SHAH ALAM, 20 FEB: Barisan pemain perseorangan wanita negara dinasihat usah berputus asa dalam usaha mereka untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa, menurut jurulatih perseorangan Korea Selatan Wong Tat Meng.
Jurulatih kelahiran Malaysia yang sudah berpangkalan di Korea Selatan sejak tiga tahun lepas mengakui mendengar kritikan daripada pihak luar yang mengatakan para pemain negara kurang bagus ketika beraksi di gelanggang.
“Saya sedar perseorangan wanita di Malaysia menghadapi tekanan, semua cakap tak bagus namun saya harap mereka jangan risau dan usah berputus asa…berlatih lebih keras, tetapkan satu sasaran dan berusaha untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pasukannya menewaskan Malaysia, 3-0, pada separuh akhir berpasukan wanita di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di sini, semalam.
Semalam, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann mengakui jurang kem perseorangan wanita negara masih lagi besar jika dibandingkan dengan kuasa besar dunia lain terutamanya dari segi mental dan fizikal.
Bagaimanapun, Choong Hann yakin anak buahnya boleh mempamerkan cabaran lebih sengit pada masa depan selepas barisan kejurulatihan sedang meningkatkan intensiti latihan kepada pemain ketika ini.
Tat Meng pada masa sama berkata agak sukar baginya untuk mengukur tahap keupayaan pemain Malaysia, yang rata-ratanya masih muda ketika ini, namun kesemuanya terserah kepada mereka untuk menggunakan potensi dimiliki bagi menjadi pemain hebat satu hari nanti.
Tat Meng, yang pernah berkhidmat sebagai jurulatih di BAM pada 2003-2011 dan 2013-2016, merupakan individu yang bertanggungjawab mengasah bakat pemain perseorangan wanita Korea Selatan ketika ini antaranya An Seyoung, Sung Jihyun dan Kim Gaeun.
Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), ketiga-tiga pemain itu berada dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia yang menyaksikan Seyoung di tangga keempat diikuti Jihyun (18) dan Gaeun (20).
Pemain perseorangan wanita utama kebangsaan, S. Kisona pula menghuni tangga ke-64 dunia manakala Soniia Cheah, yang bergerak secara profesional, berada di tangga ke-38 dunia.
Mengenai sasaran seterusnya bersama kem Korea Selatan, Tat Meng, yang melatih lapan pemain perseorangan wanita mereka buat masa ini mahu menumpukan usaha untuk menyasarkan empat pemainnya dapat menembusi kelompok 16 terbaik dunia selepas ini.
Beliau, yang pernah berkelana di Scotland pada 2016 juga mengakui cukup seronok menabur bakti di Korea Selatan memandangkan persatuan badminton negara itu mempunyai sasaran dan tugasan yang sangat jelas diberikan kepada jurulatih dan pemain.
Ditanya sama ada beliau berminat untuk kembali ke Malaysia satu hari nanti, Tat Meng secara berseloroh hanya menjawab, ‘hati selalu di Malaysia namun kerja di sana (Korea Selatan)’.
-BERNAMA