Categories
AGENSI SELANGOR

Penjual burger terharu LZS sumbang kelengkapan sekolah anak

SHAH ALAM, 17 DIS: Bapa kepada tiga anak berasa lega dan terharu apabila persiapan sekolah anak untuk tahun depan disediakan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mohd Azli Ibrahim, 43, berkata situasi Covid-19 yang berterusan sehingga hari ini menyebabkan pendapatannya sebagai penjual burger terjejas teruk.

“Tetapi nasib saya baik kerana LZS ada dan sudah dua tahun anak-anak saya mendapat bantuan persekolahan yang disediakan mereka.

“Jika dahulu, saya hanya dapat beli sepasang saja baju seragam sekolah untuk anak-anak, tetapi sekarang mereka ada kelengkapan yang lebih baik dan selesa,” katanya.

Wan Zaharah Wan Mohamad bersama anak Muhammad Fitri Muhammad (kanan) dan Nur Aiyisya Muhammad (kiri) ketika Program Agihan Persekolahan Asnaf Fakir, Miskin dan Mualaf bagi sesi 2021 di Bangunan Zakat Selangor, Shah Alam pada 16 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN

Wan Zaharah Wan Mohamad pula menarik nafas lega apabila kali pertama dimaklumkan beliau mendapat bantuan persekolahan untuk anak-anaknya.

Pembantu gerai itu berkata suaminya sudah kehilangan pekerjaan pada awal Mac lalu akibat pandemik.

“Saya amat gembira kerana anak-anak dapat bersekolah dalam keadaan lebih selesa walaupun saya tidak mampu menyediakan kelengkapan mereka.

“Terima kasih kepada Zakat Selangor di atas bantuan diberikan,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui ketika Program Agihan Persekolahan Asnaf Fakir, Miskin dan Mualaf sesi 2021 di Bangunan LZS, semalam.

Agensi menyediakan RM34.6 juta bantuan kepada lebih 70,000 penerima membabitkan pelajar pra-sekolah hingga sekolah menengah.