Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pembangunan Sabak Bernam langkah berani Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 27 NOV: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati beranggapan pembentangan Belanjawan #Selangor2022 bagi pembangunan koridor utara adalah langkah berani Kerajaan Negeri.

Juwairiya Zulkifli berkata ini kerana peruntukan besar disediakan untuk pembangunan di Sabak Bernam yang mungkin tiada pihak yang bersedia melakukannya.

“Pembangunan ini akan membantu ekonomi dan juga kesejahteraan penduduk di kawasan luar bandar kerana ia melibatkan sektor pelancongan dan agro iaitu aset luar bandar yang harus diangkat.

“Mungkin selama ini tidak diberi perhatian dan dengan keberanian Kerajaan Negeri untuk memberi fokus memajukan kawasan itu yang akhirnya rakyat luar bandar menikmati pembangunan yang sama atau lebih baik berbanding dulu,” katanya selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 semalam.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan belanjawan negeri memaklumkan beberapa inisiatif baharu akan dilaksanakan bagi membangunkan ekonomi di daerah Sabak Bernam secara lebih holistik dan terancang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara inisiatif penting yang dikenal pasti adalah pembangunan industri hiliran.

Antara pembangunan itu adalah
– Membangunkan Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan seluas 450 ekar melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta dari pihak kerajaan dan swasta
– Pembinaan Pusat Sembelihan Ayam di Sekindi dengan peruntukkan RM15 juta
– Pembinaan Kilang Minyak Sawit di Jelutong Jati dengan peruntukan RM50 juta
– Pusat Logistik dan Perdagangan di Sungai Lang dan Hentian di Air Manis seluas 36 ekar dengan nilai pelaburan sekitar RM500 juta