Categories
PBT SELANGOR

MPKL sasar pemaju baharu melalui sektor prospek pembangunan

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyasar penglibatan pemaju baharu dalam sektor prospek pembangunan di kawasan pentadbirannya sempena penyertaannya dalam Ekspo Selangor Taman Perindustrian (SPARK) 2021.

Penolong Pegawai Perancang Bandarnya Zalifah Ab Wahab berkata terdapat beberapa kawasan baharu yang berpotensi dibangunkan seperti Bandar Rimbayu, Eco Sanctuary, Gamuda Cove dan Tropicana Aman.

“Terdapat beberapa kawasan sedang dalam pembangunan dan kita mencari pemaju baharu selain mengekalkan sedia ada menerusi sektor prospek pembangunan,” katanya.

Tambah beliau pihaknya turut memfokuskan dua lagi aspek iaitu perindustrian dan pelancongan sebagai usaha mempromosikan produk MPKL.

“Bagi sektor perindustrian semuanya sudah terancang dan pemaju juga ditetapkan manakala pelancongan pula kita mempromosikan industri pantai dan bersejarah,” katanya.

SPARK 2021 merupakan acara baharu yang diperkenalkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 yang berlangsung selama empat hari mulai 18 November.

Acara lain yang diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.