Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan empat lelaki cedera, samun pemandu kereta di Klang

SHAH ALAM, 19 APRIL: Empat lelaki ditahan polis selepas bertindak menarik seorang lelaki keluar dari kereta dan memukulnya dengan kayu di Taman Sentosa dekat Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata dalam kejadian 4.30 petang, mangsa yang memandu bersama sepupunya dilanggar dari arah belakang oleh kereta jenis Honda Civic yang dinaiki empat lelaki.

“Suspek kemudian bertindak memecahkan cermin kereta, menarik mangsa keluar dan memukulnya dengan kayu. Malah telefon bimbit milik sepupu mangsa turut dirampas,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan kes berkenaan selepas dua video kejadian itu tular di media sosial dan bertindak mengesan semua suspek.

Katanya, suspek berusia 23 tahun hingga 35 tahun ditangkap antara jam 7 petang hingga 11 malam tadi di sekitar daerah berkenaan.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu. Kes disiasat mengikut Seksyen 394/427 Kanun Keseksaan,” katanya.