Categories
AGENDA NASIONAL

Bukan semua sekolah buka 3 Oktober, tertakluk fasa pemulihan setiap negeri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menjelaskan bahawa  pembukaan sekolah di seluruh negara adalah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata jika negeri itu berada dalam Fasa Satu PPN maka tidak ada sekolah yang dibuka di negeri terbabit.

Beliau menjelaskan perkara itu kerana KPM mendapati masih ada yang mengganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Okt ini, meskipun perincian mengenainya sudah dijelaskan semalam.

Radzi berkata dapatan itu dikenal pasti hasil pemantauan beliau terhadap maklum balas yang diutarakan melalui pelbagai platform termasuk di media sosial berkenaan pengumuman pembukaan sekolah semalam.

“Pada maklum balas yang kami lihat secara langsung atau pun melalui media termasuklah media sosial, kita dapati ada yang masih mengganggap seolah-olah pada 3 Okt ini, semua sekolah di seluruh negara akan dibuka,” katanya dalam video penjelasan pengoperasian sekolah yang diberikan kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Radzi berkata bagi negeri berada di Fasa Dua PPN pula, pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober ini.

“Untuk negeri di bawah Fasa Tiga PPN, selain daripada MBK di SKPK dan PPKI, kita akan masukkan (melibatkan) murid prasekolah, pelajar Tingkatan Lima dan juga pelajar STPM lain.

“Manakala untuk negeri di bawah Fasa Empat PPN – dua minggu pertama bermula daripada 3-17 Okt, mereka yang berada di sekolah adalah sama seperti di Fasa Tiga, sebelum kita memperluaskannya kepada murid Tahun Satu, Dua dan Tiga bermula 17-31 Okt, diikuti murid Tahun Empat, Lima dan Enam (di akhir Oktober),” katanya.

Bagi pengoperasian sekolah menengah di fasa itu pula, Radzi berkata sesi pembelajaran akan dimulakan oleh pelajar Tingkatan Lima dan Enam iaitu dari 3-17 Oktr dan selepas itu, disusuli secara berperingkat oleh pelajar tingkatan tiga, empat, satu dan dua.

Katanya, kemasukan secara berperingkat dengan kapasiti hanya 50 peratus dalam kelas ini adalah demi memastikan murid dan pelajar sekolah dapat terus rapat dengan sekolah serta dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dron jadi ‘mata’ polis pantau SOP bazar Ramadan

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Dron sekali lagi menjadi ‘mata’ kepada pihak berkuasa khususnya polis apabila teknologi itu turut digunakan memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 dalam kalangan pengunjung bazar Ramadan di sekitar ibu kota.

Tinjauan Bernama di Bazar Ramadan Desa Pandan petang semalam mendapati pengoperasian dron itu digunakan untuk memantau pergerakan serta memberi amaran dan peringatan kepada pengunjung menerusi pembesar suara yang ada pada dron itu.

Video dan gambar akan dirakamkan dan boleh dilihat di pusat operasi unit dron yang ditetapkan bagi memantau pergerakan pengunjung di bazar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi berkata pemantauan menggunakan dron selain kehadiran anggota polis di bazar Ramdan akan diteruskan sehingga menjelang Aidilfitri.

“Hari ini pengunjung tidak ramai seperti hari cuti dan hujung minggu… walau bagaimanapun polis tetap mengetatkan kawalan di semua pintu masuk bazar bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi,” katanya.

Pada 1 Mei lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kini Ketua Polis Negara) berkata polis menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di sekitar Lembah Klang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

31 kompaun langgar SOP PKPP dikeluarkan di Port Dickson

PORT DICKSON, 1 OGOS: Sebanyak 31 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam tempoh seminggu di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata Pasukan Petugas Pematuhan SOP PKPP terdiri daripada anggota polis Ibu Pejabat Daerah Port Dickson, penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan penguat kuasa Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson telah menjalankan pemeriksaan ke beberapa premis sekitar bandar Port Dickson, Lukut dan Teluk Kemang.

“Operasi pematuhan turut tertumpu di kawasan pantai yang kerap dikunjungi pelawat yang dibuka kepada orang awam sejak 13 Jun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pasukan petugas juga mengeluarkan dua kompaun terhadap dua lelaki yang minum minuman keras sehingga mabuk di tepi pantai Sunshine Bay, Jalan Pantai Port Dickson, Sabtu lepas, katanya sambil menambah pihaknya secara berterusan mendidik masyarakat agar mematuhi SOP PKPP sehingga 31 Ogos, nanti.

Katanya, operasi pematuhan diperhebatkan pada hujung minggu dengan tumpuan dilakukan di sepanjang pantai Port Dickson dan orang ramai juga diingatkan bahawa sebarang aktiviti selepas pukul 12 malam, adalah dilarang.

-BERNAMA