Categories
AGENDA GLOBAL

Gagal pakai pelitup muka, PM Thailand didenda RM782

SHAH ALAM, 27 APRIL: Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha semalam didenda sebanyak RM782 (6,000 baht) kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata tindakan itu selepas gambar perdana menteri menghadiri mesyuarat tanpa pelitup muka tersebar di media sosial, lapor AFP.

“Sebagai Gabenor Bangkok, saya mengajukan perkara itu kepada perdana menteri dan beliau menerima denda itu,” tulisnya di Facebook.

Thailand mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam berkuat kuasa semalam susulan pengesanan kes baharu terutama di premis hiburan.

Mereka yang ingkar peraturan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM2,606 (20,000 baht).

Negara itu mencatatkan 2,048 kes baharu Covid-19 semalam. Sehari sebelumnya, Thailand mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 11 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak pakai pelitup muka, enam pelajar dikurangkan kompaun

IPOH, 21 APRIL: Enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dua hari lepas, telah diberikan pengurangan kompaun, demikian menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr. Ding Lay Ming.

Beliau berkata dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan kolej dan pelajar di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran semalam, kesemua pelajar telah hadir mengemukakan rayuan dan pengurangan kompaun telah diberikan mengikut tatacara pengurangan kompaun sedia ada.

“Rayuan bagi pengurangan lanjut telah dikemukakan oleh pihak pengurusan kolej atas alasan bahawa pelajar itu adalah dari golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar jumlah kompaun yang dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan terhadap pengurangan lanjut sedang dijalankan untuk pertimbangan pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, teguran tegas juga telah diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di premis berkenaan.

Beberapa media sebelum ini melaporkan enam pelajar kolej berkenaan dikompaun oleh KKM masing-masing sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dengan lengkap di samping gagal mengamalkan penjarakan fizikal, dan tindakan itu mendapat perhatian ramai warganet.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Google Doodle rai Dr Wu Lien Teh, lelaki di sebalik pelitup muka

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Enjin carian Google Doodle hari ini memaparkan ahli epidemiologi Cina-Malaysia, mendiang Dr Wu Lien Teh, yang dikenali sebagai pencipta pelitup muka pembedahan jenis N95.

Google Doodle memberi penghormatan kepada Dr Wu bersempena hari lahir tokoh berkenaan yang ke-142.

Menurut Google, selepas mengikuti pengajian kedoktorannya, Dr Wu dilantik sebagai Timbalan Pengarah Imperial Army Medical College di China pada 1908.

“Ketika wabak yang tidak dikenal pasti menular di barat laut China pada 1910, kerajaan China melantik Dr Wu untuk menjalankan penyelidikan berhubung penyakit itu, yang dikenal pasti olehnya sebagai wabak pneumonia, penyakit berjangkit yang tersebar daripada manusia ke manusia melalui pernafasan.

“Untuk memerangi penyakit itu, Dr Wu mereka dan menghasilkan pelitup muka pembedahan khas dengan kapas dan kain kasa, serta menambahkan beberapa lapisan kain untuk menapis penyedutan,” menurut Google.

Dr Wu, kemudian menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka yang baharu dicipta itu dan bekerjasama dengan pegawai kerajaan untuk menubuhkan stesen dan hospital kuarantin, mengadakan sekatan perjalanan serta menerapkan teknik pensterilan progresif.

Usaha Dr Wu telah memberi impak besar dalam mengakhiri pandemik itu yang dikenali sebagai Manchuria pada April 1911, hanya dalam tempoh empat bulan selepas Dr Wu ditugaskan untuk mengawal penularan wabak itu.

Turut dinyatakan bahawa Dr Wu yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang adalah pelajar pertama keturunan Cina yang memperoleh MD dari Universiti Cambridge.

“Pada 1915, Dr Wu mengasaskan Persatuan Perubatan Cina, sebuah organisasi perubatan bukan kerajaan terbesar dan tertua di negara ini. Pada 1935, beliau merupakan rakyat Malaysia pertama – dan individu pertama keturunan Cina – dicalonkan untuk Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan kerana jasanya mengawal wabak pneumonia.

“Seorang pendukung yang setia dan pengamal kemajuan perubatan, usaha Dr Wu bukan hanya mengubah kesihatan awam di China tetapi juga di seluruh dunia. Selamat hari lahir kepada lelaki di sebalik pelitup muka, Dr. Wu Lien-Teh! ” menurut google.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 30 peratus rakyat patuh arahan pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Hanya kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia mematuhi arahan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan kawasan sesak sejak ia diwajibkan pada Ogos tahun lepas.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Malina Osman berkata perkara ini jelas menampakkan sikap kurang prihatin rakyat yang masih memandang mudah aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Secara umum, saya boleh bahagikan kepada dua kumpulan, pertama kumpulan yang betul-betul patuh dan satu lagi kumpulan yang tidak patuh.

“Perkara ini dipengaruhi beberapa faktor terutama sekali sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini apabila rakyat mula mengabaikan pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan awam dan sesak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kegagalan rakyat memahami cara memakai pelitup muka dengan betul juga dilihat sebagai satu cabaran kepada kerajaan yang sedang bertungkus-lumus membendung virus berbahaya itu daripada terus merebak.

“Kita perhatikan di tempat-tempat awam, ada segelintir rakyat yang tidak kisah malah ada yang letak pelitup muka di bawah dagu, di bawah hidung.

“Jadi bila angka positif sudah mencecah empat angka, masih ada lagi rakyat yang tidak memakai pelitup muka dan cara memakai pelitup muka masih salah, seolah-olah tidak peka dengan situasi sekarang ini,” katanya.

Dr Malina berharap rakyat di negara ini tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab pemakaian pelitup muka dengan betul dalam usaha memerangi Covid-19.

Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum pada 1 Ogos tahun lepas.

Orang ramai boleh didenda RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhinya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakai pelitup muka hanya wajib di tempat sesak – menteri

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di tempat awam yang sesak, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengakui masih terdapat kekeliruan berhubung penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) berhubung pemakaian pelitup muka, Ismail Sabri berkata apabila seseorang itu bersendirian dan mengamalkan penjarakan fizikal, adalah tidak wajib untuk individu berkenaan memakai pelitup muka.

“Tempat awam banyak, taman awam adalah tempat awam, tapi bila bersendirian maka tidak perlulah memakai pelitup muka kerana seperti saya katakan di tempat awam yang bersesak. Kalau di pasar bersesak, kalau dalam bas atau LRT bersesak, maka perlulah dan wajib pakai pelitup muka.

“Tetapi kalau bersendirian atau ada penjarakan fizikal antara satu sama lain, sebagai contoh di restoran kita (sudah tentu) tidak boleh pakai pelitup muka semasa makan. Tapi kerana ada penjarakan antara satu sama lain maka dibenarkan untuk tidak pakai pelitup muka,” katanya pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Beliau menyatakan perkara itu berikutan isu tular di media sosial baru-baru ini mengenai seorang individu yang berada di tempat awam berseorangan dan tidak memakai pelitup muka dikenakan tindakan.

Mulai 1 Ogos, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam sesak dengan orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan itu.

Sementara itu, Ismail Sabri turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya bertegas dan tidak bertolak ansur dengan pemilik premis hiburan yang masih berdegil tidak mematuhi SOP dengan sama ada menarik semula lesen premis atau menghentikan operasi mereka untuk selamanya.

Ia susulan tangkapan membabitkan operasi pusat hiburan berlaku hampir setiap hari walaupun sudah ada makluman dan peringatan dikeluarkan.

“Arahan daripada kerajaan juga amat jelas untuk tidak membenarkan kelab malam dan pusat hiburan kembali beroperasi buat masa ini dan masih di bawah senarai terlarang. Premis seumpamanya tersenarai di bawah larangan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara juga katanya, bersetuju secara dasar dengan cadangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berhubung pembukaan aktiviti pelancongan khususnya di tempat terbuka seperti Zoo Negara, Legoland dan lain-lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua lelaki dipenjara tak pakai pelitup muka, kerja lebih had masa

PETALING JAYA, 2 NOV: Dua pembantu kedai makan warga Indonesia masing-masing dipenjara lima hari oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah tidak memakai pelitup muka dan bekerja di kedai makan melebihi waktu yang dibenarkan.

Majistret M Barath menjatuhkan hukuman itu terhadap Asep Iskandar Nasutian, 23, dan Dasmun Sanrusdi, 30, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 20 Okt lepas.

Mengikut pertuduhan, Asep Iskandar didakwa gagal mematuhi arahan ketua pengarah (KP) kesihatan untuk mengambil langkah bagi maksud mencegah dan mengawal apa-apa penyakit berjangkit dengan tidak memakai pelitup muka di Kedai Makan Kendi Besar di Taman Medan, pada 11.15 malam, 20 Okt.

Dasmun pula didakwa gagal mematuhi arahan KP kesihatan dengan bekerja di premis kedai makan melebihi pukul 10 malam di tempat, masa dan tarikh sama. Waktu dibenarkan operasi bagi kedai makan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ialah dari 6 pagi hingga 10 malam.

Mereka dituduh mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mereka bekerja sebagai pembantu kedai makan, bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sirim tawar khidmat pengujian, pensijilan pelitup muka

SHAH ALAM, 23 OKT: SIRIM Berhad (Sirim) melalui anak syarikatnya, SIRIM QAS International Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan pengujian dan pensijilan bagi pelitup muka sama ada yang diimport atau keluaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Mohd Azanuddin Salleh berkata pengujian dan pensijilan itu adalah bagi memastikan pelitup muka menepati standard ditetapkan sebagai jaminan kepada masyarakat bahawa kualiti produk itu dipelihara secara konsisten.

Menurut beliau, proses pengujian dan pemeriksaan pelitup muka berkenaan akan dilakukan di makmal Sirim di sini yang diakreditasi dengan kemudahan terkini.

“Pengujian dan pensijilan pelitup muka oleh SIRIM QAS International adalah mengikut standard antarabangsa BS EN 14683 untuk pelitup muka perubatan. Proses pengujian Sirim ini juga boleh digunakan untuk tiga jenis pelitup muka perubatan.

“Pertama, Jenis I yang digunakan untuk mengurangkan risiko penyebaran jangkitan semasa epidemik atau pandemik. Kedua, pelitup muka Jenis II yang digunakan oleh pakar perubatan dalam bilik bedah atau persekitaran perubatan yang mempunyai persamaan aplikasi dengan Jenis I dan Jenis IIR manakala ketiga adalah pelitup muka Jenis IIR, aplikasi sama digunakan seperti Jenis I dengan sifat tambahan Splash Resistance (R),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azanuddin, bagi jenis pelitup muka bukan perubatan, pihaknya juga boleh menguji dan memperakui pelitup muka guna semula (kain) atau pelitup muka tiga lapis jenis pakai buang.

Katanya, proses pengujian itu merangkumi aspek Bacterial Filtration Efficiency (BFE); Differential Pressure; Splash Resistance Pressure (Synthetic Blood); dan Microbial Cleanliness (Bioburden).

“Pelitup muka yang menepati standard ditetapkan membolehkan pengilang dan pembekal membezakan produk mereka di pasaran, sekali gus mendapat permintaan daripada pengguna.

“Sirim terus komited untuk memupuk keyakinan rakyat Malaysia melalui perkhidmatan dipercayai. Dalam situasi yang mencabar ini, kami menjanjikan usaha bagi membangunkan negara ke arah masa depan yang lebih selamat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP kesan pelitup muka murah di pasaran, keselamatan diragui

SUNGAI BESAR, 16 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan penjualan pelitup muka berharga semurah 50 sen di pasaran namun kualitinya tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid menasihati pengguna agar berhati-hati ketika membeli pelitup muka berharga jauh lebih murah daripada harga siling agar tidak terdedah kepada bahaya lain.

“Pelitup muka ini dijual dengan harga 50 sen dan penjual dakwa ia merupakan pelitup muka tiga lapis, bagaimanapun pemeriksaan mendapati bahan yang digunakan agak meragukan.

“Pelitup itu berdebu dan boleh menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutup program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor di Sekinchan di sini hari ini.

Katanya pelitup muka terbabit sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan kualitinya dan tidak menolak kemungkinan satu peraturan akan dibuat agar hanya pelitup muka memenuhi piawaian yang ditetapkan sahaja boleh dijual demi menjamin keselamatan pengguna.

Kerajaan pada Ogos lepas menetapkan harga siling bagi pelitup muka RM1 sehelai.

Sementara itu mengulas mengenai program jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia, beliau berkata kesedaran orang ramai didapati semakin meningkat dalam merancakkan semula ekonomi tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Rosol juga berkata pengguna tidak perlu gusar ketika membeli barangan buatan tempatan kerana kualiti produk tempatan adalah setanding dengan kualiti barangan antarabangsa malah ada yang lebih baik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar ucap terima kasih, gembira terima pelitup muka percuma

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selayang, Gombak apabila menerima pelitup muka boleh guna semula pemberian Kerajaan Negeri.

Perkara itu dikongsi menerusi Facebook rasmi sekolah tersebut yang memaparkan wajah pelajar lelaki memakai alat perlindungan yang tertera gambar bendera Selangor dan tulisan #KitaSelangor.

Turut dikongsi ialah video murid sebuah kelas mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor.

Seorang pelajar lelaki memakai pelitup muka tertera gambar bendera Selangor dan tulisan #KitaSelangor. Foto Facebook SMK Taman Selayang

Pada 11 September, Dato’ Menteri Besar mengagih pelitup muka boleh guna semula secara percuma kepada 104 sekolah rendah dan menengah di daerah itu yang memberi manfaat kepada 120,000 pelajar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa yang terpaksa menyediakan alat itu kepada anak mereka setiap hari.

Pada 28 Ogos, Selangor mengumumkan bakal mengagih 1.3 juta pelitup muka boleh guna semula kepada 995,000 pelajar di negeri ini.

Majlis penyerahan alat itu kepada semua sekolah dijangka pada 25 September bertempat di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: 120,000 pelajar di Gombak terima pelitup muka

GOMBAK, 11 SEPT: Kerajaan Selangor mengagih pelitup muka boleh guna semula kepada 104 sekolah rendah dan menengah dalam daerah Gombak yang memberi manfaat kepada 120,000 pelajar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa yang terpaksa menyediakan pelitup muka kepada anak mereka setiap hari.

“Kita fikir bagaimana hendak kurangkan kos ibu bapa apabila pemakaian pelitup muka diwajibkan, bagaimana dengan ibu bapa yang ada ramai anak, sudah tentu perlukan lebih daripada satu pelitup muka setiap hari.

“Ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan anak-anak, selain mendidik mereka untuk patuh tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ditemui selepas menghadiri Program Penyerahan Pelitup Muka Percuma Sekolah Daerah Gombak di Dewan Seri Siantan hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri bakal mengagihkan pelitup muka kepada semua sekolah pada 25 September bertempat di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pendidikan kesihatan merupakan aspek penting yang perlu ditekankan di sekolah bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kita tidak mahu sekolah menjadi kluster baharu Covid-19, jadi anak-anak perlu diingatkan pentingnya menjaga kebersihan diri serta patuh SOP,” katanya.

Pada 28 Ogos Kerajaan Selangor mengumumkan bakal mengagih 1.3 juta pelitup muka boleh guna semula kepada 995,000 pelajar di negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP lanjut, pelitup muka cukup tampung keperluan rakyat

MELAKA, 29 OGOS: Kerajaan yakin bekalan pelitup muka mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat di negara ini susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata
pada masa ini terdapat 13 pengilang tempatan beroperasi berbanding hanya empat sebelum penularan wabak Covid-19.

“… difahamkan ada beberapa lagi pengilang tempatan akan beroperasi tidak lama lagi.

“Dengan pertambahan kilang tempatan ini, kita yakin tidak akan berdepan dengan masalah bekalan pelitup muka walaupun kerajaan mengumumkan pelanjutan PKPP hingga Disember ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Negeri Melaka di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kementerian sedang mengkaji semua aspek sebelum menurunkan lagi harga siling pelitup muka jenis tiga lapis bawah RM1 agar adil kepada semua yang terlibat.

“Kerajaan perlu memastikan harga yang ditetapkan tidak terlalu rendah dan menjejaskan industri ini. Kalau mereka tutup, mana kita hendak dapatkan bekalan nanti. Kita tidak boleh mengharapkan import dari negara luar, kerana pelitup muka amat penting untuk keselamatan dan kesihatan kita,” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata hasil jualan barangan tempatan melalui platform e-dagang Shopee mencatatkan nilai jualan RM11.9 juta dalam tempoh Julai hingga 26 Ogos lepas berbanding hanya RM4.7 juta pada 2019.

Jumlah produk buatan Malaysia yang dijual menerusi Shopee juga meningkat daripada 3,500 kepada 26,365 produk melibatkan 5,177 penjual, katanya.

Beliau berkata KBBM bertujuan merancakkan sektor peruncitan dalam fasa PKPP dan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, KPDNHEP diberi peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menggerakkan kempen itu.

KBBM akan diteruskan ke seluruh negara secara berperingkat hingga Disember depan dan Melaka merupakan negeri keempat bagi pelancaran kempen itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM jangka harga pelitup muka turun lagi

SHAH ALAM, 28 OGOS: Harga pelitup muka dijangka lebih rendah jika rundingan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan pengilang dan pembekal berjaya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelitup muka adalah barang keperluan yang digunakan hampir setiap masa selaras pembudayaan norma baharu.

“Insya-Allah jika rundingan ini berhasil, harga pelitup muka akan lebih berpatutan dan meringankan sedikit beban saudara-saudari sekalian,” katanya dalam perutusan khas malam ini yang disiarkan di saluran stesen televisyen tempatan serta rangkaian media sosial.

Berkuat kuasa 15 Ogos lalu, harga siling runcit pelitup muka tiga lapis ditetapkan RM1 seunit manakala 95 sen seunit bagi harga borong.

Bermula 1 Ogos, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau tumpuan umum susulan penambahan kluster jangkitan Covid-19.