Selangor Ambil Langkah Kekalkan Habitat Kelip-Kelip

KUALA SELANGOR, 12 FEB : Habitat Kelip-kelip yang menjadi daya tarikan pelancong di Sungai Selangor akan terus dipelihara secara terancang dan bersepadu.

Sebagai langkah terbaik Kerajaan Selangor mengambil inisiatif untuk mengambil tanah di kawasan Tanjung Beluntas, Kampung Kedah,Teluk Baru dan Kampung Nyiur dengan keluasan seluas 210.107 ekar yang dianggarkan berjumlah RM7.5 juta untuk tujuan tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kawasan pemuliharaan perlu dikekalkan dengan pembangunan yang terancang bagi memastikan habitat kelip-kelip dapat membiak yang dapat menjadi tarikan pelancong yang seterusnya membangunkan eko-pelancongan di kawasan ini.

“Saya lihat banyak penggunaan tanah tidak digunakan dengan cara baik dengan cara ini maka bagaimana penggunaan tanah dapat dibuat dengan cara sebaiknya,itulah bagus kita mengadakan aktiviti ini supaya kita dapat teruskan dalam pembangunan di kawasan ini untuk menjaga habitat kelip-kelip.

“Apa yang kita lakukan ini adalah usaha untuk membiakkan kelip-kelip dengan lebih banyak dan seluruh Sungai Selangor ini akan mendapat kawasan yang kelip-kelip hidup semula dan akhirnya memberikan peluang kepada pelancong-pelancong melihat kelip-kelip,” kata Abdul Khalid semasa Program Perasmian Penanaman Pokok di Tapak Projek Pemuliharaan Kelip-Kelip Tanjung Beluntas di sini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Pembangunan, Datuk Noordin Sulaiman, yang ditemui Selangorkini berkata pengambilan tanah di kawasan ini adalah bertujuan memastikan habitat kelip-kelip terus terpelihara dan dapat membiak tanpa sebarang aktiviti pembangunan yang boleh menjejaskan habitat itu.

“Pengambilan tanah ini yang atas kepentingan awam maka penduduk bersetujulah dengan pampasan, ini menjadi dasar negeri untuk mewujudkan alam sekitar yang mampan dan segala flora dan fauna itu dapat dikekalkan,bukan sahaja untuk generasi sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang.

“Pemuliharaan alam sekitar ini harusnya menjadi tanggungjawab semua pihak dan bukan sahaja pihak kerajaan tetapi juga pihak-pihak lain dan juga individu untuk mempunyai kesedaran yang tinggi dan penghayatan, tanpa penghayatan walaupun sudah mempunyai kesedaran masih belum mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik,Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Ang Lai Hoe ( gambar) yang ditemui berkata kesungguhan politik kerajaan Selangor yang serius dalam memelihara alam sekitar dan kelip-kelip wajar diikuti pelbagai pihak dalam memastikan generasi akan datang dapat menikmati keajaiban kelip-kelip dikawasan ini.

“Saya nampak keazaman yang ditunjukkan kerajaan negeri untuk memelihara alam sekitar dengan pembangunan yang terancang. Sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan pemerintah perlu ada keazaman untuk memelihara alam sekitar,” jelasnya.

Dalam program ini seramai 400 sukarelawan dari lima sekolah di Kuala Selangor terlibat sama menanam pokok yang bersesuaiaan bersama kakitangan AEON (M) Bhd.

Turut hadir ADUN Bukit Melawati, Ir Muttiah Maniapillay, YDP Kuala Selangor Noraini Roslan, Pegawai Daerah Kuala Selangor Datuk Misri Idris, Pengurus AEON Co (M) Bhd Datuk Abdullah Mohd Yusof.

Tinjauan Selangor Kini mendapati para pelajar teruja dengan projek penanaman pokok itu dengan menyifatkan ia perlu diteruskan oleh semua pihak bagi kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang.

Menurut pelajar SMK Tiram Jaya,Ain Farhana Quyah Anuar, 16, berkata tugas menjaga alam sekitar khususnya pemuliharaan kelip-kelip adalah tanggungjawab semua pihak dalam memastikan keindahan alam terpelihara terus kekal.

” Ia adalah satu usaha yang bagus untuk memelihara alam sekitar sebab saya rasa sebelum ini perkara ini pernah dibuat tidak berapa meluas, saya nasihatkan kawan-kawan semua untuk bersama-sama menjaga alam sekitar sebab alam sekitar adalah amat penting untuk kita semua,” katanya.

” Saya rasa seronok dapat menyertai aktiviti penanaman pokok hari ini dan rasa ini aktiviti dapat memastikan pembiakan kelip-kelip terus berkembang di kawasan ini,saya harap program ini diteruskan dan semua orang dapat bekerjasama dalam meneruskan perjuangan alam sekitar,” kata pelajar SMK Rantau Panjang,Mohamad Firdaus Hamidon,16,ketika ditemui.

Projek penanaman pokok ini juga berjaya disenaraikan dalam Malaysian Books Of Record kerana projek tersebut merupakan ‘The First Firefly Breeding Project’ di Malaysia.

Projek kerjasama antara AEON (M) Bhd dengan kerjasama kerajaan negeri mendapat tajaan khas daripada pihak AEON sejumlah RM390,450 yang akan dijalankan selama tiga tahun.

 

 

Categories
SELANGOR

Projek RM37 Juta Perbaiki Aliran Trafik Seri Kembangan

SERDANG,12 JANUARI : Penduduk di kawasan Seri Kembangan boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan RM37 juta bagi membaiki lalulintas di kawasan itu yang selama ini sesak teruk.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembinaan jalan sehala di seluruh kawasan Seri Kembangan dijangka dapat mengatasi masalah persimpangan dua hala yang begitu banyak.

“Pengajaran kesesakan yang berlaku begini akan memberi kita peluang untuk mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan dan perancang bandar supaya meneliti perancangan-perancangan masa depan,” kata Abdul Khalid semasa ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Sistem Sirkulasi Lalulintas di Seri Kembangan.

Menteri Besar berharap penduduk bersabar dan dapat memberi kerjasama apabila berlaku kesesakan semasa projek memperbaiki aliran trafik ini berjalan.

“Anggaran kos melebihi RM37 juta, tetapi projek ini akan dilaksanakan secara berfasa dan fasa pertama ialah pembinaan jalan yang baru dipersimpangan dan juga jalan bertingkat serta mengubah jalan-jalan yang berkaitan.

“Dengan ini, masalah kesesakan aliran trafik dapat dikurangkan. Seri Kembangan adalah tempat yang mempunyai rekod yang mempunyai banyak persimpangan dalam jarak yang begitu dekat,” kata Abdul Khalid.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, kesesakan jalan raya yang di hadapi penduduk di Seri Kembangan pada waktu puncak mengganggu perkembangan ekonomi setempat.

” Masalah kesesakan adalah masalah yang kritikal yang dihadapi oleh masyarakat setempat, ini jelas telah menyebabkan rakyat menderita dan hidup dalam satu keadaan yang penuh dengan tekanan,” katanya.

Menurut Ean lagi,masalah kesesakan ini menyebabkan Seri Kembangan yang dahulunya dikenali sebagai ‘Pekan Kasut’ mengalami kemerosotan perkembangan ekonomi.

” Saya yakin dengan kejayaan projek ini akan menambah baik situasi trafik dan memberi manfaat kepada pengguna jalan di masa hadapan,” katanya.