Selangor serta penganjuran Focus Tourism Talk (pelancongan perubatan), Program CSR dan Sesi Tiktok Live.

Bagi meneruskan momentum positif demi merancakkan kembali industri pelancongan negeri pasca pandemik, kami anjurkan Konvensyen Global Pelancongan Selangor (Tourism Selangor Global Convention).

Konvensyen ini akan diadakan pada 29 dan 30 November depan. Ia merangkumi Malam Anugerah Pelancongan (MTC Golf Award 2021). Konvensyen ini akan disusuli dengan Pameran Jualan Pelancongan mulai 3 hingga 5 Disember.

Kempen Pusing Selangor Dulu! yang memfokuskan pasaran pelancongan domestik sejak Disember 2020 diteruskan. Kita melantik selebriti tempatan Che Puan Juliana Evans sebagai duta kempen. Setakat ini, kempen menerima sambutan menggalakkan terutama platform digital dengan lebih 20 juta capaian sejak pelancaran kempen.

Bagi pasaran antarabangsa, Tourism Selangor menganjurkan kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’ Kempen digerakkan menerusi pelbagai atas talian seperti sesi webinar di lokasi luar negara, walaupun pelancongan antarabangsa masih belum dibenarkan.

Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans bersama gegantung promosi kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Bagaimana kelonggaran rentas daerah membantu menghidupkan semula kegiatan pelancongan?

Industri pelancongan negeri sudah bergerak mengikut tatacara operasi piawai (SOP) fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Perkembangan positif ini membolehkan penduduk Lembah Klang merentas daerah meneroka tempat pelancongan sekitar negeri.

Sehubungan itu, industri ini mampu pulih secara berperingkat kepada keadaan sebelum pandemik. Selain itu, bilangan rakyat Malaysia dewasa menerima dua dos vaksin Covid-19 yang ramai juga membantu pemulihan sektor pelancongan negeri.

Apakah aktiviti pelancongan yang menarik minat orang ramai di Selangor?

Juadah tradisi dan antarabangsa mudah didapati di Selangor. Justeru, ramai yang gemar melakukan aktiviti ‘food hunting’ mendapatkan juadah berkenaan. Kafe hipster dengan dekorasi serta pembentangan hidangan menarik juga menjadi lokasi tumpuan pempengaruh media sosial.

Untuk penginapan, Selangor ada pelbagai hotel bertaraf empat dan lima bintang. Hotel-hotel ini menawarkan pakej penginapan dengan potongan harga menarik pada masa ini. Penginapan berkonsep ‘glamping’ di sini buat pelancong yang ingin dekat alam semula jadi dalam keselesaan juga menarik minat orang ramai.

Bagi pelancongan-agro, Sekinchan di Sabak Bernam merupakan lokasi yang diminati ramai terutama yang gemar berkongsi foto di media sosial. Kawasan sawah padi menjadi latar unik dan menarik untuk sesi fotografi. Sekinchan ada elemen tradisi pemandangan yang sesuai untuk pempengaruh. Di sini juga ada penyedia perkhidmatan mengambil gambar di tepi sawah padi yang menjadi pilihan selebriti Malaysia.

Bagi penggemar keindahan alam sekitar atau sukan lasak, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor destinasi popular. Sky Mirror, Kuala Selangor pula destinasi eko-pelancongan unik iaitu benteng pasir di tengah lautan di sini memantulkan keindahan langit dengan jelas. Ia hanya muncul pada sesetengah tarikh dalam bulan lunar dan sesuai untuk sesi fotografi terutama jika berpakaian berwarna-warni.

Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto Sky Mirror Tour & Travel Sdn Bhd

Apakah strategi mempopularkan destinasi menarik menggunakan aplikasi digital?

Penggunaan aplikasi mobil amat meluas pada tahun 2015. Ketika itu Tourism Selangor menyokong dan menyediakan tenaga pakar untuk aplikasi Discover Selangor. Bagaimanapun, aplikasi itu tidak lagi aktif di pasaran. Tourism Selangor mengalihkan fokus kepada hanya satu platform digital aktif iaitu laman web rasmi; Selangor.Travel.

Ketika ini, Selangor.Travel adalah saluran digital utama yang mempromosi inisiatif Tourism Selangor selain platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn, TikTok dan YouTube.
Selangor.Travel juga boleh dicapai menerusi versi mobil yang lebih ringan dan mesra gajet. Pengguna memperoleh maklumat lengkap industri pelancongan negeri di hujung jari sahaja.

Apakah harapan untuk industri pelancongan dalam Belanjawan Selangor 2022?

Kerajaan Negeri senantiasa memikirkan pemain-pemain industri pelancongan negeri. Bagaimanapun, tahun demi tahun, pandemik Covid-19 menjadi kebimbangan utama dan Tourism Selangor mahu melihat lebih banyak peruntukan disalur memandangkan usaha membangunkan semula industri pelancongan negeri bukan mudah.

Selain meraih semula kepercayaan ramai untuk melancong, infrastruktur pelancongan perlu diberi perhatian selain memupuk kreativiti dalam idea-idea pelancongan negeri. Ini akan menghidupkan industri dan pastinya ia perlu dilengkapi dengan layanan serta perkhidmatan berkualiti.

Pengunjung beriadah di kolam terbesar Taman Tema Sunway Lagoon ketika tinjauan pada 4 Julai 2020. Foto BERNAMA

Apakah pesanan kepada orang ramai yang ingin melancong ketika pandemik Covid-19 masih belum reda?

Pelancong perlu patuh garis panduan dan SOP kendiri termasuk menjaga jarak sosial di tempat umum. Elak pergi ke kawasan sesak. Perlu rancang ke tempat pelancongan yang kurang sesak jika ada pilihan. Dalam pada orang awam meneruskan aktiviti pelancongan, jangan lupa untuk menyokong peniaga tempatan atau pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) di sekitar kawasan yang dituju bagi membangunkan ekonomi setempat.

Orang awam juga boleh membantu menguar-uar di media sosial mereka tentang kepentingan pematuhan garis panduan atau SOP ketika melancong, memuat naik gambar pengalaman percutian ke media sosial atau mengongsikan bahan promosi digital Tourism Selangor kepada rakan, keluarga dan juga kumpulan aplikasi mesej pilihan mereka.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelembung pelancongan Tioman, Genting tangguh hingga 90 peratus divaksin

ROMPIN, 28 SEPT: Gelembung pelancongan domestik di Pulau Tioman dan Genting Highlands yang dilaporkan dibuka pada 1 Oktober ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kelak, kata Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim.

Beliau berkata ia susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan pembukaan pusat, pulau dan kawasan pelancongan, serta aktiviti rentas negeri hanya apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa.

Sehubungan itu, katanya hanya penduduk Pahang sahaja dibenarkan berkunjung ke destinasi pelancongan di negeri ini dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan.

“Bagi pelancong luar yang sudah membuat tempahan kami minta mereka hubungi pengusaha pelancongan masing-masing untuk tindakan lanjut, sama ada tangguh atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SOP Pulau Tioman di pintu masuk utama Terminal Feri Jeti Teluk Gading (dahulunya Tanjung Gemok), di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan selepas Pulau Langkawi, Kedah, tiga lagi destinasi akan dibuka kepada pelancong menerusi gelembung pelancongan domestik iaitu Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka.

Mengenai pelaksanaan SOP di Pulau Tioman, Kamaruddin berkata antara SOP yang dikenakan ialah pengunjung mesti lengkap dua dos vaksin dan mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 masing-masing sebelum menaiki feri.

Beliau berkata sekiranya pengunjung membuat saringan kendiri mereka boleh membeli kit ujian kendiri di jeti atau di tempat lain, namun ujian mesti dilakukan di terminal jeti.

“Bagi individu yang melakukan ujian di klinik, mereka perlu membawa surat keputusan ujian untuk diperiksa terlebih dahulu sebelum dibenarkan menaiki feri.

“Dengan melakukan ujian saringan, ia turut memberi keyakinan kepada pengusaha pelancongan menerima pengunjung di lokasi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, selaras dengan peralihan Pahang ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau mengharapkan penduduk negeri ini kembali membantu merancakkan sektor pelancongan yang terjejas sekian lama akibat COVID-19.

“Selepas beralih ke fasa tiga, banyak aktiviti dilonggarkan malah rentas daerah juga dibenarkan dan saya berharap lebih ramai yang berkunjung ke lokasi menarik di negeri ini seperti Janda Baik, Taman Negeri Rompin dan sebagainya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB seru rakyat lengkap vaksin teroka lokasi pelancongan negeri

SHAH ALAM, 27 SEPT: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat yang lengkap dos vaksin supaya meneroka lokasi pelancongan di Selangor dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sokongan rakyat diyakini mampu memulihkan semula industri pelancongan negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Semoga dengan Selangor memasuki fasa dua PPN dan majoriti masyarakat dewasa telah divaksin, ambil peluang untuk meneroka pelbagai tarikan pelancongan dekat mahupun jauh.

“Industri pelancongan mampu pulih dengan sokongan daripada warga Selangor, jadi ayuh bersama kitarkan ekonomi negeri meneroka tarikan-tarikan yang terdapat di Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Menerusi hantaran di Twitter, beliau turut mengucapkan selamat hari pelancongan sedunia buat penggerak industri di Selangor, Malaysia dan seluruh dunia.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN berkuat kuasa 10 September lalu.

Peralihan fasa tersebut memberi kelonggaran kepada rakyat yang mendapat suntikan dua dos vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka bakal dibuka kepada pelancong

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mencadangkan tiga lagi destinasi yang akan dibuka kepada pelancong menerusi gelembung pelancongan domestik.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata destinasi itu ialah Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka, dan cadangan itu telah diluluskan pada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 hari ini.

“Hari ini kita telah luluskan tiga destinasi lagi (Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka), ia akan dibawa ke mesyuarat sidang khas (Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19) esok,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Mesyuarat kedua itu dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan turut disertai Nancy dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Nancy berkata tatacara operasi piawai (SOP) perjalanan masuk ke tiga destinasi tersebut akan diperhalusi terutama SOP masuk ke negeri Melaka, yang mempunyai kawasan liputan yang luas sambil menyatakan pemain industri di tiga destinasi berkenaan diminta bersedia menanti kedatangan pelancong.

Memaklumkan perkembangan di Pulau Langkawi, sejak projek rintis itu bermula 16 hingga 19 Sept seramai 6,662 pelancong memasuki pulau itu melalui penerbangan, manakala 3,483 lagi menggunakan feri.

Sementara itu, Ahmad Faizal memaklumkan pada mesyuarat tersebut, KBS telah mencadangkan aktiviti pembukaan stadium kepada penonton bagi kejohanan sukan seperti bola sepak dan sukan lain yang sesuai.

“Ia juga bagi meraikan Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi, segala SOP akan diperhalusi dan ini mesti dipatuhi selaras dengan konsep ‘reopening safely,” katanya.

Jumaat lepas, aktiviti pembukaan gimnasium dan pusat boling, telah dibenarkan di negeri Fasa Dua dan seterusnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan SOP ketat.

Ia termasuk mematuhi garis panduan ventilasi yang telah ditetapkan memandangkan gimnasium merupakan kawasan tertutup, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata kelonggaran terbaharu sektor sukan itu mengambil kira kesejahteraan rakyat terutama dari sudut mental, dan memahami kehendak pengusaha gimnasium.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor Fruit Valley dibuka kepada pengunjung mulai 15 September (VIDEO)

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pusat pelancongan Selangor Fruit Valley (SFV) akan dibuka semula kepada pengunjung mulai Rabu ini.

Menurut kenyataan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Facebook, kunjungan ke SFV terhad kepada individu yang lengkap divaksin sahaja.

Individu dewasa yang lengkap divaksin boleh membawa anak berusia 17 tahun ke bawah untuk menikmati semua aktiviti di SFV dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Kenyataan tersebut memaklumkan semua kakitangan di SFV juga sudah menerima suntikan pelalian lengkap sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Orang awam yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 016-6880792 serta e-mel ke [email protected] atau [email protected].

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

Tambah menarik terdapat lebih 3,000 sarang kelulut di ladang itu menjadikan SFV sebagai pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancong seluruh negara boleh ke Langkawi kecuali dari kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Pelancong domestik yang memenuhi kriteria tatacara operasi piawai (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 September ini.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.

Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.

“Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.

Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.

Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu.

Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.

Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.

“Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.

Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.

Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

60 peratus pekerja hotel di Selangor hilang kerja akibat pandemik

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sebanyak 60 peratus daripada 1,032 pekerja industri perhotelan di Selangor diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata sebanyak 40 peratus lagi diberi cuti tanpa gaji atau dikenakan potongan gaji antara 20 hingga 50 peratus.

“Setakat Mac lalu, sebanyak 10 hotel ditutup sementara akibat situasi semasa industri pelancongan yang suram kesan pandemik Covid-19 khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

“Laporan itu berdasarkan status operasi hotel-hotel di Selangor oleh Persatuan Hotel Malaysia Selangor Chapter,” katanya pada sesi penggulungan dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Petang tadi, Loy Sian berkata Selangor akan menimbang cadangan menangguh atau mengurangkan cukai pintu, tanah dan permit kepada pengusaha hotel dan penginapan yang terkesan akibat Covid-19.

Pada 6 Mei, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia Yap Lip Seng berkata kira-kira 100 hotel di seluruh negara menghentikan operasi secara sementara dan sepenuhnya sejak Mac tahun lalu.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.55 melalui Pakej Kita Selangor 2.0 juta bagi kelangsungan industri pelancongan.

Bantuan meliputi 20, 000 unit baucar pelancongan bernilai RM50 setiap satu, program latihan dan pembelajaran pendigitalan pelancongan serta bantuan tunai kepada 16 persatuan pelancongan negeri.

Penghujung tahun lalu, seramai 553 penggiat sektor pelancongan menerima bantuan khas sekali bayar sebanyak RM1,000 selain 10,000 baucar subsidi pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Awal Februari tahun ini, pengecualian duti hiburan turut dikuatkuasakan selain pengurangan cukai dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu pengusaha hotel, Kerajaan Negeri pertimbang kurang cukai

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang memberi penangguhan atau pengurangan cukai kepada pengusaha hotel dan penginapan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata antara bantuan yang boleh dipertimbangkan kepada pengusaha terlibat adalah pemotongan cukai pintu, tanah serta permit.

“Kerajaan Negeri sedang bermesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung jumlah hotel dan persatuan untuk memberi pengurangan cukai.

“Kita perlu teliti kesan kepada setiap PBT kerana pemotongan cukai pintu dan tanah akan beri impak kewangan malah jika pemotongan sepenuhnya akan beri impak sangat teruk terhadap hasil kutipan PBT.

“Laporan lengkap berhubung cadangan ini akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berhubung pelan pemulihan industri pelancongan dan perhotelan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperuntuk sejumlah RM5.51 juta pada tahun lalu dan RM2.55 juta (tahun ini) menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin untuk memulihkan industri pelancongan.

“Melalui dua pakej ini enam inisiatif dilaksana antaranya insentif khas bersasar iaitu bayaran sekali bayar kepada penggiat industri pelancongan serta program agihan subsidi baucar pelancongan.

“Selain itu, promosi pelancongan giat dijalankan melalui pelaksanaan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ bagi merangsang ekonomi pelancongan domestik khususnya kepada sektor perhotelan dan industri berkaitan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadang individu lengkap dua dos dibenar melancong, bantu penggiat

SHAH ALAM, 29 JUN: Semua penggiat pelancongan wajar diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 bagi memastikan sektor tersebut kembali beroperasi dengan segera serta selamat.

Untuk  menghidupkan semula industri, presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta) turut mencadangkan individu lengkap menerima dua dos diberi kelonggaran melancong dalam negeri.

Dr Fathir Badri Alhadad berkata langkah tersebut diharap membantu penggiat pelancongan merancakkan perniagaan yang tidak beroperasi sepenuhnya sejak dua tahun lalu.

“Kerajaan Negeri aktif menjalankan program suntikan vaksin dengan menumpukan pekerja kilang dan kita berharap inisiatif ini diperluaskan bagi memastikan lebih ramai penggiat pelancongan terima manfaat,” katanya kepada SelangorKini.

Saranan sama diberikan Naib Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Selangor, Mohd Nazri Ahmad yang berkata penggiat pelancongan merupakan pekerja industri barisan hadapan yang sentiasa berurusan dengan orang ramai.

“Apabila semua penggiat pelancongan divaksin, ia meningkatkan keyakinan rakyat mengunjungi hotel atau tempat percutian sekiranya kebenaran melancong dipercepatkan selaras dengan jumlah rakyat yang divaksin,” katanya.

Pada 25 Jun, EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata sejumlah 2,000 dos vaksin Covid-19 diperuntukkan kepada 1,000 penggiat sektor pelancongan di negeri ini.

Pengusaha pelancongan negeri ini juga ditawar bantuan sehingga RM20,000 bagi meneruskan operasi perniagaan selepas terjejas teruk akibat Covid-19.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor tawar lokasi bercuti menarik, tidak terhad pelancongan bandar

SHAH ALAM, 26 JUN: Selangor memiliki lokasi percutian menarik termasuk kawasan alam semula jadi yang cantik meskipun berada di tengah ibu kota, kata Che Puan Juliana Evans.

Duta Kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ berkata berikutan itu rakyat digesa melawati lokasi berkenaan selepas aktiviti rentas daerah dan negeri dibenarkan supaya sektor pelancongan  kembali rancak.

“Antara tempat menarik Sky Mirror di Kuala Selangor serta sukan lasak rakit redah jeram di Kuala Kubu Bharu. Pengalaman sangat berharga di tempat ini.

“Selangor juga memiliki banyak air terjun yang cantik dan sesuai untuk menjalankan aktiviti riadah seperti mendaki. Selangor tidak hanya menawarkan gaya hidup bandar sahaja,” katanya pada program bual bicara secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.

Sementara itu, Che Puan Juliana berkata beliau akan terus mempromosikan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ menerusi platform media sosial seperti Instagram dan Facebook.

“Aktiviti melancong dapat menjaga kesihatan mental tambahan yang tinggal di kawasan bandar. Dengan aktiviti ini kita dapat merehatkan diri serta minda sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pakej depani wabak bukti Selangor tidak pinggir industri pelancongan

SHAH ALAM, 12 JUN: Bantuan kepada penggiat pelancongan membuktikan Kerajaan Selangor memandang serius kekangan dihadapi pemain industri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Selangor berkata peruntukan RM2.55 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 tepat pada masanya dan diyakini mampu menghidupkan kembali sektor pelancongan negeri.

Naib Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Selangor Mohd Nazri Ahmad

“Ketika ini industri pelancongan khususnya perhotelan terlalu nazak dan kritikal sehingga kami terpaksa menanggung kerugian lebih 60 peratus. Justeru, inisiatif seperti ini amat dinanti-nantikan kerana dapat membantu kami walaupun dalam tempoh singkat.

“Pada masa sama sebagai bukti Kerajaan Selangor tidak meminggirkan sektor pelancongan yang sememangnya menjadi penyumbang tertinggi ekonomi negara,” kata Mohd Nazri Ahmad ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor menghargai komitmen Kerajaan Negeri untuk memulihkan semula industri itu yang terkesan akibat PKP.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor Gopalan Mariappan

“Jika dilihat situasi semasa, kami ibarat sedang ‘menyelam dalam air dan sesak nafas’. Perniagaan tidak dapat diteruskan sehingga sukar untuk kekalkan kakitangan sedia ada disebabkan tiada pendapatan.

“Semestinya ia khabar yang agak baik kerana peruntukan itu tertumpu kepada aspek merancakkan aktiviti dan promosi pelancongan dengan pemberian baucar serta program latihan dalam talian,” kata Gopalan Mariappan.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan PKP.

Inisiatif yang akan dilaksana meliputi:

1. Pemberian bantuan geran berjumlah RM1 juta
– Amaun boleh dituntut berdasarkan satu penyertaan 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut kelayakan maksimum yang mana lebih rendah

2. Baucar pelancongan Selangor 2.0
– 20,000 unit baucar (RM50 setiap seunit baucar) diberi dengan peruntukan RM1 juta
– Agihan baucar melalui kaedah e-dompet dan e-baucar

3. Program latihan pembelajaran pendigitalan pelancongan Selangor
– Hampir RM300,000 diperuntuk untuk menganjurkan program latihan pendigitalan dan perniagaan dalam talian
– Tourism Selangor akan bekerjasama dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec)

4. Bantuan kewangan tunai kepada 16 persatuan pelancongan Selangor
– Setiap persatuan akan menerima RM15,000 bagi melaksana aktiviti atau program pelancongan

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penggiat pelancongan boleh tuntut belanja promosi, bantu rancak industri

SHAH ALAM, 10 JUN: Penggiat sektor pelancongan negeri ini diberi geran bantuan kewangan berjumlah RM1 juta bagi memulihkan industri yang terkesan akibat Covid-19, kata EXCO Pelancongan.

Hee Loy Sian berkata insentif secara pengembalian kewangan diberi kepada penggiat yang melaksanakan aktiviti promosi bagi menarik serta merancakkan semula sektor terbabit.

“Amaun boleh dituntut berdasarkan satu penyertaan atau pelaksanaan iaitu 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut kelayakan maksimum yang mana lebih rendah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif lain untuk merancakkan sektor pelancongan merangkumi:

1. Baucar pelancongan Selangor 2.0
– 20,000 unit baucar (RM50 setiap seunit baucar) diberi dengan peruntukan RM1 juta
– Agihan baucar melalui kaedah e-dompet dan e-baucar

2. Program latihan pembelajaran pendigitalan pelancongan Selangor
– Hampir RM300,000 diperuntuk untuk menganjurkan program latihan pendigitalan dan perniagaan dalam talian
– Tourism Selangor bekerjasama dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec)

3. Bantuan kewangan tunai kepada 16 persatuan pelancongan Selangor
– Setiap persatuan menerima RM15,000 bagi melaksana aktiviti atau program pelancongan

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan.

Bantuan tersebut terkandung dalam Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penghujung tahun lalu, seramai 553 penggiat sektor pelancongan menerima bantuan khas sekali bayar sebanyak RM1,000 selain menawarkan 10,000 baucar subsidi pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Diikuti awal Februari tahun ini, Amirudin mengumumkan penguatkuasaan pengecualian duti hiburan bermula 18 Mac hingga 31 Disember melibatkan kesan kewangan berjumlah RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan.

Beliau turut memaklumkan cukai itu dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan impak RM21.04 juta setahun.