Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mais sumbang makanan asas kepada lebih 200 pemandu limo KLIA

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang makanan asas kepada 215 pemandu limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terkesan susulan Covid-19.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata set bantuan berupa beras, tepung, gula, minyak masak dan gula dengan peruntukan RM21,500 menggunakan wang kutipan fidyah orang ramai.

“Mais mengambil inisiatif untuk membantu pemandu yang turut mengalami kemerosotan pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bantuan diharap sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh penerima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan diserahkan melalui Rakan Strategik Fidyah Mais (RSFM) dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) di Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) Seri Kembangan.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman sesawang http://www.mais.gov.my atau dibuat menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.