Categories
AGENDA NASIONAL

1,157 pemandu mabuk ditahan sekitar ibu negara sepanjang tahun lepas

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Polis menahan seramai 1,558 individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menunggang motosikal secara berbahaya, menerusi pelbagai operasi yang diadakan di sekitar ibu negara tahun lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Supt Zulkafli Chek Lah berkata pemandu mabuk mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 1,157 kes direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata bagi kesalahan memandu secara berbahaya pula, seramai 287 individu telah ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sementara itu, kesalahan mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu dan disyaki mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram masing-masing mencatatkan empat dan lima kes,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan operasi Op Motosikal dan Op Mabuk di sekitar ibu negara malam tadi.

Zulkafli berkata dalam Op Selamat tahun ini bermula 1 Jan hingga semalam, seramai 235 individu telah ditahan bagi pelbagai kesalahan trafik dengan tangkapan tertinggi juga membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu seramai 192 individu, manakala memandu secara berbahaya seramai 34 individu ditahan.

Sementara itu, katanya dalam operasi yang dilakukan malam tadi di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 189 saman dikeluarkan dengan tiga pemandu mabuk ditahan dan tujuh motosikal disita.

Beliau berkata dalam Op Selamat kali ini, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi dan fokus terhadap pemandu mabuk dan penunggang motosikal bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis selesai tugas kawal PKPD maut dilanggar pemandu mabuk

KLUANG, 13 FEB: Seorang anggota polis maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol di Kilometer 6 Jalan Kluang – Teck Wah Hing, lewat malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, DSP Abdul Razak Abdullah Sani berkata Lans Koperal Bradford Bernard, 28, terlibat dalam kemalangan itu selepas tamat bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan pada pukul 10.25 malam menyatakan berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dari arah Kluang dan sebuah motosikal dari arah Simpang Renggam.

Abdul Razak berkata pemandu kereta terbabit hilang kawalan ke atas kereta dipandunya dan bertembung dengan motosikal Bradford, mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang selepas selesai tugasan di Penjara Simpang Renggam.

“Mangsa yang sudah berkahwin meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.

Suspek yang berusia 58 tahun kini ditahan dan hasil saringan ujian nafas EBA II didapati positif alkohol serta melebihi had yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan mendapati pemandu kereta terbabit mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kini direman selama empat hari untuk siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara maksimum 15 tahun serta hilang kelayakan lesen memandu melebihi 10 tahun jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Jurujual mabuk sebabkan kematian operator kilang didakwa

KAJANG, 30 NOV: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Jumaat lepas.

Tertuduh Hoi Yew Seng, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Mengikut pertuduhan, Hoi didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Nelzin Didal Mat Lazim, 44, di kilometer 3.8 LEKAS, Hulu Langat, di sini, pada 11.35 pagi, 27 Nov lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda RM50,000 serta hilang kelayakan memandu selama 10 tahun.

Terdahulu, Hoi yang berada di dalam kandang tertuduh hanya menundukkan kepala sepanjang prosiding yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Tan Teck Yew memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan alasan perniagaan anak guamnya sangat terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula.

“Tertuduh juga mempunyai tiga anak yang masih bersekolah serta isteri tidak bekerja,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Syahrul Sazly turut menetapkan 4 Feb tahun hadapan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hukuman berat ke atas pemandu mabuk tunggu keputusan Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Ogos lepas akan dibentangkan semula di Dewan Negara minggu hadapan untuk dilulus dalam usaha mengekang pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sekiranya RUU itu diluluskan dan mendapat sokongan semua Senator, ia boleh diwartakan selepas tempoh yang ditetapkan dan dengan hukuman yang lebih berat, ia akan mencegah orang ramai daripada melakukan kesalahan itu.

“Kita tidak menyekat hak sesiapa untuk minum minuman keras tetapi yang penting ialah kalau hendak minum jangan memandu, itu mesej yang jelas.

“Melihatkan kepada statistik kemalangan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, semakin banyak kes yang melibatkan pemandu mabuk, berdasarkan soal selidik daripada 345,000 orang, sebanyak 94 peratus mahu pemandu mabuk dikenakan hukuman yang berat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kempen #Celebrate Responsibly dan Sesi Dialog ‘Memandu Dalam Keadaan Mabuk: Dari Agenda Bersama ke Penyelesaian Bersama’ di Ibu Pejabat Sin Chew Daily, Petaling Jaya di sini, hari ini.

Akta sedia ada memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000 jika disabitkan kesalahan.

Melalui pindaan, kadar denda yang dikenakan lebih tinggi sehingga RM150,000 dan tempoh penjara hingga 20 tahun serta penggantungan lesen memandu.

Wee berkata sudah tiba masanya kerajaan memberi peringatan dan mendidik masyarakat tentang akibat bahayanya memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Pindaan itu juga bukan kami (kementerian) ambil dari mana-mana, kami mengikut standard ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Kempen #Celebrate Responsibly anjuran Sin Chew Daily dengan kerjasama Carlsberg Malaysia itu bertujuan memupuk kesedaran akan kepentingan bagi individu mengubah sikap agar tidak memandu dalam keadaan mabuk.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjara pemandu mabuk naik hingga 15 tahun

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000.

Perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali pertama Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 itu dibuat Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut memaklumkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan dewan kali ini.

Menurut rang undang-undang itu, bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan pula, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Rang undang-undang berkenaan juga menyebut, pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kematian akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan dan tidak kurang tujuh tahun bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan.

Pindaan itu juga turut melibatkan had alkohol yang ditetapkan iaitu 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100 ml darah atau 67 mg alkohol dalam 100 ml air kencing.

Selain itu, rang undang-undang berkenaan juga mengadakan peruntukan bagi takrif  ‘kenderaan mikromobiliti’  iaitu mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik.

Rang undang-undang yang antaranya bertujuan meminda Seksyen 41, 42, 43, 44 dan 45 akta itu tidak melibatkan perbelanjaan wang tambahan pihak kerajaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Penjara 20 tahun, denda maksimum memadai hukum pemandu mabuk

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan cadangan kerajaan untuk menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes melibatkan pemandu mabuk memadai.

Beliau berkata pihaknya pernah mencadangkan hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap kelompok berkenaan bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di negara ini.

“Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu yang membabitkan peningkatan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara, saya amat mengalu-alukan,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan sumbangan kasut oleh Syarikat Bata Primavera Sdn Bhd di Bukit Aman di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kerajaan akan mengusulkan pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wee berkata pindaan juga mencadangkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.

Pindaan akta itu dijadual dibentang pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Polis Diraja Malaysia menerima 60,000 pasang kasut dianggar bernilai RM3.6 juta daripada syarikat berkenaan.

Mengulas sumbangan itu, Abdul Hamid berkata kasut terbabit akan diagihkan kepada warga polis dan ahli keluarga mereka sebagai penghargaan kepada mereka yang bertugas memerangi penularan pandemik Covid-19.

Pihak Bata juga memaklumkan warga polis akan menikmati potongan sebanyak 20 peratus bagi sebarang pembelian kasut jenamanya di semua kedai syarikat itu di seluruh negara, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat pemandu mabuk ditahan di Petaling Jaya

SHAH ALAM, 28 JUN: Polis menahan empat lelaki berusia 36 hingga 48 tahun awal pagi tadi di sekitar Petaling Jaya kerana memandu bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kesemua ditahan dalam Op Alkohol mengikut Seksyen 45(A) 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bermula 11 malam hingga 3 pagi tadi.

“Dalam operasi itu, seramai 212 pengguna jalan raya dan 170 kenderaan diperiksa serta polis mengeluarkan 20 saman atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata pihaknya terus melancarkan operasi bagi membanteras pengguna jalan raya mabuk yang akan membahayakan keselamatan orang lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kira-kira 1,200 pemandu positif alkohol ditahan sejak Januari

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Kira-kira 1,200 pemandu mabuk dan positif kandungan alkohol melebihi had ditahan polis menerusi Op Mabuk sejak awal tahun hingga 15 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata jumlah itu direkodkan menerusi 507 operasi yang dijalankan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 14,949 individu diperiksa berbanding tempoh sama tahun lepas dengan hanya 6,426 pemeriksaan ke atas pemandu direkodkan.

“Peningkatan jumlah pemeriksaan menerusi operasi ini jelas menunjukkan usaha polis membanteras gejala pemanduan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Azisman berkata, dalam masa sama, polis masih giat menjalankan Op Mabuk setiap hari dengan tumpuan diberi pada hujung minggu berikutan dalam tempoh berkenaan didapati lebih banyak kes pemanduan bawah pengaruh alkohol dilaporkan.

“Hal ini menjadi keutamaan pihak polis dan sesiapa yang didapati melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol boleh didakwa mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azisman berkata 1,121 tangkapan dibuat menerusi Op Samseng Jalanan dalam tempoh yang sama.

“Kesemua mereka berumur 18-40 tahun ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan termasuk memandu secara melulu menerusi 324 Op Samseng yang diadakan sejak Januari hingga 15 Jun lepas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pindaan akta pemandu mabuk ke kabinet dua minggu lagi

KOTA BHARU, 22 JUN: Pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 melibatkan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dijangka dibawa ke kabinet dua minggu lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata walaupun akta itu di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, pihaknya turut terlibat dalam penggubalan pindaan berkenaan.

“Pindaan yang melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 akta berkenaan kini dalam proses untuk dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di sini semalam.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan tidak melebihi RM6,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, Seksyen 44 memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengulas kes kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, beliau berkata kes tersebut masih dalam siasatan polis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki mabuk mengaku salah, didenda RM4,000

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Trafik di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol, semalam.

Majistret Putri Nurshila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas Yeap Soon Yen, 38, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung dua tahun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan jenis Mazda GL di bawah pengaruh alkohol iaitu 173 miligram (mg) di dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu melebihi had ditetapkan 80 mg di dalam 100 ml darah di Jalan Kuchai Lama di sini pada 11.30 malam, 14 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Kuala Lumpur Inspektor Abdullah Khazali yang memohon hukuman sewajarnya kerana ia merupakan kesalahan kali kedua tertuduh, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menanggung keluarga.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan lelaki mabuk selepas nahas

PORT DICKSON, 14 JUN: Polis menahan seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol selepas dia terlibat dengan satu kemalangan jalan raya, berhampiran lampu isyarat Dataran Segar di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata kejadian berlaku pada pukul 10.45 malam apabila lelaki berusia 27 tahun yang berasal dari Melaka itu memandu kenderaan jenis Honda City dan menghimpit sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 53 tahun.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian mendapati pemandu itu mabuk selepas dia diarah menjalani saringan pernafasan menggunakan alat SD2+ dan dia kemudiannya dibawa ke pejabat Trafik Ibu pejabat polis kontinjen Port Dickson bagi ujian seterusnya.

“Kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata lelaki telah ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN saran penjara mandatori hukum pemandu mabuk

PUTRAJAYA, 5 JUN: Individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol perlu dikenakan hukuman setimpal seperti penjara mandatori, kata ketua polis negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata hukuman sedemikian perlu dilaksanakan kerajaan kerana ia adalah lebih berkesan untuk mengekang pemanduan mabuk di negara ini.

“Sekarang ini masyarakat kita sedar bahawa isu pemandu mabuk bermusim dan semakin serius.

“Oleh itu, saya akan menyokong apa sahaja tindakan undang-undang yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis penyerahan kereta peronda baharu Polis Diraja Malaysia di Kompleks KDN di sini hari ini.

Abdul Hamid berharap kerajaan dapat meminda undang-undang sedia ada untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pada 30 Mei lalu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berikutan bilangan kes kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias pada Rabu berkata sejumlah 22 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dilapor dalam tempoh lima bulan tahun ini dan dalam tempoh itu juga seramai 822 orang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

-BERNAMA