Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor rekod pelawat domestik tertinggi tahun lepas

SHAH ALAM, 17 DIS: Selangor merekodkan jumlah kedatangan pelawat domestik paling tinggi di Malaysia iaitu 33.6 juta orang pada tahun lepas, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Laporan Kaji Selidik Pelancongan Domestik 2019 menunjukkan negeri ini mengatasi Kuala Lumpur (22.6 juta pelawat), Sabah (22 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).

“Statistik ini menunjukkan Selangor memiliki pelbagai tempat unik dan menarik untuk dikunjungi, jadi Kerajaan Negeri yakin mampu melonjakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.

“Sektor pelancongan menjadi antara penjana ekonomi utama Selangor yang membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya pada Majlis Pelancaran Promosi Pelancongan Domestik ‘Pusing Selangor Dulu’ di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini.

Tourism Selangor melancarkan kempen berkenaan untuk menggalak rakyat melancong ke negeri ini. Malah Kerajaan Negeri mewujudkan Program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu bermula 8 hingga 31 Januari tahun depan.

Menerusi inisiatif tersebut sebanyak 7,000 baucar boleh ditebus untuk hotel, inap desa berlesen serta taman tema di negeri ini menerusi platform e-dompet Touch ‘n Go dan Lazada.

Sebanyak 3,000 baucar pelancongan juga bakal diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Selangor pada awal tahun depan.