Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga pelitup muka, akaun luar pesisir tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Isu arahan bayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu seperti diputuskan Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis baru-baru ini merupakan antara perkara akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan berkenaan akan diajukan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan secara terperinci isu tersebut, sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut menjadi tumpuan ialah soalan sama ada kerajaan akan mengkaji semula dan mengurangkan harga siling untuk pelitup muka dan kit ujian kendiri, serta isu harga siling untuk oximeter dan penyukat suhu yang akan diajukan Cha Kee Chin (HARAPAN-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menerusi sesi soal jawab pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim (HARAPAN-Port Dickson) dijadual bertanya kepada Perdana Menteri perkembangan terkini siasatan terhadap warganegara Malaysia yang mempunyai akaun luar pesisir seperti yang telah dinamakan bermula dengan laporan Offshore Leaks 2012 sehingga Pandora Papers 2021.

Isu berkaitan status jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pula akan dibangkitkan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta Perdana Menteri menjawab soalan itu hari ini.

Selepas selesai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung semula dengan sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Jenis pelitup muka dan keberkesanan daripada rebakan Covid-19

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Ketika negara mengharungi asakan varian Delta pada tahun lepas yang menyaksikan jangkitan baharu Covid-19 melebihi 10,000 kes hampir setiap hari, sesetengah ahli masyarakat mula memakai respirator, bukan lagi pelitup muka perubatan biasa.

Nana, 45, antara yang berbuat demikian, dan ketika ditanya Bernama faktor yang menyebabkannya beralih kepada respirator, wanita itu menjawab dia mahukan perlindungan yang lebih baik selain pemakaian tidak renyah.

Respirator pilihan wanita itu ialah KF94 keluaran Korea Selatan, iaitu dalam kategori sama dengan N95. Pasaran turut menawarkan respirator KN95 dari China dan FFP2 yang berdasarkan piawaian Eropah.

“Pakai respirator ni mudah, saya tak perlu lagi susah-susah nak pakai dua lapis pelitup muka setiap kali hendak keluar rumah. Selain itu, ibu saya juga penghidap kanser. Saya tak mahu dia dijangkiti Covid-19 yang dibawa pulang oleh saya,” jelasnya kepada Bernama.

Kini, tatkala ledakan Delta memperlahan dan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit pula muncul, Nana yakin keputusannya memakai respirator itu adalah yang terbaik bagi melindungi keluarganya yang kesemuanya telah lengkap divaksinasi.

Polemik pelitup muka dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan dan pihak berkuasa berkaitan di Amerika Syarikat dan Eropah, memperkuat keyakinan Nana, apabila masing-masing menyarankan pemakaian pelitup muka berkualiti tinggi bagi mengekang jangkitan Omicron yang semakin mengganas di benua terbabit.

Malaysia bagaimanapun tidak menuruti langkah negara berkenaan. Garis panduan pemakaian pelitup muka yang diguna pakai sejak 23 Ogos tahun lepas tidak dikemas kini. Saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar orang ramai memakai pelitup muka berganda – pelitup muka perubatan dan pelitup muka fabrik berserta pelindung muka masih terpakai.

Pakar perubatan yang dihubungi Bernama juga berpandangan tidak ada keperluan untuk orang ramai beralih memakai respirator.

Pengunjung memakai pelitup muka semasa membeli barangan keperluan di Pasar Pagi Jaya Gading, Kuantan pada 4 Disember 2021. Foto BERNAMA

Pencegahan

Selain menyifatkan respirator mungkin terlalu mahal bagi kebanyakan ahli masyarakat, pakar juga melihat pemakaian pelitup muka perubatan tiga lapis secara betul sudah memadai, termasuk untuk mencegah jangkitan Omicron, asalkan pelitup muka tersebut memenuhi keperluan minimum piawaian.

Pakar Perunding Pulmonologi Dr Wong Chee Kuan berkata ini kerana rata-rata penduduk di Malaysia berpelitup muka apabila keluar rumah.

“Masalahnya ialah di luar negara, mereka tidak mengamalkan pemakaian pelitup muka. Hal ini meningkatkan jangkitan dalam komuniti mereka. Malaysia pula kuatkuasakan arahan, iaitu kita mesti memakai pelitup muka apabila mahu ke tempat awam,” katanya.

Pelitup muka N95 merupakan respirator berstandard premium, menjanjikan penapisan kira-kira 95 peratus zarah di udara seperti debu, kabus dan wasap. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), pemakaian N95 menghalang kemasukan zarah sekecil 0.3 mikron dan titisan. Selain itu, N95 juga mempunyai mekanisme elektrostatik yang berfungsi memerangkap zarah bercas dan tidak bercas.

Perlindungan serupa atau hampir sama turut ditawarkan oleh KN95, KF94 dan FFP2 – ini jauh lebih baik berbanding pelitup muka biasa.

Pemakaian pelitup muka, walaupun sehelai, dapat mengurangkan peluang penyebaran virus korona kerana perlindungan yang diberikan meliputi individu lain dan juga si pemakai. Menurut pakar, paling penting adalah cara pemakaian yang betul.

“Pemakaian KN95 atau N95 akan memberikan perlindungan yang lebih kepada si pemakai, terutama dalam mendepani ancaman Omicron yang sangat mudah berjangkit. Bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah pelitup muka dipakai dengan betul,” kata Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki, pakar perubatan kesihatan awam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ringkasnya, apa juga jenis pelitup muka yang dipakai, pastikan sebarang ruang di antara pelitup dan muka si pemakai bertutup serapat mungkin.

“Ramai yang sudah mula memakai N95 atau KF94, malah sebelum kewujudan Omicron lagi, namun perlu diingat, kesemua pelitup muka ini perlu dipakai secara kemas. Jika terlalu longgar, tak ada gunanya pakai pelitup muka,” kata Dr Wong.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Prof Dr Victor Hoe yang menguji N95 untuk petugas penjagaan kesihatan di PPUM, berkata sukar untuk memakai pelitup muka dengan kemas kerana alat itu amnya dikeluarkan hanya dalam satu saiz.

Pada masa sama, di sebalik janji perlindungan unggul terhadap zarah bawaan udara, pemakaian respirator juga tidak akan mencapai matlamat jika si pemakai menanggalkan alat itu ketika berbual atau bernafas.

“Kerana itulah saya tidak menyarankan orang ramai memakai pelitup muka jenis ini. Alat ini menyukarkan pernafasan dan percakapan. Sebab itu kami dapati ramai yang membuka pelitup muka mereka apabila bercakap,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyokong penggunaan pelitup muka jenis itu dalam keadaan tertentu seperti ketika berada di dalam ruang tertutup bersama-sama orang lain yang status vaksinasinya tidak diketahui, seperti di dalam pesawat. Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menggantikan pelitup muka yang dipakai dengan yang baharu apabila alat itu basah atau lembap akibat berpeluh dan sebagainya.

Orang ramai mematuhi arahan dengan mengenakan pelitup muka ketika berada di tempat awam bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketulenan

Pemakaian pelitup muka N95 gred perubatan akan meninggalkan bekas pada muka si pemakai seperti yang dapat dilihat pada wajah pekerja kesihatan, namun tidak semua respirator yang ada di pasaran itu produk tulen.

Di Amerika Syarikat, produk tulen akan mempunyai simbol Niosh pada alat serta tarikh luput pada kotak memandangkan cas elektrostatik merosot seiring dengan masa. Di Malaysia pula, pelitup muka perubatan akan mempunyai pensijilan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Sumber MDA memberitahu Bernama, agensi itu tidak menjamin keberkesanan produk N95 bukan gred perubatan dan lain-lain respirator yang ada di pasaran.

Pakar pula berkata sama ada tulen atau tidak, pelitup muka masih dapat mengurangkan kadar transmisi di tempat awam.

“Orang ramai tidak perlu menggunakan peranti perubatan tulen kerana mereka tidak terdedah secara langsung kepada pesakit yang disahkan telah dijangkiti. Selagi pelitup muka itu terletak dengan elok di muka dan dipakai dengan betul, maka sudah memadai,” kata Dr Wong kepada Bernama menerusi WhatsApp.

Ada beberapa ujian yang boleh dilakukan oleh orang ramai untuk memastikan keberkesanan pelitup muka mereka, antaranya menguji dengan nyalaan api (cuba padamkan nyalaan api dengan menghembus dari jarak 30 cm), hidu bau (cuba kesan bau pemanis tiruan seperti Sweet and Low), dan ujian cahaya (regangkan pelitup muka di hadapan cahaya yang terang dan cuba lihat menerusinya).

Jika kesemua ujian berjaya dilakukan, bermakna pelitup muka itu tidak dapat melindungi anda, kata penyelidik di Stanford University School of Medicine yang bekerja dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam membangunkan piawaian pelitup muka.

Pelitup muka fabrik pula amnya tidak berkesan kerana mempunyai kemampuan menapis yang sangat rendah. Bagaimanapun, pakar berkata jika digandingkan bersama pelitup muka perubatan, pemakaiannya berkesan kerana ruang yang terbuka pada sisi muka akan bertutup rapat.

Menurut Dr Rafdzah, pelitup muka pembedahan tidak boleh menapis zarah yang lebih kecil daripada bakteria, namun “jika semua orang yang berada di kawasan awam memakai pelitup muka pembedahan atau fabrik, ini sudah memadai untuk mencegah penularan virus di kawasan itu, sekali gus mengurangkan peluang jangkitan.”

Di sebalik jaminan yang diberikan oleh pakar terbabit, Nana tidak berhasrat untuk kembali memakai pelitup muka pembedahan dalam masa terdekat.

“Selain menjaga ibu yang menghidap kanser, saya juga ada seorang anak lelaki dan saya tidak mahu perkara buruk berlaku padanya,” kata wanita itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SIBS 2021 peluang promosi pelitup muka berkualiti tinggi

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Syarikat pengeluar pelitup muka tempatan, MDCurve International Sdn Bhd mengambil peluang penyertaan dalam Ekspo Selangor Antarabangsa (SIE) (Medik) 2021 sebagai platform mempromosikan produk mereka, Medicurve.

Wakil syarikatnya Mervyn Yee berkata peluang diberikan Kerajaan Negeri menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 membolehkan pelitup muka yang berkualiti tinggi lebih dikenali.

“Keistimewaan produk ini ialah dihasilkan dalam keadaan persekitaran yang bersih dan mendapat pengiktirafan SIRIM.

Wakil syarikat pengeluar pelitup muka tempatan, MDCurve International Sdn Bhd Mervyn Yee. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita menyasarkan selepas penyertaan ekspo ini lebih ramai syarikat korporat, pengedar dan pemborong menyertai syarikat selain menembusi pasaran antarabangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah beliau, Medicurve menawarkan lebih 20 jenis pelitup muka yang dilengkapi dengan tiga dan empat lapis serta K95.

SIE (Medik) 2021 merupakan acara baharu yang diperkenalkan SIBS 2021 yang berlangsung selama empat hari mulai 18 November dianjurkan secara hibrid selain Ekspo Selangor Taman Perindustrian (SPARK) 2021.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sumbang kit ujian kendiri hargai remaja terima vaksin negeri

KLANG, 31 OKT: Wakil rakyat Pandamaran menyumbangkan 1,000 kit ujian kendiri Covid-19 dan 4,000 pelitup muka kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di sini, hari ini.

Leong Tuck Chee berkata pemberian itu sebagai menghargai kehadiran remaja berusia 12 hingga 17 tahun terbabit untuk menerima suntikan pelalian berkenaan.

“Pada masa sama kit ujian kendiri dan pelitup muka itu juga sebagai usaha memutuskan penularan wabak,” katanya ditemui pada program Selvax Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Wakil rakyat Pandamaran, Leong Tuck Chee mengedarkan kit ujian kendiri Covid-19 dan pelitup muka kepada penerima ketika program Selvax Remaja DUN Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 31 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tuck Chee berkata sebanyak 1,000 dos disediakan dalam program itu dan sambutan mengalakkan dengan ada peserta menunggu seawal jam 8 pagi.

“Ketika proses pra pendaftaran kami terima 200 permohonan tetapi setakat jam 11 hari ini, lebih 300 remaja sudah disuntik.

“Kehadiran ramai ini mungkin memandangkan ibu bapa cenderung anak mereka mendapat suntikan vaksin jenis Sinovac kerana kesan sampingannya kurang,” katanya.

Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 melalui Selvax Remaja yang bermula 24 Oktober.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelitup muka, cecair pembasmi kuman untuk pelajar kekal patuh SOP

SHAH ALAM, 18 OKT: Dato’ Menteri Besar mengedarkan 100 pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata serahan itu bagi memberi semangat kepada pelajar tingkatan lima yang memulakan sesi sekolah.

“Seperti kita sedia maklum hari ini permulaan sekolah bagi pelajar tingkatan lima dan mereka antara yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama sahaja lagi.

“Saya harap dengan serahan ini sedikit sebanyak membantu pelajar dan guru di sekolah ini…Semoga terus mematuhi SOP meskipun kita telah beralih kepada fasa empat PPN (Pelan Pemulihan Negara),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui ketika membuat tinjauan pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Mohamad Isa Ishak turut berterima kasih dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar ke sekolah itu.

“Terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin kerana hadir dan menyerahkan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman kepada pelajar,” katanya.

Terdapat lebih 2,000 pelajar SMK Seksyen 7 yang mana dua sesi pagi bagi tingkatan satu dan dua manakala sesi petang tingkatan tiga hingga lima.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pelitup muka tepat lindungi diri lebih baik ketika pandemik

Oleh Soon Li Wei

PETALING JAYA, 18 OGOS: Jadikan pelitup muka sebagai aksesori terkini yang dapat menyelamatkan nyawa anda dan orang tersayang.

Namun, daripada memilih pelitup muka yang mempunyai corak, logo atau slogan menarik, sebaiknya pilih yang menawarkan perlindungan terbaik agar kita terhindar daripada dijangkiti virus maut Covid-19 walau dalam apa juga persekitaran.

Menurut pakar perubatan, pemilihan pelitup muka yang tepat amat penting memandangkan lebih banyak varian mudah berjangkit sedang menular, termasuk varian Delta yang boleh menjangkiti seseorang dalam tempoh 15 saat sahaja.

Dekan Fakulti Sains Farmasi USCI University Prof Madya Dr Mogana Sundari Rajagopal berkata pelbagai jenis pelitup muka dijual di pasaran termasuk yang diperbuat daripada fabrik dan boleh diguna semula serta pelitup muka perubatan atau pembedahan.

“Setiap negara ada piawaian pensijilan tersendiri bagi setiap pelitup muka. Contohnya, Eropah menggunakan piawaian EN 14683 atau ASTM F2100 bagi pelitup muka perubatan manakala China pula menggunakan piawaian YY 0469.

“Sekalipun piawaian sedikit berbeza, pelitup muka terbabit amnya sama sahaja. Untuk pelitup muka respirator, China menggunakan piawaian KN (contohnya KN95), sementara Amerika Syarikat menggunakan N (contohnya N95),” katanya kepada Bernama.

Bagi mengelakkan terbeli pelitup muka tiruan, Dr Morgana berkata ada beberapa cara untuk mengenal pasti kualiti pelitup muka.

Orang ramai yang membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA

Pelitup muka dengan penarafan ASTM (Persatuan Amerika untuk Pengujian dan Bahan) atau EN (Piawaian Eropah) memenuhi standard dan keperluan antarabangsa, jelasnya.

Tahap keperluan antarabangsa

Penarafan ASTM merupakan piawaian untuk semakan semula kualiti pelitup muka perubatan. Terdapat tiga pengkelasan untuk piawaian ini dengan Tahap 1 merupakan peringkat minimum yang diperlukan untuk memenuhi piawaian ASTM dan Tahap 3 bagi pengilang yang mahu mengeluarkan pelitup muka.

“Jika piawaian pelitup muka perubatan, pelitup N95 dan lain-lain peralatan perlindungan diri (PPE) gred perubatan sudah lama diwujudkan, piawaian baharu bagi pelitup muka kegunaan harian ini adalah yang pertama dan bertujuan menyediakan penanda aras bagi pengilang dan juga masyarakat umum.

“Pengilang digalakkan mematuhi piawaian ini dan pengguna pula akan berkeyakinan terhadap produk apabila mengetahui pelitup muka tersebut diperakukan.

“Bagaimanapun, sesetengah pengilang pelitup muka mematuhi Piawaian Eropah iaitu EN14683 dan mengkategorikan pelitup muka mereka sebagai Jenis I, II dan Type IIR,” katanya.

Beliau berkata pengguna boleh membaca pada bungkusan untuk mengetahui penarafan produk tersebut sama ada ASTM Tahap 1, 2 atau 3 sebelum membelinya. Bagaimanapun tidak semua pelitup muka bertaraf ASTM.

“Memang berbaloi membeli pelitup muka dengan penarafan ASTM selain memastikan anda menerima perlindungan pada tahap yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata orang ramai sering kali keliru tentang N95 dan pelitup muka bergred perubatan seperti pelitup muka pembedahan. Pelitup muka N95 atau KN95 dikategorikan sebagai respirator.

Dr Morgana memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang menyatakan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada KN95 yang dinilai oleh agensi di bawahnya – Institut Kebangsaan bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH AS) – tidak memenuhi syarat yang didakwa pengeluar telah dipatuhi.

“Sebahagian besar pelitup muka KN95 atau N95 yang dikhususkan untuk petugas kesihatan yang ada di pasaran adalah tiruan,” katanya.

Menurut beliau, bagi memastikan perlindungan secukupnya daripada virus Covid-19 yang bersaiz kira-kira 0.1 mikron, individu amat disaran menggunakan pelitup muka perubatan atau pembedahan yang mematuhi EN Jenis IIR atau ASTM Tahap 3 dengan penapisan yang baik.

Kenal pasti pelitup muka tiruan

Dr Mogana berkata respirator yang diluluskan oleh NIOSH AS sepatutnya mempunyai label kelulusan bermula dengan TC – XXX- XXXX yang boleh disemak melalui laman web http://www.cdc.gov/niosh/nppt/topics/respirators/disp_part/default.html.

Orang ramai mematuhi arahan dengan mengenakan pelitup muka ketika berada di tempat awam bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Orang ramai juga boleh mengenal pasti pelitup muka tiruan melalui ketiadaan logo NIOSH bagi respirator, maklumat peruncit yang samar-samar serta harganya terlalu murah.

“Malah, NIOSH tidak meluluskan mana-mana pelitup muka untuk kanak-kanak, justeru sebarang kenyataan mendakwa respirator itu diluluskan untuk kanak-kanak adalah palsu,” katanya.

Beliau berkata pengeluar pelitup muka perubatan atau pembedahan di Malaysia disyaratkan mempunyai pensijilan ISO 13485 dan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

“MDA membantu memantau peranan pengeluar peranti perubatan dan kesemua pengilang terbabit perlu mendaftarkan kilang serta produk mereka.

“Orang awam perlu pastikan pelitup muka dikawal selia menurut piawaian antarabangsa seperti EN atau ASTM oleh badan berwajib seperti SIRIM Berhad, SGS Malaysia dan lain-lain.

“Malangnya, ramai pengeluar dan pengedar tidak berdaftar dan menjual pelitup muka yang tidak dikawal selia dengan baik,” katanya.

Dr Morgana berkata sekalipun sesetengah pengilang mengeluarkan pelitup muka dalam pelbagai warna dan corak, tidak ada pengkodan warna bagi pelitup muka pembedahan.

“Warna atau tulisan atau cetakan pada pelitup muka harus dielakkan sepertimana yang disyorkan oleh kajian. Pewarna harus dipilih berdasarkan piawaian industri yang diterima antarabangsa bagi melindungi kesihatan kita dan persekitaran.

“Justeru, satu konsensus antarabangsa berkaitan warna pelitup muka berasaskan kesannya ke atas kesihatan perlu diselidiki dan ditentukan.

“Sesetengah pewarna adalah toksik dan mempunyai kesan jangka pendek serta panjang ke atas kesihatan manusia, binatang dan tumbuhan,” katanya.

Bagi memilih pelitup muka yang dapat menyediakan perlindungan secukupnya daripada Covid-19, Dr Morgana mengesyorkan pelitup muka yang dikeluarkan oleh syarikat yang mempunyai sijil Sistem Pengurusan Kualiti Peranti Perubatan ISO 13485:2016.

Satu daripadanya ialah Careline Manufacturing Sdn Bhd yang mengkhususkan dalam pembuatan pelitup muka pembedahan dan perubatan untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Kesemua produknya diuji dalam makmal oleh SIRIM selain turut berdaftar di bawah Pensijilan Produk SIRIM.

“Satu daripada kriteria pada Careline Face Mask ialah bahan lapisan dalamnya tidak menyebabkan alahan kulit. Bahannya juga mempunyai ciri antikabus.

“Pelitup muka sedemikian adalah mesra pengguna yang mengalami masalah alahan kulit disebabkan pemakaian pelitup muka untuk tempoh yang lama dan mereka yang berkaca mata,” kata Dr Mogana, menambah semua produk Careline termasuk Careline Kids Face Surgical Face Mask mematuhi penarafan ASTM Tahap 3 dan EN Jenis IIR.

Pelitup muka dua lapis cegah jangkitan

Kebelakangan ini, pakar kesihatan mengesyorkan pemakaian dua lapis pelitup muka, iaitu memakai dua helai pelitup muka pada satu-satu masa bagi melindungi orang ramai daripada varian Covid-19 yang lebih agresif serta sangat mudah berjangkit.

Pemakaian dua lapis pelitup muka bermakna memakai pelitup fabrik di atas pelitup muka perubatan yang mana menurut pakar dapat menapis lebih banyak zarah berbanding pemakaian selapis.

Orang awam mematuhi arahan tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal ketika tinjauan di sebuah pasar raya sekitar ibu kota pada 23 Mei 2021. Foto BERNAMA

Prof Madya Dr Kyu Kyu Win, pensyarah mikrobiologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UCSI University, berkata gabungan pelitup muka fabrik dan perubatan boleh mengemaskan lagi pemakaian selain meningkatkan kadar penapisan zarah.

“Pakai satu pelitup muka perubatan pakai buang dan di atasnya pelitup muka fabrik bagi memastikan pelitup muka terletak dengan kemas selain memberikan lebih perlindungan. Pelitup fabrik itu juga boleh digabungkan dengan pendakap.

“Simpul dan selitkan gelung telinga pelitup muka tiga lapis di bahagian tepi serta lipat dan selitkan lebihan yang tidak diperlukan di bawah bahagian tepinya.

“Bagaimanapun, pelitup muka perubatan atau pembedahan tidak harus dilapisi oleh pelitup muka jenis sama kerana gabungan ini tidak menambah baik kekemasan pemakaian, manakala N95 pula perlu dipakai begitu sahaja tanpa dilapisi oleh pelitup lain,” katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jangka hayat empat jam bagi pelitup muka pembedahan iaitu perlu diganti selepas dipakai selama empat jam.

Naib Pengarah Pusat Antarabangsa Hospital Universiti Perubatan China Dr Hean Ooi pula berkata pemakaian pelindung muka semata-mata bukan sahaja bertentangan dengan prosedur operasi standard tetapi juga tidak menawarkan perlindungan yang mencukupi.

Pelitup muka perubatan, pembedahan untuk kegunaan harian

Dr Ooi berkata prestasi pelitup muka diuji dengan menilai kecekapan penapisan bakteria (bagi bakteria bersaiz lebih besar daripada tiga mikron), kecekapan penapisan zarah (bagi zarah bersaiz kurang daripada 0.1 mikron) dan sebagainya.

“Covid-19 lazimnya merebak melalui titisan dan saiz virus SARS-CoV-2 (penyebab COVID-19) ialah kira-kira 0.1 mikron,” katanya.

Beliau berkata piawaian pelitup muka pembedahan mempunyai keperluan lebih tinggi bagi memerangkap zarah bersaiz virus (0.1 mikron) pada kadar 98 peratus.

“Bagi respirator seperti N95 dan KN95, ia guna banyak lapisan bahan sintetik untuk melindungi diri anda daripada zarah di luar.

“Seperti nama produk tersebut, kedua-duanya mesti menapis 95 peratus zarah yang bersaiz 0.3 mikron atau lebih besar,” katanya.

Dr Ooi turut menasihati orang awam agar mendapatkan pelitup muka perubatan atau pembedahan yang mematuhi piawaian EN atau ASTM.

“Pelitup muka yang bagus seharusnya dibuat dengan tiga lapisan bukan seperti pelitup muka murah yang hanya mempunyai satu lapisan,” katanya.

Beliau berkata respirator seperti N95 dan KN95 atau KF 94 tidak digalakkan untuk kegunaan harian kerana boleh menyebabkan kesukaran bernafas sekiranya dipakai selama lapan jam sehari.

“Untuk orang awam, CDC dan WHO mengesyorkan mereka memakai pelitup muka perubatan atau pembedahan bagi melindungi diri mereka dan orang lain.

“Justeru, untuk kegunaan harian, pemakaian pelitup muka pembedahan atau perubatan sudah memadai dan boleh melindungi orang ramai daripada dijangkiti,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat video tular lelaki maki peniaga nasi lemak

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Polis telah menerima laporan susulan video tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki tempatan memaki hamun peniaga nasi lemak dan anak perempuannya serta pelanggan lain di sebuah gerai di Jalan Desa Bakti, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan polis itu daripada anak peniaga gerai makanan terbabit, pada kira-kira 3.40 petang.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 10.30 pagi semalam, semasa kedua-dua anak beranak itu sedang berniaga dan ia sempat dirakam seorang wanita tempatan menggunakan telefon bimbitnya, yang kemudiannya berkongsi dengan pengadu.

“Suspek dalam video ini dilihat memarahi dan memaki hamun ibu pengadu dan seorang pelanggan lain, apabila ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Basri berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 17 Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Pelan Pemulihan Negara 2021, kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini, kerana dibimbangi akan mewujudkan kegusaran masyarakat dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu atau maklumat lain mengenai jenayah supaya menyalurkannya kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Buang pelitup muka dengan betul, mudahkan petugas urus sampah  

SHAH ALAM, 26 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) memohon kerjasama orang ramai supaya membuang pelitup muka dengan betul bagi memudahkan urusan pengendalian sampah.

Pengarah urusannya berkata kesedaran orang ramai mengenai amalan betul pembuangan pelitup muka yang sudah dipakai belum mencapai tahap memuaskan dan masih dibuang merata-rata di tempat awam.

Menurut Ramli Mohd Tahir, keadaan itu melambatkan proses pengurusan sampah selain pekerja berisiko dijangkiti berikutan virus dibimbangi melekat pada pelitup muka dipakai pembawa wabak.

“Ada kalanya petugas kami terpaksa mengutip satu persatu pelitup muka sudah digunakan dalam tong sampah dan bawah kereta, ini merumitkan kerja serta ambil masa untuk diuruskan,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian dalam temu ramah dengan Astro Awani baru-baru ini.

Menurut Ramli pelitup muka yang sudah digunakan boleh dimasukkan dalam plastik atau dilipat serta diikat menjadi kecil bagi mengelakkannya terbang.

“Kita harus ada keperluan membuang pelitup muka dengan betul sama seperti kesedaran tinggi memakainya selaras norma baharu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sirim beri rebat 20 peratus kepada pengeluar pelitup muka

SHAH ALAM, 16 JUN: Sirim QAS International memberi rebat 20 peratus kepada pengeluar pelitup muka bermula semalam sehingga hujung tahun ini.

Ketua eksekutif Kumpulan Sirim berkata rebat di bawah pakej perkhidmatan pengujian dan pensijilan sebagai usaha menyokong kerajaan dalam memerangi pandemik dan memastikan keselamatan rakyat.

“Pematuhan ketat pada tatacara operasi piawai (SOP) dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi terbukti berkesan di kebanyakan negara dan kami percaya Malaysia berada di landasan betul.

“Sirim akan terus membina ketahanan perniagaan yang berterusan terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain melaksanakan peranan yang dimandatkan kerajaan,” kata Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara dalam memastikan kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun mendepani pandemik Covid-19.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Permintaan tinggi pelitup muka, KPDNHEP minta peniaga jangan naik harga

SHAH ALAM, 3 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memberi amaran kepada peniaga tidak menaikkan harga pelitup muka susulan permintaan tinggi di pasaran.

Pengarah Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata pelitup muka tiga lapisan harus dijual di bawah harga siling iaitu 70 sen sekeping dan mereka yang ingkar berdepan tindakan di bawah Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kita tidak mahu berlakunya keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 apabila ada menjual dengan harga mahal disebabkan bekalan tidak mencukupi pada masa itu.

“Berdasarkan pemantauan dua hari pertama PKP Penuh, harga pelitup muka masih di bawah harga siling dan bekalan juga mencukupi kerana kilang memprosesnya dibenarkan beroperasi,” katanya kepada SelangorKini.

Hari ini, The Star melaporkan berlaku peningkatan permintaan alat perlindungan itu disebabkan orang ramai kini mengamalkan pemakaian pelitup muka dua lapis.

Sebelum ini, ketua pengarah kesihatan menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka berganda terutama ketika berada di kawasan berisiko seperti hospital bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan mengenakan pelitup muka kain di atas pelitup muka tiga lapisan dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelitup muka dua lapis kurangkan risiko jangkitan virus, kata kp kesihatan

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Pemakaian pelitup muka berganda dengan mengenakan pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan, dapat membantu menapis lebih banyak zarah berbanding menggunakan pelitup muka kain semata-mata, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berkongsi maklumat menerusi infografik dalam akaun Twitter beliau, kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) merumuskan bahawa pemakaian pelitup muka berganda (dengan pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan) dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus Covid-19.

“Walaupun ia tidak diwajibkan berserta dengan pelindung muka, ia memberikan perlindungan maksimum,” kata Dr Noor Hisham.

Menurut satu lagi infografik yang dikongsikan beliau, pelitup muka perubatan tanpa mengikat gelung telinga menyekat 56.1 peratus zarah, pelitup muka kain (51.4 peratus), pelitup muka yang gelung telinganya diikat dan diselit pada telinga pemakai (77 peratus) dan pelitup muka berganda (85.4 peratus).

Sentiasa memakai pelitup muka perubatan dengan pelitup muka kain untuk pemakaian berganda dan elakkan menggunakan pelitup muka jenis sama sebagai pelitup muka berganda, menurut infografik itu.

Satu lagi infografik menunjukkan bahawa pelitup muka N95 sepatutnya digunakan satu sahaja dan tidak dipasangkan dengan pelitup muka lain kerana ia adalah piawaian tertinggi bagi jenis pelitup muka dan ia boleh melitup permukaan muka dan menapis 95 peratus zarah.

Semalam, jumlah kes Covid-19 harian yang direkodkan di negara ini terus melonjak dengan 7,857 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam dan 59 kematian, menjadikan jumlah kematian kepada 2,491.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat digalak pakai dua keping pelitup muka di tempat sesak

PUTRAJAYA, 22 MEI: Pemakaian dua keping pelitup muka berserta pelindung muka amat digalakkan jika seseorang berada di tempat awam yang sesak dan berisiko tinggi seperti hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemakaian dua keping pelitup muka mampu menapis sehingga 95 peratus virus Covid-19 namun buat masa ini, kerajaan belum mewajibkannya.

“Pemakaian dua keping pelitup muka adalah digalakkan tapi bukan diwajibkan, tetapi memakai pelitup muka adalah wajib sekurang-kurangnya sekeping pelitup muka.

“Kalau berada di tempat yang sesak dan berisiko tinggi, adalah amat digalakkan untuk memakai dua keping pelitup muka dan juga pelindung muka,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat satu laporan baru-baru ini yang menyatakan virus Covid-19 bukan sahaja merebak melalui ‘droplet’ atau titisan bahkan turut merebak melalui ‘airborne’ atau bawaan udara.

Ismail Sabri pula menegaskan pemakaian pelindung muka serta niqab tanpa pelitup muka di dalamnya adalah satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Di bawah Akta 342, yang diwajibkan adalah memakai pelitup muka di tempat awam, selain pelitup muka ia tidak boleh dijadikan alasan, macam pelindung muka dan niqab tidak boleh dijadikan alasan tidak pakai pelitup muka.

“Kalau memakai pelindung muka dan niqab tidak memakai pelitup muka di dalamnya, ia tetap salah di bawah Akta 342,” katanya.

Di bawah Garis Panduan Penetapan dan Pengurangan Nilai Kompaun, kerajaan memutuskan kesalahan ringan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal serta tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau merekod butiran diri ketika memasuki premis akan dikenakan kompaun RM1,500.

– BERNAMA