Categories
AGENDA NASIONAL

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Taman Setiawangsa dibenar operasi

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Bazar Ramadan Jalan Raja Alang dan Bazar Ramadan Taman Setiawangsa yang sebelum ini diarah tutup, kini dibenarkan meneruskan operasinya seperti biasa hari ini dengan penambahan bilangan anggota penguatkuasa di kawasan bazar berkenaan.

Kedua-dua bazar itu adalah antara 22 bazar yang disenaraikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam sebagai yang perlu ditutup selama tiga hari bermula hari ini bagi tujuan sanitasi dan memperkemaskan semula tatacara operasi piawai (SOP).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah meneruskan operasi diambil selepas pihaknya menerima maklumat terbaharu mengenai bazar berkenaan, dan penambahan bilangan penguatkuasa bertujuan memastikan SOP terus diperketat dan dipatuhi.

“DBKL tidak akan berkompromi atas ketidakpatuhan kepada SOP dan tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang terlibat. DBKL juga telah mensyaratkan kepada pihak penganjur untuk bersama-sama memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, menurutnya DBKL masih menunggu keputusan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan berhubung operasi dua bazar Ramadan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dron pantau pematuhan SOP di kawasan tumpuan – polis

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Teknologi dron turut digunakan untuk memantau serta memastikan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.

Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Supt Rasha Azaldin Shafii berkata, hebahan dan pemantauan udara di tempat tumpuan awam dibuat supaya orang ramai mematuhi SOP ditetapkan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Penugasan dron masih berjalan seperti biasa tetapi sekarang fokusnya adalah pematuhan terhadap SOP kerana kita (polis) mahu orang ramai mematuhi SOP seperti mengamalkan jarak sosial,” katanya kepada Bernama hari ini.

Teknologi dron mula diperkenal pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia diguna pakai sepenuhnya oleh anggota polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyampaikan maklumat selain memantau pergerakan orang ramai.

Dron, yang digunakan oleh kedua-dua pasukan keselamatan itu dilengkapi dengan pembesar suara yang akan menghebahkan pesanan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan Tamil, kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 15 agensi kerajaan termasuk ATM; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberi kuasa untuk pelaksanaan pematuhan serta penguatkuasaan sepanjang PKPB.

Menurut Ismail Sabri, pendekatan yang akan diambil pasukan berkenaan adalah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri serta memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.

Dalam pada itu, Rasha Azaldin berkata teknologi dron juga digunakan untuk membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat pengawasan udara di sempadan dan maritim negara.

“Pemantauan ini dibuat khusus untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya.

-BERNAMA