Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tanah runtuh: Tiada aktiviti pembalakan, hujan berlarutan punca kejadian

AMPANG, 11 MAC : Dato’ Menteri Besar mengesahkan tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau pembalakan berlaku di tapak insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkuasa tempatan juga tidak pernah menerima sebarang aduan berlakunya tanah runtuh di kawasan terbabit sebelum ini.

“Ia merupakan kawasan lapang dan tidak ada sebarang aktiviti seperti pembalakan atau pengosongan tanah, memang tidak ada. Mungkin ia disebabkan keadaan hujan yang berlarutan selama beberapa hari sebelum ini menyebabkan struktur tanah terurai.

“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga tidak pernah menerima aduan untuk kawasan ini, yang kita pernah terima aduan pun di Taman Permai iaitu empat kilometer daripada lokasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi insiden tanah runtuh di sini hari ini.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Veteran tentera, polis dilantik renjer, kekang aktiviti buru hidupan liar

KUALA LUMPUR, 22 JAN:- Seramai 800 individu termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli hari ini dilantik sebagai Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju berkata mereka yang menerima watikah pelantikan itu terdiri daripada 224 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VET), 439 Orang Asli (OA), 112 orang awam, 15  Veteran Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan 10 pesara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Adalah diharapkan dengan pelantikan Renjer Hidupan Liar di bawah Program BP3 ini dapat mengurangkan kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram di kawasan habitat hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BP3 adalah program membenteras jenayah melibatkan hidupan liar di bawah Perhilitan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang bermula secara rasmi pada 29 Jun 2020.

Ia melibatkan kawasan operasi di Banjaran Titiwangsa, Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Pulau Pinang, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin dan Rizab Hidupan Liar (RHL) Krau serta Sungkai.

Ali berkata kepakaran VET dan OA telah meningkatkan keberkesanan pengesanan kes-kes di kawasan panas dengan pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram termasuk operasi pembasmian jerat.

Katanya, penglibatan VET dan OA juga dapat memupuk rasa kebertanggungjawaban untuk melindungi khazanah negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka.

Ali memaklumkan program BP3 itu turut melibatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), PDRM, agensi-agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO)

Beliau berkata antara NGO terlibat termasuk Malaysian Conservation Alliance for Tiger (MYCAT) yang terdiri daripada Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), Tabung Hidupan Liar Malaysia (WWF), Persatuan Pencinta Alam, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia dan Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia.

Ali berkata program berkenaan merupakan kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan pada 3 Sept 2019 dan strategi terbaharu dalam meningkatkan rondaan penguatkuasaan bagi menangani isu pencerobohan dan pemburuan serta pembalakan haram.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Henti pembalakan di lokasi berisiko banjir

SHAH ALAM, 20 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya segera menghentikan pemberian konsesi pembalakan di lokasi berisiko banjir.

“Saya cadangkan hentikan semua termasuk yang diluluskan sehingga dikenal pasti punca kecuali ada kajian mengatakan pembalakan di kawasan itu selamat.

“Jangan beri kelulusan baru kepada pembalakan tanpa mengira darjat, pengaruh politik,” kata ketua pembangkang itu dalam mesyuarat khas Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat balak yang mengakibatkan banjir termasuk mendesak syarikat terlibat membayar ganti rugi kepada mangsa.

“Bila mangsa mengalami kerugian akibat banjir. Kena ada ketetapan untuk syarikat balak bayar sebahagian kerugian kerana cukai saja tidak mencukupi memandangkan pembayaran sedemikian bukan bermaksud mereka boleh merosakkan rumah orang.

“Begitu juga golongan kaya yang meneroka kawasan atau membina kediaman mereka, tetapi menyebabkan kerosakan kepada rumah orang lain,” katanya.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Isu pembalakan : Tuduhan Chegu Bard tidak berasas

Susulan daripada kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor yang bertarikh 23hb Februari 2016, saya ingin menekankan beberapa perkara:-

Kenyataan awal Dato’ Menteri Besar Selangor tentang pengamalan tender terbuka untuk pengurniaan konsesi pembalakan adalah betul. Ini adalah amalan yang dipraktikan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor tidak lagi memberi konsensi pembalakan di Negeri Selangor sejak dasar moratorium 25 tahun memberhentikan pembalakan komersial diumumkan di dalam Dewan Negeri Selangor dan dilaksanakan pada tahun 2010.

Selangor merupakan negeri pertama di Malaysia yang tegas dan berani membekukan semua aktiviti pembalakan komersial.

Fokus Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sejak 2008 adalah kepada aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan simpan serta penambahan keluasan hutan di Negeri Selangor. Dasar Kerajaan Negeri Selangor ialah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30% keluasan hutan simpan di dalam negeri, dan pada hari ini, peratusan keluasan hutan simpan telah bertambah kepada lebih daripada 31.5%.

Harus ditekankan dan diambil perhatian bahawa kedua-dua kontrak yang kononnya diberi secara “salah” yang dituduh oleh Badrul Hisham (Chegubard) adalah tidak berasas; ia termasuk dalam kategori penebangan pokok bagi tujuan pembersihan dan bukan pembalakan komersil.

Prosedur di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1984 sentiasa digunapakai dalam membuat penilaian permohonan. Aktiviti penebangan yang dibenarkan adalah hanya untuk pembersihan dan pindahan kayu-kayan yang tidak boleh dielakkan untuk projek-projek berkepentingan awam seperti projek-projek infrastruktur. Prosedur yang mengikuti aktiviti pembersihan termasuk penilaian kawasan, penilaian syarikat, “tagging”, penandaan pokok-pokok dan lain-lain, adalah dibawah bidangkuasa Jawatankuasa Pengurusan Perhutanan Negeri Selangor (JPPNS) yang dianggotai oleh pegawai-pegawai agensi teknikal berkenaan yang memberi pandangan nasihat dari segi kepakaran mereka. Dato’ Menteri Besar, Ahli MMKN atau ahli-ahli politik bukan anggota JPPNS.

Untuk makluman, bagi setiap pokok yang ditebang bagi tujuan pembersihan atau pindahan, pihak Kerajaan Negeri telah menetapkan kadar bayaran gantirugi dan Negeri Selangor mempunyai kadar yang tertinggi di Malaysia bagi tujuan pencegahan (deterrent) dan juga bagi pemuliharaan pokok dan hutan.

Syor-syor dan syarat-syarat kemudian akan dikemukakan oleh JPNS kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan.

Seterusnya, kedua-dua kes yang didakwa oleh Badrul Hisham yang kononnya mempunyai unsur “rasuah” atau “salahguna kuasa” adalah tidak berasas kerana keputusan yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri adalah secara kolektif dan berdasarkan syor-syor yang dibuat oleh JPNS.

Saya berharap penjelasan diatas serta kenyataan dari pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah menjawab segala tomahan yang ditimbulkan Badrul Hisham (Chegubard). Oleh itu, Badrul Hisham bertanggungjawab menghentikan segala fitnah dan tohmahan terhadap Kerajaan Negeri dengan serta merta. Pada masa yang sama, pihak kami telah merujuk kepada pihak peguam untuk proses perundangan.

YB Elizabeth Wong
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor
Pengerusi Tetap Pelancongan, Alam Sekitar,
Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna